Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Friday, March 27, 2009

Menuntut pusaka suami

Soalan:

SUAMI saya telah meninggal dunia pada 2007 kerana kemalangan jalan raya. Kami mempunyai seorang anak lelaki yang berumur tujuh tahun. Kami menetap bersama keluarga mertua di Perak. Oleh kerana saya berada dalam keadaan trauma akibat kehilangan suami, melalui surat pengakuan yang ditandatangani, bapa mertua saya telah membantu menguruskan semua harta peninggalan termasuk sebuah perusahaan kecil. Apa yang menjadi kemusykilan saya ialah mengenai pembahagian harta faraid arwah suami. Sehingga kini saya masih belum memperolehi hak 1/8 daripada harta pusaka. Bagaimana pula dengan hak saya untuk mendapatkan harta sepencarian? Apakah yang harus saya lakukan?

Balu Trauma,
Banting, Selangor.

Jawapan:

Secara lazimnya apabila salah seorang ahli keluarga yang meninggal dunia, sudah tentu kita dihadapi dengan persoalan pembahagian harta pusaka. Pengurusan harta pusaka bertujuan untuk memberikan kepada yang berhak dan untuk membantu waris yang ditinggalkan. Lebih-lebih lagi bagi membantu isteri arwah untuk membesarkan anak-anaknya seorang diri.

Hukum syarak telah menetapkan apabila seseorang itu meninggal, hartanya akan dibahagikan mengikut pembahagian faraid. Ayat-ayat 7, 11, 12 dan 176 dalam surah Al-Nisa menggariskan panduan berkenaan waris-waris yang berhak dan juga bahagian-bahagian yang harus diperoleh setiap waris.

Prosedur permohonan pembahagian harta pusaka kecil dipohon di Pejabat Tanah dan Galian iaitu harta yang kurang daripada RM600,000. Pentadbir Tanah akan memastikan sama ada waris ingin membuat tuntutan harta sepencarian. Kemudian kes ini akan dimajukan pula ke mahkamah syariah untuk diputuskan tentang harta sepencarian.

Oleh itu, tuntutan harta sepencarian dilakukan di mahkamah syariah manakala selepas keputusan diperoleh, perintah dari mahkamah syariah itu perlulah diajukan kepada Bahagian Pembahagian Harta Pusaka Kecil supaya harta yang berkaitan sahaja dibahagikan mengikut faraid. Puan sebenarnya tidak perlu untuk memfailkan satu petisyen yang berbeza untuk pembahagian harta pusaka ini.

Seksyen 29 Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, puan berhak untuk membuat rayuan ke mahkamah tinggi atas keputusan yang telah diberikan oleh Pentadbir Tanah. Puan boleh menyatakan bahawa keputusan pembahagian harta pusaka yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah berdasarkan maklumat yang tidak tepat kerana puan sebagai waris yang berhak tidak disenaraikan sebagai salah seorang waris atau apa-apa faktor yang memberi kesan terhadap keputusan tersebut.

Puan boleh memohon agar ulang bicara dijalankan memandangkan terdapat perbalahan atau percanggahan maklumat dan sebagainya di Pembahagian Harta Pusaka Kecil, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Seksyen 16(1) Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, apabila menerima notis rayuan di bawah seksyen 29, hendaklah menunggu sehingga rayuan itu diputuskan.

Puan haruslah bertindak segera sebelum pindah milik harta tersebut sempurna. Ini akan menyulitkan lagi keadaan kerana kemungkinan harta tersebut akan berpindah tangan apabila pindah milik telah sempurna.

Cara yang terbaik untuk menguruskan harta pusaka peninggalan arwah tentulah dengan mencapai satu kata sepakat. Oleh itu, bagi mengelakkan sebarang salah faham, dua orang boleh dilantik sebagai pentadbir harta pusaka arwah. Oleh itu, selain bapa mertua puan, puan juga sebenarnya lebih berhak untuk menjadi pentadbir harta pusaka arwah suami puan. Sekurang-kurangnya, harta peninggalan arwah dapat membantu puan sedikit sebanyak untuk memulakan hidup baru yang lebih mencabar, dan juga demi anak puan.

Diharap penjelasan yang diberikan dapat membantu puan.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 27/3/2009

Thursday, March 26, 2009

Aset cecah RM2.58 trilion

KUALA LUMPUR - Jumlah aset di dalam sistem kewangan negara pada 2008 meningkat kepada RM2.58 trilion berbanding RM2.476 trilion pada 2007.

Sistem perbankan, termasuk bank-bank Islam, mencatatkan peningkatan dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM19.17 bilion pada tahun lepas berbanding RM17.701 bilion pada 2007.

Angka untuk 2008 adalah angka awalan.

Untung sebelum cukai bank perdagangan, termasuk syarikat kewangan dan bank-bank Islam, meningkat kepada RM18.489 bilion daripada RM15.655 bilion pada 2007.

Keuntungan sebelum cukai bagi bank pelaburan telah susut kepada RM681.1 juta dari RM2.046 bilion pada tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai bank-bank Islam, tidak termasuk sebuah bank Islam yang mengalami kerugian besar, telah turun kepada RM1.810 bilion daripada RM1.894 bilion.

Bilangan institusi kewangan telah meningkat kepada 54 pada 2008 berbanding 47 pada 2007, disebabkan oleh pertambahan bank-bank Islam (kepada 17 dari 11) dan bank pelaburan (kepada 15 dari 14).

Jumlah pekerja dalam sistem perbankan meningkat kepada 114,856 orang dalam 2008 dari 109,641 orang pada 2007, dan sebahagian besarnya dalam bank-bank komersial yang menunjukkan peningkatan pekerja kepada 99,593 orang daripada 96,146 orang.

Mengenai insurans hayat, pendapatan sektor itu menurun kepada RM26.779 bilion tahun lepas dari RM28.440 bilion pada 2007, sementara perbelanjaannya bertambah kepada RM19.238 bilion dari RM14.617 bilion.

Insurans am mencatatkan keuntungan kendalian RM588.9 juta pada 2008, turun daripada RM1.339 bilion pada 2007.

Takaful keluarga mencatatkan peningkatan pendapatan kepada RM2.834 bilion daripada RM2.376 bilion, dan perbelanjaan meningkat kepada RM1.294 bilion daripada RM1.441 bilion.

Takaful am mencatatkan peningkatan keuntungan kendalian kepada RM171.6 juta dari RM24.5 juta.

Sumber : ARKIB
Tarikh : 26/3/2009

Friday, March 20, 2009

Konsep halal perkasakan ekonomi ummah

Oleh : MUHAMMAD HISYAM MOHAMAD

HALAL adalah satu kata nama bahasa Arab di mana kata kerjanya ialah halla, yahillu, hillan yang membawa erti membebaskan, melepaskan, memecahkan, membubarkan dan membolehkan.

Apabila ia digunakan dalam bidang perundangan Islam, ia membawa maksud; pertama, segala yang menyebabkan seseorang itu tidak dihukum jika menggunakannya dan keduanya sesuatu yang boleh dikerjakan menurut syarak.

Al-Jurjani dalam kitab Al-Ta'rifat menjelaskan pengertian halal dengan maksud pertama, merujuk kepada keharusan menggunakan benda atau apa-apa yang diperlukan untuk memenuhi keperluan jasmani seperti makanan, minuman dan ubat-ubatan. Sementara maksud kedua bersangkut dengan keharusan memanfaatkan, memakan, meminum dan mengerjakan sesuatu yang kesemuanya ditentukan berdasarkan nas.

Banyak ayat al-Quran menggunakan istilah halal. Antaranya ialah berhubung soal muamalat, kekeluargaan, perkahwinan dan rezeki.

Apa yang menarik tentang konsep makanan dan rezeki halal dalam al-Quran ialah kata sifat toyyib yang mengekorinya. Toyyib (atau toyyibah; toyyibat atau tuuba sebagai jamak) daripada segi makna ialah sesuatu yang baik atau berlawanan dengan buruk. Jadi apabila disebut halalan toyyiban ia memberi maksud sesuatu yang halal dan bersifat baik serta elok.

Konsep ini sangat positif untuk semua aspek kehidupan manusia. Ia merupakan satu tuntutan dan menjadi tanggungjawab setiap orang untuk memenuhinya.

Proses penyediaan makanan dan minuman halal yang bermula daripada penyediaan bahan mentah hinggalah ia terhidang di atas meja sepatutnya dilakukan oleh orang Islam itu sendiri.

Tanggungjawab ini tidak sepatutnya diletak di bahu penganut agama lain kerana mereka tidak mampu memahami kepentingan konsep halalan toyyiban secara sempurna.

Namun hakikatnya, pengeluar-pengeluar bukan Muslim kini menguasai sebahagian besar pasaran makanan halal negara. Mengikut Unit Perancang Ekonomi, jumlah penduduk Malaysia pada 2008 (termasuk bukan warganegara) berjumlah 27.9 juta orang dengan 13.66 juta adalah penduduk Melayu.

Namun hanya 15 peratus sahaja pasaran makanan halal dikuasai oleh pengusaha Muslim.
Kecenderungan umat Islam menjadi pembeli dan ketiadaan minat untuk menjadi usahawan merupakan antara sebab utama keadaan ini berlaku.

Kegagalan kita untuk terlibat secara giat dalam bidang perniagaan dan industri menyebabkan umat Islam terpaksa bergantung secara berterusan kepada barangan keluaran bukan Islam.

Sesungguhnya kekuatan ekonomi atau kekayaan yang dijana menerusi usaha yang halal merupakan unsur terpenting bagi membolehkan umat Islam menjalani kehidupan sempurna lagi diberkati.

Sebenarnya jika kita memperhalusi hikmah di sebalik tuntutan agama supaya penganut memperlengkapkan diri dengan kekuatan ekonomi, ia berkait rapat dengan unsur paling atas dalam susunan maslahah daruriyyat. Ia merupakan tuntutan untuk menjaga kesucian agama dan keimanan.

Kekuatan ekonomi dan keutuhan status kewangan adalah penawar kepada masalah kemiskinan dan kesan-kesannya. Lukman Al-Hakim pernah menasihati anaknya supaya menutup pintu kemiskinan dengan berusaha mencari rezeki halal. Kemiskinan katanya, boleh menghasilkan tiga tabiat tidak elok iaitu kecuaian dalam menjalankan perintah agama, kelemahan daya pemikiran dan hilang maruah diri.

Nabi Muhammad SAW menegaskan, sesiapa di kalangan umatnya yang menjalankan kegiatan ekonomi secara jujur dan amanah maka kedudukannya adalah setaraf dengan para nabi, siddiqin, syuhada'dan solihin di akhirat kelak.

Paling penting, sejajar dengan peredaran zaman, kekuatan ekonomi di peringkat ummah dan negara memungkinkan kawalan politik, ketenteraan dan pengaruh ideologi.

Hal ini amat jelas sekali jika kita perhatikan kepada sejarah penguasaan ekonomi oleh negara maju ke atas negara-negara membangun dan miskin menerusi sistem kapitalisme. Apa yang paling mendukacitakan ialah kelemahan dalam bidang ekonomi menyebabkan banyak negara Islam terpaksa tunduk patuh kepada kuasa-kuasa besar dunia.

Justeru sabda Nabi SAW bahawa kemiskinan itu boleh membawa kepada kekufuran dilihat sebagai satu peringatan bahawa kelemahan dalam bidang ekonomi bukanlah suatu masalah yang boleh dipandang ringan oleh semua umat Islam.

PENULIS ialah Felo Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Sumber : Arkib
Tarikh : 20/3/2009

Mertua rampas harta peninggalan suami

Oleh : Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi)

Keluarga arwah suami tidak mahu membuat faraid kerana khuatir harta diwarisi menantu dan cucu lelakinya

Soalan:

SAYA seorang janda berusia 24 tahun yang kematian suami. Saya makan hati dengan keluarga arwah suami. Saya adalah menantu perempuan sulung keluarga arwah suami. Saya bersama arwah mendirikan rumah tangga pada hujung tahun 2007 dengan restu kedua-dua ibu bapa kami. Suami saya baru meninggal dunia lima bulan lalu dalam kemalangan ketika pulang dari kerja. Ketika itu, saya sedang sarat mengandung.

Pada hari itu, ketika jenazah belum sampai di rumah, keluarga arwah sudah mengira harta suami. Hati saya hancur dengan sikap mereka, tambahan ibu mentua menyatakan saya hanya bernikah dengan anaknya selama 10 bulan, sedangkan dia menjaga anaknya ketika kakinya masih merah. Bayangkan betapa pedihnya hati saya sebagai isteri.

Hari demi hari keluarga arwah merampas semua harta peninggalan suami untuk saya dan anak, yang juga darah daging mereka sendiri. Malah, ibu mentua pernah menyatakan tidak akan menyerahkan satu sen pun peninggalan suami kepada saya. Namun, saya berikhtiar untuk mencari jalan untuk membahagikan harta peninggalan mengikut hukum syarak sebagai seorang Islam.

Sekali lagi saya ditentang oleh ibu mentua, mereka tidak mahu membuat faraid kerana khuatir harta itu diwarisi anak lelaki kami. Ikutkan hati, saya tidak mahu menyakiti hati ibu mentua dan keluarganya kerana mereka bagaikan ibu bapa saya sendiri. Kini saya buntu puan, hanya kecekalan hati dan ketabahan dalam diri ini saya reda dengan ketentuan Ilahi. Mungkin Allah sedang menguji saya sebagai hamba-Nya di muka bumi ini. Kini saya hanya ingin membesarkan anak saya dan mendidiknya sehingga menjadi orang yang berguna pada masa hadapan. Namun, saya ingin memperjuangkan hak anak saya. Puan bantulah saya untuk menghadapi situasi begini.

Dewi Permata

Jawapan:

JODOH pertemuan dan ajal maut memang di tangan Tuhan, namun Tuhan tidak membenarkan kita untuk hanya berserah bulat-bulat kepada takdir tanpa usaha. Tuhan sudah berjanji tidak akan mengubah nasib kita selagi kita tidak berusaha mengubahnya.

Dalam proses ini kita tidak dibenarkan menimbulkan pergaduhan dan perselisihan yang melanggar hukum adat kehidupan. Dalam keadaan anda sekarang, anda harus jelas dan pasti apa jenis harta yang ditinggalkan oleh arwah suami. Jika benar-benar ada yang berbaloi dituntut seperti kereta, rumah, simpanan atau disebut harta tetap dan harta mudah alih yang perlu dituntut, anda boleh menuntutnya di mahkamah mengikut undang-undang. Ini adalah prosedur biasa. Buat laporan dan kemukakan tuntutan anda secara rasmi.

Tapi jika harta itu hanya barang peribadi milik arwah yang mudah alih dan luput seperti pakaian, rasanya tidak perlulah dikecohkan kerana menghormati roh arwah yang sedang di alam barzakh agar damai dan tenteram. Apatah lagi jika anda tidak tinggal serumah atau berdekatan dengan mentua. Jangan sampai kerana peninggalan yang sedikit ini akan meretakkan hubungan anda dengan nenek kepada anak anda.

Jika difikirkan secara sihat, anda sedang memiliki peninggalan arwah yang paling mahal dan paling penting iaitu waris keturunannya yang akan menjadi pelindung, penawar dan talian hayat anda ke syurga nanti iaitu anaknya. Inilah hadiah teragung daripada seorang suami. Pada pandangan Umi, jagalah harta termahal ini. Dengan penuh kasih sayang dan usaha yang gigih dan keyakinan yang tinggi bahawa setiap anak yang lahir itu ada rezekinya, maka berusahalah untuk berdikari mencari rezeki dari Allah untuk hidup bersama anak anda, pasti anda akan berasa puas dengan peninggalan suami anda yang satu-satunya ini. Yakinlah, ada masa depan cerah untuk anda dan anak yang disediakan Allah. Biarlah apa yang dilakukan oleh ibu mentua anda itu sebagai pengajaran untuk anda tidak melakukannya kepada orang lain nanti.

Tidak ada harga yang kekal dan mencukupi selamanya, pasti akan habis jua. Lagipun, harta pusaka jika disalah gunakan akan menimbulkan kesan negatif pada pemiliknya. Serahkan rezeki anda dan anak kepada Allah dengan keyakinan bahawa telah ditakdirkan Allah tidak akan ada orang lain yang akan mengambil rezeki yang telah ditetapkan untuk kita.

Jika ini anda yakini anda tidak akan tamak kepada peninggalan arwah suami atau mana-mana harta yang menggoda kita. Laluilah dengan tenang agar anak anda menikmati kasih sayang anda sepenuhnya, kerana dia sudah kehilangan satu kasih sayang yang sangat mahal. Umi juga ingin berpesan anda sedang memelihara anak hebat, iaitu anak yatim. Siapa yang memakan harta anak yatim akan sulit hidupnya, malah haram hukumnya jika diperlakukan secara tidak adil.

Oleh itu rawatlah emosi anda dengan baik kerana kehilangan orang tercinta membuat anda mengalami goncangan yang kuat di jiwa. Allah berpesan, ....jangan berduka terhadap apa yang luput daripada kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepada mu (QS Al: Hadid:23) dan dipesan Rasulullah SAW “Sesungguhnya kesabaran itu ada pada hentakan pertama.”

Dari pesanan ini jelas sesiapa yang mampu menguasai perasaan dalam setiap peristiwa, baik yang memilukan dan juga yang menggembirakan, maka dialah orang yang benar-benar memiliki kekukuhan iman dan keteguhan keyakinan. Maka laluilah hidup anda seadanya sebagai hamba Allah.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 20/3/2009

Monday, March 9, 2009

Persediaan hadapi krisis

Oleh : NOOR FAZRINA KAMAL

BIASANYA kewangan sesebuah keluarga ditadbir oleh si isteri. Dia akan memastikan bahawa semua perbelanjaan wajib dibayar sebaik sahaja suami menerima gaji pada setiap bulan.

Walaupun kebanyakan isteri kini bekerja, perbelanjaan wajib seperti ansuran rumah dan kereta biasanya masih ditanggung oleh suami, menepati peranannya sebagai ketua keluarga.

Perbelanjaan lain mungkin akan dibiayai isteri, sebab itulah tujuannya mereka diberi izin bekerja demi meringankan beban suami.

Sebenarnya, walau sedikit manapun sumbangan wanita terhadap ekonomi keluarga, apabila berlakunya pergolakan ekonomi dunia sebagai mana berlaku sekarang, wanita turut menerima kesan daripadanya.

Justeru, mereka juga perlu cepat bertindak sebelum masalah tersebut meruncing dan seterusnya mendatangkan kesan kepada ekonomi keluarga.

Mungkin ramai di kalangan kita berpendapat kehidupan mereka ketika ini masih berjalan seperti biasa dan mampu memenuhi perbelanjaan seperti membeli pakaian apabila berlangsung jualan mega, menikmati makanan di restoran dan berhibur tanpa memikirkan soal keperluan wang simpanan.

Situasi ini turut dipersetujui oleh Perunding Kewangan Islam Hijrah Wealth Management Sdn. Bhd., Nadiah Mat Soonan, yang berpendapat kebanyakan rakyat di negara ini masih belum merasai kesan pergolakan ekonomi kerana ia masih di peringkat permulaan.

Malah, fakta yang diperoleh daripada Mastercard mendapati bahawa dari 5 Julai 1 September 2008, pemegang kad kredit di Malaysia tela berbelanja sebanyak RM3.96 bilion apabila tiba musim jualan karnival mega.

"Lihatlah betapa mewahnya rakyat negara ini berbelanja. Bahkan, akhbar baru-baru ini melaporkan pemegang kad debit telah meningkat sebanyak 13 peratus sebulan.

"Seramai 52,444 rakyat Malaysia juga telah mendapatkan khidmat nasihat dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan dari jumlah itu seramai 21,160 telah menyertai penstrukturan semula hutang," jelas beliau dalam sesi pembentangan kertas kerjanya pada Wacana Wanita Dan Krisis Ekonomi Global: Cabaran, Harapan dan Saranan, baru-baru ini.

Wacana yang dianjurkan oleh Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) ini diadakan di Pusat Khidmat Rakyat, Parlimen Gombak, Pusat Bandar Melawati.

Nadiah menambah, kaji selidik oleh Citi's Financial Quotient (Fin-Q) 2008 turut mendapati hanya dua daripada lima orang yang menabung, manakala kurang satu daripada tiga orang yang menyedia dan mengikut bajet bulanan mereka.

"Daripada kaji selidik tersebut juga mendapati 12 peratus daripada responden tidak menabung, manakala satu daripada lima orang yang menabung pula mendakwa tabungan mereka akan bertahan selama empat minggu sahaja sekiranya mereka diberhentikan kerja," jelas Nadiah.

Menerusi fakta ekonomi yang dikaji oleh Nadiah juga mendapati di antara Oktober 2008 hingga Januari 2009, seramai 10,277 telah diberhentikan kerja.

"Daripada jumlah tersebut hanya 4,207 mendapat skim pemberhentian sukarela (VSS). Pemberhentian kerja ini banyak melibatkan kilang-kilang yang mana majoriti pekerjanya wanita," tambah beliau.

Menurut Nadiah, apa yang ingin ditekankan dalam situasi gawat ini ialah tindakan yang harus diambil sekiranya ada wanita yang diberhentikan kerja.

"Pertama sekali tunaikan zakat ke atas wang gratuiti yang diterima. Anda harus bersyukur kerana mendapat imbuhan tersebut.

"Simpan wang yang diterima untuk tabung kecemasan untuk tempoh sekurang-kurang saraan pada enam hingga lapan bulan akan datang," kata beliau.

Nadiah juga ingin mengingatkan wanita yang diberhentikan yang mempunyai komitmen pinjaman dengan bank untuk segera memaklumkan kepada pihak bank tentang keadaan kewangan mereka.

Perbincangan dengan pihak bank amat perlu untuk diberi kelonggaran supaya tidak disenarai hitam sekiranya ansuran bulanan gagal dibuat.

Wanita juga harus bertindak cepat dan jangan abaikan peluang agensi kerajaan yang menawarkan pembiayaan perniagaan.

"Perkara yang paling perlu diubah ialah cara hidup. Sebagai contoh, bagi yang kerap makan di restoran, haruslah diubah dengan memasak yang ternyata lebih jimat dan boleh dimakan semua ahli keluarga.

"Wanita juga harus berikhtiar mencari sumber pendapatan yang lain dan tawakal kepada Allah," katanya yang juga penasihat kewangan peribadi.

Nadiah mencadangkan antara langkah yang boleh diambil wanita sebelum terjerumus dalam krisis ekonomi ialah mengenalpasti kedudukan kewangan sekarang.

"Sediakan senarai hutang dan harta, catat dan kemaskini semua perbelanjaan bulanan dan pastikan perbelanjaan apa yang boleh dikurangkan.

"Kita mesti menyimpan dulu wang sebelum berbelanja, pastikan tabungan sekitar enam hingga lapan bulan kos saraan hidup. Belanja apa yang perlu bukannya apa yang kita mahu.

"Selain itu, tetapkan matlamat untuk mengurangkan hutang dan jangan menambah hutang untuk tahun 2009," jelas Nadiah.

Nadiah berkata, wanita juga harus memulakan pelan perbelanjaan dengan memfokuskan apa yang diperlukan bukannya apa yang dimahukan.

Kemudian wujudkan tabungan dan adakan polisi takaful untuk melindungi ketua keluarga sekiranya musibah berlaku.

"Saya ingin berkongsi tentang kisah pasangan suami isteri yang mengamalkan sistem sampul untuk mengagihkan pendapatan untuk pembayaran. Semua sampul ditandakan dengan perkara yang ingin dibayar dan perlaksanaannya dilakukan dengan jayanya. Saya rasa ia pengurusan kewangan yang efektif," ujar Nadiah.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 9/3/2009

Saturday, March 7, 2009

Manfaat tubuh Lembaga Baitulmal dan Zakat

LANJUTAN daripada cadangan yang saya nyatakan dalam rencana minggu lepas berkenaan penubuhan Lembaga Baitulmal dan Zakat elok rasanya saya terangkan sedikit sebanyak tentang cadangan ini.

Kita sedia maklum baitulmal dan zakat diadakan untuk membantu umat Islam. Baitulmal diberikan tanggungjawab untuk mengurus harta yang telah dibahagi-bahagikan mengikut hukum faraid.

Zakat pula merupakan "cukai" yang perlu dibayar oleh orang Islam. Kalau kita perhatikan tidak banyak maklumat yang tersebar tentang baitulmal dan zakat kecuali di Wilayah Persekutuan dan Selangor maklumat tentang zakat disebar meluas.

Baitulmal selaku wakil jabatan agama negeri mendapat bahagian mereka dalam pembahagian harta mengikut hukum faraid dalam kes yang mana pewaris sebenar tidak ada atau mereka yang menerima bukannya mengikut pewaris yang sepatutnya menerima.

Misalnya seseorang yang meninggal dunia dan meninggalkan harta tidak mempunyai anak dan menamakan orang lain, maka saudaranya sebagai pewaris.

Mereka hanya boleh mendapat satu pertiga sahaja daripada harta tersebut. Suami atau isteri akan dapat satu pertiga dan baitulmal akan dapat satu pertiga.

Bahagian baitulmal ini kalau kita andaikan di setiap negeri bernilai RM200 juta, maka untuk 14 negeri jumlahnya bernilai RM2.8 bilion.

Ini adalah nilai harta yang besar boleh digembleng untuk memberikan manfaat kepada umat Islam terutama sekali mereka yang dalam golongan miskin tegar.

Apa yang perlu dilakukan ialah kerajaan-kerajaan negeri memberikan kebenaran (bukan kebenaran mutlak) untuk ditubuhkan suatu lembaga pengurus sama seperti Tabung Haji untuk mengurus harta yang diperolehi oleh baitulmal.

Pada waktu yang sama kutipan zakat juga boleh dilakukan dalam lembaga yang sama supaya tidak ada sesiapa yang masih lagi tidak jelas tentang tanggungjawab mereka untuk membayar zakat.

Meluaskan tempat kutipan dan menyerapkan seberapa banyak maklumat tentang tanggungjawab membayar zakat boleh dilakukan melalui lembaga yang dicadangkan ini.

Ramai anak muda yang bekerja tidak faham tentang haul dan nisab dan juga tentang perkakas yang dibeli dan disimpan dan tidak digunakan langsung yang wajib dikeluarkan zakat.

Lembaga yang dicadangkan ini perlu membuat pindaan kepada Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan baitulmal di bawah kuasa negeri. Perkara ini boleh dibawakan kepada Majlis Raja-Raja untuk dibincang dan dipertimbangkan.

Saya melihat banyak faedah yang boleh diperolehi daripada penubuhan dan penggabungan kedua-kedua institusi Islam ini.

Dengan nilai harta RM2.8 bilion, lembaga ini boleh membabitkan diri dalam pelbagai bidang ekonomi termasuk bidang rantaian bekalan dan penghasilan makanan halal.

Selain daripada itu badan ini juga boleh menubuhkan pasar raya yang boleh menjual barang-barang hasil pengeluaran masyarakat kita yang sukar untuk mendapatkan ruang jualan di pasar raya-pasar raya besar yang ada sekarang.

Kita lihat sahaja yang mampu mengeluarkan barang-barang berasaskan herba berpuluh kalau tidak pun beratus.

Badan ini juga boleh menceburi bidang kewangan seperti bank Islam, takaful dan pembrokeran pelbagai jenis. Bidang hartanah juga wajar disertai dan mungkin turut serta dalam operasi minyak dan gas, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan nanoteknologi.

Sebahagian besar daripada pelaburan boleh dibuat dalam bidang penyelidikan yang mana kita begitu jauh ke belakang. Mungkin caranya diberikan geran kepada beberapa universiti untuk melakukan penyelidikan dalam pelbagai bidang seperti hutan tropika kita yang mempunyai penyelesaian kepada pelbagai penyakit.

Untuk menjaga kepentingan negeri-negeri dengan sumbangan baitulmal masing-masing sebuah akta lembaga ini perlu diwujudkan.

Apa jua nilai harta baitulmal negeri-negeri ini bukannya diserahkan kepada lembaga ini tetapi dianggap seperti dipinjamkan supaya dapat dilaburkan dengan memberikan manfaat kepada umat Islam.

Setiap negeri akan diberikan bahagian keuntungan mengikut nisbah sumbangan masing-masing. Misalnya kalau untung RM1 bilion dan setengah daripadanya akan dibahagi-bahagikan.

Negeri yang menyumbang RM200 juta daripada jumlah keseluruhan RM2.8 bilion akan dapat satu per empat belas daripada RM500 juta keuntungan.

Tujuan utama cadangan ini adalah untuk membantu umat Islam yang tidak mampu menyara hidup mereka, membantu sekolah anak-anak golongan yang tidak mampu membiayainya sehingga ke peringkat universiti supaya tidak seorang umat Islam di negara ini yang terpinggir.

Untuk ini suatu pangkalan maklumat mengandungi mereka yang termasuk dalam golongan ini dibangunkan dan dikemaskinikan dari semasa ke semasa.

Konsep utama pertubuhan ini ialah pegawai-pegawainya mesti turun padang dan bukan duduk di pejabat sahaja.

*Dato' Salleh Majid ialah Felo Utama Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 7/3/2009

Friday, March 6, 2009

Anak wajib qada zakat ibu bapa

SOALAN:

Apakah yang wajar dilakukan oleh anak-anak apabila mengetahui bapanya yang baru meninggal dunia namun tidak pernah mengeluarkan zakat harta walaupun sekali sepanjang hayatnya?

JAWAPAN:

Alhamdulillah, mujurlah si mati mempunyai anak-anak yang ada kesedaran untuk berzakat. Ini kerana, orang yang sengaja enggan menunaikan zakat sepanjang hayatnya sedangkan dia sudah mencukupi segala syaratnya, maka dia dianggap berhutang dengan Allah SWT bahkan berdosa besar, wal ‘iyazubillah.

Untuk itu, anak-anak atau waris si mati wajib mengqadakan zakat harta tersebut. Bahkan menurut kitab Mastika Hadith Jilid 3: “Orang mati yang masih belum membayar zakat, maka zakat itu wajib dikeluarkan daripada hartanya sebelum membayar hutangnya sesama manusia dan sebelum melaksanakan wasiatnya dan bahagian waris-warisnya”.

Hal ini sejajar dengan apa yang diterangkan oleh sebuah hadis Nabi Muhammad SAW: Dari Ibn Abbas r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda: (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang kepada Allah lebih berhak diselesaikan. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, silalah berkunjung ke mana-mana kaunter zakat bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai qada zakat ini. Wallahua’lam.


*Untuk maklumat lanjut sila layari www.e-zakat.com.my atau e-mel kepada hamizul@e-zakat.com.my

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 6/3/2009

Wednesday, March 4, 2009

Perbadanan Kampung Baru diwujud

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mewujudkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru bagi memajukan penempatan orang Melayu itu yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique berkata, butir-butir lengkap mengenai perbadanan itu akan didedahkan kepada umum setelah Pelan Pembangunan Kampung Baru yang terkandung dalam Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020 diwartakan.

"Perbadanan ini akan diletakkan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan maklumat lengkap akan didedahkan setelah pelan berkenaan dipersetujui semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi peringkat kementeriannya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Zulhasnan, kerajaan juga telah menubuhkan Unit Khas Pembangunan Kampung Baru yang dianggotai pegawai DBKL, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kementerian itu.

Katanya, tujuan utama penubuhan unit itu ialah untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan pemilikan tanah di Kampung Baru.

''Antara masalah lain yang akan diatasi ialah pertukaran nama pada geran, masalah pindah milik dan waris meninggal dunia," katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM100 juta sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi membangunkan tapak pasar minggu di Kampung Baru.

"Peruntukan ini juga akan digunakan bagi meningkatkan rangkaian jalan raya yang menghubungkan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Razak," jelasnya.

Dalam pada itu, menjawab celahan Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali (Pas-Titiwangsa) ketika penggulungan itu, beliau berkata, tiada sebarang rancangan untuk melantik Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) sebagai pemaju bagi membangunkan Kampung Baru.

Tarikh : 4/3/2009

Kaedah melupus wang syubhah

Oleh : Murid Fadzli Musa

Dewasa ini, umat Islam di negara kita dan juga di serata dunia berhadapan dengan satu masalah yang amat sukar untuk dielakkan, iaitu keterlibatan (sama ada secara langsung ataupun tidak) dengan wang atau harta yang diperoleh melalui sumber yang syubhah atau haram.

Perkara ini antaranya berpunca daripada berleluasanya transaksi-transaksi yang tidak patuhi syariah dalam kebanyakan institusi-institusi kewangan konvensional pada hari ini.

Didapati bahawa sebahagian daripada masyarakat Islam pada hari ini menemui kebuntuan dalam mencari penyelesaian kepada saki baki wang syubhah yang dimiliki dalam simpanan mereka. Contohnya seperti wang faedah hasil daripada simpanan dalam bank-bank yang berasaskan riba.

Ada di kalangan masyarakat Islam yang mengambil mudah dalam hal ini dengan menggunakannya tanpa rasa bersalah. Tidak kurang juga ada yang membiarkannya begitu sahaja atas anggapan ia tidak boleh dimanfaatkan secara mutlak. Mana satukah cara yang benar?

Pengenalan

Perkataan syubhah itu sendiri berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bererti samar iaitu tidak jelas. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Halal dan Haram dalam Islam mendefinisikan perkara syubhah ini sebagai suatu perenggan di tengah-tengah halal terang dan haram yang jelas yang masih samar-samar dan mengelirukan manusia, yakni masih samar-samar sama ada ia halal ataupun haram.

Beliau menjelaskan cara yang paling afdal ialah dengan meninggalkan perkara-perkara yang syubhah ini bagi mengelakkan diri daripada terjerumus kepada perkara-perkara yang memang nyata haramnya. Ini termasuk dalam kaedah saddul-zara'i iaitu menutup pintu-pintu kerosakan.

Dalam perkara ini, Rasulullah SAW. telah bersabda yang bermaksud: Yang halal itu sudah jelas, dan yang haram pun sudah jelas. Dan di antara kedua-duanya itu ada beberapa perkara yang masih samar-samar (syubhah). (riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Tirmizi)

Kaedah pelupusan wang syubhah dalam Islam

Terdapat khilaf di kalangan ulama berkenaan kaedah pelupusan wang syubhah atau haram mengikut syarak. Sesetengah ulama salaf yang berpendapat ia tidak boleh disucikan dan hendaklah dimusnahkan atau dibinasakan begitu sahaja.

Ada ulama yang berpandangan bahawa ia boleh dimanfaatkan bagi tujuan maslahat umum termasuk diberikan kepada golongan fakir dan miskin. Ada pula yang berpandangan hanya untuk maslahat umum seperti membuat jambatan dan tandas awam sahaja tetapi tidak wajar diberikan kepada fakir miskin kerana ia berasal dari sumber yang haram dan tidak baik.

Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya Fatawa Mu'asirah menjelaskan bahawa wang-wang faedah ini selain ia haram untuk dimanfaatkan oleh umat Islam, ia juga haram untuk ditinggalkan begitu sahaja di bank-bank konvensional.

Perbuatan tersebut akan memperkuatkan lagi bank-bank tersebut dan sama seperti menolong bank-bank konvensional yang akan turut menggunakan wang-wang faedah yang ditinggalkan itu untuk tujuan-tujuan yang bertentangan dengan syarak.

Tindakan ini tergolong dalam membantu perkara-perkara maksiat, sedangkan membantu dalam perkara yang haram hukumnya adalah haram! Dalam hal ini, Allah SWT berfirman, mafhumnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. (al-Ma'idah: 2)

Dr. Yusuf berpandangan, apa yang disyariatkan adalah supaya wang-wang faedah tersebut begitu juga dengan harta-harta lain dari sumber yang haram dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan. Ini seperti membantu golongan fakir dan miskin, anak-anak yatim, musafir, jihad di jalan Allah, membantu perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat-pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya daripada perkara-perkara yang bersifat kebajikan.

Dalam hal ini juga, Keputusan Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-3, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bertarikh 21 Januari 1971 menetapkan: "Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan yang dibuat oleh institusi Islam atau perniagaan atau badan kebajikan yang dianggotai oleh orang-orang Islam dalam mana-mana bank harus diterima oleh badan-badan itu atas alasan kecemasan ekonomi orang-orang Islam pada masa ini" dan "faedah yang diperolehi daripada wang simpanan seseorang muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan muslihat umum".

Wang bercampur aduk antara halal dan haram

Timbul satu persoalan di sini, iaitu apabila wang yang halal dan wang yang haram bercampur aduk dan tidak dapat dibezakan, contohnya wang simpanan yang halal di dalam bank bercampur dengan wang faedah yang haram dalam akaun yang sama, bagaimana ia hendak dijernihkan?

Dalam kaedah fiqh, terdapat satu kaedah yang berkaitan iaitu: "Apabila berkumpul perkara yang halal dengan yang haram, maka dimenangkan (dikira) yang haram".

Menurut kaedah ini, apabila perkara yang halal dan haram bercampur aduk dalam sesuatu perkara itu, maka ia dianggap sebagai haram. Ini adalah pandangan yang lebih utama berdasarkan justifikasi bahawa meninggalkan perkara yang harus bagi tujuan menjauhi perkara yang haram adalah lebih baik daripada sebaliknya.

Dalam hal ini, iaitu apabila berlaku campur aduk antara perkara yang halal dengan yang haram dan tidak dapat dibezakan, maka penyelesaiannya adalah dengan mengasingkan nilai atau kadar sebenar yang halal dengan yang haram dengan niat dibahagikan antara kedua-duanya.

Apa yang jelas halal boleh digunakan manakala yang haram itu hendaklah dilupuskan seperti dengan menyedekahkannya kepada fakir miskin atau menyerahkan kepada pihak Baitulmal bagi tujuan maslahat ummah.

Dengan cara ini, perkara yang halal dapat diasingkan daripada perkara yang haram dan masih dapat dimanfaatkan walaupun telah berlaku campur aduk antara kedua-duanya.

Kesimpulan

Sehubungan itu, menjadi tanggung jawab setiap umat Islam untuk menjauhkan diri dari perkara-perkara syubhah demi menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang haram.

Dengan tumbuhnya pelbagai institusi kewangan Islam pada hari ini seperti bank-bank Islam, syarikat-syarikat pajak gadai Islam (al-rahnu), syarikat-syarikat insurans Islam (takaful) dan sebagainya, maka menjadi kewajipan umat Islam untuk menggunakan sistem kewangan Islam yang ada ini sewajarnya.

Namun demikian, sekiranya keterlibatan dengan wang syubhah atau haram ini tidak dapat dielakkan, maka hasil-hasil daripada aktiviti syubhah atau haram tersebut hendaklah dilupuskan sewajarnya berlandaskan syarak.

Penyerahan kepada Baitulmal merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan meyakinkan serta dapat menyumbang kepada kemaslahatan sosio-ekonomi umat Islam.

*MURID FADZLI MUSA ialah Penolong Pengarah Bahagian Mal, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar).

Tarikh : 4/3/2009