Monday, August 16, 2010

Tabung Amanah P. Ramlee ditubuhkan

Oleh : SHAZRYN MOHD. FAIZAL

KALAU hendak diperkatakan tentang seniman terbilang ini, memang sehingga ke hari ini pun kita tidak akan henti membicarakan mengenainya.

Senandungnya masih lagi memiliki sakti yang membuat kita larut dalam emosinya.

Lakonannya pula cukup mengusik jiwa tatkala dia membawakan watak-watak sedih. Namun, kita pasti akan ketawa berdekah-dekah menonton telatah lucunya dalam filem-filem komedi popularnya.

Itulah penangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang masih lagi unggul di mata kita semua walaupun hampir 40 tahun meninggal dunia.

Barangkali akan ada juga yang bertanya apakah lagi yang mahu dilakukan bagi terus mengenang jasanya yang tidak ternilai itu.

Mungkin bukan untuk empunya diri tetapi waris-warisnya yang ada sekarang ini dan juga generasi akan datang.

Atas kesedaran itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama Amanah Raya Berhad (ARB) telah menubuhkan sebuah tabung khas iaitu Tabung Amanah Tan Sri P. Ramlee.

Penubuhan tabung ini bertujuan membantu waris seniman agung ini seandainya mereka memerlukan bantuan di hari muka.

Bukan itu sahaja, ia juga ditubuhkan bagi mengenang jasa P. Ramlee yang sudah dianggap sebagai khazanah negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa ini kementerian dan ARB sedang menghalusi syarat dan terma yang sesuai untuk tabung itu.

"Apa yang boleh saya katakan di sini, dana yang akan mengisi tabung ini nanti adalah hasil royalti karya-karya Allahyarham P. Ramlee.

"Selain itu, sekiranya ada pihak yang menjalankan perniagaan berasaskan keuntungan tentang P. Ramlee, sebahagian daripadanya juga akan disalurkan ke dalam tabung ini.

"Setidak-tidaknya, waris-warisnya nanti tidak hanya bergantung kepada hasil royalti sahaja.

"Perbincangan lanjut antara pihak kementerian, ARB dan waris P. Ramlee akan diadakan tidak lama lagi bagi melancarkan lagi sistem tabung amanah ini," kata beliau sambil memberitahu ARB akan menjadi pemegang amanah tabung itu nanti.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan cek royalti Badan Pelindung Hak Cipta Karyawan Malaysia (MACP) bagi karya ciptaan P. Ramlee yang berlangsung di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi MACP yang juga penulis lirik terkenal, Habsah Hassan.

Pada majlis itu, tujuh cucu P. Ramlee iaitu Gurlina, Gurnawan, Gurnarisasca, Natasya, Najua, Zakaria Nasir dan Zaidee Nasir hadir untuk menerima cek masing-masing. Kesemua mereka merupakan anak-anak Allahyarham Nasir P. Ramlee hasil daripada tiga perkahwinannya.

Nasir meninggal dunia pada 17 Disember 2008 pada usia 55 tahun akibat komplikasi jantung dan kencing manis.

Balu Nasir, Surijaningsih Bakar atau lebih dikenali dengan panggilan Suria, 41, juga menerima royalti berjumlah lebih daripada RM160,000 yang dikutip oleh MACP sepanjang tahun 2008 dan 2009 yang dibahagikan mengikut hukum faraid.

Inisiatif KPDNKK dan ARB untuk mewujudkan tabung amanah tersebut wajar dipuji dan sepatutnya memang sudah lama ia direalisasikan.

Mengulas lanjut jumlah royalti yang diterima waris-warisnya pada majlis tersebut, Ismail Sabri menjelaskan, ia hanyalah daripada ciptaan karya-karyanya sebagai komposer dan penulis lirik.

"Mengenai royalti filem dan penayangan semula filem-filemnya yang hangat, kami masih lagi sedang mengkaji untuk melihat apa yang boleh dilakukan tentangnya.

"Sudah pasti kami akan berbincang dengan pihak Astro Shaw selaku pemegang hak eksklusif filem-filemnya untuk mencari jalan penyelesaian berhubung isu royalti," katanya yang tidak menolak menubuhkan tabung amanah untuk artis lain yang sudah meninggal dunia selepas ini.

Tambah Ismail Sabri, pihaknya juga akan melakukan perbincangan dengan beberapa pihak untuk menjadikan karya-karya P. Ramlee sebagai khazanah negara.

Sementara itu, Habsah berkata pemberian royalti itu telah dibahagikan secara adil seperti mana yang tercatat dalam wasiat Nasir.

Sememangnya sepanjang hayat beliau juga, tiada masalah yang pernah ditimbulkan berhubung itu pembayaran royalti kepada waris.

Ini kerana kata Habsah, semuanya dilakukan mengikut hukum syarak.

"Cuma untuk pengagihan royalti kepada seorang lagi anak P. Ramlee iaitu Sazali dilakukan dengan persetujuan yang telah dilakukan oleh Nasir sebelum ini," ujarnya lagi.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 16/8/2010

0 komen:

Post a Comment