Wednesday, August 25, 2010

Syed Gamal tidak boleh campur urusan SKH

KUALA LUMPUR - Sungguhpun anak lelaki tunggal Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary telah dibenarkan mentadbir secara bersama harta peninggalan arwah bapanya berjumlah RM400 juta, namun dia tidak boleh mencampuri hal ehwal urusan syarikat Syed Kechik Holdings Sdn. Bhd. (SKH).

Perintah itu yang dikeluarkan hari ini oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Anantham Kasinather di kamar beliau di sini dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam Pawancheek Marican mewakili Syed Gamal Syed Kechik.

Hakim tersebut turut membenarkan perintah injunksi bagi menghalang Syed Gamal, 46, yang kini mengendalikan sebuah kafe siber, daripada mengganggu pengarah-pengarah SKH.

Permohonan injunksi itu terkandung dalam saman pemula dikemukakan oleh SKH dan dua pengarahnya iaitu adik tiri perempuan Syed Gamal, Puan Sri Sharifah Zarah, 42, dan Sharifah Munira, 44, masing-masing plaintif pertama hingga ketiga.

Saman pemula itu difailkan pada 9 November 2009 bagi memohon perisytiharan agar Syed Gamal tidak mempunyai hak atau kepentingan dalam aset syarikat itu sehingga pentadbiran dan pembahagian harta itu selesai.

Pada prosiding hari ini, Hakim Anantham turut membenarkan permohonan Syed Gamal menarik balik tindakannya untuk menggabungkan kes saman pemula dengan writ saman bersama petisyen bagi mendapatkan surat kuasa mentadbir harta.

Syed Gamal sebelum ini memohon supaya kesemua kes tersebut digabungkan bagi menjimatkan masa dan kos kerana ia membabitkan fakta serta isu undang-undang yang sama.

Mahkamah membenarkan permohonan saman pemula pihak plaintif untuk mendapatkan deklarasi dan injunksi tersebut dengan kos RM10,000 dibayar oleh Syed Gamal kepada mereka.

Pada 30 Julai lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng membenarkan Syed Gamal untuk mentadbir harta tersebut bersama ibu tirinya, Puan Sri Sofiah Moo Abdullah dan dua adik tirinya itu.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 25/8/2010

0 komen:

Post a Comment