Sunday, August 15, 2010

Karya P.Ramlee bukan milik kita

BAYANG Sazali langsung tidak kelihatan. Mana Sazali? Dia tidak layak ke untuk menerima sebahagian daripada royalti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee?

Bual bicara ini yang banyak kedengaran dalam acara penyampaian royalti MACP kepada keluarga Allahyarhamdi Kuala Lumpur sehari sebelum kita berpuasa baru-baru ini.

Saya sempat meluangkan masa bersama-sama teman media yang lain ketika majlis anjuran MyIpo itu berlangsung dan turut larut dalam persoalan yang sama, kenapa nama Sazali tidak disebut sebagai salah seorang daripada penerima?

Apakah hanya anak-anak kepada Allahyarham Nasir P. Ramlee dan juga balu beliau yang layak menerima pengagihan royalti atas penyiaran lagu Allahyarham sepanjang tahun lalu yang mencecah RM160,000 itu?

"Jangan ditimbulkan lagi soal itu. Bahagian untuk Sazali memang ada, cuma dia tidak dapat hadir hari ini.

"Sebelum meninggal, Allahyarham Nasir sudah menyediakan wasiat untuk pengagihan kepada Sazali yang turut tercatat sebagai penerima," demikian kata peguam keluarga Allahyarham, seterusnya melenyapkan segala spekulasi yang bertebaran di majlis berkenaan.

Syukurlah, atas belas ihsan Allahyarham Nasir, pengagihan royalti untuk Sazali tetap ada walaupun umum mengetahui beliau tidak tercatat sebagai anak kandung P. Ramlee.

Meskipun ada pelbagai versi yang mendakwa Sazali adalah anak P. Ramlee secara biologi, sehingga kini segalanya masih samar dan kurang jelas.

Pada majlis itu, media menjadi lebih teruja apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbarnya memberitahu, bahawa pihaknya sedang mengkaji kemungkinan untuk mengembalikan semula hakcipta segala jenis karya seni seniman agung itu.

Karya P. Ramlee baik lagu atau filem sedang diusahakan untuk dijadikan khazanah negara dan kerajaan Malaysia berhak atas segala apa yang bakal dilakukan terhadap karya berkenaan. Itu pun jika usaha berkenaan berjaya dilaksanakan dan semua pihak memberi kerjasama mereka.

"Kita cuba lihat kalau ada sebarang kemungkinan untuk hakcipta semua karya Allahyarham menjadi milik kerajaan.

"Saya akan berbincang secara lebih terperinci dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim untuk tujuan itu kalau ada kemungkinan untuk karya P. Ramlee dikembalikan sebagai khazanah hak milik negara sampai bila-bila," katanya.

Bagi saya, kalau sekiranya kita terpaksa membayar berjuta-juta ringgit sekalipun untuk membeli semula karya berkenaan, ia tetap berbaloi.

Kita gembira, kita ketawa dan sesekali menangis dengan keletah beliau di ruang tamu rumah kita. Tetapi dalam masa yang sama, kita lupa bahawa secara mutlaknya, karya itu bukan lagi milik kita.

Lahir di Malaysia, berkarya di bumi bertuah ini tetapi karya genius Allahyarham sebenarnya milik orang lain.

Ketika ini ia menjadi milik mutlak Shaw Brothers untuk karya filem sementara karya lagu-lagu rakaman pula banyak dimiliki oleh syarikat rakaman EMI.

Khabarnya legasi Shaw Brothers yang ketika ini memegang hakcipta karya filem seniman agung berkenaan hidup kaya raya hasil kreativiti P. Ramlee.

Saya dapat agak, cucu cicit P. Ramlee menerima hasil yang jauh lebih 'ciput' dibandingkan dengan nikmat yang diperoleh legasi Shaw hari ini. Sedangkan kita tidak pernah peduli apakah memang benar ada perjanjian hitam di atas putih untuk urusan pemilikan karya berkenaan selama ini? Diharap apa yang disasarkan akan menjadi kenyataan. Sama ada sudah terlambat atau sebaliknya, bukan persoalan. Selamat berpuasa, semoga Ramadan ini membawa barakah untuk kita bersama. Amin!

Sumber : Utusan Malaysia
ARKIB : 15/8/2010

0 komen:

Post a Comment