Wednesday, July 7, 2010

Syed Gamal tarik balik permohonan terhadap dua adik tiri

KUALA LUMPUR - Anak lelaki tunggal Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary hari ini menarik balik permohonannya untuk mengetepikan saman pemula dua adik perempuan tirinya itu dan syarikat Syed Kechik Holdings (SKH) Sdn. Bhd. berhubung tuntutan harta pusaka peninggalan tokoh korporat itu yang bernilai RM400 juta.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk N. Vijaykumar yang mewakili Puan Sri Sharifah Zarah, 42, dan Sharifah Munira, 44, masing-masing selaku plaintif kedua dan ketiga selepas SKH.

Menurut Vijaykumar, Syed Gamal Syed Kechik memaklumkan tindakannya itu melalui surat yang dihantar kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin lalu.

“Pesuruhjaya Kehakiman Anantham Kasinather memerintahkan supaya Syed Gamal membayar kos guaman sebanyak RM6,500 kepada plaintif dalam masa 14 hari,” kata Vijaykumar.

Menurut beliau, kerana Syed Gamal telah menarik balik permohonan tersebut, Anantham menetapkan 13 Ogos ini untuk mendengar perbicaraan saman pemula yang dikemukakan oleh plaintif,” jelas Vijaykumar ketika ditanya mengenai prosiding yang didengar dalam kamar itu.

Saman pemula tersebut dikemukakan pihak plaintif di Mahkamah Tinggi Sivil ekoran keputusan Mahkamah Rayuan Syariah di sini pada 11 November tahun lalu yang mengekalkan perintah injunksi bagi melarang harta pusaka yang diwarisi Syed Gamal daripada dijual atau dicairkan.

Mahkamah Rayuan Syariah itu memutuskan demikian selepas menolak permohonan dua anak perempuan hasil perkahwinan Syed Kechik dengan Puan Seri Sofiah Moo Abdullah, untuk mengetepikan perintah injunksi tersebut.

Syed Gamal yang juga ahli perniagaan sebelum ini memperoleh perintah injunksi ex-parte (sebelah pihak) pada 14 September 2009 di Mahkamah Tinggi Syariah bagi menghalang penjualan atau mencairkan 44 peratus saham miliknya dalam syarikat Syed Kechik Holdings dan harta-harta syarikat yang lain.

Pada 9 November tahun lalu, pihak plaintif mengemukakan saman untuk memohon perisytiharan bahawa Syed Gamal tidak mempunyai sebarang hak atau kepentingan dalam syarikat itu sehingga selesai pentadbiran serta pembahagian harta pusaka apa mereka.

Syed Gamal merupakan anak lelaki sulung Syed Kechik menerusi perkahwinan pertama Allahyarham dengan bekas isterinya, Zainab @ Eshah Abdullah.

Sharifah Zarah dan Sharifah Munira pula ialah anak dengan seorang lagi isterinya, Puan Sri Sofiah Moo Abdullah.

Syed Kechik menceraikan Zainab ketika Syed Gamal berumur lima tahun. - Utusan

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 7/7/2010

0 komen:

Post a Comment