Tuesday, June 29, 2010

Syed Gamal, dua adik tiri gagal capai persetujuan selesai kes harta

KUALA LUMPUR - Anak lelaki tunggal Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary dan dua adik perempuan tirinya hari ini gagal mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes tuntutan harta pusaka peninggalan tokoh korporat itu yang bernilai RM400 juta.

Perkara itu dimaklumkan di Mahkamah Tinggi di sini oleh peguam Atan Mustaffa Yussof Ahmad yang mewakili Syed Gamal, 45, dan peguam Datuk N. Vijay Kumar bagi pihak Puan Sri Sharifah Zarah, 42, dan Sharifah Munira, 44, masing-masing selaku plaintif kedua dan ketiga.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Anantham Kasinather menetapkan 7 Julai ini untuk mendengar permohonan Syed Gamal selaku defendan untuk mengetepikan saman pemula dua adik perempuannya itu dan syarikat Syed Kechik Holdings Sdn. Bhd. selaku plaintif pertama terhadapnya.

Saman pemula itu dikemukakan pihak plaintif di Mahkamah Tinggi Sivil ekoran keputusan Mahkamah Rayuan Syariah di sini pada 11 November tahun lalu yang mengekalkan perintah injunksi bagi melarang harta pusaka yang diwarisi oleh Syed Gamal daripada dijual atau dicairkan.

Mahkamah Rayuan Syariah itu memutuskan demikian selepas menolak permohonan dua anak perempuan hasil perkahwinan Syed Kechik dengan Puan Seri Sofiah Moo Abdullah, untuk mengetepikan perintah injunksi tersebut.

Syed Gamal yang juga ahli perniagaan sebelum ini memperoleh perintah injunksi ex-parte (sebelah pihak) pada 14 September 2009 di Mahkamah Tinggi Syariah bagi menghalang penjualan atau mencairkan 44 peratus saham miliknya dalam syarikat Syed Kechik Holdings dan harta-harta syarikat yang lain.

Pada 9 November tahun lalu, pihak plaintif mengemukakan saman untuk memohon perisytiharan bahawa Syed Gamal tidak mempunyai sebarang hak atau kepentingan dalam syarikat itu sehingga selesai pentadbiran serta pembahagian harta pusaka apa mereka.

Syed Gamal merupakan anak lelaki sulung Syed Kechik menerusi perkahwinan pertama Allahyarham dengan bekas isterinya, Zainab @ Eshah Abdullah.

Syed Kecik menceraikan Zainab ketika Syed Gamal berusia lima tahun.

Kemelut keluarga itu bermula selepas Syed Kechik meninggal dunia pada April tahun lalu akibat sakit jantung pada usia 81 tahun, tanpa meninggalkan wasiat.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 29/6/2010

0 komen:

Post a Comment