Saturday, June 19, 2010

Tuntutan harta Syed Kechik RM400 juta

Oleh : SUWARNI MOKHTAR

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 14 Julai ini untuk mendengar perbicaraan permohonan kaveat yang dikemukakan oleh anak lelaki Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary (gambar) berhubung harta pusaka berjumlah RM400 juta.

Permohonan itu difailkan oleh Syed Gamal terhadap ibu tiri, Puan Sri Sofiah Moo Abullah dan dua adik perempuannya, Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira bagi menghalang mereka daripada menguruskan harta pusaka tersebut tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Pada tarikh tersebut, Hakim Lee Swee Seng akan mendengar keterangan saksi-saksi daripada kedua-dua pihak bagi menentukan sama ada Syed Gamal, 45, selaku kaveator layak untuk menjadi pentadbir bersama harta pusaka arwah bapanya itu.

Pada prosiding hari ini, Syed Gamal hadir dengan ditemani peguam, Azhar Arman Ali, Zulkifli Che Yong dan Azmi Rais manakala peguam Datuk N. Vijay Kumar mewakili Sofiah, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira selaku pempetisyen.

Selain permohonan tersebut, mahkamah akan menentukan isu yang berbangkit sama ada kaveat tersebut boleh menghalang mahkamah daripada mengeluarkan perintah mengenai surat kuasa mentadbir atau menghalang surat kuasa mentadbir diberikan kepada keluarga tiri Syed Gamal.

Terdahulu, Zulkifli memberitahu, isu tersebut perlu ditentukan kerana pemberian surat kuasa tadbir kepada pihak pempetisyen akan menjadi prejudis terhadap anak guamnya.

Menjelaskan lebih lanjut kepada hakim, peguam itu menyatakan anak guamnya telah didiskriminasi sejak kecil berbanding adik-adik perempuannya.

''Daripada jumlah harta yang dianggarkan RM400 juta, Syed Gamal hanya diberikan elaun RM2,000 sebulan,'' ujarnya yang turut menyatakan anak guamnya tidak pernah tinggal dengan bapanya sejak kecil.

Elaun itu yang hanya diberikan kira-kira 10 tahun lalu, telah dihentikan pemberiannya baru-baru ini, dakwa Syed Gamal kepada media ketika ditemui di luar mahkamah.

Syed Gamal yang merupakan anak lelaki tunggal Syed Kechik dengan isteri pertamanya, Zainab @ Eshah Abdullah memfailkan permohonan tersebut pada 14 April lalu.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik pada 10 April tahun lepas pada usia 80 tahun kerana sakit jantung.

Syed Gamal yang mengendalikan kafe siber membuat permohonan kaveat itu berikutan ibu tiri dan dua adik tiri perempuannya yang memfailkan petisyen memohon surat kuasa mentadbir harta pusaka Syed Kechik tersebut.

Dalam petisyen yang difailkan pada 15 September tahun lalu, mereka mendakwa, Syed Kechik tidak meninggalkan wasiat terhadap hartanya itu dan memohon surat kuasa mentadbir diberikan kepada mereka sebagai isteri dan anak-anak yang sah di sisi undang-undang.

Pada 9 November tahun lalu, syarikat Syed Kechik Holdings Sdn. Bhd., Sharifah Zarah dan Sharifah Munira, memfailkan saman pemula bagi mengisytiharkan Syed Gamal tidak mempunyai hak atau kepentingan dalam aset syarikat itu sehingga pentadbiran dan pembahagian harta itu selesai.

Sumber : Utusan Malaysia
ARKIB : 19/6/2010

0 komen:

Post a Comment