Friday, July 30, 2010

Mahkamah benarkan tiga anak Syed Kechik dan balu jadi pentadbir harta

KUALA LUMPUR 30 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan anak lelaki tunggal Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary, Syed Gamal bersama ibu tiri dan dua adik tiri perempuannya untuk mentadbir harta pusaka bernilai RM400 juta peninggalan bapanya.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng yang membuat keputusan itu pada pukul 8.15 malam ini bagaimanapun tidak memutuskan tentang kos guaman kerana ia membabitkan masalah keluarga.

Namun begitu menurut Swee Seng, sekiranya terdapat lebihan maka berikanlah ia kepada Tabung Kebajikan untuk amal jariah.

Syed Gamal ialah anak lelaki tunggal hasil perkongsian hidup Allahyarham Syed Kechik dengan bekas isteri pertamanya, Zainab @ Eshah sebelum bercerai.

Pada 14 April lalu, Syed Gamal mendakwa beliau merupakan waris dan anak yang sah untuk menjadi pentadbir bersama harta pusaka peninggalan pengasas Yayasan Syed Kechik Holdings.

Syed Gamal selaku kaveator manakala ibu tiri serta dua adik perempuan tirinya itu, dinamakan sebagai pempetisyen dalam kaveat yang dikemukakan oleh beliau memohon untuk menjadi pentadbir bersama bagi menghalang mereka daripada menguruskan harta tersebut tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik 10 April tahun lalu pada usia 80 tahun kerana sakit jantung.

Syed Kechik ialah bapa mentua pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, seorang hartawan yang tersenarai antara tokoh kelapan terkaya di Malaysia.

Syed Gamal, 46, mengemukakan permohonan tersebut ekoran tindakan keluarga tirinya memfailkan petisyen pada 15 September tahun lalu, memohon supaya surat kuasa mentadbir harta pusaka bapanya diberikan kepada mereka sebagai isteri dan anak yang sah di sisi undang-undang memandangkan Syed Kechik tidak meninggalkan sebarang wasiat.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 30/7/2010

0 komen:

Post a Comment