Friday, January 2, 2004

Pembahagian zakat - Kenapa ada yang tercicir?

Rungutan terdapatnya sebilangan fakir miskin di negara ini tercicir dalam senarai penerima zakat bagi sesebuah negeri bukan sesuatu yang baru di dengar. Malahan perkara itu merupakan satu cabaran yang sedang cuba diatasi oleh agensi-agensi pengagihan zakat.

Hampir setiap tahun, pasti ada rungutan dan rasa tidak puas hati serta tidak kurang pula tuduhan dilemparkan terhadap agensi-agensi berkaitan yang mengakibatkan imej pihak berkenaan sedikit tercalar.

Di antara sebab yang sering digembar-gemburkan ialah wujudnya amalan pilih kasih semasa mencalonkan nama fakir miskin sesuatu kawasan kepada agensi seperti menamakan saudara-mara, kawan-kawan dan sebagainya.

Amalan itu didakwa dilakukan oleh pihak-pihak yang diberikan tanggungjawab tersebut termasuk wakil-wakil rakyat dan ketua kampung dalam mengenal pasti fakir miskin berkenaan.

Ikuti penerangan beberapa pihak yang terlibat secara langsung dalam masalah tersebut.

Pengurus Besar, Pusat Zakat Selangor (PZS), Mohd. Safri Mahat berkata, beliau turut menerima banyak aduan dan rungutan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dan mendakwa berlakunya amalan pilih kasih.

Bagaimanapun, katanya, bagi PZS dan agensi pengagihan lain, masalah berbau kroni itu bukanlah sesuatu yang membebankan mereka dalam usaha mengagihkan wang tersebut secara adil. Perkara berkenaan dapat ditangani secara berkesan kerana agensi tersebut mempunyai kaedah tersendiri atau kriteria tertentu dalam menghitung had kifayah bagi menentukan individu yang berhak menerima wang zakat atau asnaf yang lain.

``Bagi PZS, kriteria untuk menerima zakat berdasarkan pada takrif fatwa negeri Selangor,'' katanya, ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut beliau, mengikut takrif Majlis Fatwa Selangor,fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta atau pekerjaan atau ada pekerjaan tetapi tidak halal atau ada pekerjaan tetapi tidak mencapai 50 peratus daripada had kifayah untuk keperluan diri atau keperluan diri dan tanggungan.

``Contohnya, keperluan untuk seseorang itu adalah RM100 tetapi dia cuma berpendapatan RM50 atau kurang daripada itu,'' jelasnya.

Takrif miskin pula lebih daripada 50 peratus tetapi tidak sampai had kecukupan. Terdapat enam kriteria yang ditetapkan dalam menentukan had kifayah tersebut iaitu:-

1. Perlindungan termasuk rumah, sewa rumah, bil elektrik atau bil air dan segala yang berkaitan dengan perlin-dungan di dalam rumah.

2. Pengangkutan iaitu tambang bas, kenderaan lain dan sebagainya.

3. Pendidikan yuran sekolah dan buku-buku sekolah.

4. Pakaian harian, sekolah, kerja dan lain-lain.

5. Makan dan minum

6. Perubatan.

Beliau menambah, selepas itu keenam-enam kriteria tersebut diperincikan lagi bagi penghuni dalam rumah, keperluan ketua rumah, orang dewasa, kanak-kanak, sekolah rendah dan menengah.

Selain itu, katanya, kriteria lokasi, bandar atau luar bandar juga diambil kira. Ini kerana sara hidup di kedua-dua kawasan ini adalah berbeza.

Di samping itu, beliau menjelaskan terdapat tambahan peruntukan iaitu sekiranya mempunyai anak cacat, ada pembantu untuk menjaga anak, kos perubatan atau pengangkutan anak dan lain-lain.

``Dalam perkara ini pemberian yang lebih diberikan melalui budi bicara iaitu memberikan lebihan RM50 atau RM100 bagi kes-kes tertentu,'' katanya.

Beliau menambah, dua bulan sebelum bulan Ramadan, Unit Pengurusan Amil PZS akan membuat bancian bagi mengenal pasti jumlah fakir miskin di sesebuah daerah dalam negeri itu.

``Pada ketika itu, maklumat-maklumat dari pejabat daerah, ketua-ketua kampung, wakil rakyat dan NGO amat diperlukan untuk membantu. Amil juga bertanggungjawab menyiasat maklumat yang mereka peroleh daripada ketua kampung, wakil-wakil rakyat dan sebagainya,'' katanya.

Maklumat-maklumat berkenaan akan dimasukkan dalam satu sistem bagi memastikan tiada yang tercicir.

Selepas itu, Mohd. Safri memberitahu, satu jawatankuasa penilaian akan dibentuk yang terdiri di kalangan pegawai-pegawai daerah, ketua kampung, pegawai tadbir agama daerah masing-masing (kadi), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dalam menentukan siapa yang layak.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 2/1/2004

0 komen:

Post a Comment