Tuesday, January 13, 2004

Amanah Raya minta KWSP perkenal sistem amanah

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Syarikat peramanahan negara, Amanah Raya Berhad (ARB) meminta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan sistem amanah terhadap caruman para pencarumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, ini bagi membolehkan ARB menguruskan caruman pencarum KWSP yang meninggal dunia dan tidak meninggalkan wasiat.

Sehubungan dengan itu katanya, Seksyen 51 Akta KWSP 1991 perlu dikaji semula bagi membantu waris sah pencarum menerima bahagian mereka.

``Bila orang (pencarum KWSP yang tidak berwasiat) meninggal dunia, kita mahu ARB secara automatik akan memainkan peranan,'' katanya.

Beliau yang bertanggungjawab terhadap syarikat milik penuh kerajaan itu berkata demikian pada sidang akhbar setelah membuat lawatan rasmi ke Ibu Pejabat ARB di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi ARB, Datuk Dusuki Ahmad dan Pengarah Urusannya, Izham Yusoff.

Menurut Rais, ketika ini tiada peruntukan terhadap ARB untuk menjalankan peranan sebagai pemegang amanah kepada caruman KWSP.

KWSP ketika ini hanya mempunyai sistem penamaan yang mana pencarum akan menamakan seseorang sebagai penama.

Bagaimanapun, sistem penamaan boleh menimbulkan masalah sekiranya penama terbabit tidak menjalankan tanggungjawab dan enggan membahagikan caruman berkenaan kepada waris yang sah.

Menerusi cadangan itu, sekiranya berlaku kematian, wang berkenaan akan dibahagikan kepada waris yang sah mengikut peruntukan dalam Suratikatan Amanah dan menjamin caruman itu tidak disalahgunakan.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Abdul Halim Ali pada Februari tahun lalu berkata, KWSP sering menerima aduan mengenai penama atau waris yang seharusnya bertindak sebagai wasi atau pentadbir tidak menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

``Wang ahli yang diterima habis digunakan untuk keperluan sendiri dan tidak diserahkan kepada waris ahli yang berhak,'' kata Abdul Halim.

Oleh itu Rais berkata, beliau akan mengemukakan cadangan meminta Seksyen 51 Akta KWSP kepada Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dengan segera.

Dalam pada itu, Rais juga berkata, beliau akan mencadangkan kepada kerajaan agar mengecualikan cukai pendapatan bagi kadar tertentu dividen kepada pemegang sahamnya.

``Kalau dividennya dapat dikecualikan daripada cukai pendapatan, maka tarikan kepada orang ramai untuk meletakkan dana di ARB akan lebih tinggi,'' jelasnya.

Cadangan itu, katanya, turut terkandung dalam memorandum bersama yang akan dikemukakan kepada Kabinet tidak lama lagi.

Rais menegaskan, ARB perlu mempelbagaikan jenis perkhidmatannya bagi membolehkan syarikat kerajaan itu mampu bersaing pada masa depan.

ARB kini menawarkan perkhidmatan seperti pentadbiran harta pusaka, penulisan wasiat, pengurusan akaun amanah, perkhidmatan pengamanahan korporat, amanah pendidikan ARB dan pengurusan pelaburan.

Syarikat itu yang mengendalikan dana sekitar RM1.2 bilion memiliki empat anak syarikat seperti Amanah Raya Asset Management Sdn. Bhd., Amanah Raya Nominees (Tempatan) Sdn. Bhd., Amanah Raya Capital dan ARB Hartanah Sdn. Bhd.

ARB ditubuhkan pada 1 Mei 1921 dengan nama Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pegawai Pentadbir Pusaka (JPAR), diperbadankan pada 29 Mei 1995 dan kemudiannya dikorporatkan pada 1 Ogos tahun yang sama di bawah Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 13/1/2004

0 komen:

Post a Comment