Friday, January 2, 2004

Mengesan fakir miskin di bandar

Sukar untuk mengesan fakir miskin di samping golongan berkenaan tidak tampil meminta bantuan, adalah di antara penyebab berlakunya keciciran mereka sebagai senarai penerima bantuan zakat.

Pengurus Besar, Pusat Zakat Selangor (PZS), Mohd. Safri Mahat berkata, kerja-kerja mengesan fakir miskin sukar dilakukan dalam bandar berbanding di luar bandar.

Ini kerana katanya, di kawasan-kawasan luar bandar, ketua-ketua kampung mudah mengenal pasti mereka memandangkan jumlah penduduk tidak ramai di samping tinggal setempat.

``Bagaimanapun di kawasan bandar, tidak ramai pihak yang dapat memberikan maklumat mengenai mereka.Mungkin kerana tidak benar-benar mengenali jiran-jiran sekeliling,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Di bandar, katanya, kebanyakan penduduknya tidak menunjukkan yang mereka benar-benar susah.

``Mereka (golongan miskin) ini nampak OK. Pakaian, makan-minum semuanya OK. Bagaimanapun ada perkara lain yang mereka tidak OK, seperti perbelanjaan pendidikan anak-anak, sewa rumah, masalah kenderaan ke tempat kerja dan lain-lain. Mereka yang bergaji rendah ini sebenarnya layak untuk menerima wang zakat tetapi tidak memohon kerana mungkin tidak tahu mengenai perkara itu atau tidak mahu menyusahkan,'' katanya.

Statistik Selangor menunjukkan, pada tahun 2002 jumlah fakir yang berdaftar di Klang ialah 134 dan meningkat 210 pada tahun 2003, manakala golongan miskin 516 (2002) dan 767 (2003).

Di Petaling Jaya, jumlah fakir 82 (2002) dan 102 (2003), manakala 429 golongan miskin (2002) dan 776 (2003). Di Gombak pula, 63 orang fakir (2002) dan 195 (2003), manakala miskin seramai 526 (2002) dan 925 orang (2003).

Jumlah itu, katanya, jauh lebih tinggi di kawasan luar bandar seperti Hulu Langat seramai 189 fakir (2002) dan 137 orang (2003), manakala miskin 1,023 orang (2002) dan 1,308 orang (2003). Di Sabak Bernam pula menunjukkan bilangan yang agak ramai iaitu 249 orang fakir (2002) dan 203 (2003), manakala golongan miskin seramai 1,732 orang (2002) dan 1,602 orang (2003).

Justeru, kata beliau, adalah menjadi cabaran kepada agensi pengumpulan dan pengagihan zakat memastikan setiap fakir miskin di negara ini mendapat hak mereka.

Dalam pada itu, Mohd. Safri berkata, kemiskinan di bandar sebenarnya adalah lebih memeritkan berbanding di luar bandar. Ini kerana sara hidup di bandar adalah lebih tinggi. Justeru itu, ada fakir miskin terpaksa meminjam wang daripada along atau ceti haram bagi menanggung kehidupan mereka.

Di samping itu, kata beliau, terdapat fakir miskin yang tinggal di bandar tetapi tidak mempunyai akses untuk mengetahui wujudnya bantuan untuk mereka.

``Mereka tidak mempunyai televisyen, radio, tidak membaca surat khabar kerana buta huruf dan sebagainya,'' katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, PZS cuba menangani perkara itu dengan mengadakan Ops Prihatin di kawasan-kawasan tumpuan awam di kawasan bandar. Melalui Ops Prihatin itu pendaftaran secara terbuka golongan fakir miskin dilakukan.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 2/1/2004

0 komen:

Post a Comment