Friday, September 17, 2010

Perbankan Islam cukup mudah

Oleh : RAZLI RAMLI

Dalam industri kewangan kini, produk perbankan Islam telah mula menempatkan diri mereka dalam kelompok produk-produk yang digemari dan menjadi kesukaan ramai pelanggan dan pelabur. Buktinya jelas dilihat pada kadar pertumbuhan pesat industri kewangan Islam hingga mencecah 35 peratus setahun.

Lazimnya setiap produk perbankan Islam mempunyai sekurang-kurangnya satu kontrak yang digunapakai. Jika kita berbicara mengenai produk deposit, kontrak Wadiah dan Mudharabah selalu diperkatakan. Sekiranya pelanggan memerlukan pembiayaan pula, maka kontrak-kontrak seperti Murabahah, Bai Bithaman Ajil (BBA), Ijarah Thumma Al Bai (AITAB), Bai Inah dan Al Rahnu pula terlibat.

Produk Deposit

Produk deposit dalam perbankan terdiri daripada akaun simpanan biasa, akaun simpanan semasa dan akaun simpanan tetap. Akaun simpanan biasa adalah akaun untuk pelanggan menyimpan wang dan memastikan wang itu selamat. Akaun simpanan semasa pula ialah akaun pelanggan untuk memudahkan pembayaran apabila mereka membuat pembayaran menggunakan cek. Manakala akaun simpanan tetap pula ialah untuk pelanggan yang ingin menyimpan wang dalam tempoh waktu tertentu dengan niat untuk mendapatkan pulangan.

Dalam perbankan Islam, kontrak Wadiah ialah satu kontrak yang digunakan dalam akaun simpanan biasa dan akaun simpanan semasa. Dari segi bahasa, Wadiah bermaksud simpanan dengan jaminan. Pelanggan yang berhajat untuk menyimpan wang mereka dan berhasrat untuk menggunakan wang mereka pada bila-bila masa perlu memilih akaun simpanan yang menggunakan kontrak Wadiah ini.

Apabila pelanggan memilih menggunakan kontrak ini, maka pihak pelanggan telah meminta bantuan bank untuk menjaga keselamatan wang mereka. Itu saja dan tidak lebih daripada itu. Pelanggan boleh mengeluarkan baki simpanan melalui mesin ATM, kaunter bank ataupun Internet selagi baki simpanan tidak mencecah jumlah simpanan minimum yang ditetapkan oleh pihak bank.

Pihak bank pula seterusnya meminta kebenaran pelanggan untuk menggunakan wang mereka dan berjanji akan menjaga keselamatan wang tersebut. Bank juga menjamin akan membayar semua jumlah pokok yang disimpan oleh pelanggan pada bila-bila masa yang dikehendaki pelanggan.

Bank akan menggunakan wang simpanan pelanggan untuk pembiayaan dan pelaburan lain. Untuk makluman, setiap keuntungan yang dibuat oleh pihak bank adalah milik penuh bank. Pelanggan tidak berhak meminta untuk berkongsi keuntungan tersebut dengan bank kerana kontrak awal adalah kontrak Wadiah.

Bagaimanapun, pihak bank atas budi bicara mereka boleh memberikan pulangan keuntungan kepada pelanggan dalam bentuk hibah atau dividen. Jika dalam perbankan konvesional, riba atau faedah dijanjikan, tetapi dalam kontrak Wadiah, pulangan tidak boleh dijanjikan oleh pihak bank ataupun diminta oleh pelanggan. Sebarang 'permintaan' ataupun 'perjanjian' untuk memberi atau mendapatkan pulangan adalah ditegah. Ia adalah riba dan diharamkan oleh Islam.

Dalam Islam pinjaman dibenarkan. Kontrak Qard (pinjaman) diaplikasikan. Pinjaman ini bererti apabila seseorang memberi pinjaman sebanyak RM100 kepada seseorang, maka beliau akan menerima kembali jumlah RM100 sahaja tanpa satu sen lebih. Ringgit kepada ringgit. Kalau pinjam RM500, bayar balik RM500. Begitulah konsep pinjaman dalam Islam.

Dalam akaun simpanan semasa pula, kadang kala kontrak Qard digunakan tatkala pelanggan telah mengeluarkan cek yang lebih dari baki simpanan beliau di bank tersebut. Oleh yang demikian, pihak bank akan menggunakan wang bank dahulu untuk bayaran yang dibuat pelanggan, dan mengarahkan pelanggan membayar balik jumlah yang terkurang tersebut serta merta kepada pihak bank. Dalam perbankan, transaksi sebegini dikenali sebagai Temporary Overdraft ( TOD).

Tanggungjawab Sosial


Tindakan bank ini adalah dikategorikan sebagai tanggungjawab sosial kepada para pelanggan bank. Sila ambil maklum bahawa tidak semua pelanggan diberikan kemudahan sebegini. Kemudahan ini hanya diberi kepada kes-kes terkurang baki yang genuine. Hanya pelanggan terpilih diberikan kemudahan ini dan ia terserah kepada budi bicara pihak bank untuk memilih pelanggan mana yang mereka suka.

Mudharabah pula adalah kontrak untuk pelaburan. Pelanggan yang berhasrat untuk melabur wang simpanan mereka akan memilih kontrak ini. Mudharabah bererti perkongsian keuntungan yang beramanah. Kalau untung kita kongsi bersama, makin banyak keuntungan bertambah, makin banyak kita kongsi bersama. Kalau sikit keuntungan, maka sikit sajalah dapat dikongsi bersama.

Kontrak Mudharabah ini sangat digemari dan boleh digunapakai oleh semua jenis akaun deposit di Malaysia. Pelanggan yang berhasrat untuk menyimpan wang dan ingin mendapat keuntungan bolehlah menabung di akaun simpanan biasa atau pun akaun simpanan semasa di mana-mana bank yang menggunakan kontrak Mudharabah ini. Para pelanggan yang ingin mendapat pulangan lebih tinggi dan berniat menyimpan wang lebih lama ataupun bertempoh, maka akaun simpanan tetap boleh dipilih. Akaun simpanan tetap juga dikenali sebagai akaun pelaburan dalam industri perbankan Islam. Ia selari dengan konsep pelaburan yang menjadi asas utama kontrak Mudharabah.

Dalam kontrak itu, pelanggan berperanan sebagai pelabur. Mereka datang ke bank dengan harapan membuat pelaburan bersama dengan pelabur-pelabur lain untuk mendapatkan keuntungan. Kadar keuntungan antara pelabur dan bank akan ditetapkan pada awal perjanjian ketika pelanggan membuka akaun pelaburan tersebut.

Sementara itu, bank yang berperanan sebagai pengusaha pula akan membuat pelaburan dengan baik untuk mendapatkan keuntungan. Pelaburan yang dibuat hendaklah selaras dengan kehendak syariah.

Jika kita lihat sijil akaun pelaburan dan dibandingkan dengan sijil simpanan tetap perbankan konvensional, kita dapat lihat perbezaannya. Dalam sijil simpanan tetap kadar faedah terpampang di muka hadapan sijil tersebut. Sijil akaun pelaburan pula, walaupun nama, jumlah, kedudukan nombor siri, logo bank, tempoh pelaburan dan tarikh matang sama seperti di sijil akaun simpanan tetap, namun tidak ada kadar faedah dicatat. Yang ada hanyalah kadar pembahagian keuntungan atau singkatannya PSR (profit sharing ratio).

Sekiranya PSR adalah 70:30, maka jika keuntungan yang diperoleh bank adalah RM1,000.00, maka jumlah keuntungan kepada pelanggan ialah RM700 dan bank RM300. Jika keuntungan lebih, maka lebih banyak pembahagian keuntungan akan diperoleh kedua-dua belah pihak.

Salah satu syarat Mudharabah ialah pelanggan tidak dibenarkan masuk campur dalam urusan pengurusan dana pelaburan yang dilakukan oleh pihak bank. Pihak bank mempunyai hak penuh membuat keputusan mengenai pelaburan yang bakal dibuat.

Kebiasaannya pihak bank akan memperbanyakkan cabang pelaburan (diversification) mereka. Ini kerana jika salah satu daripada cabang pelaburan rugi, keuntungan dari cabang-cabang pelaburan lain akan dapat menampung kerugian tersebut. Hingga kini, masih tidak ada satu pun bank-bank di Malaysia yang gagal memberi dividen hasil daripada pelaburan kepada pelanggan mereka.

Jika kita lihat di papan tanda dewan bank-bank, kita boleh lihat kadar keuntungan yang dipaparkan dengan jelas. Untuk kadar keuntungan akaun pelaburan ataupun akaun simpanan biasa dan akaun semasa yang berlandaskan syariah, terpampang jelas tulisan:

"...profit rates for deposit maturing between XXX to XXX..."

Kenyataan ini menandakan dua perkara yang perlu difahami iaitu:

1. Kadar keuntungan itu ialah kadar keuntungan indikatif untuk pelanggan yang bakal menyimpan dengan bank tersebut;

2. Kadar keuntungan itu ialah kadar keuntungan sebenar untuk pelanggan yang telah menyimpan dengan bank tersebut.

Dalam ertikata lain, sesiapa yang menyimpan pada bulan-bulan yang lepas, kadar keuntungan yang dipaparkan adalah kadar keuntungan sebenar untuk simpanan dan pelaburan mereka. Sesiapa yang berminat untuk membuat simpanan atau pelaburan pulak, kadar keuntungan tersebut adalah hanya kadar keuntungan indikatif untuk mereka nilai sebelum membuat keputusan mahu menyimpan atau melabur di bank tersebut berdasarkan PSR yang ditawarkan.

Produk Pembiayaan

Murabahah atau lebih dikenali sebagai 'jualan kos campur untung' merupakan satu kontrak yang diterima oleh pakar-pakar syariah seluruh dunia. Kontrak ini dikategorikan sebagai satu kontrak jual beli. Untuk pengetahuan kita, hampir 80 peratus kontrak yang digunakan dalam perbankan Islam di seluruh dunia adalah kontrak jual beli.

Sekiranya tempoh pembiayaan melebihi satu tahun, maka kontrak yang dipilih adalah kontrak Bai Bithaman Ajil (BBA). BBA adalah kontrak 'jualan dengan harga tangguh' di mana kontrak Murabahah juga menggunakan kontrak yang sama.

Oleh kerana itulah, semua pembiayaan yang mana tempoh pembayaran balik melebihi satu tahun, menggunakan kontrak BBA. Sebenarnya BBA itu berasal dari Murabahah dan Murabahah menggunakan BBA. Tujuan membezakan kedua-dua kontrak ini ialah untuk membezakan tempoh pembiayaan sahaja. Kini, kontrak BBA amat sinonim dengan pembiayaan perumahan.

Kontrak jual beli dibenarkan syariat dan kontrak ekuiti juga boleh digunapakai. Kontrak Mudharabah telah dipraktikkan oleh Nabi Muhammad SAW dan Siti Khadijah ketika berniaga antara Syam dan Mekah. Nabi Muhammad SAW menjadi pengusaha dan Siti Khadijah sebagai pelabur. Keuntungan dikongsi bersama mengikut kadar pembahagian keuntungan yang dijanjikan.

Jadi, adalah tidak benar sekiranya seseorang itu mengeluarkan kenyataan yang mengatakan kontrak ekuiti lebih Islamik daripada kontrak jual beli. Kedua-dua jenis kontrak ini saling memerlukan di antara satu sama lain untuk terus berlegar di orbit sistem kewangan Islam.

Dalam pembiayaan perumahan menggunakan kontrak BBA, pelanggan akan menandatangani Perjanjian Jual Beli (S&P) dengan pemaju perumahan dengan membayar bayaran pendahuluan sebanyak 5 peratus atau 10 peratus daripada harga rumah.

Bank akan membeli rumah tersebut dengan harga belian. Harga belian adalah jumlah pembiayaan yang bakal diberikan kepada pelanggan. Perjanjian Belian Aset (PBA) akan ditandatangani oleh pelanggan dan pihak bank. Selepas itu, pihak bank akan menjual rumah tersebut kepada pelanggan dengan harga jualan. Harga jualan adalah harga belian (jumlah pembiayaan) campur keuntungan. Perjanjian Jualan Aset (PJA) akan dimeterai oleh pihak bank dan pelanggan.

Apabila PBA ditandatangani, bank akan membayar tunai jumlah yang perlu dibayar iaitu 95 peratus atau 90 peratus kepada pemaju perumahan. Apabila PJA dimeterai, pelanggan akan membayar harga jualan tersebut secara tangguh selama tempoh pembiayaan yang termaktub dalam PJA.

Maka termeterailah perjanjian antara pelanggan dan bank di mana bank akan membayar harga rumah dan pelanggan pula telah berhutang dengan bank jumlah harga jualan seperti dalam PJA. Pelanggan akan membayar ansuran bulanan mengikut PJA sampai kesemua jumlah tersebut langsai.

Jadi, kepastian yang jelas termaktub dalam transaksi ini berbanding dengan transaksi pinjaman dalam perbankan konvensional. Jumlah bayaran akhir pinjaman tidak diketahui dan ia bergantung penuh kepada kadar pinjaman asas (BLR) bank tersebut.

Ada beberapa pihak mendakwa perbankan Islam zalim kerana meminta keseluruhan jumlah harga jualan sekiranya pelanggan hendak membuat pembayaran awal (early settlement). Untuk makluman, Bank Negara Malaysia telah pun mengeluarkan garis panduan kepada semua institusi kewangan untuk memberi rebat (ibra') kepada pelanggan yang ingin membuat pembayaran awal.

Apa yang perlu dilakukan pelanggan ialah memberitahu tarikh mereka hendak membuat pembayaran sahaja. Apabila tarikh tersebut diberitahu, pihak bank akan memasukkannya dalam kiraan formula dan akan memberitahu jumlah pembayaran yang perlu dibuat oleh pelanggan dan juga jumlah rebat yang diberikan. Ia cukup mudah.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 17/9/2010

0 komen:

Post a Comment