Wednesday, September 22, 2010

Harta sepencarian bernilai RM4 juta

Oleh SITI NOORALINA AHMAD

KUALA LUMPUR - Isteri Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary telah memfailkan tuntutan harta sepencarian yang dianggarkan bernilai RM4 juta di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada bulan lalu.

Puan Seri Sofiah Moo Abdullah @ Moo Nyok Yin, 67, selaku pemohon menamakan tiga defendan termasuk dua anak perempuannya, Puan Sri Sharifah Zarah, 42, dan Sharifah Munira, 44, dalam tuntutan tersebut.

Sofiah turut menamakan anak tirinya, Syed Gamal, 45, yang merupakan anak lelaki Allahyarham dengan bekas isteri pertama beliau, Zainab @ Eshah Abdullah sebagai defenden ketiga.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam syarie, Sulaiman Abdullah yang mewakili Sofiah di hadapan Hakim Syarie Mohamad Abdullah di mahkamah tersebut hari ini.

Dalam prosiding itu, Syed Gamal yang diwakili peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzzaman memohon untuk mendapatkan penyata tuntutan daripada pihak plaintif berhubung butiran lanjut harta tersebut.

Sulaiman bagaimanapun tidak bersetuju dengan permohonan tersebut dengan alasan Syed Gamal tidak memerlukan butiran lanjut harta tersebut bagi meneruskan kes.

Kamar Ainiah kemudian menyatakan pihaknya akan mengemukakan permohonan secara rasmi dalam prosiding akan datang.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes itu pada 9 November ini.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik pada 10 April tahun lalu pada usia 80 tahun kerana sakit jantung.

Syed Gamal yang merupakan anak lelaki tunggal Syed Kechik itu memfailkan permohonan tersebut pada 14 April lalu.

Syed Kechik menceraikan Zainab ketika Syed Gamal berusia lima tahun.

Selain itu, Syed Gamal yang merupakan pengurus kafe siber itu turut memfailkan permohonan menghalang ibu tiri serta dua adik tirinya daripada menguruskan harta pusaka bernilai RM400 juta peninggalan bapanya tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Selepas perbicaraan berlangsung, mahkamah pada Julai lalu membenarkan Syed Gamal bersama ibu dan adik-adik tirinya mentadbir harta pusaka itu.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 22/9/2010

0 komen:

Post a Comment