Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Showing posts with label soal-jawab. Show all posts
Showing posts with label soal-jawab. Show all posts

Friday, January 28, 2011

Persoalan harta pencarian

SOALAN:

SEBELUM beli sebuah rumah, niat kami suami isteri membeli untuk mendudukinya selepas bersara nanti. Malangnya, apabila Perjanjian Jual Beli disiapkan hanya terdapat nama isteri serta pinjaman bank pun nama isteri seorang atas beberapa faktor alasan yang diberikan isteri selepas perjanjian itu disiapkan.

Sebabkan percaya dengan kasih sayang maka diteruskan juga. Kini dah bercerai. Bolehkan saya tuntut rumah itu harta sepencarian kerana saya boleh buktikan penglibatan saya semasa ubah suai rumah itu?

JAWAPAN:

Rumahtangga dibina atas tujuan membina sebuah kehidupan yang penuh dengan kebahagiaan dan keharmonian dengan nilai kasih dan cinta antara suami dan isteri.

Allah SWT menjadikan setiap makhluk berpasangan dengan tujuan setiap kehidupan dapat merasa kebahagiaan hidup. Ini kerana setiap makhluk berhak hidup bahagia.

Ini jelas dalam firman-Nya yang bermaksud: Maha suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan sama ada daripada yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. (Yasin: 36)

Maha suci Allah SWT daripada segala sifat kekurangan dan kelemahan, Maha suci Allah yang Maha Mengetahui akan keperluan hamba-hamba dan ciptaan-ciptaan-Nya. Lalu dengan kudrat dan iradah-Nya Allah SWT menjadikan segala sesuatu berpasangan.

Melalui perkahwinan manusia dapat memenuhi kehendak naluri manusiawi dengan menjaga kehormatan diri. Maka melalui perkahwinan manusia dapat menyelamatkan diri dari perkara yang tidak baik.

Rumah tangga yang dibina akan menjadi episod penting dalam membentuk kematangan diri. Melalui perkahwinan manusia dikurniakan anak yang bakal menyambung kelangsungan tugas sebagai khalifah.

Sebab itu diawal perkahwinan banyak janji yang dimeterai antara suami dan isteri. Semuanya indah, cantik dan menarik. Namun apakan daya, ada yang terpaksa melalui saat dan detik yang tidak pernah tergambar, sehingga berlaku perceraian.

Di sinilah bermulanya masalah apabila masing-masing menuntut hak dalam harta sepencarian. Semua ini tidak akan timbul kalau perceraian tidak berlaku, namun kalau perceraian sahaja yang dilihat sebagai penyelesaian apa nak dikata. Semua ini terpaksa dilalui kerana ini memang permintaan suami isteri.

KemukaXXXX

Dalam persoalan harta sepencarian antara suami dan isteri perlu dibuktikan sekiranya ada bantahan dari mana-mana pihak, terutamanya suami atau isteri.

Harta sepencarian mengikut syarak ditafsirkan sebagai pemerolehan harta sepanjang tempoh perkahwinan sama ada membabitkan harta alih atau tak alih dan pihak yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Tuntutan biasanya ditimbulkan oleh isteri atau bekas isteri apabila membabitkan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkahwinan sama ada secara tak langsung misalnya urusan menguruskan rumah tangga.

Sumbangan secara langsung misalnya isteri mengeluarkan modal terutama dalam bentuk kewangan untuk mendapatkan harta dalam tempoh perkahwinan. Begitu juga jika satu pihak itu meninggal dunia, pasangan akan meminta harta itu dibahagikan dulu sebagai harta sepencarian sebelum diisytihar sebagai harta pusaka.

Kitab At-Turuq al-Hukmiyah karya Ibnu Qayyim al-Juziyyah mengatakan, dalam tuntutan suami isteri membabitkan harta sepencarian, tuntutan hendaklah berdasarkan keterangan pihak yang membuktikan tuntutan itu.

Pemilikan ke atas sesuatu harta bukan berdasarkan kepada nama atas harta itu semata-mata kerana nama tertera belum membuktikan dia pemilik sebenar. Kenyataan itu dibuat dengan maksud adalah satu kezaliman jika hak milik sesuatu harta hanya diambil kira berdasarkan nama atas harta itu semata-mata sedangkan pihak satu lagi mungkin menyumbang cuma namanya tidak dinyatakan ke atas harta berkenaan.

Di dalam peruntukan undang-undang syariah Seksyen 122 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 (EUKIS 2003 menetapkan: Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagikan antara mereka atau supaya aset yang diperoleh pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan dibahagikan antara pihak-pihak itu.

Kemudian seksyen 122 (2) menjelaskan, pada menjalankan kuasa yang diberi oleh sub seksyen (1), mahkamah hendaklah mengambil perhatian mengenai:

Takat sumbangan yang dibuat tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset itu, apa-apa yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka, keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.

Munasabah

Tertakluk kepada seksyen 122 (2), mahkamah hendaklah membuat pertimbangan sama banyak. Namun, mahkamah juga boleh memerintahkan supaya aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan sama rata antara kedua pihak sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 122 (3).

Untuk menjalankan perintah di bawah Seksyen 122(3) mahkamah hendaklah memberi perhatian terhadap beberapa perkara seperti mana yang diperuntukkan di bawah seksyen 122 (4):

Takat sumbangan yang dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga, keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.

Tertakluk kepada pertimbangan seksyen 122 (4), mahkamah dengan kuasa yang ada boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan mengikut apa-apa kadar yang difikirkan munasabah. Walau bagaimanapun, pihak yang memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

Berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang ada kes-kes perceraian dan tuntutan harta sepencarian akan ke mahkamah syariah dan akan diadili berdasarkan bukti-bukti kukuh yang dapat dikemukakan oleh si penuntut kepada mahkamah.

Jika saudara ada bukti yang lengkap kemukakan ke mahkamah segala dokumen-dokumen beli rumah, perkongsian perniagaan dan apa-apa bentuk pelaburan bersama. Saya yakin dengan adanya bukti yang kukuh dalam harta sepencarian maka suami dan isteri akan mendapat keadilan dalam hal ini.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 28/1/2011

Friday, September 17, 2010

Keutamaan zakat pendapatan

SOALAN:

Ada pihak yang mempertikaikan, bahawa zakat pendapatan tidak wujud pada zaman nabi dan ia tidak patut dilaksanakan. Namun dalam konteks semasa, zakat pendapatan merupakan penyumbang terbesar kepada kutipan keseluruhan zakat harta.

Maka, bolehkah dijelaskan relevannya zakat pendapatan ini dalam konteks keperluan semasa?

JAWAPAN:

Benar, zakat pendapatan hanya wujud selepas kewafatan nabi. Namun aspek teknikal zakat sentiasa berubah-ubah mengikut keperluan semasa dan selari dengan konsep pengembangan harta zakat (an-nama').

Harta pendapatan yang dimaksudkan merangkumi gaji, upah, bayaran profesional, royalti dan honorarium dan sebagainya. Kesemua ini termasuk ke dalam kategori harta mustafad, iaitu harta yang diperolehi melalui hasil pekerjaan.

Sebahagian ulama turut menyatakan harta yang bukan diperolehi melalui jalan pekerjaan seperti hadiah, hibah, pusaka, graduiti persaraan, wasiat, pencen, bayaran saguhati sebagai harta mustafad.

Adapun, harta yang diperolehi melalui jalan penyewaan dan pajakan, misalnya hasil sewaan rumah, pajakan tanah dan termasuklah sewaan permit, dikategorikan sebagai harta mustaghallat dan ia dimasukkan juga sebagai harta mustafad dan ia wajib dizakatkan.

Ulama bersetuju bahawa zakat harta pendapatan perlu ditunaikan demi kemaslahatan umat Islam. Hal ini memandangkan gaji atau upah daripada pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang itu mampu menjadikannya kaya.

Dr. Yusuf al-Qaradawi menggunakan hujah daripada al-Quran untuk mewajibkan zakat harta pendapatan. Misalnya firman Allah: Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang kamu keluarkan daripada hasil bumi. (al-Baqarah: 267)

Walaupun ayat ini tidak dianggap dalil khusus kepada perintah mengeluarkan zakat pendapatan, para ulama bersetuju bahawa ayat ini menjadi dalil kepada pelaksanaan zakat harta pendapatan dan harta-harta lain.

Hal ini selari dengan perintah Rasulullah SAW yang memerintahkan umat Islam bekerja supaya dapat menunaikan zakat. Sabda baginda: "Setiap Muslim wajib bersedekah". Sahabat bertanya, "Jika tidak dapat?" Nabi menjawab: "Bekerjalah dengan tangannya yang berguna bagi dirinya dan ia dapat bersedekah." (Riwayat Abu Musa

Menurut sebahagian ulama, zakat pendapatan sudah diamalkan sejak zaman para sahabat lagi. Hal ini dapat dilihat pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan yang mana beliau memerintahkan tenteranya mengisytiharkan harta pada setiap akhir tahun.

Sesiapa yang mempunyai lebihan harta hendaklah mengeluarkan zakat ke atas harta itu. Lebihan harta bermaksud harta yang sudah ditolak dengan keperluan wajib diri yang meliputi makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, rawatan dan pengangkutan.

Walaupun demikian, ada juga ulama berpandangan zakat pendapatan wajib dikeluarkan tanpa menolak perbelanjaan asas. Hal ini dikiaskan kepada zakat hasil pertanian yang mana zakat dikeluarkan tanpa dibuat sebarang tolakan.

Oleh hal yang demikian, pusat-pusat zakat di negara ini memberi kebebasan kepada pengeluar zakat sama ada mahu membuat tolakan atau tidak ke atas jumlah pendapatan yang hendak dizakatkan.

Sesuai dengan keanjalan hukum fikah, penerimaan hukum zakat pendapatan ini sebenarnya memberikan natijah yang sangat besar kepada umat Islam.

Ia juga sesuai dengan konsep pengembangan harta (an-nama') sebagaimana yang digagaskan oleh Saidina Umar bin al-Khattab r.a. ribuan tahun silam.

Hal ini mencerminkan sifat Islam sebagai agama yang meraikan keperluan dan perubahan zaman. Oleh itu, wajarlah umat Islam menghayati dan menerima zakat pendapatan ini sebagai kewajipan baharu yang tidak patut dikesampingkan, demi meraih keberkatan dalam pendapatan dan keberkatan dalam segenap aspek kehidupan. Wallahu a'lam.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 17/9/2010

Friday, November 20, 2009

Berhati-hati mohon sumbangan

Soalan:

ADAKAH kita dibolehkan menerima dan memohon sumbangan ikhlas daripada orang perseorangan atau syarikat-syarikat yang selalu berurusan contohnya dalam urusan perbankan dan saham amanah?

Hadiah tersebut adalah dalam bentuk hamper dan orang perseorangan yang diterima dalam bentuk wang tunai secara sumbangan ikhlas.

Jawapan:

Islam menggalakkan umatnya untuk menderma atau menghulurkan sumbangan kerana ia memberi kesan positif dalam sebuah kehidupan bermasyarakat.

Perlakuan yang berlaku antara dua pihak iaitu golongan yang memohon atau menerima sumbangan dengan penyumbang sumbangan akan memupuk kesatuan, perasaan saling bantu-membantu dan wujudnya tautan kasih-sayang dan mahabbah sesama mereka.

Firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan... (al-Maidah: 2)

Pelbagai faktor yang mendorong seseorang mencari bantuan atau sumbangan. Faktor-faktor tersebut ada yang bersifat tetap dan ada pula yang bersifat mendadak atau tidak diduga. Contohnya:

1) Faktor ketidakupayaan, kefakiran, dan kemiskinan yang dialami oleh orang-orang yang mengalami kesulitan untuk memenuhi keperluan keluarga seharian.

Mereka memang tidak mempunyai gaji tetap atau sumber-sumber kehidupan yang lain. Mereka sendiri tidak memiliki keterampilan atau keahlian khusus yang dapat mereka manfaatkan untuk menghasilkan wang. Seumpama mereka ialah anak-anak yatim, golongan kurang upaya yang tidak mampu berkerja.

2) Faktor kegawatan ekonomi dihadapi oleh golongan yang mengalami kerugian harta cukup besar.

Contohnya seperti para pengusaha yang muflis. Mereka memerlukan bantuan kerana sedang mengalami kesulitan ekonomi secara mendadak sehingga tidak mampu membiaya keluarganya.

3) Faktor musibah yang menimpa suatu keluarga atau masyarakat seperti kebakaran, banjir, gempa bumi, penyakit menular mengakibatkan mereka terpaksa memohon bantuan atau sumbangan.

4). Faktor-faktor yang tidak disangka-sangka seperti golongan yang secara mendadak harus menanggung hutang kepada berbagai pihak tanpa sanggup membayarnya, menanggung anak yatim dan seumpamanya.

Pada prinsipnya, Islam menggalakkan umatnya mendapatkan sesuatu dari sumber yang bersih dan jauh dari sumber syubhat. Nabi SAW juga menganjurkan kita untuk berusaha dan mencari sumbangan dalam apa saja bentuknya, selama ia halal dan baik, tidak ada syubhat, tidak ada keharaman dan tidak dengan meminta-minta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak sekali-kali menerima kecuali suatu yang baik sahaja. (riwayat Ahmad, Muslim dan al-Tirmidzi)

Sebagai umat Islam, kita juga disunnahkan untuk ta'affuf (memelihara diri daripada meminta-minta). Hal ini sebagaimana yang firman Allah yang bermaksud: (Apa yang kamu infakkan adalah) untuk orang-orang fakir yang terhalang (usahanya kerana jihad) di jalan Allah sehingga dia tidak dapat berusaha di bumi; (orang lain) yang tidak tahu, menyangka bahwa mereka adalah orang-orang kaya kerana mereka menjaga diri (dari minta-minta). Engkau (Muhammad) mengenal mereka dari ciri-cirinya, mereka tidak minta secara paksa kepada orang lain. Apa pun harta yang baik yang kamu infakkan, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 273).

Rasulullah SAW sangat menggalakkan sikap suka memberi, sama ada atas nama sedekah, hadiah, sumbangan, hibah atau sebarang bantuan dan pertolongan.

Hal ini disebutkan dalam sabda baginda yang bermaksud, Nabi SAW suatu hari keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya, lalu baginda bersembahyang dua rakaat. Dan baginda tidak pernah melakukan sembahyang (hari raya) sebelum ia diperintahkan dan sekalipun selepasnya. Kemudian baginda dan bersamanya Bilal pergi ke tempat sekumpulan perempuan dan menyuruh mereka agar bersedekah, maka (atas perintah itu) seorang perempuan menanggalkan gelang dan kalungnya untuk disedekahkan. (riwayat Al-Bukhari)

Kesimpulannya boleh memohon dan menerima sumbangan berbentuk wang tunai daripada individu perseorangan atau sesiapa sahaja yang tidak mempunyai kepentingan peribadi.

Begitu juga boleh memohon dan menerima sumbangan daripada syarikat atau agensi dengan syarat bentuk sumbangan yang dimohon atau diterima itu selamat dari unsur haram dan tidak menimbulkan fitnah (orang lain menganggap ia rasuah).

Golongan yang menyumbang dengan rela hati memberi sumbangan tersebut dan golongan yang memohon dan menerima sumbangan berbesar hati dan bersyukur.

Dinasihatkan agar pihak mengelakkan diri daripada memohon sumbangan dari individu perseorangan dan syarikat-syarikat yang berkepentingan di sebalik sumbangan itu yang diberikan.

Jika sumbangan yang diterima tersebut akan merosakkan syiar Islam, mengakibatkan keburukan semakin bertambah, rasuah berleluasa maka diharamkan untuk memohon apatah lagi menerimanya.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 20/11/2009

Friday, June 5, 2009

Sunat wasiat untuk berwakaf

Soalan:

Ibu saya bercadang mewakafkan rumahnya dan sebahagian daripada hartanya melalui wasiat tetapi ragu-ragu adakah ia dibenarkan dalam hukum.

Jawapan:

Wasiat sebegini harus dalam Islam, malahan hukum berwakaf adalah sunat. Lebih-lebih lagi umat Islam yang daif yang amat memerlukan bantuan saudara-saudara Islam yang lain.

Kita juga perlu yakin bahawa salah satu alternatif bagi memulih dan mengekalkan kepesatan kewangan Islam ialah melalui cara berwakaf.

Di awal perkembangan Islam golongan korporat dari kalangan sahabat telah mewakafkan sebahagian besar dari harta mereka untuk tujuan pengembangan Islam. Natijahnya hari ini, terdapaat hampir 1.7 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Niat dan tujuan ibu untuk mewakafkan rumah dan sebahagian hartanya adalah langkah yang sangat baik, kerana manfaatnya bukan sahaja di dunia. Malahan pahalanya tidak akan terputus seperti air sungai yang mengalir.

Adalah lebih baik diperhatikan persoalan yang berkaitan dengan wakaf dan permasalahannya seperti berikut:

Apabila ditinjau dari segi bahasa wakaf bererti menahan. Sedangkan menurut istilah syarak, ialah menahan sesuatu benda yang kekal zatnya, untuk diambil manfaatnya untuk kebaikan dan kemajuan Islam.

Menahan suatu benda yang kekal zatnya, ertinya tidak boleh dijual dan tidak diberikan serta tidak pula diwariskan, tetapi hanya disedekahkan untuk diambil manfaatnya saja.

Ada beberapa pengertian tentang wakaf antara lain:

*Pengertian wakaf menurut mazhab Syafie dan Hambali adalah: “seseorang menahan hartanya untuk dimanfaatkan di segala bidang kemaslahatan dengan tetap mewakafkan harta tersebut sebagai taqarrub (menghampirkan diri) kepada Allah SWT.

*Pengertian wakaf menurut mazhab Hanafi adalah: “menahan harta-benda sehingga menjadi hukum milik Allah. Maka seseorang yang mewakafkan sesuatu bererti ia melepaskan kepemilikan harta tersebut dan memberikannya kepada Allah untuk beroleh manfaatnya kepada manusia secara tetap dan berterusan, tidak boleh dijual, dihibahkan ataupun diwariskan.

*Pengertian wakaf menurut Imam Abu Hanafi pula adalah: “menahan harta-benda atas kepemilikan orang yang berwakaf dan bersedekah dari hasilnya atau menyalurkan manfaat dari harta tersebut kepada mereka yang dicintainya. Berdasarkan definisi Abu Hanifah ini, maka harta tersebut ada dalam pengawasan orang yang berwakaf (wakif) selama ia masih hidup, dan boleh diwariskan kepada ahli warisnya jika ia sudah meninggal samaada untuk dijual atau dihibahkan (hadiah).

Definisi ini berbeza dengan yang diberikan oleh Abu Yusof dan Muhammad, sahabat kepada Imam Abu Hanifah itu sendiri.

*Pengertian wakaf menurut mazhab Maliki adalah memberikan sesuatu hasil manfaat dari harta, dimana harta pokoknya konsisten atas kepemilikan pemberi manfaat tersebut walaupun sesaat.

Daripada definisi itu dapat disimpulkan bahawa wakaf itu termasuk salah satu di antara pemberian, akan tetapi hanya boleh diambil manfaatnya dan bendanya harus tetap utuh.

Oleh kerana itu, harta yang layak untuk diwakafkan adalah harta yang tidak habis dipakai dan umumnya tidak dapat dipindahkan, misalnya tanah, bangunan dan serupa dengannya.

Utamanya untuk kepentingan umum, misalnya untuk masjid, surau, sekolah, rumah-rumah kebajikan, jalan awam, dan sebagainya.

Hukum wakaf sama dengan amal jariah. Sesuai dengan jenis amalnya maka berwakaf bukan sekadar berderma (sedekah) biasa, tetapi lebih besar pahala dan manfaatnya terhadap orang yang berwakaf.

Pahala yang diterima mengalir terus menerus selama barang atau benda yang diwakafkan itu masih berguna dan bermanfaat. Hukum wakaf adalah sunat.

Hadis Rasulullah yang bermaksud: Apabila anak Adam meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya, kecuali tiga (perkara), iaitu sedekah jariah (yang mengalir terus), ilmu yang dimanfaatkan, atau anak saleh yang mendoakannya. (riwayat Muslim)

Harta yang diwakafkan tidak boleh dijual, dihibahkan atau diwariskan. Akan tetapi, harta wakaf tersebut harus secara terus menerus dapat dimanfaatkan untuk kepentingan umum sebagaimana maksud orang yang mewakafkan.

Syarat dan Rukun Wakaf

*Syarat Wakaf

Syarat-syarat harta yang diwakafkan sebagai berikut:

1. Diwakafkan untuk selama-lamanya, tidak terbatas waktu tertentu.
2. Tunai tanpa menggantungkan pada suatu peristiwa di masa yang akan datang.
Misalnya, “Saya wakafkan bila dapat keuntungan yang lebih besar dari usaha yang akan datang”.
3.Jelas mauquf alaihnya (orang yang diberi wakaf) dan bisa dimiliki barang yang diwakafkan (mauquf) itu.

*Rukun Wakaf

Orang yang berwakaf (wakif), syaratnya:

1. Kehendak sendiri.
2. Berhak berbuat baik walaupun bukan Islam
Sesuatu (harta) yang diwakafkan (mauquf), syaratnya:
1. Barang yang dimiliki dapat dipindahkan dan tetap zatnya, berfaedah saat diberikan maupun dikemudian hari.
2. Milik sendiri walaupun hanya sebahagian yang diwakafkan (bercampur dan tidak dapat dipindahkan dengan bahagian yang lain)
Akad, misalnya: “Saya wakafkan ini kepada masjid, sekolah orang yang tidak mampu dan sebagainya” tidak perlu qabul (jawab) kecuali yang bersifat peribadi (bukan bersifat umum).

*Hikmah Wakaf

Hikmah wakaf adalah seperti berikut:

*Melaksanakan perintah Allah SWT untuk selalu berbuat baik. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan buatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan. (al-Hajj: 77)

Memanfaatkan harta atau barang bagi tempoh yang tidak terbatas. Kepentingan diri sendiri sebagai pahala sedekah jariah dan untuk kepentingan masyarakat Islam sebagai sebagai tanggungjawab kaum muslimin. Mengenai hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang tidak memperhatikan urusan dan kepentingan kaum muslimin maka tidaklah ia dari golonganku”.

*Mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan peribadi. Wakaf biasanya diberi kepada pihak berkuasa agama negeri. Kalau di selangor Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Atau di mana-mana organisasi yang berautoriti yang diberi izin oleh pihak berkuasa negeri atau Kerajaan Persekutuan. Kaedah usul fiqh yang bermaksud: “Kemaslahatan umum harus didahulukan daripada kemaslahatan yang khusus”.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 5/6/2009

Sunday, May 24, 2009

Hutang Kad Kredit Adalah Tanggungan Bersama Suami Isteri

Ramai yang tidak mengetahui tentang fakta ini. Harap dapat memberi maklumat berguna kepada anda semua. InsyaAllah.

Soalan:

Saya telah mengambil kad kredit sampingan (supplementary card) untuk suami atas desakannya. Saya baru mendapat tahu bahawa dia telah berbelanja berlebihan kerana selama ini saya tidak pernah menerima bil kad tersebut. Bil kad tersebut telah dihantar ke pejabat suami saya dan dia selalu menyatakan bahawa dia telah membayarnya. Kami kini sedang dalam proses perceraian di mahkamah. Bolehkan saya dipertanggungjawabkan ke atas bil suami saya? Jika ya, apakah yang boleh saya lakukan supaya dia juga dipertanggungjawabkan?

- Juriah Ali, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Terdapat dua persoalan di sini iaitu, bolehkah puan dipertanggungjawab untuk bil kredit kad suami puan dan kedua, sekiranya ya, apakah tindakan yang boleh diambil oleh puan.

Bagi soalan yang pertama, puan akan bertanggungjawab terhadap kesemua bil suami puan kerana puan merupakan pemegang kad kredit utama.

Pada kebiasaannya, pihak bank tidak akan mengambil tindakan terhadap pemegang kad kredit sampingan. Ini kerana di dalam borang permohonan untuk memasukkan pemegang kad sampingan:

1) kelulusan pemegang kad utama adalah diperlukan sebelum kad sampingan dikeluarkan.

2) Terdapat klausa dan/atau syarat dalam borang permohonan yang menyatakan bahawa pemegang kad kredit utama bersetuju untuk bertanggungjawab ke atas kesemua jumlah kredit yang telah digunakan oleh pemegang kad kredit sampingan.

3) Terdapat klausa yang memberikan pilihan terhadap pemegang kad utama sama ada untuk menghadkan jumlah kredit yang boleh diberikan kepada pemegang kad sampingan atau tidak.

Oleh yang demikian, apabila kad kredit sampingan tersebut dikeluarkan, ini bermakna pihak pemegang kad utama telah bersetuju dengan syarat-syarat yang dikenakan oleh pihak bank dan akan bertanggungjawab terhadap jumlah yang dihutang oleh pemegang kad sampingan.

Berkenaan dengan soalan kedua, terdapat beberapa keadaan yang perlu diteliti;

1. Pihak bank telah memulakan tindakan undang-undang terhadap puan tetapi belum mendapat penghakiman. Dalam keadaan ini, puan boleh berbincang dengan pihak bank supaya memasukkan suami puan sebagai salah seorang dengan dalam tindakan tersebut.

Namun, pihak bank sebagai plaintif berhak menentukan terhadap siapa ia akan dituntut. Oleh itu, sekiranya pihak bank enggan memasukkan suami puan sebagai defendan kedua, puan boleh membuat permohonan untuk memasukkan suami puan sebagai pihak ketiga dalam tindakan yang dimulakan oleh pihak bank. Dengan itu, suami puan akan bertanggungjawab untuk membayar balik kepada puan segala hutang di pihaknya sendiri.

2. Pihak bank telah mendapat penghakiman terhadap puan.

Dalam keadaan yang kedua, puan boleh memulakan tindakan undang-undang terhadap suami puan untuk mendapatkan kembali jumlah yang terhutang olehnya. Bagaimanapun, puan harus faham bahawa puan hanya akan dapat menuntut terhadap suami puan sekiranya semua bil ada di dalam simpanan puan.

Bil-bil tersebut mesti menyatakan secara nyata jumlah yang terhutang oleh puan berbanding dengan jumlah yang terhutang oleh suami puan melalui kad kredit sampingan tersebut. Kebiasaannya pihak bank akan membuka dua akaun yang berasingan bagi kedua-dua kad kredit utama dan sampingan. Puan juga boleh meminta pihak bank untuk mengemukakan salinan bil-bil tersebut.

3. Tiada tindakan undang-undang diambil oleh pihak bank tetapi puan telah menjelaskan jumlah yang terhutang itu. Akhirnya dalam keadaan ketiga, puan boleh memulakan tindakan undang-undang terhadap suami puan bagi jumlah yang telah dibayar itu.

Namun, keadaan ini adalah lebih sukar berbanding dengan keadaan yang kedua tadi kerana puan perlu membuktikan dengan jelas bahawa bayaran adalah untuk bahagian hutang bagi suami puan atau bahagian hutang puan sendiri.

Sekiranya semasa puan membuat bayaran puan tidak menyatakan dengan jelas bahawa pembayaran tersebut adalah bagi kad kredit yang mana satu, ini akan menyukarkan puan membuktikan satu kes yang kukuh terhadap suami puan.

Sumber : ahmadhumaizi.com
Tarikh : 24/5/2009

Friday, March 27, 2009

Menuntut pusaka suami

Soalan:

SUAMI saya telah meninggal dunia pada 2007 kerana kemalangan jalan raya. Kami mempunyai seorang anak lelaki yang berumur tujuh tahun. Kami menetap bersama keluarga mertua di Perak. Oleh kerana saya berada dalam keadaan trauma akibat kehilangan suami, melalui surat pengakuan yang ditandatangani, bapa mertua saya telah membantu menguruskan semua harta peninggalan termasuk sebuah perusahaan kecil. Apa yang menjadi kemusykilan saya ialah mengenai pembahagian harta faraid arwah suami. Sehingga kini saya masih belum memperolehi hak 1/8 daripada harta pusaka. Bagaimana pula dengan hak saya untuk mendapatkan harta sepencarian? Apakah yang harus saya lakukan?

Balu Trauma,
Banting, Selangor.

Jawapan:

Secara lazimnya apabila salah seorang ahli keluarga yang meninggal dunia, sudah tentu kita dihadapi dengan persoalan pembahagian harta pusaka. Pengurusan harta pusaka bertujuan untuk memberikan kepada yang berhak dan untuk membantu waris yang ditinggalkan. Lebih-lebih lagi bagi membantu isteri arwah untuk membesarkan anak-anaknya seorang diri.

Hukum syarak telah menetapkan apabila seseorang itu meninggal, hartanya akan dibahagikan mengikut pembahagian faraid. Ayat-ayat 7, 11, 12 dan 176 dalam surah Al-Nisa menggariskan panduan berkenaan waris-waris yang berhak dan juga bahagian-bahagian yang harus diperoleh setiap waris.

Prosedur permohonan pembahagian harta pusaka kecil dipohon di Pejabat Tanah dan Galian iaitu harta yang kurang daripada RM600,000. Pentadbir Tanah akan memastikan sama ada waris ingin membuat tuntutan harta sepencarian. Kemudian kes ini akan dimajukan pula ke mahkamah syariah untuk diputuskan tentang harta sepencarian.

Oleh itu, tuntutan harta sepencarian dilakukan di mahkamah syariah manakala selepas keputusan diperoleh, perintah dari mahkamah syariah itu perlulah diajukan kepada Bahagian Pembahagian Harta Pusaka Kecil supaya harta yang berkaitan sahaja dibahagikan mengikut faraid. Puan sebenarnya tidak perlu untuk memfailkan satu petisyen yang berbeza untuk pembahagian harta pusaka ini.

Seksyen 29 Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, puan berhak untuk membuat rayuan ke mahkamah tinggi atas keputusan yang telah diberikan oleh Pentadbir Tanah. Puan boleh menyatakan bahawa keputusan pembahagian harta pusaka yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah berdasarkan maklumat yang tidak tepat kerana puan sebagai waris yang berhak tidak disenaraikan sebagai salah seorang waris atau apa-apa faktor yang memberi kesan terhadap keputusan tersebut.

Puan boleh memohon agar ulang bicara dijalankan memandangkan terdapat perbalahan atau percanggahan maklumat dan sebagainya di Pembahagian Harta Pusaka Kecil, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Seksyen 16(1) Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, apabila menerima notis rayuan di bawah seksyen 29, hendaklah menunggu sehingga rayuan itu diputuskan.

Puan haruslah bertindak segera sebelum pindah milik harta tersebut sempurna. Ini akan menyulitkan lagi keadaan kerana kemungkinan harta tersebut akan berpindah tangan apabila pindah milik telah sempurna.

Cara yang terbaik untuk menguruskan harta pusaka peninggalan arwah tentulah dengan mencapai satu kata sepakat. Oleh itu, bagi mengelakkan sebarang salah faham, dua orang boleh dilantik sebagai pentadbir harta pusaka arwah. Oleh itu, selain bapa mertua puan, puan juga sebenarnya lebih berhak untuk menjadi pentadbir harta pusaka arwah suami puan. Sekurang-kurangnya, harta peninggalan arwah dapat membantu puan sedikit sebanyak untuk memulakan hidup baru yang lebih mencabar, dan juga demi anak puan.

Diharap penjelasan yang diberikan dapat membantu puan.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 27/3/2009

Friday, June 13, 2008

Wang insurans tidak ikut syarak bukan harta pusaka

Soalan:

Anak lelaki saya sudah meninggal dunia dan meninggalkan saya, ibunya, seorang isteri serta dua anak perempuan. Saya sudah mendapatkan Surat Pentadbir Kuasa bagi mentadbir harta arwah. Dalam surat itu, beliau diamanahkan sebagai wasi dan hendaklah membahagikan wang berkenaan mengikut hukum faraid.

Baru-baru ini, pihak insurans mengeluarkan wang insurans nyawa secara berkelompok arwah kepada balunya. Arwah tiada meletakkan penama untuk insurans itu. Namun, sehingga kini balu arwah tidak membahagikan wang berkenaan mengikut faraid atau menyimpan di tabung amanah untuk cucu saya walaupun dinasihatkan berkali-kali. Alasannya ialah wang insurans itu adalah insurans konvensional dan bukan secara Islam, jadi tidak perlu dibahagikan mengikut faraid.

Apakah hak saya dan waris lain khasnya cucu terhadap wang insurans nyawa itu sama ada ia secara konvensional mahupun Islam.

Ayah dan datuk,
Selangor Darul Ehsan.

Jawapan:

Isu dalam kes ini ialah sama ada wang pampasan insurans nyawa boleh dianggap sebagai harta pusaka atau sebaliknya kerana seseorang yang mengambil insurans nyawa sama ada melalui syarikat insurans konvensional atau secara Islam, beliau akan mencarum sejumlah wang tertentu setiap bulan.

Menurut Akta Insurans, insurans nyawa yang diambil pencarum terbahagi kepada dua jenis iaitu insurans nyawa yang dilantik penama dan insurans nyawa tidak dilantik penama. Pampasan insurans nyawa yang tidak dilantik penama adalah menjadi harta pusaka dan hendaklah dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid.

Bagi pampasan insurans nyawa dilantik penama, ada dua keputusan mahkamah yang berbeza di mana dalam kes Re Man Minhat (1965) 2 MLJ 1 yang diikuti oleh kes Re Bahadun Hassan (1974) 1 MLJ 4, mahkamah memutuskan pampasan insurans nyawa menjadi hak penama.

Namun, dalam kes Re Ismail Rentah (1939) FMSLR 230 dan (1940) MLJ 98, Mahkamah Tinggi memutuskan sebaliknya di mana fakta kes lebih kurang sama dengan kes Re Man Minhat, penama adalah isteri si mati.

Mahkamah memutuskan bahawa undang-undang Islam adalah sebahagian undang-undang awam negeri. Di bawah undang-undang Islam, mengikut kajian mahkamah seseorang boleh membuat hibah harta yang tertentu ketika hayatnya.

Hibah yang diberi dalam marad al-mawt dianggap sebagai pemberian melalui wasiat, pemberian kepada seorang waris (isteri) adalah tidak sah melainkan waris lain bersetuju. Surat penama tidak boleh dianggap sebagai hibah masa hidup kerana tiada pindah milik kepada orang yang menerima.

Oleh itu, mengikut undang-undang Islam, jumlah wang itu terpulang untuk dibahagikan kepada semua waris dan bukan menjadi milik isteri sebagai penama.

Hukum berkaitan penama sudah difatwakan pada 1973 di mana penama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Wang Simpanan Pejabat Pos, bank, insurans dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang yang melaksanakan wasiat si mati untuk dibahagikan kepada orang yang berhak menurut pembahagian faraid.

Penama adalah orang yang diberi kuasa untuk mengeluarkan wang si mati dengan mudah dan segera tanpa perlu melalui proses pembahagian harta pusaka mengikut undang-undang pembahagian harta pusaka.

Namun, penama bukanlah pemilik wang itu kerana penama hanyalah bertindak sebagai wasi atau pemegang amanah. Selepas mengeluarkan wang, penama hendaklah membahagikannya kepada waris mengikut faraid.

Dalam kes tuan, laporan polis boleh dibuat berkaitan tindakan balu arwah pecah amanah sebagai wasi pampasan insurans seperti dinyatakan dalam surat syarikat insurans kepadanya. Tuan juga boleh memfailkan kes di Mahkamah Sivil bagi tuntutan itu.

Namun, rujukan harus dibuat kepada fatwa berkaitan penggunaan wang insurans nyawa itu. Pada 1979, Kesatuan Ulama Fiqh Dunia yang bersidang di Makkah, majoritinya memutuskan insurans jenis perniagaan sama ada ke atas barang perniagaan, nyawa dan lain-lain daripada jenis harta adalah haram.

Pada 1985, majoriti ulama sedunia mengharuskan insurans jenis kerjasama iaitu insurans termasuk dalam jenis kontrak sumbangan ikhlas yang diikat untuk mencapai matlamat bantu membantu antara individu masyarakat yang menghadapi musibah dan demi mengurangkan bebanan ditanggung berdasarkan syarat ditetapkan oleh syarak.

Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan memutuskan hukum memakan wang daripada wang insurans nyawa bagi syarikat insurans yang mengamalkan kegiatan bertentangan dengan hukum syarak adalah haram.

Maka, tuan perlu meneliti sama ada syarikat insurans arwah menjalankan kegiatan yang menurut hukum syarak atau tidak sebelum membelanjakan wang pampasan itu. Jika syarikat berkenaan tidak menjalankan kegiatan mengikut hukum syarak, wang daripada insurans selepas pencarum meninggal dunia hukumnya adalah tidak menjadi harta pusaka.

Hanya wang pendahuluan atau wang yang dibayar setiap bulan oleh si mati saja menjadi harta pusaka dan perlu dibahagikan mengikut faraid.

Berbincanglah secara baik dengan balu arwah serta dapatkan khidmat guaman yang meliputi undang-undang sivil dan hukum syarak supaya pembahagian dan penggunaan wang insurans itu menurut hukum syarak.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak.

Sumber: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Tarikh: 13/6/2008

Thursday, May 29, 2008

Peguam Syarie Menulis: Harus wasiat semua harta kepada anak

Soalan:

Merujuk permasalahan bekas isteri dari Perlis pada 8 Mei lalu, saya mulai terfikir permasalahan yang mungkin saya hadapi. Saya dan suami mempunyai empat anak dan semuanya perempuan. Ini bermakna kami tidak mempunyai waris anak lelaki. Adakah dibolehkan dalam Undang-Undang Islam bagi kami untuk mewasiatkan harta yang kami ada ketika hidup kepada semua anak kami melalui mana-mana pemegang amanah?

Azizah,
Kuala Lumpur.

Jawapan:

Bagi menjawab persoalan puan, rujukan adalah melalui Bab Wasiat, Kitab Fikah Mazhab Syafie oleh Dr Mustofa Al Khin, Dr Mustofa Al Bugho dan Ali Asy Syarbaji.

Hukum asal ketika peringkat awal kedatangan Islam berkaitan wasiat adalah wajib mewasiatkan semua harta kepada ibu bapa dan sanak-saudara. Dalilnya firman Allah bermaksud: Kamu diwajibkan apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang yang bertakwa. (Al Baqarah:180)

Namun, kewajipan itu dimansuhkan dengan ayat-ayat dan hadis-hadis yang berkaitan dengan pusaka. Cuma amalan berwasiat masih digalakkan dengan had maksimum satu pertiga saja daripada harta dan diberikan kepada selain ahli waris.

Kitab Fikah Mazhab Syafie merujuk Abdullah bin Abbas r.a, berkata: Hukum wasiat terus diamalkan berdasarkan firman Allah bermaksud: Kamu diwajibkan apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat…sehinggalah ayat ini dimansuhkan dengan ayat pusaka Abu Daud dalam Kitab Wasiat, Bab Hadis Memansuhkan Wasiat Kepada Ibu bapa dan Kerabat.

Rasulullah bersabda bermaksud: Sesungguhnya Allah mengurniakan hak kepada setiap yang berhak. Tidak harus wasiat untuk pewaris. (Riwayat Abu Daud). Peraturan asas wasiat, ia hanya boleh diberikan kepada bukan waris. Anak adalah ahli waris, oleh itu merujuk nas, tidak boleh membuat wasiat kepada anak berkenaan.

Tujuan peraturan ini adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan pahala serta memenuhi segala kekurangan ketika hayat pembuat wasiat. Anak dan waris lain mendapat bahagian mereka melalui pusaka.

Di dalam kes puan, puan ingin mewasiatkan semua harta kepada semua anak perempuan kerana tiada anak lelaki. Jika merujuk nas dan pendapat utama mazhab Syafie, wasiat sebegini hukumnya harus, tetapi tidak boleh dilaksanakan kecuali selepas mendapat persetujuan waris lain.

Hanya dengan persetujuan waris lain barulah wasiat itu boleh dilaksanakan. Waris lain puan merujuk sama ada ibu bapa, abang atau adik lelaki puan di mana mereka berhak melalui hukum faraid mendapat bahagian melalui pusaka puan. Oleh itu, sama ada puan dan suami membuat wasiat semua harta atau 1/3 saja kepada anak perempuan saja walaupun melalui mana-mana pemegang amanah, hukum asalnya sama seperti pendapat utama mazhab Syafie itu.

Ia juga merujuk sabda Rasullullah s.a.w bermaksud: Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain (Riwayat Daruqutni daripada Ibnu Abbas r.a).

Beberapa perkara perlu diketahui puan berkaitan wasiat kepada waris ini iaitu:

1) Jika wasiat ditujukan kepada waris, penerimaan atau penolakan waris ketika hayat pewasiat tidak memberikan sebarang kesan kerana pewaris tidak mempunyai sebarang hak dalam pusaka ketika hayat pewasiat. Mana-mana waris yang menerima wasiat melalui wasiat ketika hidup pewasiat, boleh menolaknya selepas kematian pewasiat. Mana-mana waris yang menolak harta ketika pewasiat masih hidup, boleh menerimanya selepas kematian pewasiat. Oleh itu, setiap waris tidak terikat dengan mana-mana perjanjian wasiat yang dibuat ketika hayat pewasiat.

2) Penerima wasiat mesti menjadi waris ketika kematian pewasiat, bukan ketika wasiat dibuat. Jika pewasiat mewasiatkan harta kepada saudaranya kerana beliau tidak mempunyai anak, tetapi sebelum pewasiat mati, pewasiat mendapat anak lelaki, wasiat itu sah dan boleh dilaksanakan kerana pada masa kematiannya, saudaranya bukan lagi waris yang berhak menerima pusaka kerana anak lelaki menghalang saudara kandung daripada mendapat pusaka.

3) Jika selepas kematian pewasiat, sebahagian pewaris setuju dan sebahagian lagi membantah, maka hukumnya perlu diperinci. Wasiat dibatalkan daripada bahagian waris membantah dan dilaksanakan pada bahagian waris yang setuju mengikut bahagian mereka dalam pusaka.

4) Jika wasiat berkaitan wakaf dan hadiah dibuat kepada waris ketika pewasiat hampir mati ia juga memerlukan persetujuan waris yang lain. Merujuk Ahmad Hidayat Buang dalam Bagaimana Membuat Wasiat, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, hikmah waris tidak berhak menerima wasiat daripada pewasiat adalah kerana hak mereka sudah dijamin hukum syarak melalui hukum faraid. Maka, pewasiat tidak wajar merosakkan keseimbangan agihan pusaka secara faraid yang ditetapkan hukum syarak.

Jawapan soalan oleh Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah binti Abd Razak.

Sumber: Berita Harian
Tarikh: 29/5/2008

Sunday, May 11, 2008

Isteri bercerai putus hak wang KWSP suami

Soalan:

SAYA bercerai secara fasakh di Perlis. Setahun selepas bercerai, bekas suami meninggal dunia. Kami mempunyai empat anak dan semuanya dipelihara oleh ibu bapa mentua. Arwah meninggalkan tiga rumah semuanya berada di Selangor yang dibeli ketika dalam tempoh perkahwinan, sebuah kereta dan wang di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ibu bapa mentua sudah mendapatkan sijil faraid dan dalam proses pembahagian harta pusaka. Saya menerima sejumlah wang daripada KWSP kerana arwah menamakan saya sebagai penama. Baru-baru ini ibu bapa mentua meminta semua wang KWSP yang saya terima dengan alasan saya tidak berhak menerima wang KWSP.

Saya ingin tahu hak saya dan anak terhadap wang KWSP dan harta lain kerana saya tidak sempat menuntut semua itu sebelum arwah meninggal dunia. Jika boleh menuntut, di manakah sewajarnya saya menuntut, sama ada di Perlis atau Selangor?

Bekas Isteri,
Perlis Indera Kayangan

Jawapan:

SEMOGA puan dan anak sentiasa dalam rahmat dan reda Allah melalui hari mendatang. Mengikut fatwa dan amalan semasa, wang simpanan si mati dalam KWSP adalah harta pusaka dan bukannya harta sepencarian. Ia mesti dibahagikan mengikut hukum faraid. Ia jelas melalui Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-49 pada September 2000 iaitu wang KWSP dan wang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid kerana wang itu dicarum si mati semasa hayatnya kepada KWSP maka wang itu adalah milik si mati.

Oleh itu, wang milik si mati adalah harta pusaka. Walaupun puan dinamakan sebagai penama untuk mengeluarkan dan menerima wang itu, wang yang diterima hendaklah dibahagikan kepada waris mengikut faraid. Fatwa Kebangsaan juga memutuskan penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum faraid.

Keputusan fatwa juga menetapkan Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hendaklah menasihatkan KWSP supaya menyemak semula peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung dengan penamaan supaya selaras dengan hukum syarak. KWSP turut memberikan peringatan kepada penerima seperti berikut: “Bagi ahli yang beragama Islam, penerima waran ini adalah sebagai wasi atau pentadbir dan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mentadbir dan membahagikan simpanan KWSP ahli mengikut undang-undang Islam (faraid).

Pelantikan penama hanyalah sebagai amalan biasa dalam KWSP mahupun mana-mana institusi kewangan seperti Tabung Haji dan bank. Majlis Raja-Raja kali ke-96 pada September 1973 memberikan pendapat yang dikeluarkan sebagai fatwa seperti berikut: Penama KWSP, Wang Simpanan Pejabat Pos, bank, insurans dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati daripada sumber itu untuk dibahagikan kepada orang yang berhak menurut pembahagian faraid.

Persoalan sama ada penama berhak kepada harta atau wang simpanan menurut hukum syarak atau sebaliknya dan sama ada harta atau wang simpanan itu dianggap sebagai harta pusaka si mati atau tidak timbul dalam kes Re Ismail bin Rentah (si mati) (1939) FMSLR 230. Dalam kes itu si mati menjadi ahli Syarikat Koperatif Pegawai Melayu, perkhidmatan awam dan menamakan anak perempuannya sebagai penama untuk menerima saham dan faedahnya dalam syarikat itu apabila beliau meninggal dunia.

Ketika kematiannya, si mati meninggalkan waris iaitu balu, ibu, anak perempuan, saudara lelaki dan saudara perempuan. Penolong Pendaftar memerintahkan saham dan faedah si mati daripada syarikat dibahagikan kepada waris dan bukan hanya kepada penama seorang. Penama membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi dan diperintahkan bahawa rayuan ditolak.

Yang Arif Hakim Raja Musa dalam keputusannya memutuskan: Dalam pendapat saya, surat penama dalam kes ini tidak boleh dianggap sebagai hibah masa hidup oleh kerana tidak ada pindah milik kepada orang yang menerima. Sebaiknya dia boleh dianggap sebagai hibah dalam masa mard al mawt, akan tetapi hibah dalam masa sedemikian dianggap sebagai tertakluk kepada undang-undang wasiat. Oleh kerana itu mengikut undang-undang Islam, jumlah itu terpulang untuk dibahagikan kepada semua waris.

Walaupun puan dilantik sebagai penama KWSP tetapi puan tidak termasuk sebagai waris pusaka si mati untuk mewarisi wang KWSP kerana pertalian di antara puan dengannya sebagai waris pusaka sudah terputus disebabkan perceraian antara puan dengannya sebelum arwah meninggal dunia. Namun, terpulanglah kepada peguam puan untuk berhujah menyatakan puan masih berhak ke atas 1/3 wang KWSP menggunakan undang-undang wasiat atau hibah semasa mard al-mawt seperti dinyatakan kes di atas.

Bagaimanapun, puan masih berhak untuk menuntut harta sepencarian terhadap rumah dan kereta arwah. Ia kerana tiada had masa untuk seseorang menuntut harta sepencarian selepas perceraian. Arahan Amalan No 5 tahun 2003 bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan berhubung dengan masa membuat tuntutan harta sepencarian dibolehkan sama ada semasa tuntutan perceraian atau selepas perceraian atau selepas kematian mana-mana pihak.

Oleh itu, puan masih boleh menuntut harta sepencarian terhadap rumah dan kereta arwah dengan membuktikan sumbangan puan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam pemerolehan harta berkenaan. Berkaitan di mana puan perlu memfailkan kes tuntutan harta sepencarian, walaupun ia masih dipertikaikan oleh khalayak namun menurut Arahan Amalan No 6 tahun 2003, penentuan mahkamah yang berbidang kuasa membicarakan kes harta sepencarian adalah mahkamah di mana perintah perceraian atau pengesahan perceraian dikeluarkan.

Jika perintah perceraian fasakh puan dikeluarkan oleh mahkamah di Perlis, maka puan perlu memfailkan tuntutan itu di Perlis walaupun harta semuanya berada di Selangor. Berkaitan hak anak puan, mereka adalah waris yang sah dan berhak menerima pusaka arwah selepas hutang dan harta sepencarian ditolak daripada pusaka arwah. Berbincanglah dengan mentua untuk menyelesaikan kes tuntutan harta sepencarian dan faraid secara baik.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Siti Razasah Abd Razak.

Sumber: Persatuan Peguam Syarie Malaysia
Tarikh: 11/5/2008

Thursday, May 1, 2008

Mahkamah Syariah boleh dengar kes tuntutan hutang

Soalan:

SAYA seorang guru, sudah berkahwin selama 10 tahun dan mempunyai tiga anak. Saya bercerai akhir 2007.

Sepanjang perkahwinan, saya banyak berkorban untuk keluarga, memberikan dua pertiga gaji untuk urusan keluarga seperti membayar sekolah anak, duit belanja dan barang dapur. Ketika itu saya tidak kisah kerana fikirkan suami isteri mesti bekerjasama untuk keluarga. Saya juga selalu memberi duit kepada suami kerana katanya dia tiada duit untuk belanja. Semua jumlah kecil itu saya tidak ingat jumlahnya.

Tetapi saya pernah memberi RM20,000 kepada suami sebagai hutang ketika kami belum bercerai. Tujuan beliau meminjam wang itu untuk digunakan sebagai tambahan modal perniagaannya. Ada perjanjian ditandatangani antara saya dan bekas suami menyatakan hal-ehwal hutang itu. Sekarang kami sudah bercerai dan perniagaan bekas suami nampaknya maju kerana beberapa kali menukar kereta.

Persoalannya adakah saya boleh memfailkan tuntutan hutang ini di Mahkamah Syariah. Saya juga mempunyai tuntutan lain yang difailkan di Mahkamah Syariah seperti mutaah dan harta sepencarian yang akan diberi keputusannya tidak berapa lama lagi. Oleh kerana hutang itu sudah lama dan tidak pernah dibayar oleh bekas suami, adakah saya dihalang daripada menuntutnya sekarang.

Isteri Malang,
Klang.

Jawapan:

Puan perlu bersabar dan kuatkan hati menerima dugaan. Puan bukan seorang yang malang kerana apa saja takdir Ilahi mempunyai hikmah di sebaliknya. Kita terima dengan hati terbuka dan positif. Insya Allah masa depan puan akan lebih cemerlang.

Berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah, Seksyen 61 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 menjelaskan bahawa dalam kes mal, Mahkamah Syariah berbidang kuasa mendengar serta memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan itu adalah orang Islam, tindakan itu berhubungan dengan:

• Pertunangan, perkahwinan, rujuk, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz atau perkara pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara berkaitan perhubungan suami isteri;
• Apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara dinyatakan di atas;
• Nafkah orang tanggungan, kesahatarafan atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak;
• Pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;
• Wasiat atau alang ketika nazak (marad al maut);
• Alang ketika hidup atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan memadai dengan wang atau nilaian wang oleh seseorang Islam;
• Wakaf atau nazar; Pembahagian dan perwarisan harta berwasiat atau tidak berwasiat;
• Penentuan orang berhak kepada bahagian harta pusaka si mati yang beragama Islam atau bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak;
• Pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam;
Pengisytiharan bahawa seseorang itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya;
• Pentadbiran masjid;
• Perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Walaupun tiada peruntukan khusus berhubung dengan hutang piutang antara suami isteri, apa-apa pelupusan atau tuntutan harta berbangkit daripada pertunangan, perkahwinan, rujuk, perceraian, pembubaran perkahwinan, nusyuz atau pemisahan kehakiman termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti diperuntukkan dalam seksyen 61 di atas.

Hutang bekas suami kepada puan tentunya berbangkit daripada perkahwinan antara puan dengannya. Dalam perkataan lain, jika puan tidak berkahwin dengan bekas suami, tentulah hal ehwal hutang piutang ini tidak berlaku. Oleh itu, Mahkamah Syariah berkuasa mendengar dan memutuskan tuntutan puan.

Dalam kes Moriazi Mohamad lawan Ajmawati Attan, Mahkamah Rayuan Syariah Selangor memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa membicarakan tuntutan hutang piutang, walaupun di sana tiada peruntukan khusus mengenainya.
Tuntutan hutang piutang itu terbit daripada perkahwinan mereka, disebabkan mereka berkahwin, maka berlakulah transaksi antara mereka termasuk berniaga dan pinjam meminjam modal dan sebagainya, hatta kepada hutang piutang.

Oleh kerana peruntukan khusus tidak wujud dalam mana-mana undang-undang bertulis, maka dalam hal ini, Mahkamah Syariah boleh menggunakan peruntukan hukum syarak. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Selangor 2003 menjelaskan dalam seksyen 245(2) bahawa jika wujud lacuna (lompang) atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata oleh enakmen ini, mahkamah hendaklah memakai hukum syarak.

Oleh demikian, berdasarkan peruntukan undang-undang yang disebut di atas dan kes Mahkamah Rayuan Syariah Selangor yang diputuskan itu, puan boleh menuntut hutang dibuat suami di Mahkamah Syariah dan bukan di Mahkamah Sivil. Puan dinasihatkan mengemukakan saksi, bukti dokumen dan sebagainya bagi menyokong keterangan ketika membuat ganti rugi. Beban untuk membuktikan bahawa suami berhutang terletak pada bahu puan.

Berhubung had masa pula, berbeza tuntutan hutang di Mahkamah Sivil yang hanya boleh dibuat dalam tempoh enam tahun daripada tarikh keingkaran, di Mahkamah Syariah dan dalam hukum syarak tidak memperuntukkan masa seperti itu. Ini bermakna tiada had masa bagi tuntutan di Mahkamah Syariah. Perkara itu walaupun sudah lama berlalu, puan masih lagi boleh membuat tuntutan itu di Mahkamah Syariah.

Tuntutan hutang juga tidak akan memprejudiskan tuntutan lain yang puan failkan terhadap bekas suami seperti mutaah dan harta sepencarian. Tuntutan itu adalah berasingan dan memerlukan pembuktian berlainan. Tuntutan itu adalah hak puan yang dinyatakan dalam hukum syarak dan dikanunkan sebagai undang-undang.

Oleh itu, puan tidak perlu risau berhubung perkara berkenaan. Mahkamah akan membuat keputusan berdasarkan tuntutan dan pembuktian dikemukakan di mahkamah.

Jawapan disediakan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar.

Sumber: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Tarikh: 1/5/2008

Saturday, December 22, 2007

Apakah Harta Sepencarian?

Oleh: Muhamad Isa Abd Ralip
Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Soalan:

RUMAH tangga saya bahagia selepas berkahwin lebih 15 tahun. Kemusykilan saya ialah apabila mengenai pasangan bergaduh, bercerai atau apabila satu pasangan meninggal dunia, kemudian mereka menuntut harta yang dibeli bersama.

Timbul kemusykilan kenapa suami isteri boleh menuntut harta sepencarian, apa beza dengan harta pusaka sedangkan bahagian harta pusaka untuk suami atau isteri sudah ditetapkan melalui sistem faraid. Apa rasionalnya dibenarkan menuntut harta sepencarian dan bagaimana mahkamah syariah membuat keputusan atau mekanisme yang digunakan untuk mengira jumlah nilai harta sepencarian?

Suami Bertuah
Selangor

Jawapan:

Harta sepencarian mengikut syarak ditafsirkan sebagai pemerolehan harta sepanjang tempoh perkahwinan sama ada membabitkan harta alih atau tak alih dan pihak yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Tuntutan biasanya ditimbulkan oleh isteri atau bekas isteri apabila membabitkan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkahwinan sama ada secara tak langsung misalnya urusan menguruskan rumah tangga. Sumbangan secara langsung misalnya isteri mengeluarkan modal terutama dalam bentuk kewangan untuk mendapatkan harta dalam tempoh perkahwinan. Begitu juga jika satu pihak itu meninggal dunia, pasangan akan meminta harta itu dibahagikan dulu sebagai harta sepencarian sebelum diisytihar sebagai harta pusaka.

Kitab At-Turuq al-Hukmiyah karya Ibnu Qayyim al-Juziyyah mengatakan, dalam tuntutan suami isteri membabitkan harta sepencarian, tuntutan hendaklah berdasarkan keterangan pihak yang membuktikan tuntutan itu.

Pemilikan ke atas sesuatu harta bukan berdasarkan kepada nama atas harta itu semata-mata kerana nama tertera belum membuktikan dia pemilik sebenar. Kenyataan itu dibuat dengan maksud adalah satu kezaliman jika hak milik sesuatu harta hanya diambil kira berdasarkan nama atas harta itu semata-mata sedangkan pihak satu lagi mungkin menyumbang cuma namanya tidak dinyatakan ke atas harta berkenaan.

Rasional keharusan pembahagian harta sepencarian menunjukkan pengiktirafan syarak terhadap hak, habuan dan pemilikan pihak berusaha mendapatkan harta itu sepanjang perkahwinan. Hukum harta sepencarian tidak dinyata secara jelas. Cuma pembahagian itu dibuat bersandarkan kemaslahatan pihak atas prinsip keadilan dan hak.

Prosedur pembahagian harta sepencarian juga tidak dinyatakan secara tepat dalam hukum syarak. Merujuk kepada amalan biasa penghakiman di mahkamah syariah, pembahagian harta sepencarian ke atas seorang isteri ditentukan setakat harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan.

Ini termasuk sumbangan isteri menguruskan rumah tangga, menjaga anak, melayan suami, menyebabkan suami merasa kehidupan yang tenang dan dapat menumpukan kerjaya sehingga suami dapat memperoleh harta dalam tempoh perkahwinan mereka. Tuntutan terhadap harta sepencarian bukanlah dihadkan kepada isteri saja, malah suami juga berhak menuntut harta sepencarian daripada isteri.

Seksyen 122 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 (EUKIS 2003 menetapkan: Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagikan antara mereka atau supaya aset yang diperoleh pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan dibahagikan antara pihak-pihak itu.

Kemudian seksyen 122 (2) menjelaskan, pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), mahkamah hendaklah mengambil perhatian mengenai:

• Takat sumbangan yang dibuat tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset itu,
• Apa-apa yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka,
• Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.

Tertakluk kepada seksyen 122 (2), mahkamah hendaklah membuat pertimbangan sama banyak. Namun, mahkamah juga boleh memerintahkan supaya aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan sama rata antara kedua pihak sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 122 (3).

Untuk menjalankan perintah di bawah Seksyen 122(3) mahkamah hendaklah memberi perhatian terhadap beberapa perkara seperti mana yang diperuntukkan di bawah seksyen 122 (4):

> Takat sumbangan yang dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga,
> Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.

Tertakluk kepada pertimbangan seksyen 122 (4), mahkamah dengan kuasa yang ada boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan mengikut apa-apa kadar yang difikirkan munasabah, tetapi walau bagaimanapun, pihak yang memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

Perbezaan harta sepencarian dan faraid adalah faraid pembahagian harta pusaka yang ditetapkan syarak kepada para ahli waris. Ada tiga golongan ahli waris yang melayakkan mereka menerima harta pusaka, pertama, melalui hubungan keturunan, perkahwinan dan juga wala’ (hubungan kekeluargaan). Isteri termasuk dalam golongan waris yang layak menerima pusaka melalui hubungan perkahwinan.

Hukum pusaka disyariatkan dalam Islam. Ia telah disahkan serta dinyatakan dalam al-Quran dan sunnah serta ijma’ ulama.

Sumber: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Tarikh: 22/12/2007