Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Showing posts with label Bank Negara Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Bank Negara Malaysia. Show all posts

Thursday, March 17, 2011

Tindakan BNM berkesan?

Oleh FAIRUS KASSIM
bisnes.utusan@gmail.com

KUALA LUMPUR 16 Mac - Tindakan bank pusat mengehadkan pembiayaan pembelian rumah kediaman untuk menyekat berlakunya spekulasi harga, ternyata membuahkan hasil, kata sebuah firma perunding hartanah.

--------------------------------------------------------------------------------


Rumah menjadi semakin mudah dimiliki rakyat berikutan kurangnya berlaku spekulasi harga yang menyebabkan harga melonjak terlalu tinggi. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

Sebelum ini, pihak-pihak tertentu mudah mendapat pinjaman untuk membeli rumah pada kuantiti yang banyak sehingga 10 buah sebelum menjual semula untuk mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Dasar yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM) telah berjaya mengurangkan permainan spekulasi harga oleh individu yang tidak bertanggungjawab, sekali gus mengawal kenaikan harga rumah pada tahun ini.

Menurut kajian firma berkenaan, C. H. Williams Talhar & Wong (WTW), kenaikan harga rumah tahun ini dijangka meningkat sedikit tetapi lebih lebih rendah berbanding kenaikan pada tahun lalu.

BNM, sebelum ini telah mengarahkan semua bank mengehadkan pinjaman perumahan untuk rumah ketiga kepada pembiayaan sebanyak 75 peratus sahaja daripada nilai pasaran mulai November tahun lalu.

Pengarah Urusan WTW, Foo Gee Jen berkata, kenaikan nilai rumah kediaman terutamanya kawasan utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru pada tahun ini, diramal sekitar 10 hingga 15 peratus berbanding 15 hingga 25 peratus tahun lalu.

Katanya, kenaikan lebih perlahan tersebut disebabkan bilangan pemain spekulasi harga rumah semakin berkurangan selepas undang-undang baharu pinjaman perumahan dikuatkuasa.

''Kurangnya berlaku spekulasi harga telah menjadi nilai rumah tahun ini dijangka mampu dimiliki rakyat dan bilangannya juga kembali stabil,'' kata beliau hari ini pada sidang akhbar tentang tinjauan potensi nilai hartanah 2011, di sini.

Gee Jen juga berkata, persepsi terhadap kemungkinan berlakunya peningkatan harga hartanah secara keterlaluan atau gelembung aset tidak lama lagi oleh penganalisis hartanah telah menakutkan pembeli dan mengurangkan transaksi pembelian rumah.

''Menurut kajian kami, stok rumah kediaman pada tahun ini adalah stabil walaupun tidak banyak projek perumahan baharu dilancarkan kerana masih banyak yang gagal dijual di pasaran pada tahun lalu,

''Tindakan mengurangkan projek perumahan yang baharu ketika ini, sangat baik untuk memastikan nilai rumah kembali stabil,'' jelas beliau.

Gee Jen berkata, untuk mengetahui kenaikan harga rumah stabil setiap tahun atau tidak, peratusannya mestilah tidak melebihi tiga kali ganda nilai pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

Sementara itu, beliau berkata, sektor-sektor lain seperti perumahan jenis kondominium, hotel, pejabat dan peruncitan dijangka kekal kukuh tahun ini kesan pengumuman beberapa projek mega dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Gee Jen berkata, sebanyak 17 juta kaki persegi ruang pejabat dijangka ditawarkan sehingga tahun 2014 manakala sektor peruncitan dijangka menokok 2 juta kaki persegi setahun.

Katanya, kawasan segi tiga emas di Kuala Lumpur juga dijangka berkembang hampir empat kali ganda pada masa depan apabila projek seperti Menara Warisan, Greater KL, pembangunan Kampung Baru dan pembangunan tapak lapangan terbang Sungai Besi berjaya dilaksanakan.

Katanya lagi, Projek Transit Aliran Pantas (MRT) yang dijangka siap pada 2016 akan menjadikan Sungai Buloh sebagai bandar berpotensi besar untuk membangun pada masa depan.

''Selain bakal dihubungkan dengan MRT, hasrat kerajaan untuk meningkatkan tahap hubungan lebuh rayanya juga menjadi faktor penggalak kepada peningkatan nilai hartanah di sana,'' kata Gee Jen.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 17/3/2011

Tuesday, March 15, 2011

Keterlaluan tuduh syarikat insurans ‘penipu’

SAYA terpanggil untuk memberi pandangan terhadap suara-suara yang menuduh syarikat-syarikat insurans terutamanya yang terlibat di dalam insurans kenderaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebagaimana dilaporkan olen Utusan Malaysia pada 11 Mac lalu.

Pertama sekali, menuduh premium yang dikenakan oleh syarikat-syarikat insurans itu tidak masuk akal adalah keterlaluan dan tidak berasas.

Apakah syarikat-syarikat insurans mengenakan premium secara sesuka hati? Untuk pengetahuan, premium dikira berasaskan pengalaman tuntutan (claim experience) daripada pemegang-pemegang polisi yang membuat tuntutan ke atas kemalangan dan kerosakan yang mereka alami.

Pihak syarikat insurans juga terpaksa menanggung kos-kos lain berkaitan dengan pengurusan tuntutan seperti membayar fee guaman, bengkel kereta, trak tunda dan adjuster selain daripada kos pengurusan syarikat itu sendiri.

Sekiranya kos keseluruhan (combined cost) tuntutan motor pihak ketiga melebihi 200% (ini adalah statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara) yakni setiap RM1 yang dikutip oleh syarikat insurans, syarikat ini terpaksa membayar RM2, adakah ini masuk akal?

Tidak ada peniaga di Malaysia, malah di dunia ini yang ingin menjalankan perniagaan seperti ini. Sila ambil ingatan bahawa syarikat-syarikat insurans bukanlah organisasi kebajikan!

Perkara kedua ialah, kadar premium ditentukan oleh pengalaman tuntutan (claims experience) seseorang pemegang polisi. Di negara-negara Barat yang maju, terdapat lebih daripada 10 faktor penentu kadar premium yang harus dibayar oleh seseorang pemegang polisi, termasuk gender pemandu, usia kenderaan, lokasi penyimpanan, usia pemandu selain daripada kuasa kuda kenderaan dan jumlah diinsuranskan.

Asas pengiraan seperti in dianggap lebih adil kerana ia ‘menghukum’ pemandu yang berisiko tinggi misalnya selalu terlibat dalam kemalangan, kenderaan berkuasa kuda tinggi, pemandu yang muda, kenderaan yang sudah berusia kerana kemungkinan terlibat di dalam kemalangan disebabkan keuzuran mekanikal adalah tinggi atau kenderaan diletak di tepi jalan sahaja. Namun di Malaysia, kita masih beruntung kerana asas pengiraan premium insurans masih berdasarkan kuasa kuda, jumlah diinsuranskan dan sama ada polisi pihak ketiga atau komprehensif, sebagaimana yang diamalkan 30 tahun dahulu.

Sekira Malaysia mengikuti cara pengiraan sepertimana di negara-negara Barat, kadar premium mungkin tidak langsung termampu dibayar oleh pemegang-pemegang polisi di negara ini yang telah sebati dengan mentaliti subsidi!

Saya ingin huraikan lebih lanjut mengenai pengalaman tuntutan di negara ini. Unsur-unsur tuntutan termasuklah kemalangan, kerosakan dan kecurian kenderaan. Statistik yang dikeluarkan oleh PIAM (Persatuan Insurans Am Malaysia) jelas menunjukkan peningkatan di dalam kes-kes kemalangan yang melibatkan nyawa dan kenderaan serta kes-kes kecurian kenderaan.

Semua perbelanjaan membaiki, ganti rugi kepada mereka yang terlibat termasuk bayaran rawatan dan fee guaman ditanggung oleh syarikat-syarikat insurans. Cuba bandingkan kos alat ganti kenderaan, kos perubatan dan kos guaman pada hari ini dengan kos 30 tahun dahulu. Sudah tentu seorang pun tidak dapat menafikan bahawa kos-kos tersebut telah meningkat dengan ketaranya. Di manakah syarikat-syarikat insurans mendapatkan dana untuk membiayai kos-kos ini?

Tentu sekali daripada bayaran premium yang diterima. Bayangkanlah sekiranya syarikat-syarikat insurans ini menerima jumlah premium yang sama dengan yang diterima 30 tahun dahulu, tapi terpaksa membayar kos tuntutan dengan harga hari ini. Bolehkah syarikat-syarikat ini hidup?

Tuduhan bahawa syarikat-syarikat insurans adalah ‘penipu paling besar di negara ini’ adalah keterlaluan dan tidak berhemah. Tuduhan ini juga meliputi pengendali-pengendali takaful yang menjalankan operasi mereka berlandaskan prinsip-prinsip syariah.

Juga, tuduhan Bank Negara Malaysia, pihak berkuasa yang menyelia industri insurans sebagai buta dan tidak tahu langsung adalah liar dan tidak bertanggungjawab. Rangka kawalan dan seliaan industri-industri kewangan termasuk urusan perbankan oleh BNM adalah antara yang terbaik di dunia.

BNM mengumumkan baru-baru ini langkah pengstrukturan semula kadar premium pihak ketiga yang sedia ada dan menjangkakan peningkatan berperingkat selama empat tahun bermula daripada tahun 2012.

Perlu diingat bahawa, untuk mencapai tahap kadar premium yang ‘berpatutan’, faktor-faktor yang mempengaruhi pengalaman kadar tuntutan seperti yang saya nyatakan di perenggan di atas perlu diambil kira.

BNM mempunyai tanggungjawab menjaga kepentingan pengguna namun pada masa sama BNM haruslah menentukan syarikat-syarikat insurans kukuh di segi kewangannya supaya apa yang berlaku di sesebuah syarikat insurans tidak memberi kesan jangkitan (contagion)yang akan melumpuhkan keseluruhan industri insurans termasuk pengendali takaful.

ISKANDAR MAJID
Kuala Lumpur

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 15/3/2011

Saturday, February 26, 2011

Insurans kenderaan naik 2012

Oleh FAIRUS KASSIM
bisnes@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Insurans kenderaan bermotor akan meningkat secara berperingkat, bermula tahun hadapan hingga 2015 dalam usaha mengimbangi kerugian yang ditanggung syarikat insurans.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, walaupun terdapat peningkatan selama lima tahun berturut-turut namun ia tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah kerana kenaikannya adalah kecil.

"Penstrukturan ini juga akan melibatkan motosikal, kereta, bas dan teksi dan setiap kenaikan adalah berbeza mengikut risiko kemalangan kenderaan terbabit melalui kriteria rekod kemalangan serta keadaan kenderaan semasa tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata Abu Hassan Alshari, anggaran awal kenaikan bagi insurans pihak ketiga motosikal 100cc ke bawah adalah antara RM1 hingga RM3.50 setahun manakala insurans pihak pertama antara RM1 hingga RM2 setahun.

"Bagi kereta persendirian 1,400cc ke bawah, insurans pihak ketiga hanya meningkat antara RM6 hingga RM34 manakala insurans pihak pertama antara RM7 hingga RM19.

"Pemandu yang kurang risiko kemalangan atau tidak pernah merekodkan kemalangan akan dikenakan kenaikan kadar insurans yang lebih rendah berbanding yang kerap mengalami kemalangan," jelasnya.

Tambah beliau, kajian dibuat keatas kedua-dua jenis kenderaan berkenaan terlebih dahulu kerana 70 hingga 80 peratus kenderaan di Malaysia berada dalam kelas berkenaan.

Selain itu, Abu Hassan Alshari berkata, penstrukturan itu juga akan mengurangkan tempoh pembayaran pampasan daripada tiga hingga lima tahun kepada 18 bulan sahaja berikutan penubuhan Jawatankuasa Kerja Bersama (JWC).

Katanya, jawatankuasa tersebut akan membincangkan isu berbangkit dan membentuk rangka kerja yang komprehensif untuk kebaikan bersama.

Mengulas lanjut, Abu Hassan Alshari berkata, penstrukturan tersebut terpaksa dibuat kerana syarikat insurans mencatat kerugian yang besar dalam bahagian motor dan jika tidak dikawal ini akan menyebabkan industri berkenaan merudum dan akhirnya memberi impak kepada pengguna.

"Perangkaan 2009/2010 menunjukkan perniagaan insurans motor mencatat kerugian RM650 juta disebabkan tuntutan pampasan kecederaan kemalangan yang sangat tinggi,'' jelasnya.

"Bagaimanapun penstrukturan semula ini masih di peringkat perbincangan dengan pihak yang terlibat. BNM akan mengumumkan skim insurans terbaharu tersebut selepas kajian lengkap dibuat," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, JWC akan dianggotai oleh pihak yang terlibat dalam proses pembayaran insurans iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, Majlis Peguam, Badan Kehakiman, industri insurans dan takaful serta persatuan penguna dan pengangkutan.

Abu Hassan Alshari berkata, setiap anggota JWC akan menghantar rekod kerja kepada Majlis Ekonomi dan jika ada sebarang kelewatan atau masalah laporan ia perlu dinyatakan.

"Langkah ini akan meningkatkan keupayaan dan kepantasan proses tuntutan insurans negara dan mengurangkan kerenah birokrasi yang banyak membebankan rakyat,'' ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 26/2/2011

Tuesday, February 15, 2011

SGF mampu jadi pemangkin

KUALA LUMPUR 14 Feb. - Pengenalan Rangka Kerja Tadbiran Syariah (SGF) pertama di dunia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berkuatkuasa 1 Januari lalu bertujuan menjadi pemangkin ketelusan kepada industri perbankan dan takaful Islam di negara ini.

Penyelidik Kanan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA), Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim berkata, rangka kerja itu merupakan satu langkah ke hadapan dalam industri perbankan dan takaful.

Beliau berkata, tujuan rangka kerja itu untuk memperkasakan elemen syariah dalam institusi perbankan dan takaful tempatan.

Selain itu katanya, SGF juga memastikan produk-produk yang ditawarkan mematuhi syariah dan pelaksanaan yang mematuhi hukum syarak.

"Ia merupakan satu pelaksanaan baharu dan paling mencabar. Ia memerlukan kesungguhan daripada semua pihak. Malah, memandangkan ia merupakan rangka kerja yang pertama, mungkin penambahbaikan diperlukan,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis seminar sehari mengenai SGF untuk institusi kewangan di sini hari ini.

SGF berkuat kuasa pada 1 Januari 2011 dan perlu dilaksanakan selewat-lewatnya pada 30 Jun depan.

Ashraf berkata, rangka kerja ini hanya penambahbaikan kepada garis panduan yang pernah diperkenalkan BNM pada 1 April 2005 lalu.

Katanya, SGF itu adalah yang pertama di Malaysia dan dunia.

"Di peringkat bank pusat Asia Barat pun tidak ada rangka kerja seperti ini. Dari sudut tadbiran syariah, kita paling kehadapan,'' ujarnya.

Ashraf menambah, sebagai ahli majlis penasihat syariah BNM, beliau berharap rangka kerja itu akan menjadi pemangkin kepada industri perbankan dan takaful Islam supaya terus berada di hadapan dan ditangani sewajarnya.

Selain itu, industri perbankan dan takaful Islam di Malaysia, diharap menjadi lebih telus.

"Rangka kerja ini akan menambah baik perjalanan syariah di negara ini,'' ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif CIMB Islamic Bank Bhd. (CIMB Islamic), Badlisyah Abdul Ghani berkata, rangka kerja baru itu adalah lebih hebat berbanding garis panduan sedia ada.

Katanya, SGF akan mendedahkan praktis yang lebih baik termasuk menggalakkan pemain industri membina jambatan perhubungan di antara jawatan kuasa syariah dan lembaga pengarah institusi perbankan dan takaful.

"Faedah SGF adalah ia merupakan struktur yang lebih baik serta mempunyai kredibiliti yang menyeluruh.

"Ia juga menjadi penanda aras untuk semua bidang kuasa yang serius dalam kewangan Islam,'' ujarnya.

Tambah beliau, sebagai pemain industri, pihaknya akan mematuhi arahan dan peraturan seperti yang terdapat dalam SGF.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 15/2/2011