Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Showing posts with label kematian. Show all posts
Showing posts with label kematian. Show all posts

Saturday, March 5, 2011

Mukmin sentiasa ingat kematian termasuk golongan cerdik

Oleh: Mohd Adid Ab Rahman

KITA selaku Muslim beriman hendaklah menerima hakikat semua makhluk Allah tidak kekal di dunia, termasuklah manusia. Dari hari ke sehari usia kita kian bertambah pendek dan bila tiba saatnya, kita terpaksa pergi juga ke alam baqa.

Penjelasan al-Quran mengenai hal ini seharusnya menjadi pesan menyedarkan kita yang sering kali alpa dan sibuk dengan urusan duniawi yang bersifat sementara. Allah berfirman yang mafhumnya: “Katakanlah sesungguhnya kematian yang kamu lari darinya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemuimu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia berikan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah Al-Jumu’ah, ayat 8).

Orang yang menyedari mati pasti datang tidak akan mensia-siakan usianya, sentiasa berusaha mengisi waktu ke arah memantapkan keimanan. Setiap detik sangat berharga baginya, tidak suka membuang masa dengan hal tidak mendatangkan manfaat.

Menginsafi bahawa hidup di dunia hanyalah ibarat seekor burung yang hinggap di ranting, bila tiba masanya akan terbang lagi dan dengan tekun mempersiapkan diri untuk bekalan menghadapi saat kematian adalah dikatakan manusia yang cerdik.

Dinyatakan oleh Rasulullah SAW ketika menjawab pertanyaan seorang lelaki Ansar siapakah yang paling cerdik. Baginda berkata: “Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik.” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

Usia masih tersisa adalah anugerah Allah yang mahal harganya seharusnya disyukuri dengan kesibukan mengabdikan diri kepada-Nya, menjadi orang terbaik dan berfaedah di tengah masyarakat baik dengan harta, tenaga atau pun ilmu yang ada.

Dengan cara begini, kita berada di tangga sebaik-baik manusia seperti mana penjelasan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah orang yang diberi panjang umur dan umur yang panjang itu dia gunakan untuk membuat kebaikan sebanyak-banyaknya dan sejahat-jahat manusia ialah orang yang diberi Tuhan umur panjang tetapi umur panjang itu digunakan untuk melakukan kejahatan dan kerusuhan saja.” (Hadis riwayat Ahmad)

Di samping itu, kita hendaklah segera bertaubat sebagai usaha pembersihan diri daripada dosa. Allah melarang seseorang yang suka bertangguh untuk taubat sebab mati tidak diketahui bila.

Jika sikap bertangguh diamalkan, maka dikhuatiri kita mati dalam keadaan tidak sempat untuk bertaubat. Tentu akan menanggung kerugian yang besar dan penyesalan tidak sudah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan untuk orang yang bertakwa.” (Surah Ali Imran, ayat 133)

Syarat diterimanya taubat nasuha mengikut Imam al-Raghib al-Asfahani ialah kita harus memenuhi empat perkara iaitu meninggalkan dosa kerana keburukannya, menyesali dosa yang telah dilakukan, berkeinginan kuat untuk tidak mengulangi dan berusaha melakukan apa yang boleh diulangi (diganti).

Kita mesti faham bahawa Allah memberi kesempatan hidup di dunia supaya manusia menjalankan tugas sebagai khalifah, mengatur dan mengolah alam sehingga terwujudnya kehidupan yang adil, makmur dan penuh reda Allah.

Dengan umur yang masih ada ini kita gunakan untuk menunaikan amanah Allah, pasti segala amalan dilakukan tidak dipersiakan oleh Allah, akan mendapat ganjaran setimpal di akhirat nanti.

Renungilah firman Allah yang bermaksud: “Mereka itu adalah orang yang bertaubat, beribadat, memuji (Allah), puasa, rukuk, sujud, menyuruh berbuat makruf dan mencegah berbuat munkar dan memelihara hukum Allah. Dan gembirakanlah orang mukmin itu.” (Surah At-Taubah, ayat 112)

Sumber: Berita Harian
Tarikh: 5/3/2011

Saturday, January 29, 2011

Ibu bina rumah tunai hajat anak


KUALA LUMPUR - Ibu kepada Allahyarham Konstabel Mohd. Safuan Mohd. Alif yang maut dalam kemalangan jalan raya ketika bertugas di Puchong, Oktober tahun lalu akan menggunakan wang insurans yang diperolehnya untuk membina rumah seperti dihajati anaknya itu.

Foziah Che Mat, 50, berkata, anak sulung daripada tiga beradik berusia 20 tahun itu ketika maut dalam kemalangan berhajat membeli rumah untuk keluarganya yang selama ini tinggal di rumah sewa.

Menurutnya, dia akan menggunakan wang pampasan insurans berjumlah RM90,000 yang diperoleh ekoran kejadian menimpa anaknya itu untuk membina rumah tersebut di kampung mereka di Kampung Baru Beris Nenas, Kijal, Terengganu.

"Arwah yang menyara keluarga sebelum kejadian pernah memberitahu dia telah membeli insurans kemalangan diri di bawah Skim Takaful Berkelompok Koperasi Polis, dan saya tidak sangka ia merupakan amanah daripadanya untuk keluarga.

"Oleh itu, saya akan mendirikan sebuah rumah daripada duit itu sebagai simbol kasih sayang arwah kepada kami yang boleh diabadikan," katanya selepas menerima cek insurans tersebut daripada Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias di Balai Polis Puchong Jaya di sini hari ini.

Foziah menambah, pemergian Mohd. Safuan sejak tiga bulan lalu masih dirasai keluarganya kerana pada hari jenazah arwah dibawa pulang ke kampung halaman, sepatutnya dia pulang bersama bakal isterinya.

"Arwah berjanji membawa pulang teman wanitanya ke kampung bagi memperkenalkannya kepada saya, namun setelah kami menunggu yang pulang hanya jenazah dia.

"Ketika jenazah berada di rumah, bapa arwah yang telah bercerai dengan saya sempat juga menatap wajah Mohd. Safuan untuk kali terakhir," ujarnya sedih.

Sementara itu, pada majlis berkenaan turut diraikan ketua kerani Balai Puchong Jaya, Naimah Husin, 59, yang akan pencen bermula esok.

Naimah memulakan tugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 1980 dan akan menamatkan perkhidmatannya selepas mencurah bakti kepada polis selama 30 tahun.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 29/1/2011

Wednesday, December 16, 2009

Bicara kes faraid harta ayah Sharmaine 13 Januari

SHAH ALAM - Kes permohonan faraid pelakon dan model, Sharmaine Farouk terhadap harta bernilai RM5.4 juta peninggalan ayahnya, Allahyarham Tan Sri Ahmad Farouk Isahak akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 13 Januari ini.

Hakim Syarie Mohammad Adib Husain menetapkan tarikh tersebut pada prosiding sebutan hari ini bagi membolehkan abang dan kakak Sharmaine, Ahmad Rezal, 44, dan Serena, 41, memberi keterangan.

Sharmaine, 38, yang berbaju kurung dan bertudung oren hadir ditemani peguam syarie, Ahmad Nazib Johari.

Sharmaine yang pernah membintangi filem Panggilan Pulau dan XX Ray pada tahun 90-an memfailkan permohonan pada 15 November lalu agar harta peninggalan Allahyarham bapanya dibahagikan secara faraid kepada enam adik-beradik termasuk beliau.

Mereka ialah Ahmad Ridzuan, 48, Soraya, 46, Ahmad Rezal, Serena, Sharmaine dan Aimran Ambari, 13.

Harta bernilai RM5.4 juta itu dalam bentuk wang tunai, saham, unit amanah, keahlian kelab dan hartanah seperti apartmen, kondominium, rumah serta tanah.

Sebelum ini Sharmaine bersama Ahmad Ridzuan, Soraya, Serena dan Aimran Ambari memfailkan permohonan untuk mengesahkan pemberian harta (hibah) bernilai jutaan ringgit dan wasiat dibuat Ahmad Farouk dengan menamakan Ahmad Rezal sebagai defendan.

Ahmad Rezal, anak ketiga daripada enam beradik itu dikatakan tidak bersetuju dengan pemberian harta secara hibah dan mendakwa ia sengaja diada-adakan oleh kelima-lima plaintif serta menuntut supaya harta dibahagikan secara faraid.

Sementara itu berdasarkan afidavit tuntutan, pihak plaintif menyatakan bapa mereka yang menghidap sakit jantung sejak 1997 dan sering dimasukkan ke hospital dari 2000 hingga 2003, meninggal dunia pada 14 Disember 2005 kerana komplikasi jantung.

Sebelum itu, Allahyarham ada membuat akuan dan menurunkan cap jari pada suratcara hibah berhubung pemberian harta kepada Ahmad Ridzuan selaku plaintif kedua iaitu sebuah rumah di alamat No. 6, Jalan 2/2, Taman Tun Abdul Razak, Hulu Klang dan sebidang tanah juga di Hulu Klang.

Proses menandatangani dokumen itu dibuat di Institut Jantung Negara (IJN) melalui peguamnya dan di hadapan saksi iaitu peguam syarie, Zainul Rejal Abu Bakar serta dua saksi lain.

Bagaimanapun, ia telah diselesaikan secara baik apabila Sharmaine kemudiannya memfailkan permohonan agar kesemua harta peninggalan itu dibahagikan secara faraid.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 16/12/2009

Thursday, September 17, 2009

Jenazah Mariam selamat dikebumikan

Oleh : ARIF NIZAM ABDULLAH

KOTA TINGGI - Dua tahun lalu, kepulangan wanita kelahiran Johor yang terkandas selama 64 tahun di Korea Selatan, Mariam Johari, 88, disambut penuh meriah di rumah anaknya di Taman Kota Jaya di sini.

Paluan kompang, bunga manggar dan persembahan silat selain pelbagai hidangan istimewa termasuk kuih-muih seperti seri muka, puding jagung serta buah pulasan, durian dan jambu air menyambutnya ketika itu.

Namun hari ini, sambutan 'kepulangan' kali kedua warga emas itu berbeza apabila ia diselubungi suasana pilu di kalangan ahli keluarga ketika jenazah tiba di Hospital Daerah Kota Tinggi dalam hujan lebat.

Kali ini pasti ibu kepada empat orang anak itu tidak akan terkandas lagi di negara lain. Dia kembali ke negara kelahirannya untuk menyempurnakan hajat kekal tinggal di sini.

Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae meninggal dunia di sebuah rumah kebajikan di republik itu ketika tidur pada 5 September lalu selepas empat bulan tidak sihat.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam di sini selepas solat asar dengan dihadiri kira-kira 50 saudara-mara termasuk tiga anaknya, Ramlah Sonni, 74, Jelani, 72, dan Jamnah, 67.

Kematiannya menjadi isu apabila wanita tersebut dikatakan telah membuat wasiat agar dia dikebumikan mengikut tradisi masyarakat Korea.

Bagaimanapun hasil campur tangan Wisma Putra dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), jenazah Mariam dapat dibawa pulang ke tanah air apabila diterbangkan dari Seoul pukul 8.50 malam semalam menggunakan pesawat Thai Airways.

Jenazahnya tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 3.50 petang sebelum disembahyangkan di Masjid Jamek Kota Tinggi kira-kira pukul 5.15 petang.

Antara yang hadir ialah Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Mohamed Sebot.

Jelani berkata, dia dan adik-beradik mahu jenazah ibu mereka dibawa pulang untuk dikebumikan di negara ini.

Kisah Mariam mula mendapat perhatian apabila dia meluahkan hasratnya untuk mencari tiga anaknya di Plentong, Johor pada 23 Jun 2007.

Hasratnya bertemu semula tiga anaknya itu, termakbul apabila Korea Broadcasting System (KBS) membawa mereka dan cucunya, Ahmad Onn, 43, serta menantu, Siti Zainab Noor, 37, ke studio KBS di Seoul pada 18 Julai 2007.

Pertemuan kali pertama selama enam hari tidak berakhir di situ apabila Mariam pula dibawa ke Malaysia pada 5 September tahun sama sebelum pulang semula ke Korea Selatan pada 13 September 2007.

Mariam yang dilahirkan di Plentong pada 16 Mac 1921, berkahwin dengan seorang jirannya ketika berusia 11 tahun pada 1932 dan melahirkan empat anak, namun anak keempatnya meninggal dunia beberapa bulan selepas dilahirkan.

Ketika Perang Dunia Kedua, suaminya menyertai tentera manakala Mariam dikerah menjadi buruh membina landasan kapal terbang di Senai pada 1943.

Mariam kemudian berkenalan dengan tentera kerahan Jepun dari Korea, Cho Se Won, yang membawanya ke Korea Selatan dan dia akhirnya terkandas di negara itu.

Sementara itu, Jelani mewakili keluarganya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutama MAIJ dan Wisma Putra yang memastikan urusan pengkebumian ibunya berjalan lancar.

Katanya, pihak keluarga gembira dan bersyukur dapat melihat jenazah ibunya buat kali terakhir dan dikebumikan di kampung halaman sendiri.

"Sekurang-kurangnya pagi hari raya nanti kami dapat mengunjungi pusara ibu bersama-sama," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 17/9/2009

Tuesday, September 8, 2009

Kisah Mariam dijadikan iktibar

JOHOR BAHRU - Kisah hidup wanita kelahiran Johor yang terkandas selama 64 tahun di Korea Selatan, Mariam Johari, 88, dan meninggal dunia di sana wajar dijadikan pengajaran dan iktibar kepada semua pihak.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, umat Islam khususnya generasi muda sepatutnya meletakkan akidah dan agama melebihi segala-gala daripada cinta dan kasih sesama manusia.

Beliau berkata, ini kerana sayang kepada agama kekal di dunia dan akhirat manakala cinta kepada manusia hanya bertahan sementara waktu sahaja.

''Anak-anak muda jangan mengikut perasaan untuk melarikan diri dari rumah dan berhijrah ke luar negara walaupun tindakan itu mempunyai sebab.

''Sebelum membuat apa keputusan, ibarat pepatah Melayu, tepuk dada tanya iman dan bukannya tepuk dada tanya selera,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai kematian Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae yang meninggal dunia ketika tidur pada Sabtu lalu selepas kira-kira empat bulan tidak sihat.

Anaknya, Jelani Sonni, 72, mendakwa ibunya itu telah membuat wasiat sebelum menyambut Ramadan agar dikebumi secara Kristian.

Mariam yang dilahirkan di Plentong pada 16 Mac 1921 berkahwin dengan seorang jirannya ketika berusia 11 tahun pada 1932 dan melahirkan empat anak, namun anak keempatnya meninggal dunia beberapa bulan selepas dilahirkan.

Ketika Perang Dunia Kedua, suami Mariam menyertai tentera manakala Mariam dikerah menjadi buruh membina landasan kapal terbang di Senai pada 1943.
Mariam kemudian berkenalan dengan tentera kerahan Jepun dari Korea, Cho Se Won yang membawanya ke Korea Selatan dan terkandas di negara itu.

Kisah Mariam mula mendapat perhatian apabila dia meluahkan hasratnya untuk mencari tiga anaknya di Plentong, Johor pada 23 Jun 2007.

Hasratnya bertemu semula tiga anaknya itu, Ramlah Sonni, 74, Jelani dan Jamnah, 67, akhirnya termakbul apabila Korea Broadcasting System (KBS) membawa Ramlah dan Jelani serta cucunya, Ahmad Onn, 43 dan menantu, Siti Zainab Noor, 37, ke studio KBS di Seoul pada 18 Julai 2007.

Pertemuan kali pertama selama enam hari tidak berakhir di situ apabila Mariam pula dibawa ke Malaysia pada 5 September sebelum pulang semula ke Korea Selatan pada 13 September 2007.

Mengulas lanjut, Nooh berkata, golongan wanita dan gadis remaja tidak harus cepat termakan pujuk individu lain terutamanya yang bukan seagama kerana kebiasaannya terdapat 'udang di sebalik batu'.

Beliau berkata, sekiranya terdapat hasrat untuk berhijrah ke negara lain, golongan itu sepatutnya memastikan negara tersebut memiliki persamaan daripada segi agama, budaya dan makanan dengan Malaysia.

''Bagi keluarga yang ditakdirkan kehilangan anak, isteri atau suami, saya menasihatkan mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mengesan ahli keluarga walau di mana mereka berada.

''Jangan sesekali mereka berputus asa dan jika terdapat kesilapan daripada pihak keluarga, perkara itu patut diperbetulkan dengan segera dan jangan lupa merujuk kepada Allah SWT dan melakukan solat hajat setiap malam,'' katanya.

Nooh turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu saluran khas bagi rujukan kes yang dihadapi oleh keluarga yang kehilangan anak gadis terutamanya ke luar negara.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 8/9/2009

Monday, June 1, 2009

Lelaki mati ditetak rebut pusaka

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mati ditetak dengan parang selepas bergaduh dipercayai akibat perebutan harta pusaka di Kampung Jasa Sepakat, Pekan Nenas, dekat Pontian, di sini, hari ini.

Tahir Zainal, 41, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Pontian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Supt Muzammil Hashim, ketika dihubungi berkata polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1.30 petang di rumah pusaka arwah ibu mangsa, Tahir dan isterinya ke sana untuk menyelesaikan masalah harta pusaka bersama dua saudara terdekatnya.

"Tahir yang berang apabila pintu rumah itu berkunci bertindak mengambil kuku kambing dari keretanya untuk memecahkan pintu rumah dan apabila gagal dia mengambil kapak untuk cuba membuka pintu sambil memarahi dan mencabar saudara-saudara terdekatnya itu," katanya.

Beliau berkata, tindakan Tahir menyebabkan seorang saudara terdekatnya itu bertindak mengambil sebilah parang dan sebatang tajak kelapa sawit sebelum pergi ke arah Tahir yang ketika itu bergerak ke bahagian tepi rumah untuk memecahkan pintu belakang.

"Apabila dia menghampiri Tahir, Tahir bertindak menyerang lelaki itu dengan kuku kambing menyebabkan lelaki terbabit menghayunkan parang menetak sebelah kiri badan Tahir," katanya.

Muzammil berkata, lelaki terbabit kemudian menghubungi polis dan ambulans.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 1/6/2009

Friday, January 16, 2009

Nama Suhaimi gugur sebagai pewaris

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini membenarkan permohonan Amanah Raya Berhad untuk menggugurkan nama bekas ahli geologi Petronas Carigali, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz daripada senarai penerima harta peninggalan isteri yang dibunuhnya, sembilan tahun lepas.

Hakim Syarie, Saarani Ismail semasa memutuskan perkara itu berkata, Muhamad Suhaimi terhalang atau hilang kelayakan sebagai waris si mati, Faizah Arshad, mengikut mazhab Syafie yang diamalkan oleh mahkamah di Selangor dan pembunuhan yang dilakukan dianggap mempercepatkan perwarisan harta si mati kepada Muhamad Suhaimi.

Saarani berkata, keputusan itu dibuat bagi menjaga kepentingan anggota keluarga Faizah yang lebih berhak ke atas harta peninggalannya yang berjumlah RM319,445.02.

”Selain itu, mahkamah turut membenarkan satu permohonan teratur dilaksanakan untuk penentuan pihak-pihak dalam pembahagian faraid dan kos (mahkamah) ditanggung oleh Muhamad Suhaimi,” katanya.

Muhamad Suhaimi, selaku defendan pertama hadir di mahkamah bersama peguamnya, Musa Awang sementara peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar hadir mewakili Amanah Raya, selaku plaintif.

Ibu bapa Faizah, Arshad Shafiee, 81, dan Mariam Abdul Latif, 74, (defendan kedua dan ketiga) bagaimanapun tidak hadir kerana uzur. Mereka hanya diwakili peguam syarie Hairunnajmi Najmuddin.

Amanah Raya sebelum ini mengemukakan permohonan untuk menggugurkan nama Muhamad Suhaimi yang tertera dalam sijil pembahagian harta yang berhak ke atas tiga bahagian daripada jumlah keseluruhan wang tunai RM319,445.02 peninggalan Faizah.

Selain Muhamad Suhaimi, dua anak lelaki Faizah, Mohamad Fariz, 18, (defendan keempat) dan Muhamad Syafiq, 16, (defendan kelima) berhak menerima dua bahagian masing-masing sementara anak perempuannya, Sarah, 13, (defendan keenam) hanya satu bahagian, manakala Arshad dan Mariam setiap seorang berhak dua bahagian harta itu.

Amanah Raya juga memohon membatalkan Sijil Pembahagian Harta (faraid) bertarikh 13 Oktober 2000 dengan mengeluarkan nama Muhamad Suhaimi sebagai penerima pusaka dan memohon supaya sijil baru dikeluarkan.

Muhamad Suhaimi, 48, didakwa membunuh dengan cara menikam Faizah, pegawai sumber manusia Petronas Carigali, dalam bilik air di rumah mereka di Bukit Damansara pada 3 petang, 25 September 1999.

Dia bagaimanapun dibebaskan daripada tuduhan itu atas alasan kurang siuman dan menjalani rawatan pemulihan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong sehingga 4 Oktober 2007.

Dia kini menjalani hidup seperti biasa di bawah jagaan bapanya di Terengganu.

Terdahulu, dalam penghakimannya, Saarani berkata, keempat-empat mazhab dalam Islam iaitu mazhab Imam Shafie, Imam Maliki, Imam Hambali dan Imam Hanafi sepakat berpendapat bahawa pembunuh adalah dihalang daripada mewarisi harta orang yang dibunuhnya, tetapi mempunyai pendapat berlainan mengenai cara pembunuhan itu dilakukan.

”Berdasarkan Imam Shafie, seorang pembunuh tidak layak untuk mewarisi harta orang yang dibunuhnya sama ada dibuat secara sengaja atau tidak sengaja atau terpaksa. Mahkamah bersetuju dengan pendapat Imam Shafie bahawa seorang pembunuh adalah terhalang untuk mewarisi (harta orang yang dibunuhnya) termasuk orang tidak siuman.

”Pendapat ini bagi menjaga hubungan kekeluargaan kerana pembunuhan boleh dikatakan sebagai cuba untuk mempercepatkan perwarisan harta kepadanya. Mahkamah secara asasnya mengambil kira empat pendapat itu tetapi daripada sudut pengalaman ia lebih mengutamakan pendapat Shafie,” katanya.

Selain itu, Saarani berkata, walaupun Muhamad Suhaimi dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan kerana tidak siuman, mahkamah itu bagaimanapun tidak menafikan bahawa pembunuhan telah dilakukan.

Beliau juga bersetuju dengan hujahan peguam defendan kedua hingga keenam bahawa faktor alat yang digunakan oleh pembunuh boleh mensabitkan niat membunuh.

”Dalam kes ini laporan menyebut defendan satu (Muhamad Suhaimi) menggunakan sebilah pisau. Mahkamah berpendapat faktor ini konsisten dengan pendapat mazhab Syafie bahawa alat yang boleh dikategorikan sebagai alat pembunuh ialah alat tajam yang boleh memotong daging dan benda keras. Jadi ini boleh dikategorikan sebagai bunuh dengan niat,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Suhaimi ketika ditemui pemberita di luar mahkamah enggan memberi sebarang komen.

Musa ketika ditanya sama ada akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah itu berkata, beliau perlu menunggu arahan selanjutnya daripada Muhamad Suhaimi.

”Buat masa ini beliau (Muhamad Suhaimi) kecewa dan terkejut dengan keputusan mahkamah lebih-lebih lagi setelah mahkamah putuskan bahawa beliau perlu menanggung kos semua pihak sedangkan beliau hadir sebagai defendan dan bukan pihak yang mengemukakan permohonan itu,” katanya.

Sumber: Bernama
Tarikh: 16/1/2009