Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Showing posts with label Persatuan Peguam Muslim. Show all posts
Showing posts with label Persatuan Peguam Muslim. Show all posts

Wednesday, December 29, 2010

Peguam Syarie Menulis: Kerangka akta kewangan Islam masih kabur

Oleh : Mohamad Isa Abd Ralip

Sistem terus dibayangi kuasa sivil mengikut Perlembagaan Persekutuan

MALAYSIA muncul sebagai pemain sistem kewangan Islam yang rancak dan komprehensif sejak pertengahan tahun 80-an sejajar penggubalan Akta Bank Islam (ABI) 1983 dan Akta Pelaburan Kerajaan 1983, membolehkan transaksi perbankan dan kewangan Islam mengikut prinsip syariah.

Hal ini dikembangkan dengan kewujudan perlindungan insurans melalui Akta Takaful (AT) 1984. Pindaan Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA) 1989 memasukkan Seksyen 124 pula telah melebar luaskan Sistem Perbankan Islam (SPI) ke dalam bank konvensional.

Kewujudan Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 kemudian menjadikan sistem kewangan Islam maju setapak lagi terutama dalam pasaran modal Islam. Namun, di sebalik graf kemajuan ini, sistem kewangan Islam masih dibelenggu pelbagai halangan terutama dalam aspek perundangan.

Kerangka perundangannya masih kabur dan terus dibayangi kuasa sivil yang diberi Perlembagaan Persekutuan dan bukannya atas prinsip syariah.

Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk menubuhkan Mahkamah Syariah seperti peruntukan Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri), Perlembagaan Persekutuan.

Namun, bidang kuasa diberikan kepada Mahkamah Syariah terhad kepada skop tertentu dan terpakai ke atas orang Islam saja. Bidang kuasa jenayah terhad kepada kesalahan jenayah yang tidak melebihi hukuman tiga tahun penjara, denda RM 5,000, enam kali sebatan atau gabungannya.

Walaupun begitu, pindaan perlembagaan dalam Perkara 121 (1A) yang memisahkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Sivil sedikit sebanyak memberi ruang kepada Mahkamah Syariah untuk beroperasi tanpa gangguan.

Pindaan pada 1988 ini menyatakan Mahkamah Tinggi Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Namun, timbul persoalan sama ada kewangan Islam termasuk dalam bidang kuasa khas Mahkamah Syariah.

Jawapannya tidak. Sehingga kini, semua kes berkaitan kewangan Islam dibicarakan di Mahkamah Sivil. Inilah sesuatu yang malang bagi sistem kewangan Islam di negara kita kerana Mahkamah Sivil menjadi pemutus bagi pertikaian membabitkan undang-undang Islam.

Kerangka perundangan bagi sistem kewangan Islam di Malaysia sebenarnya tertakluk kepada kuasa persekutuan seperti dinyatakan dalam Perlembagaan, bermakna ia tertakluk kepada undang-undang diluluskan Parlimen sebelum boleh beroperasi.

Antara isu berkaitan kewangan Islam adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam kes muamalat. Kes Bank Islam Malaysia Berhad vs Adnan Bin Omar (1994), Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa membabitkan orang Islam saja.

Justeru, Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa mendengar kes itu kerana pelanggan bank juga terdiri daripada orang bukan Islam. Malah, bank Islam adalah sebuah badan korporat dan tidak dianggap seseorang yang menganut Islam.

Ini bermakna Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa mendengar kes itu. Malah, ABI 1983 dan AT 1984 sendiri tidak memperuntukkan sebarang bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk bertindak dalam pertikaian berkaitan muamalah Islam.

Sistem kewangan Islam di Malaysia tidak mempunyai undang-undang atau akta lengkap untuk beroperasi. Ia hanya diurus selia beberapa akta khas seperti ABI 1983 dan AT 1984 menyebabkan kewangan Islam masih bergantung harap kepada akta sivil untuk beroperasi.

Hal ini menyebabkan berlaku pertentangan antara akta dengan prinsip syariah. Contohnya, prinsip syariah melarang berlakunya dua kontrak dalam satu akad. Namun, Akta Sewa Beli 1967 membenarkan akad seperti itu.

Sebab itulah, institusi kewangan Islam menawarkan produk sewa beli menggunakan kontrak al-Ijarah Thumma al-Bay’ (sewa diikuti dengan pembelian) atau al-Ijarah Muntahiyah bi Tamlik (sewa berakhir dengan pemilikan).

Selain itu, ada isu Penafsiran Kontrak Kewangan Islam dengan Kontrak Konvensional seperti kes Tinta Press Sdn Bhd vs Bank Islam (M) Bhd (1987), mahkamah mentafsirkan kontrak dipakai adalah sewaan sedangkan bank menggunapakai kontrak al-Ijarah dalam urus niaga antara mereka.

Mahkamah lebih selesa berhujah mengenai faedah dalam kontrak sedangkan BBA menggunakan prinsip keuntungan. Dalam kedua-dua kes ini, mahkamah tidak merujuk kontrak kepada muamalat dan prinsip syariah, sebaliknya merujuk kepada peraturan yang wujud dalam sistem konvensional.

Kajian berkaitan sistem kewangan Islam oleh Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) UiTM Shah Alam mencadangkan diwujudkan kerangka perundangan sistem kewangan Islam yang lebih menyeluruh dan bertepatan kehendak syariah.

Bidang tugas Mahkamah Syariah perlu diperluaskan untuk mendengar kes muamalat Islam kerana hakim dibantu peguam syarie yang terlatih dengan prinsip syariah.

Perkara 74 (2) dan Jadual Kesembilan, Senarai I (Senarai Persekutuan) dan akta berkaitan perlu dipinda supaya undang-undang Islam secara menyeluruh termasuk sistem muamalat Islam dimasukkan dalam Senarai Persekutuan.

Ini bagi membolehkan sistem kewangan Islam dapat beroperasi dan Mahkamah Syariah diberi bidang kuasa mendengar kes berkaitan kewangan dan muamalat Islam membabitkan pelanggan Islam atau bukan Islam.

Cadangan pindaan perlembagaan dan akta tertentu perlu diamati pihak berwajib supaya sistem perbankan dan kewangan Islam dapat beroperasi berlandaskan kehendak syariah sepenuhnya, tanpa mencampuradukkan sistem perundangan Islam dan sivil seperti sekarang.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 29/12/2010

Wednesday, November 10, 2010

Peguam Syarie Menulis: Kecelaruan nasab akibat jahil hukum anak angkat

Oleh : Tuan Musa Awang

Bin atau bintikan bayi dengan nama bapa angkat cetus masalah seperti wali, perwarisan

PENDEDAHAN mengenai sindiket penjualan bayi yang mampu mendaftar kelahiran dan pada masa sama berupaya menghapuskan identiti ibu bapa kandung bayi akan menyebabkan kecelaruan nasab dan keturunan terutama jika yang membeli adalah orang Islam.

Mengambil anak angkat dan memeliharanya adalah harus dalam Islam, namun perbuatan mendaftarkan nama anak angkat dengan berbin atau bintikan nama bapa angkat adalah haram.

Hukum ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan dia juga tidak menjadikan anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri. Panggillah anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa mereka sendiri, cara itulah yang lebih adil di sisi Allah.” – (Surah al-Ahzab, ayat 4 dan 5)

Sementara Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang membinkan (atau binti) kepada orang yang bukan bapanya yang sebenar, maka ia dilaknati oleh Allah.”

Dalam suatu riwayat oleh Aisyah Abu Bakar, Abu Huzaifah ibn Utbah dan Salim Mawla Abu Huzaifah berkata: “Abu Hudhaifah, salah seorang yang berjuang dalam perang Badar dengan Nabi Allah, mengambil Salim sebagai anaknya dan mengahwini anak buah perempuannya Hind binti Al-Wahd bin 'Utba padanya dan Salim sebagai seorang hamba dibebaskan daripada seorang wanita Ansar. Nabi Allah juga mengambil Zaid sebagai anak lelakinya.

Sewaktu zaman Jahiliah sebelum Islam adatnya adalah biasa, jika seorang mengangkat seorang anak lelaki, orang memanggilnya dengan nama bapa angkatnya yang dia akan mewarisi juga, hingga Allah mewahyukan: “Panggil mereka (anak lelaki angkat) dengan (nama) bapa mereka.”

Orang Islam yang mengambil anak angkat dinasihatkan supaya mengekalkan nama bapa sebenar anak itu, jika bapa sebenar itu beragama Islam atau dibinkan kepada Abdullah jika anak angkatnya itu bukan berasal daripada orang Islam.

Menukar nama bapa sebenar adalah seperti menafikan dan memutuskan perhubungan nasab antara anak dengan ibu bapanya dan melucutkan hak perwalian bapa sebenar ke atas anaknya. Ibnu al-Qayyim dalam kitab Zad al-Maad, mencatatkan: Sesungguhnya nasab itu sabit pada asalnya ialah kepada bapa.”

Hak menetapkan nasab itu ialah hak Allah dan memelihara hak Allah serta hak kanak-kanak itu wajib kerana Islam memelihara asal keturunan atau nasab penganutnya.

Soal mendaftarkan anak angkat kepada bapa angkat jika tidak diberi perhatian akan menimbulkan kecelaruan generasi dan keturunan umat Islam. Seorang gadis yang diwalikan bapa angkat tidak sah akad nikahnya, urusan akad itu mesti diserahkan kepada wali hakim.

Bapa angkat juga tidak boleh mewakilkan kepada wali hakim kerana dia tidak ada hak wali seperti bapa kandung. Jika ibu bapa angkat berpakat menyembunyikan perkara ini dan membiarkan bapa angkat mewalikan pernikahan anak angkatnya, maka perkahwinan itu tidak sah (fasid).

Bagaimana pula dengan status nasab anak yang lahir daripada pernikahan yang fasid. Ini perlu diberi perhatian ibu dan bapa angkat supaya tidak mengambil ringan hukum agama yang akibatnya nanti hanya akan mendatangkan keburukan kepada anak angkat mereka.

Hubungan anak angkat dengan keluarga angkat juga dibatasi hukum hakam syarak, walaupun anak diambil, dipelihara sejak kecil dan tinggal di bawah satu bumbung seperti masalah aurat serta pergaulan kerana adik beradik angkat adalah bukan mahram.

Dalam pewarisan, anak angkat tidak berhak mewarisi harta pusaka yang ditinggalkan ibu bapa angkat kecuali ada sebab lain yang diharuskan syarak seperti hibah atau wasiat.

Jika status anak angkat disembunyikan bagi mendapat bahagian dalam harta waris, maka ia akan menghalang keluarga sebenar yang lebih berhak, menimbulkan perasaan tidak baik dalam kalangan keluarga. Harta diperoleh juga adalah haram kerana bukan haknya yang sebenar.

Sehingga kini, tiada peruntukan mengikut Enakmen Jenayah Syariah yang membolehkan seseorang dihukum atas kesalahan menamakan anak angkat kepada bapa angkat. Bagaimanapun, perbuatan seorang Islam menyerahkan, memberi atau menjual anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaan kepada seorang bukan Islam untuk menjaganya adalah satu kesalahan.

Seksyen 35 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 memperuntukkan: “Mana-mana orang yang menjual, memberikan atau menyerahkan anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaannya kepada seseorang yang tidak beragama Islam adalah melakukan suatu kesalahan, dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkan patut berkenaan dengan anak atau kanak-kanak itu.”

Merahsiakan status anak angkat kerana takut anak itu kembali kepada keluarga asal adalah dilarang kerana ia umpama memisahkan kasih sayang dengan ibu, bapa atau keluarganya sebenar.

Ia juga akan menimbulkan kesan besar kepada perkembangan masyarakat dan keturunan umat Islam kerana dikhuatiri suatu masa nanti ramai anak yang diragui status keturunannya kerana kesilapan ketika mendaftarkan kelahiran. Walaupun anak dijaga pihak lain, asal usul keturunan perlu dikekalkan dan dipertahankan.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 10/11/2010

Wednesday, February 18, 2009

Hukum faraid ditetapkan Al-Quran bersih daripada unsur diskriminasi

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Ulama selar desakan NGO supaya hukum ditafsir semula

BEBERAPA akhbar tempatan minggu lalu, memaparkan perjuangan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) wanita menuntut kesamarataan antara lelaki dan wanita. Ia termasuklah tuntutan mengkaji semula undang-undang Islam berkaitan faraid.

Ahli pengasas Musawah, Cassandra Balchin dilaporkan sebagai berkata, undang-undang faraid mestilah dikaji semula dan dipinda. Tambahnya, undang-undang faraid itu ketinggalan zaman kerana tafsiran yang diberikan kepadanya semata-mata berdasarkan faktor sejarah. Syariah juga dikatakan bukan sebagai undang-undang tetapi adalah dogma prinsip saja. Undang-undang ini hendaklah dipinda kerana mendiskriminasi wanita.

Balchin berada di negara ini yang mengadakan perjumpaan tertutup lima hari bermula 13 Februari lalu yang dianjurkan Sisters in Islam dan dihadiri lebih 200 peserta dari 40 negara.

Bagi undang-undang faraid, seharusnya kita merujuk kepada nas asal berkaitan dengannya.

Di dalam surah al Nisa’ ayat 11-14 bermaksud: “Allah mensyariatkan bagimu tentang (pemberian pusaka untuk) anak-anakmu iaitu bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh separuh harta. Dan untuk kedua ibu bapa, masing-masing satu perenam daripada harta yang ditinggalkan; jika yang meninggal itu mempunyai anak, jika yang meninggal itu tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu bapanya (saja), maka ibunya mendapat satu pertiga, jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara ibunya mendapat satu perenam sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak tahu siapa di antara mereka yang lebih dekat manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Dan bagimu (suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak, Jika isterimu mempunyai anak maka kamu mendapat seperempat daripada harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat dan sesudah dibayar hutangnya.

Isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak, maka isteri memperoleh seperlapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat dan sesudah dibayar hutangmu. Jika seseorang mati baik lelaki atau perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak tetapi mempunyai seorang saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu, maka bagi masing-masing daripada kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara seibu itu lebih daripada seorang maka mereka bersekutu dalam sepertiga, sesudah dipenuhi wasiat dibuatnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat kepada ahli waris. Allah menetapkan yang sedemikian itu sebagai syariat yang benar dari Allah.

Hukum itu adalah ketentuan Allah. Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya nescaya Allah memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai, sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah kemenangan besar. Dan barang siapa yang menderhaka Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-Nya, Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya dan baginya seksa yang menghinakannya.

Perkara ini tidak memerlukan tafsiran kerana ia sudah jelas. Menyeru supaya hukum faraid ini ditafsirkan semula membawa erti meminda ayat hukum diturunkan Allah. Apatah lagi apabila kita mengatakan undang-undang itu ketinggalan zaman. Ia amat jelas mencabul kesucian al-Quran itu sendiri.

Pada masa ini, kita memperkatakan ketaatan kepada pemerintah, kita lupa ketaatan kepada Tuhan adalah ketaatan mutlak. Oleh itu tuntutan Musawah ini dilihat tidak selari dengan pandangan Islam. Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang menyelar pandangan sebegini.

Apa yang merunsingkan ialah Penasihat Wanita kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Jalil pula memberi sokongan kepada tindakan Musawah ini. Apapun, sepatutnya kita berbalik kepada al-Quran dan Sunnah, bukan lari daripadanya. Membelakangkan sumber hukum Islam hanya akan membawa kerosakan. Akal fikiran kita tidak boleh mengatasi hukum naqli ditentukan Allah.

Dalam ayat yang dinyatakan di atas jelas Allah memberi amaran terhadap ketentuan yang perlu dipatuhi. Tidak timbul isu mentafsir semula ataupun mengatakan undang-undang itu ketinggalan zaman. Sepatutnya falsafah perundangan Islam itu difahami dan insaf dan bukan hanya diambil secara sambil lewa.

Neraca Barat digunakan bagi mentafsir keadilan yang terbaik, malah dalam banyak keadaan ia lebih menyukarkan dan mendiskriminasi. Lensa Islam adalah lebih luas kerana keadilan bukan bermakna satu sama dengan satu. Keadilan dalam Islam bermaksud meletakkan sesuatu di tempatnya. Oleh itu keadilan di dalam Islam membawa maksud lebih besar daripada apa yang difahami undang-undang lain.

Kita perlu melihat maksud ayat al-Quran di dalam Surah al-Nisa’ seperti di atas, membacanya satu persatu dan memahami maksud jelas. Mudah-mudahan Allah memberi hidayah kepada kita.

Sumber : Persatuan Peguam Syarie Malaysia
Tarikh : 18/2/2009

Friday, December 19, 2008

Kes bekas geologis Petronas 15 Jan.

Berhakkah Pembunuh Mewarisi Harta Orang Yang Dibunuh?
Oleh: NORAZLITA MOHD. SIES

SHAH ALAM 18 Dis. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini akan memutuskan buat julung kalinya dalam sejarah perundangan syariah, permohonan Amanah Raya Berhad untuk menggugurkan nama bekas ahli geologi Petronas Carigali, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz daripada senarai penerima harta isteri yang telah dibunuhnya.

Hakim syarie, Saarani Ismail menetapkan 15 Januari 2009 untuk membuat keputusan selepas pihak-pihak terlibat memfailkan hujah bertulis masing-masing.

Terdahulunya, peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Amanah Raya Berhad mengesahkan telah memfailkan hujah plaintif pada 20 November lalu.

Peguam syarie, Musa Awang yang mewakili Muhamad Suhaimi, 48, selaku defendan pertama dan peguam syarie, Hairunnajmi Najmuddin pula mewakili defendan kedua hingga keenam, masing-masing telah memfailkan penghujahan bertulis hari ini.

Dalam permohonan tersebut, Amanah Raya Berhad selaku pentadbir harta pusaka peninggalan Allahyarham Faizah Arshad, 37, eksekutif pentadbiran Petronas berjumlah RM319,445.

Plaintif menamakan Muhamad Suhaimi selaku defendan pertama, manakala bekas bapa dan ibu mertuanya, Arshad Shafiee dan Mariam Abdul Latif masing-masing defendan kedua dan ketiga.

Sementara tiga anak Allahyarham iaitu Mohamad Fariz, Muhamad Syafiq dan Sarah selaku defendan keempat hingga keenam.

Allahyarham Faizah meninggal dunia akibat ditikam bertubi-tubi menggunakan sebilah pisau oleh Muhamad Suhaimi pada pukul 3 petang, 25 September 1999 di bilik air tingkat bawah rumah mereka di No. 40, Lorong Setiapuspa 1, Bukit Damansara di sini.

Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta Perak, Dr. Rabaiah Mohd. Salleh yang merawat Muhamad Suhaimi mengesahkan dia menghidap penyakit psikotik dikenali sebagai ‘gangguan dilusi’ (delusional disorder) yang termasuk dalam kategori ‘cemburu.’

Lantaran itu, Muhamad Suhaimi telah diletakkan di bawah jagaan Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta Perak atas perkenan Yang di-Pertuan Agong sehingga 4 Oktober 2007. Dia kini menjalani hidup seperti biasa di bawah jagaan bapanya di Terengganu. Keputusan tersebut dibuat Mahkamah Persekutuan pada 19 Januari 2005.

Ekoran kejadian yang menimpa Allahyarham, Amanah Raya Berhad selaku pentadbir harta telah mengemukakan permohonan pada 1 Februari lalu agar mahkamah membuat keputusan untuk membatalkan sijil pembahagian harta (faraidh) bertarikh 13 Oktober 2000 dan mengeluarkan sijil perakuan faraidh yang baru tetapi nama Muhamad Suhaimi selaku defendan pertama dikeluarkan daripada senarai penerima pusaka arwah isterinya.

Dalam permohonan tersebut Zainul Rijal mengemukakan permohonan untuk menggugurkan nama Muhamad Suhaimi yang tertera dalam sijil pembahagian harta yang berhak ke atas tiga bahagian daripada jumlah keseluruhan wang tunai RM319,445 peninggalan Faizah.

Selain Muhamad Suhaimi, dua anak lelaki Faizah berhak menerima dua bahagian masing-masing sementara anak perempuannya hanya satu bahagian, manakala ibu bapa Faizah setiap seorang berhak dua bahagian harta tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 19/12/2008

Thursday, September 25, 2008

Wajib ambil anak angkat dalam situasi tertentu

Oleh: Mohamad Isa Abd Ralip

Islam tetapkan hukum keadilan bagi pelihara keharmonian nasab, jaga hak harta.

ANAK dalam keluarga adalah buah hati belahan jiwa atau penyeri kehidupan. Setiap pasangan yang melangsungkan perkahwinan mengharapkan kelahiran anak sebagai penerusan kepada sebuah keluarga, keturunan dan bangsa.

Namun demikian, tidak semua mahligai perkahwinan dianugerahi Allah dengan anak. Malah, ada yang sehingga menghembuskan nafas terakhir tidak juga dikurniakan cahaya mata walaupun sepanjang hayat mereka pelbagai usaha berubat secara moden mahupun tradisional.

Kebanyakan pasangan yang tidak mempunyai anak akhirnya mengambil keputusan untuk mengambil anak angkat selepas penantian mereka tidak mendatangkan hasil bagi menghilangkan kesunyian dalam rumah tangga mereka.

Anak angkat diambil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, mengambil anak saudara sendiri kerana saudaranya itu miskin serta mempunyai anak ramai ataupun dengan cara mengambil anak luar nikah sebagai anak angkat selepas ibu anak malang itu enggan memelihara anak berkenaan.

Anak angkat sudah dikenali sejak zaman jahiliah sebelum ada risalah Nabi Muhammad SAW. Ketika itu anak angkat dinasabkan kepada bapa angkatnya serta boleh menerima perwarisan. Malahan isteri anak angkat haram dikahwini oleh bapa angkatnya.

Justeru, umumnya anak angkat mendapat hak yang sama seperti anak kandung. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengambil Zaid bin Haritsah bin Syarahil Al-Kalbi sebagai anak angkat sebelum beliau menjadi rasul, sehingga dipanggil dengan nama Zaid bin Muhammad. Tradisi itu berlanjutan dari zaman jahiliah hingga tahun ketiga atau keempat hijrah.

Allah kemudian memerintahkan anak angkat dinasabkan kepada bapa mereka (yang sebenarnya) apabila diketahui. Allah mengharamkan anak angkat dinasabkan kepada bapa angkat secara hakiki, bahkan anak juga dilarang bernasab kepada selain bapa mereka yang sebenarnya.

Allah mengungkapkan hukum itu sebagai bentuk keadilan yang mengandungi kejujuran dalam perkataan, menjaga keharmonian nasab serta menjaga hak harta bagi orang yang berhak memilikinya.

Islam tidak menggalakkan konsep anak angkat tanpa sebarang ikatan diiktiraf. Berbeza dengan anak susuan, anak angkat adalah dikira sebagai orang asing dalam rumah, maka semua batasan aurat perlu dijaga seperti wanita di luar rumah.

Ia adalah fenomena tidak sihat menurut Islam. Jika seseorang tahu statusnya sebagai anak angkat hanya ketika ia sudah dewasa, maka bermula daripada ia sedar semua batasan aurat mesti dijaga seperti dituntut Islam kepada lelaki dan perempuan bukan mahram.

Dari segi pembahagian harta bagi anak angkat, Islam menetapkan anak angkat tiada hak dalam harta pusaka. Jika hendak bagi juga harta kepada anak angkat, harta itu hendaklah dibahagi secara hibah ketika hayat bapa atau ibu angkat. Selain itu adalah dengan cara mewasiatkan harta kepada anak angkat, tetapi dengan syarat tidak boleh mewasiatkan lebih daripada satu pertiga harta yang ada.

Mengambil anak angkat untuk dijadikan sama macam anak sendiri dilarang oleh syarak seperti dilarang menukar bin anak angkat tersebut. Mengambil anak angkat seperti anak luar nikah yang tidak dipedulikan orang bertanggung jawab adalah digalakkan di sisi syarak.

Dalam sesuatu keadaan, hukum mengambil anak angkat ini boleh menjadi wajib apabila timbulnya ketakutan anak itu akan jatuh ke tangan orang kafir. Justeru bagi mengelakkan akidah anak itu terpesong, Islam mewajibkan anak berkenaan diambil serta dijadikan anak angkat.

Ada dua cara mendapatkan anak angkat iaitu mengambil terus daripada ibu bapa yang ingin memberikan anak mereka sebagai anak angkat atau kedua, dengan cara membuat permohonan kepada JKM.

Bagi menjadikan permohonan cara pertama di atas sah mengikut lunas undang-undang, permohonan pemohon hendaklah dilanjutkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara di bawah Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952 (Akta 253). Permohonan untuk pengesahan itu hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak angkat berkenaan dipelihara oleh keluarga angkatnya.

Permohonan cara kedua, sebelum anak angkat dibenarkan diambil, JKM akan mempertimbangkan permohonan pemohon terlebih dulu. Antara perkara dipertimbangkan JKM ialah latar belakang sosial pemohon serta kesanggupan menjadi keluarga angkat.

Selain itu, syarat dalam Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 juga perlu dipenuhi antaranya, ibu bapa angkat mestilah sekurang-kurangnya berumur 25 tahun dan sekurang-kurangnya 18 tahun lebih tua daripada anak angkat itu. Anak angkat itu hendaklah di bawah umur 18 tahun dan ibu bapa dan anak angkat hendaklah menetap di Malaysia.

Mengikut peruntukan undang-undang, pengambilan anak pelihara secara sendiri perlu dimaklumkan kepada JKM mengikut seksyen 35(1) Akta kanak-Kanak 2001 tidak lewat daripada satu minggu selepas pengambilan.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Sumber: Persatuan Peguam Syarie Malaysia
Tarikh: 25/9/2008

Friday, June 13, 2008

Wang insurans tidak ikut syarak bukan harta pusaka

Soalan:

Anak lelaki saya sudah meninggal dunia dan meninggalkan saya, ibunya, seorang isteri serta dua anak perempuan. Saya sudah mendapatkan Surat Pentadbir Kuasa bagi mentadbir harta arwah. Dalam surat itu, beliau diamanahkan sebagai wasi dan hendaklah membahagikan wang berkenaan mengikut hukum faraid.

Baru-baru ini, pihak insurans mengeluarkan wang insurans nyawa secara berkelompok arwah kepada balunya. Arwah tiada meletakkan penama untuk insurans itu. Namun, sehingga kini balu arwah tidak membahagikan wang berkenaan mengikut faraid atau menyimpan di tabung amanah untuk cucu saya walaupun dinasihatkan berkali-kali. Alasannya ialah wang insurans itu adalah insurans konvensional dan bukan secara Islam, jadi tidak perlu dibahagikan mengikut faraid.

Apakah hak saya dan waris lain khasnya cucu terhadap wang insurans nyawa itu sama ada ia secara konvensional mahupun Islam.

Ayah dan datuk,
Selangor Darul Ehsan.

Jawapan:

Isu dalam kes ini ialah sama ada wang pampasan insurans nyawa boleh dianggap sebagai harta pusaka atau sebaliknya kerana seseorang yang mengambil insurans nyawa sama ada melalui syarikat insurans konvensional atau secara Islam, beliau akan mencarum sejumlah wang tertentu setiap bulan.

Menurut Akta Insurans, insurans nyawa yang diambil pencarum terbahagi kepada dua jenis iaitu insurans nyawa yang dilantik penama dan insurans nyawa tidak dilantik penama. Pampasan insurans nyawa yang tidak dilantik penama adalah menjadi harta pusaka dan hendaklah dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid.

Bagi pampasan insurans nyawa dilantik penama, ada dua keputusan mahkamah yang berbeza di mana dalam kes Re Man Minhat (1965) 2 MLJ 1 yang diikuti oleh kes Re Bahadun Hassan (1974) 1 MLJ 4, mahkamah memutuskan pampasan insurans nyawa menjadi hak penama.

Namun, dalam kes Re Ismail Rentah (1939) FMSLR 230 dan (1940) MLJ 98, Mahkamah Tinggi memutuskan sebaliknya di mana fakta kes lebih kurang sama dengan kes Re Man Minhat, penama adalah isteri si mati.

Mahkamah memutuskan bahawa undang-undang Islam adalah sebahagian undang-undang awam negeri. Di bawah undang-undang Islam, mengikut kajian mahkamah seseorang boleh membuat hibah harta yang tertentu ketika hayatnya.

Hibah yang diberi dalam marad al-mawt dianggap sebagai pemberian melalui wasiat, pemberian kepada seorang waris (isteri) adalah tidak sah melainkan waris lain bersetuju. Surat penama tidak boleh dianggap sebagai hibah masa hidup kerana tiada pindah milik kepada orang yang menerima.

Oleh itu, mengikut undang-undang Islam, jumlah wang itu terpulang untuk dibahagikan kepada semua waris dan bukan menjadi milik isteri sebagai penama.

Hukum berkaitan penama sudah difatwakan pada 1973 di mana penama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Wang Simpanan Pejabat Pos, bank, insurans dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang yang melaksanakan wasiat si mati untuk dibahagikan kepada orang yang berhak menurut pembahagian faraid.

Penama adalah orang yang diberi kuasa untuk mengeluarkan wang si mati dengan mudah dan segera tanpa perlu melalui proses pembahagian harta pusaka mengikut undang-undang pembahagian harta pusaka.

Namun, penama bukanlah pemilik wang itu kerana penama hanyalah bertindak sebagai wasi atau pemegang amanah. Selepas mengeluarkan wang, penama hendaklah membahagikannya kepada waris mengikut faraid.

Dalam kes tuan, laporan polis boleh dibuat berkaitan tindakan balu arwah pecah amanah sebagai wasi pampasan insurans seperti dinyatakan dalam surat syarikat insurans kepadanya. Tuan juga boleh memfailkan kes di Mahkamah Sivil bagi tuntutan itu.

Namun, rujukan harus dibuat kepada fatwa berkaitan penggunaan wang insurans nyawa itu. Pada 1979, Kesatuan Ulama Fiqh Dunia yang bersidang di Makkah, majoritinya memutuskan insurans jenis perniagaan sama ada ke atas barang perniagaan, nyawa dan lain-lain daripada jenis harta adalah haram.

Pada 1985, majoriti ulama sedunia mengharuskan insurans jenis kerjasama iaitu insurans termasuk dalam jenis kontrak sumbangan ikhlas yang diikat untuk mencapai matlamat bantu membantu antara individu masyarakat yang menghadapi musibah dan demi mengurangkan bebanan ditanggung berdasarkan syarat ditetapkan oleh syarak.

Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan memutuskan hukum memakan wang daripada wang insurans nyawa bagi syarikat insurans yang mengamalkan kegiatan bertentangan dengan hukum syarak adalah haram.

Maka, tuan perlu meneliti sama ada syarikat insurans arwah menjalankan kegiatan yang menurut hukum syarak atau tidak sebelum membelanjakan wang pampasan itu. Jika syarikat berkenaan tidak menjalankan kegiatan mengikut hukum syarak, wang daripada insurans selepas pencarum meninggal dunia hukumnya adalah tidak menjadi harta pusaka.

Hanya wang pendahuluan atau wang yang dibayar setiap bulan oleh si mati saja menjadi harta pusaka dan perlu dibahagikan mengikut faraid.

Berbincanglah secara baik dengan balu arwah serta dapatkan khidmat guaman yang meliputi undang-undang sivil dan hukum syarak supaya pembahagian dan penggunaan wang insurans itu menurut hukum syarak.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak.

Sumber: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Tarikh: 13/6/2008

Thursday, May 29, 2008

Peguam Syarie Menulis: Harus wasiat semua harta kepada anak

Soalan:

Merujuk permasalahan bekas isteri dari Perlis pada 8 Mei lalu, saya mulai terfikir permasalahan yang mungkin saya hadapi. Saya dan suami mempunyai empat anak dan semuanya perempuan. Ini bermakna kami tidak mempunyai waris anak lelaki. Adakah dibolehkan dalam Undang-Undang Islam bagi kami untuk mewasiatkan harta yang kami ada ketika hidup kepada semua anak kami melalui mana-mana pemegang amanah?

Azizah,
Kuala Lumpur.

Jawapan:

Bagi menjawab persoalan puan, rujukan adalah melalui Bab Wasiat, Kitab Fikah Mazhab Syafie oleh Dr Mustofa Al Khin, Dr Mustofa Al Bugho dan Ali Asy Syarbaji.

Hukum asal ketika peringkat awal kedatangan Islam berkaitan wasiat adalah wajib mewasiatkan semua harta kepada ibu bapa dan sanak-saudara. Dalilnya firman Allah bermaksud: Kamu diwajibkan apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang yang bertakwa. (Al Baqarah:180)

Namun, kewajipan itu dimansuhkan dengan ayat-ayat dan hadis-hadis yang berkaitan dengan pusaka. Cuma amalan berwasiat masih digalakkan dengan had maksimum satu pertiga saja daripada harta dan diberikan kepada selain ahli waris.

Kitab Fikah Mazhab Syafie merujuk Abdullah bin Abbas r.a, berkata: Hukum wasiat terus diamalkan berdasarkan firman Allah bermaksud: Kamu diwajibkan apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat…sehinggalah ayat ini dimansuhkan dengan ayat pusaka Abu Daud dalam Kitab Wasiat, Bab Hadis Memansuhkan Wasiat Kepada Ibu bapa dan Kerabat.

Rasulullah bersabda bermaksud: Sesungguhnya Allah mengurniakan hak kepada setiap yang berhak. Tidak harus wasiat untuk pewaris. (Riwayat Abu Daud). Peraturan asas wasiat, ia hanya boleh diberikan kepada bukan waris. Anak adalah ahli waris, oleh itu merujuk nas, tidak boleh membuat wasiat kepada anak berkenaan.

Tujuan peraturan ini adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan pahala serta memenuhi segala kekurangan ketika hayat pembuat wasiat. Anak dan waris lain mendapat bahagian mereka melalui pusaka.

Di dalam kes puan, puan ingin mewasiatkan semua harta kepada semua anak perempuan kerana tiada anak lelaki. Jika merujuk nas dan pendapat utama mazhab Syafie, wasiat sebegini hukumnya harus, tetapi tidak boleh dilaksanakan kecuali selepas mendapat persetujuan waris lain.

Hanya dengan persetujuan waris lain barulah wasiat itu boleh dilaksanakan. Waris lain puan merujuk sama ada ibu bapa, abang atau adik lelaki puan di mana mereka berhak melalui hukum faraid mendapat bahagian melalui pusaka puan. Oleh itu, sama ada puan dan suami membuat wasiat semua harta atau 1/3 saja kepada anak perempuan saja walaupun melalui mana-mana pemegang amanah, hukum asalnya sama seperti pendapat utama mazhab Syafie itu.

Ia juga merujuk sabda Rasullullah s.a.w bermaksud: Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain (Riwayat Daruqutni daripada Ibnu Abbas r.a).

Beberapa perkara perlu diketahui puan berkaitan wasiat kepada waris ini iaitu:

1) Jika wasiat ditujukan kepada waris, penerimaan atau penolakan waris ketika hayat pewasiat tidak memberikan sebarang kesan kerana pewaris tidak mempunyai sebarang hak dalam pusaka ketika hayat pewasiat. Mana-mana waris yang menerima wasiat melalui wasiat ketika hidup pewasiat, boleh menolaknya selepas kematian pewasiat. Mana-mana waris yang menolak harta ketika pewasiat masih hidup, boleh menerimanya selepas kematian pewasiat. Oleh itu, setiap waris tidak terikat dengan mana-mana perjanjian wasiat yang dibuat ketika hayat pewasiat.

2) Penerima wasiat mesti menjadi waris ketika kematian pewasiat, bukan ketika wasiat dibuat. Jika pewasiat mewasiatkan harta kepada saudaranya kerana beliau tidak mempunyai anak, tetapi sebelum pewasiat mati, pewasiat mendapat anak lelaki, wasiat itu sah dan boleh dilaksanakan kerana pada masa kematiannya, saudaranya bukan lagi waris yang berhak menerima pusaka kerana anak lelaki menghalang saudara kandung daripada mendapat pusaka.

3) Jika selepas kematian pewasiat, sebahagian pewaris setuju dan sebahagian lagi membantah, maka hukumnya perlu diperinci. Wasiat dibatalkan daripada bahagian waris membantah dan dilaksanakan pada bahagian waris yang setuju mengikut bahagian mereka dalam pusaka.

4) Jika wasiat berkaitan wakaf dan hadiah dibuat kepada waris ketika pewasiat hampir mati ia juga memerlukan persetujuan waris yang lain. Merujuk Ahmad Hidayat Buang dalam Bagaimana Membuat Wasiat, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, hikmah waris tidak berhak menerima wasiat daripada pewasiat adalah kerana hak mereka sudah dijamin hukum syarak melalui hukum faraid. Maka, pewasiat tidak wajar merosakkan keseimbangan agihan pusaka secara faraid yang ditetapkan hukum syarak.

Jawapan soalan oleh Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah binti Abd Razak.

Sumber: Berita Harian
Tarikh: 29/5/2008

Sunday, May 11, 2008

Isteri bercerai putus hak wang KWSP suami

Soalan:

SAYA bercerai secara fasakh di Perlis. Setahun selepas bercerai, bekas suami meninggal dunia. Kami mempunyai empat anak dan semuanya dipelihara oleh ibu bapa mentua. Arwah meninggalkan tiga rumah semuanya berada di Selangor yang dibeli ketika dalam tempoh perkahwinan, sebuah kereta dan wang di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ibu bapa mentua sudah mendapatkan sijil faraid dan dalam proses pembahagian harta pusaka. Saya menerima sejumlah wang daripada KWSP kerana arwah menamakan saya sebagai penama. Baru-baru ini ibu bapa mentua meminta semua wang KWSP yang saya terima dengan alasan saya tidak berhak menerima wang KWSP.

Saya ingin tahu hak saya dan anak terhadap wang KWSP dan harta lain kerana saya tidak sempat menuntut semua itu sebelum arwah meninggal dunia. Jika boleh menuntut, di manakah sewajarnya saya menuntut, sama ada di Perlis atau Selangor?

Bekas Isteri,
Perlis Indera Kayangan

Jawapan:

SEMOGA puan dan anak sentiasa dalam rahmat dan reda Allah melalui hari mendatang. Mengikut fatwa dan amalan semasa, wang simpanan si mati dalam KWSP adalah harta pusaka dan bukannya harta sepencarian. Ia mesti dibahagikan mengikut hukum faraid. Ia jelas melalui Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-49 pada September 2000 iaitu wang KWSP dan wang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid kerana wang itu dicarum si mati semasa hayatnya kepada KWSP maka wang itu adalah milik si mati.

Oleh itu, wang milik si mati adalah harta pusaka. Walaupun puan dinamakan sebagai penama untuk mengeluarkan dan menerima wang itu, wang yang diterima hendaklah dibahagikan kepada waris mengikut faraid. Fatwa Kebangsaan juga memutuskan penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum faraid.

Keputusan fatwa juga menetapkan Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hendaklah menasihatkan KWSP supaya menyemak semula peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung dengan penamaan supaya selaras dengan hukum syarak. KWSP turut memberikan peringatan kepada penerima seperti berikut: “Bagi ahli yang beragama Islam, penerima waran ini adalah sebagai wasi atau pentadbir dan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mentadbir dan membahagikan simpanan KWSP ahli mengikut undang-undang Islam (faraid).

Pelantikan penama hanyalah sebagai amalan biasa dalam KWSP mahupun mana-mana institusi kewangan seperti Tabung Haji dan bank. Majlis Raja-Raja kali ke-96 pada September 1973 memberikan pendapat yang dikeluarkan sebagai fatwa seperti berikut: Penama KWSP, Wang Simpanan Pejabat Pos, bank, insurans dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati daripada sumber itu untuk dibahagikan kepada orang yang berhak menurut pembahagian faraid.

Persoalan sama ada penama berhak kepada harta atau wang simpanan menurut hukum syarak atau sebaliknya dan sama ada harta atau wang simpanan itu dianggap sebagai harta pusaka si mati atau tidak timbul dalam kes Re Ismail bin Rentah (si mati) (1939) FMSLR 230. Dalam kes itu si mati menjadi ahli Syarikat Koperatif Pegawai Melayu, perkhidmatan awam dan menamakan anak perempuannya sebagai penama untuk menerima saham dan faedahnya dalam syarikat itu apabila beliau meninggal dunia.

Ketika kematiannya, si mati meninggalkan waris iaitu balu, ibu, anak perempuan, saudara lelaki dan saudara perempuan. Penolong Pendaftar memerintahkan saham dan faedah si mati daripada syarikat dibahagikan kepada waris dan bukan hanya kepada penama seorang. Penama membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi dan diperintahkan bahawa rayuan ditolak.

Yang Arif Hakim Raja Musa dalam keputusannya memutuskan: Dalam pendapat saya, surat penama dalam kes ini tidak boleh dianggap sebagai hibah masa hidup oleh kerana tidak ada pindah milik kepada orang yang menerima. Sebaiknya dia boleh dianggap sebagai hibah dalam masa mard al mawt, akan tetapi hibah dalam masa sedemikian dianggap sebagai tertakluk kepada undang-undang wasiat. Oleh kerana itu mengikut undang-undang Islam, jumlah itu terpulang untuk dibahagikan kepada semua waris.

Walaupun puan dilantik sebagai penama KWSP tetapi puan tidak termasuk sebagai waris pusaka si mati untuk mewarisi wang KWSP kerana pertalian di antara puan dengannya sebagai waris pusaka sudah terputus disebabkan perceraian antara puan dengannya sebelum arwah meninggal dunia. Namun, terpulanglah kepada peguam puan untuk berhujah menyatakan puan masih berhak ke atas 1/3 wang KWSP menggunakan undang-undang wasiat atau hibah semasa mard al-mawt seperti dinyatakan kes di atas.

Bagaimanapun, puan masih berhak untuk menuntut harta sepencarian terhadap rumah dan kereta arwah. Ia kerana tiada had masa untuk seseorang menuntut harta sepencarian selepas perceraian. Arahan Amalan No 5 tahun 2003 bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan berhubung dengan masa membuat tuntutan harta sepencarian dibolehkan sama ada semasa tuntutan perceraian atau selepas perceraian atau selepas kematian mana-mana pihak.

Oleh itu, puan masih boleh menuntut harta sepencarian terhadap rumah dan kereta arwah dengan membuktikan sumbangan puan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam pemerolehan harta berkenaan. Berkaitan di mana puan perlu memfailkan kes tuntutan harta sepencarian, walaupun ia masih dipertikaikan oleh khalayak namun menurut Arahan Amalan No 6 tahun 2003, penentuan mahkamah yang berbidang kuasa membicarakan kes harta sepencarian adalah mahkamah di mana perintah perceraian atau pengesahan perceraian dikeluarkan.

Jika perintah perceraian fasakh puan dikeluarkan oleh mahkamah di Perlis, maka puan perlu memfailkan tuntutan itu di Perlis walaupun harta semuanya berada di Selangor. Berkaitan hak anak puan, mereka adalah waris yang sah dan berhak menerima pusaka arwah selepas hutang dan harta sepencarian ditolak daripada pusaka arwah. Berbincanglah dengan mentua untuk menyelesaikan kes tuntutan harta sepencarian dan faraid secara baik.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Siti Razasah Abd Razak.

Sumber: Persatuan Peguam Syarie Malaysia
Tarikh: 11/5/2008

Thursday, May 1, 2008

Mahkamah Syariah boleh dengar kes tuntutan hutang

Soalan:

SAYA seorang guru, sudah berkahwin selama 10 tahun dan mempunyai tiga anak. Saya bercerai akhir 2007.

Sepanjang perkahwinan, saya banyak berkorban untuk keluarga, memberikan dua pertiga gaji untuk urusan keluarga seperti membayar sekolah anak, duit belanja dan barang dapur. Ketika itu saya tidak kisah kerana fikirkan suami isteri mesti bekerjasama untuk keluarga. Saya juga selalu memberi duit kepada suami kerana katanya dia tiada duit untuk belanja. Semua jumlah kecil itu saya tidak ingat jumlahnya.

Tetapi saya pernah memberi RM20,000 kepada suami sebagai hutang ketika kami belum bercerai. Tujuan beliau meminjam wang itu untuk digunakan sebagai tambahan modal perniagaannya. Ada perjanjian ditandatangani antara saya dan bekas suami menyatakan hal-ehwal hutang itu. Sekarang kami sudah bercerai dan perniagaan bekas suami nampaknya maju kerana beberapa kali menukar kereta.

Persoalannya adakah saya boleh memfailkan tuntutan hutang ini di Mahkamah Syariah. Saya juga mempunyai tuntutan lain yang difailkan di Mahkamah Syariah seperti mutaah dan harta sepencarian yang akan diberi keputusannya tidak berapa lama lagi. Oleh kerana hutang itu sudah lama dan tidak pernah dibayar oleh bekas suami, adakah saya dihalang daripada menuntutnya sekarang.

Isteri Malang,
Klang.

Jawapan:

Puan perlu bersabar dan kuatkan hati menerima dugaan. Puan bukan seorang yang malang kerana apa saja takdir Ilahi mempunyai hikmah di sebaliknya. Kita terima dengan hati terbuka dan positif. Insya Allah masa depan puan akan lebih cemerlang.

Berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah, Seksyen 61 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 menjelaskan bahawa dalam kes mal, Mahkamah Syariah berbidang kuasa mendengar serta memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan itu adalah orang Islam, tindakan itu berhubungan dengan:

• Pertunangan, perkahwinan, rujuk, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz atau perkara pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara berkaitan perhubungan suami isteri;
• Apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara dinyatakan di atas;
• Nafkah orang tanggungan, kesahatarafan atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak;
• Pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;
• Wasiat atau alang ketika nazak (marad al maut);
• Alang ketika hidup atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan memadai dengan wang atau nilaian wang oleh seseorang Islam;
• Wakaf atau nazar; Pembahagian dan perwarisan harta berwasiat atau tidak berwasiat;
• Penentuan orang berhak kepada bahagian harta pusaka si mati yang beragama Islam atau bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak;
• Pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam;
Pengisytiharan bahawa seseorang itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya;
• Pentadbiran masjid;
• Perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Walaupun tiada peruntukan khusus berhubung dengan hutang piutang antara suami isteri, apa-apa pelupusan atau tuntutan harta berbangkit daripada pertunangan, perkahwinan, rujuk, perceraian, pembubaran perkahwinan, nusyuz atau pemisahan kehakiman termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti diperuntukkan dalam seksyen 61 di atas.

Hutang bekas suami kepada puan tentunya berbangkit daripada perkahwinan antara puan dengannya. Dalam perkataan lain, jika puan tidak berkahwin dengan bekas suami, tentulah hal ehwal hutang piutang ini tidak berlaku. Oleh itu, Mahkamah Syariah berkuasa mendengar dan memutuskan tuntutan puan.

Dalam kes Moriazi Mohamad lawan Ajmawati Attan, Mahkamah Rayuan Syariah Selangor memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa membicarakan tuntutan hutang piutang, walaupun di sana tiada peruntukan khusus mengenainya.
Tuntutan hutang piutang itu terbit daripada perkahwinan mereka, disebabkan mereka berkahwin, maka berlakulah transaksi antara mereka termasuk berniaga dan pinjam meminjam modal dan sebagainya, hatta kepada hutang piutang.

Oleh kerana peruntukan khusus tidak wujud dalam mana-mana undang-undang bertulis, maka dalam hal ini, Mahkamah Syariah boleh menggunakan peruntukan hukum syarak. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Selangor 2003 menjelaskan dalam seksyen 245(2) bahawa jika wujud lacuna (lompang) atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata oleh enakmen ini, mahkamah hendaklah memakai hukum syarak.

Oleh demikian, berdasarkan peruntukan undang-undang yang disebut di atas dan kes Mahkamah Rayuan Syariah Selangor yang diputuskan itu, puan boleh menuntut hutang dibuat suami di Mahkamah Syariah dan bukan di Mahkamah Sivil. Puan dinasihatkan mengemukakan saksi, bukti dokumen dan sebagainya bagi menyokong keterangan ketika membuat ganti rugi. Beban untuk membuktikan bahawa suami berhutang terletak pada bahu puan.

Berhubung had masa pula, berbeza tuntutan hutang di Mahkamah Sivil yang hanya boleh dibuat dalam tempoh enam tahun daripada tarikh keingkaran, di Mahkamah Syariah dan dalam hukum syarak tidak memperuntukkan masa seperti itu. Ini bermakna tiada had masa bagi tuntutan di Mahkamah Syariah. Perkara itu walaupun sudah lama berlalu, puan masih lagi boleh membuat tuntutan itu di Mahkamah Syariah.

Tuntutan hutang juga tidak akan memprejudiskan tuntutan lain yang puan failkan terhadap bekas suami seperti mutaah dan harta sepencarian. Tuntutan itu adalah berasingan dan memerlukan pembuktian berlainan. Tuntutan itu adalah hak puan yang dinyatakan dalam hukum syarak dan dikanunkan sebagai undang-undang.

Oleh itu, puan tidak perlu risau berhubung perkara berkenaan. Mahkamah akan membuat keputusan berdasarkan tuntutan dan pembuktian dikemukakan di mahkamah.

Jawapan disediakan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar.

Sumber: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Tarikh: 1/5/2008

Saturday, December 22, 2007

Apakah Harta Sepencarian?

Oleh: Muhamad Isa Abd Ralip
Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Soalan:

RUMAH tangga saya bahagia selepas berkahwin lebih 15 tahun. Kemusykilan saya ialah apabila mengenai pasangan bergaduh, bercerai atau apabila satu pasangan meninggal dunia, kemudian mereka menuntut harta yang dibeli bersama.

Timbul kemusykilan kenapa suami isteri boleh menuntut harta sepencarian, apa beza dengan harta pusaka sedangkan bahagian harta pusaka untuk suami atau isteri sudah ditetapkan melalui sistem faraid. Apa rasionalnya dibenarkan menuntut harta sepencarian dan bagaimana mahkamah syariah membuat keputusan atau mekanisme yang digunakan untuk mengira jumlah nilai harta sepencarian?

Suami Bertuah
Selangor

Jawapan:

Harta sepencarian mengikut syarak ditafsirkan sebagai pemerolehan harta sepanjang tempoh perkahwinan sama ada membabitkan harta alih atau tak alih dan pihak yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Tuntutan biasanya ditimbulkan oleh isteri atau bekas isteri apabila membabitkan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkahwinan sama ada secara tak langsung misalnya urusan menguruskan rumah tangga. Sumbangan secara langsung misalnya isteri mengeluarkan modal terutama dalam bentuk kewangan untuk mendapatkan harta dalam tempoh perkahwinan. Begitu juga jika satu pihak itu meninggal dunia, pasangan akan meminta harta itu dibahagikan dulu sebagai harta sepencarian sebelum diisytihar sebagai harta pusaka.

Kitab At-Turuq al-Hukmiyah karya Ibnu Qayyim al-Juziyyah mengatakan, dalam tuntutan suami isteri membabitkan harta sepencarian, tuntutan hendaklah berdasarkan keterangan pihak yang membuktikan tuntutan itu.

Pemilikan ke atas sesuatu harta bukan berdasarkan kepada nama atas harta itu semata-mata kerana nama tertera belum membuktikan dia pemilik sebenar. Kenyataan itu dibuat dengan maksud adalah satu kezaliman jika hak milik sesuatu harta hanya diambil kira berdasarkan nama atas harta itu semata-mata sedangkan pihak satu lagi mungkin menyumbang cuma namanya tidak dinyatakan ke atas harta berkenaan.

Rasional keharusan pembahagian harta sepencarian menunjukkan pengiktirafan syarak terhadap hak, habuan dan pemilikan pihak berusaha mendapatkan harta itu sepanjang perkahwinan. Hukum harta sepencarian tidak dinyata secara jelas. Cuma pembahagian itu dibuat bersandarkan kemaslahatan pihak atas prinsip keadilan dan hak.

Prosedur pembahagian harta sepencarian juga tidak dinyatakan secara tepat dalam hukum syarak. Merujuk kepada amalan biasa penghakiman di mahkamah syariah, pembahagian harta sepencarian ke atas seorang isteri ditentukan setakat harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan.

Ini termasuk sumbangan isteri menguruskan rumah tangga, menjaga anak, melayan suami, menyebabkan suami merasa kehidupan yang tenang dan dapat menumpukan kerjaya sehingga suami dapat memperoleh harta dalam tempoh perkahwinan mereka. Tuntutan terhadap harta sepencarian bukanlah dihadkan kepada isteri saja, malah suami juga berhak menuntut harta sepencarian daripada isteri.

Seksyen 122 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 (EUKIS 2003 menetapkan: Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagikan antara mereka atau supaya aset yang diperoleh pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan dibahagikan antara pihak-pihak itu.

Kemudian seksyen 122 (2) menjelaskan, pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), mahkamah hendaklah mengambil perhatian mengenai:

• Takat sumbangan yang dibuat tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset itu,
• Apa-apa yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka,
• Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.

Tertakluk kepada seksyen 122 (2), mahkamah hendaklah membuat pertimbangan sama banyak. Namun, mahkamah juga boleh memerintahkan supaya aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan sama rata antara kedua pihak sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 122 (3).

Untuk menjalankan perintah di bawah Seksyen 122(3) mahkamah hendaklah memberi perhatian terhadap beberapa perkara seperti mana yang diperuntukkan di bawah seksyen 122 (4):

> Takat sumbangan yang dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga,
> Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.

Tertakluk kepada pertimbangan seksyen 122 (4), mahkamah dengan kuasa yang ada boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan mengikut apa-apa kadar yang difikirkan munasabah, tetapi walau bagaimanapun, pihak yang memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

Perbezaan harta sepencarian dan faraid adalah faraid pembahagian harta pusaka yang ditetapkan syarak kepada para ahli waris. Ada tiga golongan ahli waris yang melayakkan mereka menerima harta pusaka, pertama, melalui hubungan keturunan, perkahwinan dan juga wala’ (hubungan kekeluargaan). Isteri termasuk dalam golongan waris yang layak menerima pusaka melalui hubungan perkahwinan.

Hukum pusaka disyariatkan dalam Islam. Ia telah disahkan serta dinyatakan dalam al-Quran dan sunnah serta ijma’ ulama.

Sumber: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Tarikh: 22/12/2007

Wednesday, October 24, 2007

Peguam Syarie Menulis: Hibah secara bertulis boleh elak salah faham antara waris

ELEMEN penting dalam pemberian hibah adalah penerimaan barang hibah atau Al-Qabd. Al-qabd bermaksud mendapat sesuatu, menguasai dan boleh melakukan sesuatu ke atas barang berkenaan.

Selepas lafaz ijab kabul dibuat, sesuatu hibah menjadi sempurna apabila berlaku al-qabd atau penerimaan barang oleh penerima. Ia bermakna lafaz ijab oleh penghibah dan lafaz kabul oleh penerima saja tidak memadai untuk menyatakan sesuatu lafaz hibah sudah sempurna.

Contohnya, Ali menghibahkan keretanya kepada Ahmad dengan lafaz: "Aku beri kereta ini kepada kamu", lalu dijawab oleh Ahmad, "Baiklah aku terima." Tetapi kereta itu tidak diserahkan kepada Ahmad.

Hibah masih belum sah sehingga kereta itu diberi kepada Ahmad. Walaupun geran kereta berkenaan masih di atas nama Ali, namun Ahmad adalah pemunya kereta selepas hibah itu sempurna.

Persoalan sering ditimbulkan adalah bolehkah pemberi hibah menarik balik hibah yang sudah dibuat? Mengikut Mazhab Syafie, pemberi hibah berhak menarik balik hibah jika belum berlaku serahan barang hibah kepada penerima hibah.

Bagaimanapun, jika sesuatu hibah sudah sempurna dilaksanakan, fuqaha' berbeza pendapat dalam menentukan hukumnya. Mazhab Syafie dan Hambali berpendapat pemberi hibah tidak boleh menarik balik hibah itu, kecuali hibah daripada seorang bapa kepada anaknya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti orang yang menjilat muntahnya sendiri."

Persoalan bolehkah seseorang sakit tenat atau nazak membuat hibah? Contohnya bapa sakit tenat, tiba-tiba berpesan kepada anaknya supaya membahagi harta iaitu rumah kepada anak pertama dan tanah kepada anak kedua. Adakah pemberian itu dianggap hibah atau wasiat? Jika ia hibah, adakah sah dilaksanakan?

Contoh di atas dinamakan hibah dalam Mard al-Maut, iaitu sakit yang boleh menyebabkan kematian. Hibah dibuat pada waktu itu boleh dihukum mengikut satu daripada dua kaedah iaitu kaedah hibah atau wasiat.

Jika ayah tadi meninggal dunia selepas itu, sebelum al-qabd berlaku, maka hibah itu dihukum sebagai wasiat. Mengikut kaedah wasiat, hibah itu hendaklah dilaksanakan setakat tidak melebihi satu pertiga daripada harta si mati dan penerima hibah pula bukan seorang daripada waris penghibah/simati.

Dalam kes di atas, penerima hibah adalah waris, maka hibah yang sudah menjadi wasiat itu hanya boleh dilaksanakan jika semua waris yang lain bersetuju dengan hibah berkenaan. Tetapi, jika ayah tadi masih hidup dan pulih selepas itu, hibah adalah sah selepas rukun dan syaratnya dipenuhi.

Bolehkah ahli waris membantah hibah yang dibuat selepas pemberi hibah meninggal dunia? Contohnya, seorang ibu tunggal memberi tanah kepada anak angkatnya tanpa memberitahu anak kandungnya yang lain sebelum dia meninggal dunia.

Kes seperti ini banyak berlaku dan ia mewujudkan perpecahan di kalangan waris, lebih-lebih lagi jika hibah itu dibuat secara lisan. Sebab itu, kita menyarankan supaya hibah dibuat secara bertulis dalam bentuk dokumen yang boleh ditunjukkan kepada pihak yang tidak mengetahui wujudnya hibah itu. Ia bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dan kejadian fitnah memfitnah antara waris.

Secara asasnya sesuatu hibah boleh dicabar di Mahkamah Syariah, tidak kira sama ada hibah dibuat secara lisan atau bertulis dalam bentuk dokumen oleh individu, peguam atau firma berautoriti. Bagaimanapun, ia hanya boleh dicabar atau dipertikaikan dari sudut sahnya mengikut hukum syarak atau jika ada waris yang tidak bersetuju dengan kandungan hibah itu selepas pemberi hibah meninggal dunia.

Pertikaian seperti di atas berlaku kerana harta yang dihibah masih di atas nama pemberi hibah pada masa penghibah meninggal dunia. Secara asalnya, menurut undang-undang, harta itu adalah milik arwah melainkan penerima hibah dapat membuktikan harta itu dihibah kepadanya.

Perkara inilah menyebabkan sesuatu kes itu perlu dibawa ke Mahkamah Syariah. Jika pemberi hibah menghibahkan sesuatu harta dengan terus menukar namanya di dalam dokumen hak milik kepada nama penerima hibah, ia tidak menjadi pertikaian.

Segala-galanya sudah jelas, harta itu bertukar milik kepada penerima hibah seperti tertulis di dalam dokumen hak milik. Jika tidak, amalan hibah yang dibuat pada masa itu perlu disahkan Mahkamah Syariah sebelum boleh dilaksanakan.

Dalam kes Eshah Abdullah dan Lima Yang Lain lawan Che Aminah Abdul Razak dan Dua Yang Lain (J.H bhg 2, Rejab 1425), Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu ketika menerima rayuan perayu membuat ulasan seperti berikut: "Diandaikan jika bangunan itu sudah bertukar kepada nama penerima, kemungkinan kes ini tidak lagi perlu dibawa ke mahkamah, kerana segala-galanya sudah jelas dan tercatat dalam dokumen."

Mahkamah dalam kes itu juga memutuskan bahawa penerimaan hasil sewa bangunan berkenaan oleh penerima hibah adalah qarinah, wujudnya al-qabd atau penerimaan oleh penerima hibah.

Justeru, dinasihatkan sesiapa bercadang untuk membuat hibah supaya terus menukar nama kepada penerima hibah dalam dokumen hak milik harta atau sekurang-kurangnya menandatangani borang pemindahan/penukaran hak milik untuk kemudahan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, bagi harta yang sukar untuk dibuat pemindahan hak milik, hibah seharusnya dibuat secara bertulis dan disaksikan oleh saksi atau dimaklumkan kepada keluarga untuk mengelakkan berlakunya salah faham di kemudian hari.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Sumber: Berita Harian
Tarikh: 24/10/2007