Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Showing posts with label hibah. Show all posts
Showing posts with label hibah. Show all posts

Saturday, February 12, 2011

Mahkamah perintah ex-gratia RM2j dibahagi ikut faraid

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Wang ex-gratia RM2 juta pemberian kerajaan kepada balu Hakim Mahkamah Agung, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh yang dipecat semasa krisis kehakiman 20 tahun lalu, perlu dibahagikan kepada waris allahyarham mengikut faraid setelah wang tersebut diisytiharkan sebagai harta pusaka.

Demikian perintah yang ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini ketika membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh dua anak lelaki allahyarham, Wan Shahriman dan abangnya, Wan Baharuddin.

Keputusan itu dicapai sebulat suara oleh panel tiga hakim bersidang yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Syarie Malaysia, Tan Sri Ibrahim Lembut.

Kedua-dua perayu mengemukakan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 1 April tahun lalu yang memutuskan bahawa pemberian ex-gratia itu kepada balu Allahyarham, Puan Sri Siti Nurhayati Mohd. Daud, sebagai hibah (pemberian).

Hakim Syarie Ibrahim bersidang bersama dua Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Mohd. Yusuf Che Teh dan Datuk Aidi Mokhtar.

Kedua-dua plaintif yang diwakili peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain memfailkan permohonan tersebut dengan menamakan ibu tiri mereka, Siti Nurhayati sebagai defendan yang diwakili peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman.

Mereka adalah anak hasil perkongsian hidup Wan Suleiman dengan bekas isterinya, Zaiton Mohd. Din sebelum pasangan itu berpisah dan perkahwinan Allahyarham dengan Siti Nurhayati pula tidak dikurniakan cahayamata.

Plaintif dalam permohonannya mendakwa, bayaran ex-gratia tersebut jelas bermaksud sumbangan yang diberikan oleh kerajaan kepada Allahyarham dan menjadi harta pusaka wajib.

Plaintif menyatakan, Allahyarham merupakan salah seorang daripada enam bekas hakim yang dipecat sewaktu krisis kehakiman 20 tahun lalu yang diberikan ex-gratia oleh kerajaan.

Bayaran tersebut kata mereka, telah diserahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Zaid Ibrahim pada 5 Jun 2008 kepada defendan yang menerima bagi pihak ahli waris di kediaman di Bukit Bandaraya, Bangsar.

Pemberian tersebut, telah mendapat liputan meluas akhbar tempatan yang melaporkan penerimaan cek tersebut tetapi jumlahnya dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

Menurut mereka, bayaran itu perlu dibahagikan mengikut hukum faraid kepada waris-waris yang sah berdasarkan hukum syarak.

Namun plaintif mendakwa mereka selaku waris, sehingga ke hari ini tidak pernah dihubungi oleh defendan atau wakil bagi urusan pentadbiran mahupun pembahagian harta pusaka.

Sebelum ini akhbar melaporkan wang ex-gratia tersebut diterima oleh Siti Nurhayati dan anak lelakinya, Wan Noorazli Maula Wan Suleiman.

Namun begitu dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah, Siti Nurhayati dalam keterangannya memberitahu bahawa beliau menerima wang tersebut dan ada memberikan kepada Wan Noorazli yang merupakan anak angkat beliau dengan suaminya itu.

Selain itu, Siti Nurhayati mendakwa, beliau telah menawarkan kepada kedua-dua plaintif sebanyak RM200,000.

Bagaimanapun plaintif tidak bersetuju dengan jumlah tersebut kerana ia tidak memadai jika dibandingkan dengan hak yang akan diterima oleh mereka mengikut kiraan faraid.

Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia lewat petang ini, Mohd. Zaidi berkata, ia adalah keputusan terakhir dan tiada sebarang rayuan boleh dikemukakan selepas ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 17 April 2008 mengumumkan bayaran ex-gratia kepada enam bekas hakim berkenaan sebagai penghargaan kepada mereka.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 12/2/2011

Friday, January 28, 2011

Lindungi anak angkat dengan produk Amanah

Keluarga angkat boleh buat perancangan awal untuk masa depan

SEBAGAI keluarga angkat, ibu atau bapa mempunyai beberapa alternatif dibenarkan dalam Islam. Keluarga angkat boleh membuat perancangan awal selagi perancangan tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak yang boleh mengetepikan hak ahli waris yang berhak. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan produk-produk AmanahRaya yang bercirikan Amanah (Trust) kerana semua produk Amanah tidak akan dikategori sebagai harta pusaka.

Pembahagian Harta Pusaka seperti yang sedia maklum dari siri sebelumnya telah diterangkan hanya membabitkan ahli waris yang berhak saja. Sekiranya ada anak angkat di kalangan keluarga simati, apakah yang terjadi kepada anak angkat ini? Lebih kritikal jika anak angkat ini di bawah umur.

Anak angkat dapat ditafsirkan dengan mudah sebagai anak yang dipelihara oleh bukan ibu bapa kandungnya. Anak angkat tidak boleh mewarisi harta pusaka keluarga angkatnya atau sebaliknya.

Walau bagaimanapun anak angkat boleh menerima harta daripada bapa angkat dengan cara lain iaitu melalui Hibah, Hadiah atau Wasiat yang ditetapkan tidak melebihi 1/3 daripada harta keluarga angkat kecuali dengan adanya persetujuan ahli waris yang sah.

Apa yang sering berlaku pada hari ini, anak angkat boleh dipinggirkan secara tidak langsung dan dengan cara yang amat mudah tanpa disedari atau tidak oleh saudara angkat sendiri. Keadaan ini boleh terjadi apabila berlaku kematian mendadak salah seorang sama ada ibu atau bapa atau kedua-duanya kerana tiada perancangan awal dibuat oleh keluarga angkat terutama ibu atau bapa angkat.

Perkara perlu diketahui oleh umat Islam yang telah mengambil anak angkat atau bercadang untuk berbuat demikian lebih-lebih lagi dengan keadaan seperti sekarang di mana kes buang bayi semakin meningkat, ramai yang ingin membantu dan tidak keberatan untuk mengambil anak angkat. Usaha murni ini memang digalakkan, lebih-lebih lagi usaha untuk menangani masalah ini; memberikan kepada keluarga angkat demi masa depan yang lebih baik dan terjamin serta terdapat permintaan yang tinggi untuk mendapatkan anak angkat.

Walau bagaimanapun, dalam keghairahan mengambil anak angkat ramai yang mungkin terlupa beberapa peraturan dan larangan penting apabila mengambil anak angkat. Perkara ini membabitkan masa depan anak angkat tersebut khususnya kedudukan dan status anak angkat dalam harta pusaka keluarga angkat. Antaranya yang paling penting adalah larangan kepada keluarga angkat untuk menasabkan anak angkat kepada bapa angkat atau dalam situasi sekarang adalah haram anak angkat itu dibinkan kepada nama bapa angkat.

Perkara menasabkan anak angkat adalah perkara biasa yang lazimnya dilakukan dengan hasrat dan niat yang baik, tetapi akhirnya boleh menimbulkan masalah yang lebih kompleks di kalangan anak angkat dengan ahli keluarga angkat yang lain. Lebih-lebih lagi status anak angkat yang telah dijelaskan di mana anak angkat tidak boleh mewarisi harta pusaka keluarga angkatnya dan begitulah juga sebaliknya.

Oleh demikian apakah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa angkat dalam perkara ini? Sekiranya anak angkat ini masih di bawah umur ketika kematian ibu dan bapa angkat terjadi, bagaimana nasib anak angkat ini? Apabila seseorang Islam bersetuju mengambil anak angkat, maka adalah menjadi tanggungjawab mutlak dan wajib untuk keluarga angkat tersebut memastikan kebajikan anak angkat dijaga dan dilindungi agar dapat meneruskan hidup tanpa dizalimi sehingga dewasa.

Sebagai keluarga angkat, ibu atau bapa mempunyai beberapa alternatif yang dibenarkan dalam Islam. Keluarga angkat boleh membuat perancangan awal selagi perancangan ini tidak bertentangan dengan hukum syarak yang boleh mengetepikan hak ahli waris yang berhak.

Ini boleh dilakukan dengan menggunakan produk-produk AmanahRaya yang bercirikan Amanah (Trust) kerana semua produk Amanah tidak akan dikategori sebagai harta pusaka. Oleh itu, anak angkat boleh memiliki apa juga dihadiahkan oleh keluarga angkat yang diklasifikasikan sebagai harta Amanah. Produk-Produk ini yang ada ditawarkan oleh AmanahRaya; seperti Hibah, Hadiah dan Wasiat. AmanahRaya dengan pengalaman hampir 90 tahun serta berdasarkan kepada kes-kes yang ditadbir amat memahami keperluan dan kehendak ini serta halangan-halangan yang wujud.

Justeru, AmanahRaya telah menawarkan produk bercirikan Amanah berbentuk simpanan iaitu Amanah Safecare dan Normal Trust bagi memenuhi hasrat dan kehendak Pemberi Amanah. Kepentingan akaun amanah adalah untuk memastikan Penerima Amanah (Benefisiari) dalam hal ini adalah anak angkat dilindungi dan terpelihara daripada masalah yang membebankan mereka di kemudian hari.

Hasrat Pemberi Amanah akan dilaksanakan melalui Surat Ikatan Amanah iaitu satu dokumen yang mengikat Pemberi Amanah dan AmanahRaya sebagai Pemegang Amanah kepada Penerima dengan memperuntukkan syarat yang dipersetujui bagi tujuan melaksanakan hasrat dan arahan tersebut.

Adanya produk berbentuk simpanan pelaburan yang menawarkan pulangan dividen yang setanding dan kompetitif di pasaran memberi peluang kepada keluarga angkat untuk merancang masa depan anak angkat khususnya kemudahan kewangan untuk tujuan pendidikan, perubatan dan juga sara diri untuk tempoh yang boleh ditentukan oleh mereka sendiri. Jangan lupa untuk melayari www.amanahraya.com. untuk keterangan lanjut dan minggu depan perbezaan di antara amanah, pusaka dan wasiat.

INFO: Amanah ‘Safecare’

• Merupakan produk konvensional yang ditawarkan oleh AmanahRaya. Akaun amanah ini boleh dibuka oleh individu berumur 18 tahun ke atas dengan modal minima sebanyak RM50,000.

• Dengan pembukaan akaun Safecare ini, Donor dapat memastikan dana yang mencukupi untuk pendidikan masa depan anak-anak mereka.

Amanah Biasa

• Produk amanah yang ditawarkan oleh AmanahRaya dengan hanya bermodal minima RM2,000.

• Donor boleh membuat pertambahan dana dari masa kesemasa tertakluk kepada terma-terma yang dipersetujui di dalam Surat Ikatan Amanah. Akaun boleh dibuka oleh orang perseorangan berusia 18 tahun dan ke atas.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 28/1/2011

Wednesday, December 16, 2009

Bicara kes faraid harta ayah Sharmaine 13 Januari

SHAH ALAM - Kes permohonan faraid pelakon dan model, Sharmaine Farouk terhadap harta bernilai RM5.4 juta peninggalan ayahnya, Allahyarham Tan Sri Ahmad Farouk Isahak akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 13 Januari ini.

Hakim Syarie Mohammad Adib Husain menetapkan tarikh tersebut pada prosiding sebutan hari ini bagi membolehkan abang dan kakak Sharmaine, Ahmad Rezal, 44, dan Serena, 41, memberi keterangan.

Sharmaine, 38, yang berbaju kurung dan bertudung oren hadir ditemani peguam syarie, Ahmad Nazib Johari.

Sharmaine yang pernah membintangi filem Panggilan Pulau dan XX Ray pada tahun 90-an memfailkan permohonan pada 15 November lalu agar harta peninggalan Allahyarham bapanya dibahagikan secara faraid kepada enam adik-beradik termasuk beliau.

Mereka ialah Ahmad Ridzuan, 48, Soraya, 46, Ahmad Rezal, Serena, Sharmaine dan Aimran Ambari, 13.

Harta bernilai RM5.4 juta itu dalam bentuk wang tunai, saham, unit amanah, keahlian kelab dan hartanah seperti apartmen, kondominium, rumah serta tanah.

Sebelum ini Sharmaine bersama Ahmad Ridzuan, Soraya, Serena dan Aimran Ambari memfailkan permohonan untuk mengesahkan pemberian harta (hibah) bernilai jutaan ringgit dan wasiat dibuat Ahmad Farouk dengan menamakan Ahmad Rezal sebagai defendan.

Ahmad Rezal, anak ketiga daripada enam beradik itu dikatakan tidak bersetuju dengan pemberian harta secara hibah dan mendakwa ia sengaja diada-adakan oleh kelima-lima plaintif serta menuntut supaya harta dibahagikan secara faraid.

Sementara itu berdasarkan afidavit tuntutan, pihak plaintif menyatakan bapa mereka yang menghidap sakit jantung sejak 1997 dan sering dimasukkan ke hospital dari 2000 hingga 2003, meninggal dunia pada 14 Disember 2005 kerana komplikasi jantung.

Sebelum itu, Allahyarham ada membuat akuan dan menurunkan cap jari pada suratcara hibah berhubung pemberian harta kepada Ahmad Ridzuan selaku plaintif kedua iaitu sebuah rumah di alamat No. 6, Jalan 2/2, Taman Tun Abdul Razak, Hulu Klang dan sebidang tanah juga di Hulu Klang.

Proses menandatangani dokumen itu dibuat di Institut Jantung Negara (IJN) melalui peguamnya dan di hadapan saksi iaitu peguam syarie, Zainul Rejal Abu Bakar serta dua saksi lain.

Bagaimanapun, ia telah diselesaikan secara baik apabila Sharmaine kemudiannya memfailkan permohonan agar kesemua harta peninggalan itu dibahagikan secara faraid.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 16/12/2009

Wednesday, September 30, 2009

Pelaksanaan hibah dalam konteks operasi Takaful

Oleh : WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

HIBAH secara asasnya bermaksud pemberian, sedekah atau hadiah melibatkan akad yang mengandungi pemberian hak milik oleh pemilik harta kepada seseorang secara suka rela semasa hayatnya atas dasar kasih sayang tanpa mengharapkan balasan ('iwad).

Hibah adalah diharuskan sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 177 surah al-Baqarah.

Selain itu, terdapat hadis berkaitan urusan hibah ini. Sabda Rasulullah SAW: Berilah hadiah, kamu akan berkasih sayang. (riwayat al-Bukhari)

Pun begitu, apabila seseorang telah menghibahkan hartanya kepada individu yang lain, dia tidak boleh menarik semula atau membatalkan hibah tersebut kecuali dalam situasi seorang bapa menghibahkan harta kepada anaknya atau datuk kepada cucunya.

Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang mengambil balik hibahnya seperti orang yang menjilat kembali muntahnya". (riwayat Al-Nasa'i)

Sabda Baginda SAW lagi: "Seseorang tidak boleh meminta balik hibahnya melainkan hibah bapa terhadap anaknya". (riwayat Al-Nasa'i)

Setiap kontrak dalam Islam mempunyai rukun-rukun dan syarat-syarat yang mesti dipatuhi, begitu juga dengan hibah.

Akad hibah tidak akan wujud melainkan setelah rukun-rukun dan syarat-syaratnya dipenuhi.

Rukun-rukun bagi hibah ialah pemberi hibah (al-wahib), penerima hibah (al-mauhub lahu), benda yang dihibahkan (al-mauhub) dan sighah (penawaran dan penerimaan atau ijab dan qabul).

Syarat-syarat sah pemberi ialah pemberi merupakan pemilik yang sah ke atas harta yang ingin dihibahkan, tidak dihalang oleh sesuatu perkara.

Pemberi juga merupakan seorang yang telah baligh dan hibah atau pemberian yang dibuat perlulah dibuat secara suka rela dan tanpa paksaan. Jika pemberi dipaksa untuk menghibah atau menghadiahkan hartanya kepada orang lain, secara automatik hibah tersebut adalah terbatal.

Selain itu, syarat-syarat penerima pula ialah penerima perlu wujud semasa proses hibah atau kontrak dijalankan. Syarat-syarat bagi barang yang ingin dihibahkan ialah ia mesti wujud semasa berlakunya akad hibah, halal, mempunyai nilai dan dimiliki oleh pemberi hibah.

Penerima hibah tidak boleh menghibahkan barang yang menjadi milik orang lain. Contohnya; Ali menghibahkan pen Ahmad kepada Abu. Hibah tersebut adalah tidak sah kerana pen tersebut adalah dimiliki oleh Ahmad dan bukan kepunyaan Ali.

Apabila sesuatu akad hibah memenuhi rukun-rukun dan syarat-syaratnya serta berlaku penyerahan dan pemberian barang itu (al-qabd), maka harta itu menjadi milik si penerima hibah. Jika al-qabd tidak berlaku, maka akad hibah tidak sah dan pemberi hibah berhak menarik balik hibah itu selama mana harta masih berada dalam miliknya.

Hibah diadaptasi sebagai konsep tambahan kepada produk-produk Takaful dan diamalkan oleh kebanyakan pengendali takaful seperti produk Pelan Pendidikan oleh Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.

Pembayar sumbangan

Produk ini hanya ditawarkan kepada ibu bapa yang mempunyai anak di mana ibu atau bapa akan bertindak sebagai pembayar sumbangan (pemberi hibah) dan anaknya merupakan peserta takaful (penerima hibah). Hibah seperti ini diharuskan kerana semua rukun dan syarat dapat dipenuhi.

Selain itu, pengendali Takaful melalui pengurusan Tabung Tabarruk akan menghibahkan sesuatu kepada peserta sebagai ganjaran di atas kejayaan tertentu yang dicapai oleh peserta. Hibah jenis ini juga jelas dan tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip syarak kerana semua rukun dan syarat dapat dipenuhi.

Berkaitan hibah manfaat Takaful kepada penama yang dinamakan di dalam borang penerima manfaat, para ilmuwan berselisih pendapat berkaitan beberapa isu yang ditimbulkan daripada amalan ini.

Antaranya adalah hibah seharusnya dilakukan semasa hidup, akan tetapi hibah manfaat Takaful akan hanya berkuatkuasa setelah peserta Takaful meninggal dunia.

Status manfaat Takaful juga masih dipertikaikan sama ada ia adalah harta si mati atau tidak. Jika ia adalah harta, adakah ia perlu dibahagi-bahagikan kepada ahli waris mengikut hukum faraid atau hibah yang dibuat itu sudah memadai untuk dilaksanakan.

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuaratnya yang ke 34 bertarikh 21 April 2003 / 19 Safar 1424, telah membuat keputusan mengenai aplikasi konsep hibah bagi pembahagian manfaat Takaful:

1. Manfaat Takaful boleh dihibahkan kerana ia merupakan hak para peserta. Justeru, para peserta mesti dibenarkan untuk melaksanakan hak-hak mereka berdasarkan pilihan mereka selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariah;

2. Status hibah yang digunakan dalam pelan takaful tidak akan berubah menjadi wasiat, kerana jenis hibah yang digunakan ialah hibah bersyarat di mana hibah yang dibuat ialah tawaran kepada penerima untuk tempoh masa yang tertentu.

Dalam konteks Takaful, manfaat Takaful dikaitkan dengan kematian peserta dan tempoh matang sijil. Jika peserta masih hidup semasa tempoh matang sijil, manfaat Takaful akan dimiliki oleh peserta. Akan tetapi, jika peserta meninggal dunia sebelum tempoh matang, maka hibah akan berkuatkuasa;

3. Peserta mempunyai hak membatalkan hibah yang dibuat sebelum tempoh matang sijil, kerana hibah bersyarat hanya sempurna selepas berlakunya penyerahan (qabdh);

4. Peserta mempunyai hak membatalkan hibah yang dibuat kepada seseorang individu dan menyerahkan barang yang ingin dihibahkan itu kepada orang lain atau membatalkan penyertaan dalam Takaful, jika penerimanya mati sebelum tempoh matang;

5. Borang penamaan Takaful perlu diselaras dan dinyatakan dengan jelas status penama sama ada sebagai benefisiari atau pemegang amanah (wasi). Sebarang masalah berkaitan pembahagian manfaat Takaful mestilah dirujuk kepada kontrak yang telah dimeterai.

Bagi produk-produk Takaful Keluarga yang ditawarkan oleh Takaful Ikhlas, pihak syarikat menyediakan borang cadangan hibah untuk peserta sekiranya mereka bercadang menghibahkan manfaat Takafulnya setelah berlaku kematian peserta.

Namun begitu, nama yang dicadang perlulah terdiri sama ada ibu bapa, pasangan yang sah, anak dan adik-beradik.

Walaupun hibah secara asasnya boleh diberi kepada sesiapa sahaja, namun, bagi menjaga dan memelihara kebajikan waris terdekat, pihak syarikat mengkhususkan kategori individu yang ingin dicadangkan sebagai penerima hibah.

Kesan daripada penggunaan akad hibah ialah harta yang telah dihibah terkeluar daripada harta pusaka dan tidak tertakluk kepada pembahagian harta pusaka atau faraid. Selain itu, harta tersebut tidak boleh dituntut oleh ahli waris yang lain.

Melihat kepada keperluan semasa, seharusnya lebih banyak produk yang berasaskan konsep hibah dihasilkan. Ia bagi menjadikan produk-produk tersebut lebih kompetitif dan mampu menandingi produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat insurans konvensional.

Justeru, para pengendali Takaful seharusnya mempergiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan produk-produk yang bukan hanya kompetitif.

Apa yang paling penting, ia mestilah selaras serta selari dengan prinsip-prinsip yang digariskan oleh syariah.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 30/9/2009

Tuesday, September 22, 2009

Waspada ketika berwasiat

Oleh : IKBAL SALAM

BARU-BARU ini seorang kenalan yang baru kematian bapa menyampaikan kekesalannya kerana dokumen wasiat yang ditandatangani oleh bapanya dua bulan sebelum meninggal dunia rupa-rupanya tidaklah banyak membantu. Ia tidak seperti yang digambarkan oleh seorang wakil dari sebuah agensi berkaitan pusaka.

Sementara itu, seorang pelanggan sebuah institusi kewangan secara terpaksa menandatangani surat cara wasiat sebagai satu pakej pinjaman perumahan oleh bank sedangkan kandungan wasiat hampir tidak dipersetujui oleh pelanggan itu.

Sewaktu masyarakat khususnya orang Melayu semakin sedar keperluan merancang pembahagian harta pusaka, bukanlah rahsia lagi bahawa banyak pihak yang kelihatan begitu ghairah untuk menjadikan penulisan wasiat sebagai satu perniagaan.

Malangnya sehingga hari ini tiada siapa yang mempunyai kuasa untuk mengawal bidang penulisan wasiat ini hingga ada ketikanya wasiat dilihat begitu jauh tergelincir daripada neraca kemunasabahan penulisannya.

Tanpa berniat untuk merendahkan sesiapa, hari ini terdapat dalam pasaran seorang ejen insurans, pesara kerajaan, penjual kereta dan pelajar universiti menjadi penulis wasiat. Ada yang menjualnya pada harga RM350 dan ada pula menjual 'secara borong' sehingga serendah-rendahnya pada harga RM100.

Ada penulis yang menulis wasiat untuk pelanggan sendiri dan ada pula mengeluarkan lambang pelbagai syarikat dan institusi mengaku menjadi ejen kepada pelbagai institusi amanah. Ia berlaku sehingga dalam keadaan tertentu, Amanah Raya Berhad terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa pihak tertentu itu bukanlah ejen mereka.

Biasanya dengan tawaran hanya beberapa ratus ringgit, seorang ejen wasiat akan memberitahu klien bahawa wasiat tersebut akan menjadikan proses pembahagian pusaka lebih mudah.

Ada ketikanya, segala al-Quran berkaitan kewajipan menyediakan wasiat digunakan untuk meyakinkan pelanggan tanpa menyebut bahawa jumhur ulama sepakat mengatakan ayat-ayat berhubung wasiat sebenarnya dibatalkan oleh ayat-ayat pewarisan.

Akibat terpengaruh dengan hujah maka ramai umat Islam bersetuju berwasiat. Berdasarkan kepetahan 'penjual wasiat', suratcara wasiat itu terus dianggap oleh pelanggan tadi sebagai penyelesai segala masalah harta walaupun secara realitinya ia tidaklah semestinya begitu.

Antara wasiat biasa ialah seorang bapa membahagikan harta kepada anak-anaknya. Selepas kematiannya, anak-anak tidak bersetuju dan mempertikaikannya.

Menurut Mazhab Syafie, wasiat seperti itu tidaklah mengikat ahli waris dan ia hanya boleh dilaksanakan jika semua waris bersetuju terhadap wasiat berkenaan. Persetujuan itu pula hendaklah dinyatakan selepas kematian bapa dan bukan sebelum kematiannya.

Maka jika ada bantahan, maka wasiat bapa itu tadi akan terbatal dan harta pusaka itu mesti dibahagikan sama ada mengikut faraid atau muafakat baru. Maknanya wasiat yang ditulis oleh bapa tadi bersifat advisory dan bukannya mandatori.

Seorang yang mahir dalam perancangan pusaka sudah pasti tidak akan menggalakkan pelanggan menyediakan suratcara perundangan yang tidak mempunyai kesan atau boleh menjerumuskan mereka kepada masalah yang lebih kritikal.

Antara implikasi menulis wasiat tanpa panduan yang betul ialah:

1. Terdapat kes di mana wasiat menyukarkan usaha mendapatkan proses perintah pembahagian pusaka yang asalnya boleh dibicarakan di bawah bidang kuasa Pejabat Pusaka.

2. Wasiat oleh majoriti orang Melayu bukan sahaja mempunyai elemen pengamanahan atau wisoyah tetapi juga elemen pembahagian harta yang melebihi satu pertiga kepada ahli waris maka sering kali dilihat wasiat itu tidak dapat diterima pakai dan terbatal oleh mahkamah.

3. Dalam keadaan yang lebih ekstrem, wasiat boleh menjadikan ahli keluarga berpecah-belah. Dan mungkin menyebabkan perasaan benci penerima waris terhadap pewasiat yang telah meninggal dunia kerana wujud elemen pilih kasih sewaktu surat wasiat dibuat.

4. Perasaan kecil hati, merajuk dan sedih akibat "ketidakadilan" wasiat boleh menjadikan ahli waris menjauhkan diri antara satu sama lain dan mengelak diri daripada terlibat dengan pusaka tersebut sedangkan kerjasama atau tandatangan ahli waris masih diperlukan untuk pembahagian harta. Sikap ini menjadi antara punca kelewatan pembahagian pusaka.

Sebenarnya, perkara asas yang perlu diakui dalam "Suratcara Wasiat" ialah dokumen perundangan yang akan dirujuk oleh ahli-ahli waris sama ada di peringkat mahkamah syariah atau mahkamah sivil. Pada asasnya, kaedah pengurusan harta pusaka seseorang yang mati dengan berwasiat sudah pasti berbeza dengan kematian seseorang yang mati tanpa berwasiat. Sementara itu, kematian berwasiat seorang yang beragama Islam berbeza pula dengan orang bukan Islam.

Pada keadaan lain wasiat ini juga menjadi persoalan yang belum muktamad penyelesaiannya apabila pusaka seseorang itu dibicarakan oleh Pejabat Pusaka Kecil.

Atas hambatan undang-undang - dan kita pun tidak boleh menyalahkan mereka - ramai Pentadbir Pusaka yang masih lagi keberatan untuk mengambil kira faktor kematian berwasiat dalam perbicaraan pusaka kecil.

Oleh kerana dokumen wasiat ini diguna pakai di dalam prosiding mahkamah yang dalam banyak keadaan lazim pula dipertikaikan kandungannya oleh ahli-ahli waris si mati, maka sudah tentu pihak yang menyediakan dan menerangkan kandungan wasiat itu hendaklah mereka yang terdiri daripada mereka yang berlatar belakang undang-undang sivil dan syariah.

Dalam kata mudah, jika sakit jumpalah doktor dan jika mahu meninggalkan wasiat, mintalah nasihat daripada mereka yang arif tentang selok-belok undang-undang dan pembahagian harta secara Islam.

Melainkan jika seseorang itu memang bersetuju untuk hanya menyediakan satu suratcara yang bersifat panduan kepada ahli-ahli warisnya, maka masyarakat Islam hendaklah sedar bahawa wasiat hanyalah salah satu daripada kaedah bagi pembahagian pusaka.

Bagaimanapun oleh kerana wasiat seorang Islam adalah tertakluk kepada kekangan tertentu berbanding dengan bukan Islam, maka suratcara wasiat itu - dalam keadaan tertentu - hanya boleh dijadikan permulaan kepada pengurusan perancangan masyarakat Islam.

Bagi menjadikan perancangan itu bersifat mandatori khasnya kepada ahli waris, suratcara lain yang diharuskan syarak seperti pengamanahan atau hibah adalah lebih sesuai.

Dengan menyediakan dokumen yang bersifat mandatori untuk dipatuhi oleh semua waris, ahli-ahli tidak lagi boleh mempertikaikan keputusan kita.

Maknanya, kita telah mengurangkan kebarangkalian untuk ahli-ahli waris kita mempersoalkan pembahagian tersebut kerana ia telah sempurna dan mengikat pula ahli-ahli waris. Suratcara-suratcara seumpama ini oleh kerana melibatkan peruntukan silang undang-undang iaitu sivil dan syariah hendaklah dibuat oleh ahli-ahli terlatih di dalam bidang harta orang Islam ini.

Penyediaan dokumen berkaitan wasiat, hibah, amanah dan waqaf bukanlah perkara mudah yang boleh disediakan oleh sesiapa sahaja. Jangan sampai keadaan ini menyebabkan masyarakat Islam merasa serik untuk berwasiat.

Carilah mereka yang ahli di dalam bidang ini tanpa perlu menggunakan orang tengah atau ejen-ejen yang tidak diketahui latar belakang ilmunya mengenai soal wasiat ini.

Malaysia mempunyai beberapa institusi amanah yang berdaftar atau peguam-peguam yang mahir dalam bidang ini untuk menyempurnakannya.

Justeru, berhati-hatilah ketika berwasiat dan jangan menyusahkan anak cucu dan kaum keluarga kita. Paling penting jangan sampai mereka berpecah-belah kerana tidak berpuas hati soal pembahagian harta.

*PENULIS ialah Peguambela dan Peguamcara, Mahkamah Tinggi Malaya

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 22/9/2009

Friday, July 25, 2008

Program kutu wang pos dari sudut fiqh Islam

Program kutu secara wang pos sudah agak menular dan popular pada masa ini. Mereka yang berhadapan dengan masalah kewangan melihat program ini dapat membantu menyelesaikan kemelut kewangan mereka.

Bagi pihak yang berwang pula, berhasrat untuk membantu sahabat-sahabat dan rakan-rakan yang berada dalam kesusahan dengan menamakan mereka sebagai penerima wang pos berkenaan.

Persoalannya, adakah program ini berjalan tanpa terdapat apa-apa unsur haram sehingga program ini benar-benar menjamin kebaikan sebagaimana yang dijanjikan. Tetapi jika program ini mengandungi unsur-unsur haram, maka kegelapan dan kerugian pastinya akan menemui peserta-pesertanya atau sebahagian daripada peserta-pesertanya.

Unsur-unsur haram yang dapat dikesan

Setelah meneliti perjalanan beberapa bentuk program wang pos, didapati ia mengandungi beberapa unsur haram. Antaranya:

1. Unsur Gharar

Jika dikaji berkenaan program ini didapati asas kepada pembinaan dan perjalannya adalah 'auto placement' yang menjadikan orang bawah atau peserta baru mangsa yang tidak mendapat apa-apa pulangan apabila program 'auto placement' ini berhenti berpusing.

Oleh itu, setiap yang menjadi peserta yang peringkat awalnya mengharapkan pulangan apabila sampai gilirannya kehilangan wang apabila program ini terhenti.

Setiap sesuatu pastinya ada permulaan dan pastinya juga ada titik penamatnya. Pada waktu tersebut, pastinya sesiapa yang masih berada di bawah akan menjadi mangsa apabila wangnya diperolehi oleh orang atasan sedangkan orang bawahannya belum wujud.

Gharar yang terdapat disini ialah gharar fil husul (tidak tentu dapat) dan gharar fil miqdar (tidak tentu kadar).

2. Riba

Program ini sebenarnya bersifat 'money game' yang mendedahkan pesertanya kepada riba. Ini kerana, setiap yang menyertai program ini atau sebahagiannya berhasrat mendapatkan pulangan.

Jika ia menaja dengan mengeluarkan wang sebanyak RM100, maka ia mengharapkan pulangan lebih.

Jika ia benar-benar mendapat pulangan yang lebih banyak, maka ia adalah riba kerana tiada transaksi perniagaan atau khidmat di dalam program ini.

3. Judi

Dalam program ini terdapat unsur judi kerana sepastinya ada pihak yang mendapat untung dan ada pihak yang pasti mengalami kerugian.

Untung dan rugi ini boleh berlaku apabila program ini berhenti. Jika ia berlaku, maka mereka yang berada di line atas akan mendapat keuntungan manakala mereka yang berada di line bawah mendapat kerugian.

Beberapa jawapan kepada kekeliruan

Mereka yang menyertai program ini melihat ia adalah harus dari sudut syariat dengan alasan-alasan berikut:

1. Sumbangan atas alasan hibah

Antara alasan yang sangat luas dijadikan hujah membolehkan ialah sumbangan setiap peserta adalah hibah.

Sebenarnya alasan ini adalah alasan yang tidak boleh diterima syariat kerana hibah tidak mensyaratkan keuntungan dan tidak mensyaratkan pulangan.

Tetapi program ini jelas berbentuk permainan wang (money game) dalam bentuk pusingan 'auto placement'.

Justeru itu, hibah bersyarat jika tidak kena caranya boleh menjerumuskan kepada riba sebagaimana sabda Nabi�Muhammad s.a.w. yang maksudnya: "Setiap pinjaman yang mensyaratkan manfaat (faedah) adalah riba."

Pada masa yang sama bayaran yang dianggap hibah tersebut adalah dalam bentuk tetap dan dijanjikan pulangan sebagaimana dalam iklan yang disiarkan.

Maka setiap transaksi syariat bukan dilihat kepada lafaz dan binaan kalimah tetapi ia melihat kepada hakikat dan perjalanannya.

Kaedah fiqh menyebut yang bermaksudnya: "Yang diambil kira pada akad transaksi ialah maksud dan makna, bukan lafaz dan susunan kalimat."

2. Sumbangan mestilah ikhlas membantu.

Alasan kedua yang biasa digunakan ialah sumbangan itu ikhlas membantu sahabat-sahabat seagama yang susah.

Menurut syariat, apabila sesuatu transaksi di dapati haram, maka ikhlas tidak akan merubahnya menjadi halal. Sebagaimana tiga orang berjudi dan setiap seseorang mempertaruhkan wang RM10. Sekalipun setiap seseorang berniat derma ikhlas untuk si pemenang ia tetap haram kerana ia adalah judi dan ikhlas tersebut tidak boleh mengharuskan perkara yang haram.

Ikhlas atau lebih tepat tidak dipaksa adalah syarat sah jual beli dan segala jenis transaksi yang harus. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa� ayat 29 yang maksudnya: "Melainkan ia adalah perniagaan yang berlaku secara reda meredai antara kamu."

Ayat ini menunjukkan reda dan ikhlas menyertai perniagaan yang halal, bukan menjadi syarat sah kepada transaksi yang haram.

3. Kias kepada belanja kawan makan atau minum di kedai.

Kias tersebut adalah kias yang salah kerana ia mempunyai perbezaan yang sangat ketara. Antaranya, belanja kawan di kedai makan tidak melibatkan pusingan wang. Dalam program ini ia melibatkan wang dengan wang yang sepastinya mendedahkan kepada riba. Tambahan pula setiap pesertanya disyaratkan menaja dan ditaja.

Penutup dan kesimpulan

Sememangnya setiap transaksi hukum asalnya adalah harus sehinggalah ia dicemari oleh unsur-unsur haram.

Setelah diteliti program wang pos ini, didapati program ini adalah haram disebabkan unsur-unsur yang disenaraikan di atas.

Justeru itu, umat islam digesa supaya tidak terlibat dengan program ini kerana ia membazirkan wang disamping keharaman yang disebutkan.

Sumber: HarakahDaily
Tarikh: 25/7/2008

Friday, June 13, 2008

Wang insurans tidak ikut syarak bukan harta pusaka

Soalan:

Anak lelaki saya sudah meninggal dunia dan meninggalkan saya, ibunya, seorang isteri serta dua anak perempuan. Saya sudah mendapatkan Surat Pentadbir Kuasa bagi mentadbir harta arwah. Dalam surat itu, beliau diamanahkan sebagai wasi dan hendaklah membahagikan wang berkenaan mengikut hukum faraid.

Baru-baru ini, pihak insurans mengeluarkan wang insurans nyawa secara berkelompok arwah kepada balunya. Arwah tiada meletakkan penama untuk insurans itu. Namun, sehingga kini balu arwah tidak membahagikan wang berkenaan mengikut faraid atau menyimpan di tabung amanah untuk cucu saya walaupun dinasihatkan berkali-kali. Alasannya ialah wang insurans itu adalah insurans konvensional dan bukan secara Islam, jadi tidak perlu dibahagikan mengikut faraid.

Apakah hak saya dan waris lain khasnya cucu terhadap wang insurans nyawa itu sama ada ia secara konvensional mahupun Islam.

Ayah dan datuk,
Selangor Darul Ehsan.

Jawapan:

Isu dalam kes ini ialah sama ada wang pampasan insurans nyawa boleh dianggap sebagai harta pusaka atau sebaliknya kerana seseorang yang mengambil insurans nyawa sama ada melalui syarikat insurans konvensional atau secara Islam, beliau akan mencarum sejumlah wang tertentu setiap bulan.

Menurut Akta Insurans, insurans nyawa yang diambil pencarum terbahagi kepada dua jenis iaitu insurans nyawa yang dilantik penama dan insurans nyawa tidak dilantik penama. Pampasan insurans nyawa yang tidak dilantik penama adalah menjadi harta pusaka dan hendaklah dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid.

Bagi pampasan insurans nyawa dilantik penama, ada dua keputusan mahkamah yang berbeza di mana dalam kes Re Man Minhat (1965) 2 MLJ 1 yang diikuti oleh kes Re Bahadun Hassan (1974) 1 MLJ 4, mahkamah memutuskan pampasan insurans nyawa menjadi hak penama.

Namun, dalam kes Re Ismail Rentah (1939) FMSLR 230 dan (1940) MLJ 98, Mahkamah Tinggi memutuskan sebaliknya di mana fakta kes lebih kurang sama dengan kes Re Man Minhat, penama adalah isteri si mati.

Mahkamah memutuskan bahawa undang-undang Islam adalah sebahagian undang-undang awam negeri. Di bawah undang-undang Islam, mengikut kajian mahkamah seseorang boleh membuat hibah harta yang tertentu ketika hayatnya.

Hibah yang diberi dalam marad al-mawt dianggap sebagai pemberian melalui wasiat, pemberian kepada seorang waris (isteri) adalah tidak sah melainkan waris lain bersetuju. Surat penama tidak boleh dianggap sebagai hibah masa hidup kerana tiada pindah milik kepada orang yang menerima.

Oleh itu, mengikut undang-undang Islam, jumlah wang itu terpulang untuk dibahagikan kepada semua waris dan bukan menjadi milik isteri sebagai penama.

Hukum berkaitan penama sudah difatwakan pada 1973 di mana penama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Wang Simpanan Pejabat Pos, bank, insurans dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang yang melaksanakan wasiat si mati untuk dibahagikan kepada orang yang berhak menurut pembahagian faraid.

Penama adalah orang yang diberi kuasa untuk mengeluarkan wang si mati dengan mudah dan segera tanpa perlu melalui proses pembahagian harta pusaka mengikut undang-undang pembahagian harta pusaka.

Namun, penama bukanlah pemilik wang itu kerana penama hanyalah bertindak sebagai wasi atau pemegang amanah. Selepas mengeluarkan wang, penama hendaklah membahagikannya kepada waris mengikut faraid.

Dalam kes tuan, laporan polis boleh dibuat berkaitan tindakan balu arwah pecah amanah sebagai wasi pampasan insurans seperti dinyatakan dalam surat syarikat insurans kepadanya. Tuan juga boleh memfailkan kes di Mahkamah Sivil bagi tuntutan itu.

Namun, rujukan harus dibuat kepada fatwa berkaitan penggunaan wang insurans nyawa itu. Pada 1979, Kesatuan Ulama Fiqh Dunia yang bersidang di Makkah, majoritinya memutuskan insurans jenis perniagaan sama ada ke atas barang perniagaan, nyawa dan lain-lain daripada jenis harta adalah haram.

Pada 1985, majoriti ulama sedunia mengharuskan insurans jenis kerjasama iaitu insurans termasuk dalam jenis kontrak sumbangan ikhlas yang diikat untuk mencapai matlamat bantu membantu antara individu masyarakat yang menghadapi musibah dan demi mengurangkan bebanan ditanggung berdasarkan syarat ditetapkan oleh syarak.

Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan memutuskan hukum memakan wang daripada wang insurans nyawa bagi syarikat insurans yang mengamalkan kegiatan bertentangan dengan hukum syarak adalah haram.

Maka, tuan perlu meneliti sama ada syarikat insurans arwah menjalankan kegiatan yang menurut hukum syarak atau tidak sebelum membelanjakan wang pampasan itu. Jika syarikat berkenaan tidak menjalankan kegiatan mengikut hukum syarak, wang daripada insurans selepas pencarum meninggal dunia hukumnya adalah tidak menjadi harta pusaka.

Hanya wang pendahuluan atau wang yang dibayar setiap bulan oleh si mati saja menjadi harta pusaka dan perlu dibahagikan mengikut faraid.

Berbincanglah secara baik dengan balu arwah serta dapatkan khidmat guaman yang meliputi undang-undang sivil dan hukum syarak supaya pembahagian dan penggunaan wang insurans itu menurut hukum syarak.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak.

Sumber: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Tarikh: 13/6/2008

Saturday, December 22, 2007

Apakah Harta Sepencarian?

Oleh: Muhamad Isa Abd Ralip
Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Soalan:

RUMAH tangga saya bahagia selepas berkahwin lebih 15 tahun. Kemusykilan saya ialah apabila mengenai pasangan bergaduh, bercerai atau apabila satu pasangan meninggal dunia, kemudian mereka menuntut harta yang dibeli bersama.

Timbul kemusykilan kenapa suami isteri boleh menuntut harta sepencarian, apa beza dengan harta pusaka sedangkan bahagian harta pusaka untuk suami atau isteri sudah ditetapkan melalui sistem faraid. Apa rasionalnya dibenarkan menuntut harta sepencarian dan bagaimana mahkamah syariah membuat keputusan atau mekanisme yang digunakan untuk mengira jumlah nilai harta sepencarian?

Suami Bertuah
Selangor

Jawapan:

Harta sepencarian mengikut syarak ditafsirkan sebagai pemerolehan harta sepanjang tempoh perkahwinan sama ada membabitkan harta alih atau tak alih dan pihak yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Tuntutan biasanya ditimbulkan oleh isteri atau bekas isteri apabila membabitkan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkahwinan sama ada secara tak langsung misalnya urusan menguruskan rumah tangga. Sumbangan secara langsung misalnya isteri mengeluarkan modal terutama dalam bentuk kewangan untuk mendapatkan harta dalam tempoh perkahwinan. Begitu juga jika satu pihak itu meninggal dunia, pasangan akan meminta harta itu dibahagikan dulu sebagai harta sepencarian sebelum diisytihar sebagai harta pusaka.

Kitab At-Turuq al-Hukmiyah karya Ibnu Qayyim al-Juziyyah mengatakan, dalam tuntutan suami isteri membabitkan harta sepencarian, tuntutan hendaklah berdasarkan keterangan pihak yang membuktikan tuntutan itu.

Pemilikan ke atas sesuatu harta bukan berdasarkan kepada nama atas harta itu semata-mata kerana nama tertera belum membuktikan dia pemilik sebenar. Kenyataan itu dibuat dengan maksud adalah satu kezaliman jika hak milik sesuatu harta hanya diambil kira berdasarkan nama atas harta itu semata-mata sedangkan pihak satu lagi mungkin menyumbang cuma namanya tidak dinyatakan ke atas harta berkenaan.

Rasional keharusan pembahagian harta sepencarian menunjukkan pengiktirafan syarak terhadap hak, habuan dan pemilikan pihak berusaha mendapatkan harta itu sepanjang perkahwinan. Hukum harta sepencarian tidak dinyata secara jelas. Cuma pembahagian itu dibuat bersandarkan kemaslahatan pihak atas prinsip keadilan dan hak.

Prosedur pembahagian harta sepencarian juga tidak dinyatakan secara tepat dalam hukum syarak. Merujuk kepada amalan biasa penghakiman di mahkamah syariah, pembahagian harta sepencarian ke atas seorang isteri ditentukan setakat harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan.

Ini termasuk sumbangan isteri menguruskan rumah tangga, menjaga anak, melayan suami, menyebabkan suami merasa kehidupan yang tenang dan dapat menumpukan kerjaya sehingga suami dapat memperoleh harta dalam tempoh perkahwinan mereka. Tuntutan terhadap harta sepencarian bukanlah dihadkan kepada isteri saja, malah suami juga berhak menuntut harta sepencarian daripada isteri.

Seksyen 122 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 (EUKIS 2003 menetapkan: Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagikan antara mereka atau supaya aset yang diperoleh pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan dibahagikan antara pihak-pihak itu.

Kemudian seksyen 122 (2) menjelaskan, pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), mahkamah hendaklah mengambil perhatian mengenai:

• Takat sumbangan yang dibuat tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset itu,
• Apa-apa yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka,
• Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.

Tertakluk kepada seksyen 122 (2), mahkamah hendaklah membuat pertimbangan sama banyak. Namun, mahkamah juga boleh memerintahkan supaya aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan sama rata antara kedua pihak sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 122 (3).

Untuk menjalankan perintah di bawah Seksyen 122(3) mahkamah hendaklah memberi perhatian terhadap beberapa perkara seperti mana yang diperuntukkan di bawah seksyen 122 (4):

> Takat sumbangan yang dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga,
> Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.

Tertakluk kepada pertimbangan seksyen 122 (4), mahkamah dengan kuasa yang ada boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan mengikut apa-apa kadar yang difikirkan munasabah, tetapi walau bagaimanapun, pihak yang memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

Perbezaan harta sepencarian dan faraid adalah faraid pembahagian harta pusaka yang ditetapkan syarak kepada para ahli waris. Ada tiga golongan ahli waris yang melayakkan mereka menerima harta pusaka, pertama, melalui hubungan keturunan, perkahwinan dan juga wala’ (hubungan kekeluargaan). Isteri termasuk dalam golongan waris yang layak menerima pusaka melalui hubungan perkahwinan.

Hukum pusaka disyariatkan dalam Islam. Ia telah disahkan serta dinyatakan dalam al-Quran dan sunnah serta ijma’ ulama.

Sumber: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Tarikh: 22/12/2007

Wednesday, October 24, 2007

Peguam Syarie Menulis: Hibah secara bertulis boleh elak salah faham antara waris

ELEMEN penting dalam pemberian hibah adalah penerimaan barang hibah atau Al-Qabd. Al-qabd bermaksud mendapat sesuatu, menguasai dan boleh melakukan sesuatu ke atas barang berkenaan.

Selepas lafaz ijab kabul dibuat, sesuatu hibah menjadi sempurna apabila berlaku al-qabd atau penerimaan barang oleh penerima. Ia bermakna lafaz ijab oleh penghibah dan lafaz kabul oleh penerima saja tidak memadai untuk menyatakan sesuatu lafaz hibah sudah sempurna.

Contohnya, Ali menghibahkan keretanya kepada Ahmad dengan lafaz: "Aku beri kereta ini kepada kamu", lalu dijawab oleh Ahmad, "Baiklah aku terima." Tetapi kereta itu tidak diserahkan kepada Ahmad.

Hibah masih belum sah sehingga kereta itu diberi kepada Ahmad. Walaupun geran kereta berkenaan masih di atas nama Ali, namun Ahmad adalah pemunya kereta selepas hibah itu sempurna.

Persoalan sering ditimbulkan adalah bolehkah pemberi hibah menarik balik hibah yang sudah dibuat? Mengikut Mazhab Syafie, pemberi hibah berhak menarik balik hibah jika belum berlaku serahan barang hibah kepada penerima hibah.

Bagaimanapun, jika sesuatu hibah sudah sempurna dilaksanakan, fuqaha' berbeza pendapat dalam menentukan hukumnya. Mazhab Syafie dan Hambali berpendapat pemberi hibah tidak boleh menarik balik hibah itu, kecuali hibah daripada seorang bapa kepada anaknya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti orang yang menjilat muntahnya sendiri."

Persoalan bolehkah seseorang sakit tenat atau nazak membuat hibah? Contohnya bapa sakit tenat, tiba-tiba berpesan kepada anaknya supaya membahagi harta iaitu rumah kepada anak pertama dan tanah kepada anak kedua. Adakah pemberian itu dianggap hibah atau wasiat? Jika ia hibah, adakah sah dilaksanakan?

Contoh di atas dinamakan hibah dalam Mard al-Maut, iaitu sakit yang boleh menyebabkan kematian. Hibah dibuat pada waktu itu boleh dihukum mengikut satu daripada dua kaedah iaitu kaedah hibah atau wasiat.

Jika ayah tadi meninggal dunia selepas itu, sebelum al-qabd berlaku, maka hibah itu dihukum sebagai wasiat. Mengikut kaedah wasiat, hibah itu hendaklah dilaksanakan setakat tidak melebihi satu pertiga daripada harta si mati dan penerima hibah pula bukan seorang daripada waris penghibah/simati.

Dalam kes di atas, penerima hibah adalah waris, maka hibah yang sudah menjadi wasiat itu hanya boleh dilaksanakan jika semua waris yang lain bersetuju dengan hibah berkenaan. Tetapi, jika ayah tadi masih hidup dan pulih selepas itu, hibah adalah sah selepas rukun dan syaratnya dipenuhi.

Bolehkah ahli waris membantah hibah yang dibuat selepas pemberi hibah meninggal dunia? Contohnya, seorang ibu tunggal memberi tanah kepada anak angkatnya tanpa memberitahu anak kandungnya yang lain sebelum dia meninggal dunia.

Kes seperti ini banyak berlaku dan ia mewujudkan perpecahan di kalangan waris, lebih-lebih lagi jika hibah itu dibuat secara lisan. Sebab itu, kita menyarankan supaya hibah dibuat secara bertulis dalam bentuk dokumen yang boleh ditunjukkan kepada pihak yang tidak mengetahui wujudnya hibah itu. Ia bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dan kejadian fitnah memfitnah antara waris.

Secara asasnya sesuatu hibah boleh dicabar di Mahkamah Syariah, tidak kira sama ada hibah dibuat secara lisan atau bertulis dalam bentuk dokumen oleh individu, peguam atau firma berautoriti. Bagaimanapun, ia hanya boleh dicabar atau dipertikaikan dari sudut sahnya mengikut hukum syarak atau jika ada waris yang tidak bersetuju dengan kandungan hibah itu selepas pemberi hibah meninggal dunia.

Pertikaian seperti di atas berlaku kerana harta yang dihibah masih di atas nama pemberi hibah pada masa penghibah meninggal dunia. Secara asalnya, menurut undang-undang, harta itu adalah milik arwah melainkan penerima hibah dapat membuktikan harta itu dihibah kepadanya.

Perkara inilah menyebabkan sesuatu kes itu perlu dibawa ke Mahkamah Syariah. Jika pemberi hibah menghibahkan sesuatu harta dengan terus menukar namanya di dalam dokumen hak milik kepada nama penerima hibah, ia tidak menjadi pertikaian.

Segala-galanya sudah jelas, harta itu bertukar milik kepada penerima hibah seperti tertulis di dalam dokumen hak milik. Jika tidak, amalan hibah yang dibuat pada masa itu perlu disahkan Mahkamah Syariah sebelum boleh dilaksanakan.

Dalam kes Eshah Abdullah dan Lima Yang Lain lawan Che Aminah Abdul Razak dan Dua Yang Lain (J.H bhg 2, Rejab 1425), Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu ketika menerima rayuan perayu membuat ulasan seperti berikut: "Diandaikan jika bangunan itu sudah bertukar kepada nama penerima, kemungkinan kes ini tidak lagi perlu dibawa ke mahkamah, kerana segala-galanya sudah jelas dan tercatat dalam dokumen."

Mahkamah dalam kes itu juga memutuskan bahawa penerimaan hasil sewa bangunan berkenaan oleh penerima hibah adalah qarinah, wujudnya al-qabd atau penerimaan oleh penerima hibah.

Justeru, dinasihatkan sesiapa bercadang untuk membuat hibah supaya terus menukar nama kepada penerima hibah dalam dokumen hak milik harta atau sekurang-kurangnya menandatangani borang pemindahan/penukaran hak milik untuk kemudahan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, bagi harta yang sukar untuk dibuat pemindahan hak milik, hibah seharusnya dibuat secara bertulis dan disaksikan oleh saksi atau dimaklumkan kepada keluarga untuk mengelakkan berlakunya salah faham di kemudian hari.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Sumber: Berita Harian
Tarikh: 24/10/2007