Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Showing posts with label artikel. Show all posts
Showing posts with label artikel. Show all posts

Thursday, March 31, 2011

Mahukah Kita Mati Dibelenggu Hutang?

Oleh: Wann, iluvislam.com


Kita tidak pasti sama ada kita akan terlibat dalam kemalangan atau tidak, dan kita tidak pasti sama adakah kita akan terselamat dalam kemalangan tersebut atau tidak. Kita tidak tahu, bukan?

Walaupun kita tidak tahu, tetapi kita sedar setiap kali kita memandu kenderaan kita berisiko untuk terlibat dalam kemalangan, dan kita KHUATIR. Maka sebab itu kita mencarum insurans. Benar, bukan?

Kullu nafsin zhaiqatul maut – setiap insan pasti akan merasai mati. Tidak KHUATIRkah kita? Apakah kita bersedia? Kerana kita tidak mahu tinggalkan dunia ini kelak, kita masih terbelenggu dengan hutang – hutang pada manusia, hutang pada Allah (puasa, zakat dll), atas kesedaran inilah Warisan Mukmin Sdn. Bhd. dan Amanah Raya Berhad melancarkan Tahun Menulis Wasiat 2011.

TAHUN MENULIS WASIAT 2011

Dengan tema "Tiada Hari Tanpa Wasiat", kempen Tahun Menulis Wasiat 2011 telah dilancarkan secara rasminya oleh Tuan Ahmad Saruji Abdul Aziz, Ketua Pegawai Pemasaran Amanah Raya Berhad pada 30hb Mac 2011 bertempat di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya. Kempen ini adalah anjuran Warisan Mukmin Sdn. Bhd., dengan kerjasama Amanah Raya Berhad.

Amanah Raya dan Warisan Mukmin menyasarkan 5000 wasiat berjaya didaftarkan sepanjang 2011.


*******************************************************************************

Sabda Rasulullah S.A.W :

"Orang yang malang ialah orang yang tidak sempat berwasiat" - Hadis Riwayat Ibnu Majah

Apabila berlaku kematian ke atas seseorang Muslim, harta yang ditinggalkan oleh si mati WAJIB diuruskan dengan SEGERA mengikut urutan-urutan berikut :

1. Perbelanjaan pengurusan jenazah

2. Melunaskan tanggungan hutang (hutang Agama, seperti puasa, zakat, haji dsb)

3. Melunaskan tanggungan hutang (hutang kepada manusia)

4. Pembahagian harta sepencarian

5. Menunaikan wasiat

6. Mengagihkan bahagian Faraid

Hutang Selesai Bila Mati?

"Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali hutang" - Riwayat Muslim

Sering kali terjadi, maklumat yang sering diabaikan adalah hutang. Sehingga terjadi suatu kisah, pemiutang meletakkan mesej hutang berserta alamat untuk dihubungi pada kubur penghutang – si mati! Mahukah perkara sebegini berlaku kepada anda?

Awas, perlu kita jelas, keenam-enam langkah di atas TIDAK AKAN berlaku secara automatik selepas kematian anda. Sebaliknya ia perlu dirancang supaya dapat dilaksanakan dengan lancar, dan paling penting, menurut syariat.

"Roh seseorang Mukmin itu tergantung, yakni terhalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya, sehinggalah hutang itu dijelaskan" - Riwayat At-Tirmidzi, Imam Ahmad

Antara masalah biasa berlaku berkaitan harta pusaka selepas kematian ialah :

01 - Hak waris tidak tertunai
Waris tidak mendapat haknya, dan akhirnya harta tersebut dibekukan

02 - Tiada sepakat antara waris
Biasa berlaku salah faham, perebutan harta dan akhirnya menjejaskan silaturrahim

03 - Hutang tidak dibayar
Menyebabkan amalan si mati tergantung (Nauzubillahi min zalik)

04 - Hukum Faraid tidak dapat dilaksanakan
Pembahagian harta pusaka kepada waris yang layak mengikut nasab tidak boleh dilakukan

05 - Pembekuan harta
Yang kini berjumlah 1juta kes dengan keseluruhan berjumlah RM42 bilion!

06 - Tempoh pengagihan pusaka yang lama
Boleh mencecah sehingga 5 hingga 20 tahun

07 - Pentadbir yang tidak amanah dan tidak berkemahiran
Pentadbir, atau pemegang amanah mestilah faham dan tahu maklumat harta dan hutang si mati

08 - Kesukaran menuntut harta sepencarian
Mengambil masa yang lama dan tidak seperti yang diharapkan

09 - Berlaku kes 'makan hak orang lain'

"Pelajarilah ilmu faraid kerana ia sebahagian daripada agama kamu dan ia adalah setengah daripada ilmu. Ia juga adalah ilmu yang pertama akan dicabut daripada umatku." - Hadis Riwayat Ibnu Majah, daripada Abu Hurairah r.a

*******************************************************************************

Info:
iluvislam.com telah dijemput oleh Warisan Mukmin Sdn. Bhd. untuk menghadiri sidang media semasa pelancaran kempen mereka. Klik thumbnail gambar di atas untuk melihat gambar-gambar lain. Rujuk DI SINI untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Warisan Mukmin.

Catatan Editor iluvislam.com:
Jangan ambil mudah soal Faraid, jangan ambil mudah soal hutang, jangan ambil mudah risiko tanpa wasiat. Dokumen Wasiat mungkin hanyalah sehelai kertas, tetapi hanya kertas ini yang dapat 'bercakap' bila kita sudah tiada nanti. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, "Seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat di sisinya," sebagaimana diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. iluvislam.com menyokong usaha memberi kesedaran tentang kepentingan wasiat kepada orang awam, syabas Warisan Mukmin!

Sumber: iluvislam.com
Tarikh: 31/3/2011

Saturday, March 5, 2011

Mukmin sentiasa ingat kematian termasuk golongan cerdik

Oleh: Mohd Adid Ab Rahman

KITA selaku Muslim beriman hendaklah menerima hakikat semua makhluk Allah tidak kekal di dunia, termasuklah manusia. Dari hari ke sehari usia kita kian bertambah pendek dan bila tiba saatnya, kita terpaksa pergi juga ke alam baqa.

Penjelasan al-Quran mengenai hal ini seharusnya menjadi pesan menyedarkan kita yang sering kali alpa dan sibuk dengan urusan duniawi yang bersifat sementara. Allah berfirman yang mafhumnya: “Katakanlah sesungguhnya kematian yang kamu lari darinya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemuimu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia berikan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah Al-Jumu’ah, ayat 8).

Orang yang menyedari mati pasti datang tidak akan mensia-siakan usianya, sentiasa berusaha mengisi waktu ke arah memantapkan keimanan. Setiap detik sangat berharga baginya, tidak suka membuang masa dengan hal tidak mendatangkan manfaat.

Menginsafi bahawa hidup di dunia hanyalah ibarat seekor burung yang hinggap di ranting, bila tiba masanya akan terbang lagi dan dengan tekun mempersiapkan diri untuk bekalan menghadapi saat kematian adalah dikatakan manusia yang cerdik.

Dinyatakan oleh Rasulullah SAW ketika menjawab pertanyaan seorang lelaki Ansar siapakah yang paling cerdik. Baginda berkata: “Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik.” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

Usia masih tersisa adalah anugerah Allah yang mahal harganya seharusnya disyukuri dengan kesibukan mengabdikan diri kepada-Nya, menjadi orang terbaik dan berfaedah di tengah masyarakat baik dengan harta, tenaga atau pun ilmu yang ada.

Dengan cara begini, kita berada di tangga sebaik-baik manusia seperti mana penjelasan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah orang yang diberi panjang umur dan umur yang panjang itu dia gunakan untuk membuat kebaikan sebanyak-banyaknya dan sejahat-jahat manusia ialah orang yang diberi Tuhan umur panjang tetapi umur panjang itu digunakan untuk melakukan kejahatan dan kerusuhan saja.” (Hadis riwayat Ahmad)

Di samping itu, kita hendaklah segera bertaubat sebagai usaha pembersihan diri daripada dosa. Allah melarang seseorang yang suka bertangguh untuk taubat sebab mati tidak diketahui bila.

Jika sikap bertangguh diamalkan, maka dikhuatiri kita mati dalam keadaan tidak sempat untuk bertaubat. Tentu akan menanggung kerugian yang besar dan penyesalan tidak sudah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan untuk orang yang bertakwa.” (Surah Ali Imran, ayat 133)

Syarat diterimanya taubat nasuha mengikut Imam al-Raghib al-Asfahani ialah kita harus memenuhi empat perkara iaitu meninggalkan dosa kerana keburukannya, menyesali dosa yang telah dilakukan, berkeinginan kuat untuk tidak mengulangi dan berusaha melakukan apa yang boleh diulangi (diganti).

Kita mesti faham bahawa Allah memberi kesempatan hidup di dunia supaya manusia menjalankan tugas sebagai khalifah, mengatur dan mengolah alam sehingga terwujudnya kehidupan yang adil, makmur dan penuh reda Allah.

Dengan umur yang masih ada ini kita gunakan untuk menunaikan amanah Allah, pasti segala amalan dilakukan tidak dipersiakan oleh Allah, akan mendapat ganjaran setimpal di akhirat nanti.

Renungilah firman Allah yang bermaksud: “Mereka itu adalah orang yang bertaubat, beribadat, memuji (Allah), puasa, rukuk, sujud, menyuruh berbuat makruf dan mencegah berbuat munkar dan memelihara hukum Allah. Dan gembirakanlah orang mukmin itu.” (Surah At-Taubah, ayat 112)

Sumber: Berita Harian
Tarikh: 5/3/2011

Tuesday, February 15, 2011

Wasiat ekologi Rasulullah SAW

Oleh Shaharudin Idrus

Mengambil sempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, Rasulullah SAW yang diutuskan untuk menjadi ikutan, pedoman dan penawar kepada umat manusia, maka bersama-samalah kita mengambil wasiat yang telah ditinggalkan melalui al-Quran dan As-Sunna.

Gunakanlah pesanan Rasulullah SAW tanpa sebarang keraguan dan dengan keyakinan yang tinggi untuk memakmur, memberi kesejahteraan dan mengelakkan kesesatan yang berpanjangan kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini tanpa mengira fahaman ideologi, politik, latar sosioekonomi dan etnik.

Segala sunnahnya harus menjadi pegangan dan ikutan agar kehidupan yang dijalani mendapat keredaan Allah SWT di dunia dan di akhirat kelak. Segala perilaku, perbuatan, tindakan, pengucapan, kiasan yang dilakukan oleh junjungan besar kita itu diilhamkan dan datangnya dari Allah SWT.

Rasulullah sendiri menekankan bahawa Baginda merupakan seorang manusia biasa tetapi kita menerimanya sebagai seorang manusia pilihan dan luar biasa yang kehadirannya di alam buana ini adalah sebagai pembawa rahmat ke serantau dunia termasuklah flora dan faunanya. Pelbagai sifat mahmudah yang dimiliki oleh Rasulullah boleh dijadikan contoh kepada kita untuk memperbaiki kehidupan harian dan mensejahterakan bumi ini.

Telah disepakati bahawa segala permasalahan yang menyangkut tentang alam sekitar yang berlaku kini misalnya pencemaran air dan udara, tanah runtuh, banjir kilat, hinggalah kepada keluarbiasaan keadaan cuaca di seluruh pelosok dunia adalah akibat langsung daripada hasil perbuatan manusia itu sendiri yang tidak berpegang sepenuhnya kepada prinsip-prinsip agama untuk memelihara alam ciptaan Ilahi yang telah disyariat dan disampaikan melalui Rasulullah kepada umat manusia.

Sementelahan pula, manusia yang mengaku sebagai khalifah di muka bumi ini memiliki tugas dan tanggungjawab yang cukup berat untuk memakmurkan bumi ini dan dalam masa yang sama memelihara serta tidak memanipulasi sumber-sumber alam ini secara melampaui batasan dan had tampungan yang sewajarnya.

Sememangnya Allah SWT membenarkan manusia untuk menggunakan seluruh sumber daya alam ini sebagai sumber rezeki bagi manusia dan juga seluruh makhluk yang hidup di atasnya, namun bukanlah dengan cara merosak dan merugikan aspek yang lain pula.

Tersirat dalam makna dan pengertian ini adalah konsep pembangunan lestari yang dipelopori oleh para sarjana Barat sekitar tahun 1970-an sedangkan maksud sebenar pembangunan lestari ini telah pun diungkap, diisyarat, dikias dan ditunjukkan oleh Junjungan Besar kita melalui hadis-hadis sahih Baginda sejak hampir satu ribu tahun setengah yang lampau.

Banyak kisah yang diriwayatkan di dalam al-Quran dan Hadis sahih yang memaparkan perilaku dan pekerti mulia Rasulullah dalam memelihara bumi ini. Perasaan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada binatang kesayangan misalnya menunjukkan Baginda seorang Rasul yang mengambil berat tentang fauna yang hidup berkeliaran di bumi ini.

Kita dianjurkan agar tidak sewenang-wenangnya menebang pokok atau membunuh binatang tanpa sebarang tujuan yang diharuskan. Kita juga tidak digalakkan untuk melakukan pembakaran terhadap kawasan-kawasan yang berhutan. Contoh-contoh yang diriwayatkan ini menggambarkan tentang keprihatinan Baginda terhadap pemeliharaan flora dan fauna yang wujud di muka bumi ini.

Baginda juga menganjurkan agar menjaga sumber air bersih dan tidak mencemarkan sewenang-wenangnya. Air yang mengalir dari telaga zam-zam sejak sekian lama dan hingga kini masih lagi berterusan memberikan sumber air yang luar biasa kepada semua manusia.

Air yang suci dan bersih ini digunakan untuk pelbagai kegunaan sebagai lambang keagungan Ilahi dan perlu dilestarikan. Justeru, air sungai, telaga dan tasik yang terdapat di merata-rata tempat di dunia ini juga perlu dilestarikan kewujudannya untuk menjadi sumber dengan pelbagai kegunaan kepada manusia.

Dalam Islam telah dianjurkan bahawa pemeliharaan alam sekitar telah pun diamalkan di dalam menjalani kehidupan harian umatnya. Dalam sistem pengurusan kawasan bandar dan sumber asli misalnya, telah ditetapkan kawasan-kawasan yang perlu dilindungi sumber-sumber asli yang terdapat di dalamnya yang dikenali sebagai kawasan haram.

Tujuannya adalah untuk melindungi ekosistem kawasan tersebut agar kekal terjaga dan dapat memberi manfaat kepada seluruh penduduk yang mendiami kawasan tersebut. Baginda sendiri telah menentukan kawasan-kawasan yang langsung tidak boleh diganggu gugat agar kestabilan ekosistem tidak terganggu dan mengekalkan sistem saliran serta kemudahan infrastruktur asas yang ada di kawasan perbandaran tersebut.

Baginda juga menyediakan kawasan yang sesuai untuk tempat tinggal binatang ternakan dan menyediakan ruang bagi kemudahan pengairan untuk binatang ternakan tersebut. Gambaran yang diberikan ini menunjukkan bahawa Islam sejak dari awal lagi telah memberikan perhatian yang begitu tinggi kepada penjagaan dan pengurusan alam sekitar bagi kepentingan dan kesejahteraan umat manusia.

Memelihara alam sekitar dari dicemari merupakan satu kewajiban dan menjadi sebahagian daripada ibadah yang perlu kita laksanakan.

Kisah-kisah perjalanan dan perjuangan Rasulullah yang telah diriwayatkan oleh perawi- perawi ini melalui pelbagai konsep dan prinsip yang diterapkan dalam memelihara alam ini, wajar diambil, diteliti, dihayati dan ditafsirkan dengan sebaik-baiknya agar dapat dijadikan panduan yang berguna dan berkesan melalui penggubalan strategi, pelan tindakan dan program yang boleh dilaksanakan kepada warga bumi ini agar kemusnahan yang telah melanda kini tidak menjadi lebih parah natijahnya kepada manusia hari ini dan akan datang.

Ilmu-ilmu yang berkait dengan ekologi dan alam sekitar ini sewajarnya didalami dengan sepenuh-penuhnya melalui pendekatan multi dan transdisiplin yang menggandingjalinkan para ilmuan dalam pelbagai bidang ilmu untuk bersama-sama memakmurkan bumi ini untuk kesejahteraan manusia seluruhnya.

Penulis ialah Felo Penyelidik/Pensyarah Kanan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 15/2/2011

Friday, January 28, 2011

Lindungi anak angkat dengan produk Amanah

Keluarga angkat boleh buat perancangan awal untuk masa depan

SEBAGAI keluarga angkat, ibu atau bapa mempunyai beberapa alternatif dibenarkan dalam Islam. Keluarga angkat boleh membuat perancangan awal selagi perancangan tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak yang boleh mengetepikan hak ahli waris yang berhak. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan produk-produk AmanahRaya yang bercirikan Amanah (Trust) kerana semua produk Amanah tidak akan dikategori sebagai harta pusaka.

Pembahagian Harta Pusaka seperti yang sedia maklum dari siri sebelumnya telah diterangkan hanya membabitkan ahli waris yang berhak saja. Sekiranya ada anak angkat di kalangan keluarga simati, apakah yang terjadi kepada anak angkat ini? Lebih kritikal jika anak angkat ini di bawah umur.

Anak angkat dapat ditafsirkan dengan mudah sebagai anak yang dipelihara oleh bukan ibu bapa kandungnya. Anak angkat tidak boleh mewarisi harta pusaka keluarga angkatnya atau sebaliknya.

Walau bagaimanapun anak angkat boleh menerima harta daripada bapa angkat dengan cara lain iaitu melalui Hibah, Hadiah atau Wasiat yang ditetapkan tidak melebihi 1/3 daripada harta keluarga angkat kecuali dengan adanya persetujuan ahli waris yang sah.

Apa yang sering berlaku pada hari ini, anak angkat boleh dipinggirkan secara tidak langsung dan dengan cara yang amat mudah tanpa disedari atau tidak oleh saudara angkat sendiri. Keadaan ini boleh terjadi apabila berlaku kematian mendadak salah seorang sama ada ibu atau bapa atau kedua-duanya kerana tiada perancangan awal dibuat oleh keluarga angkat terutama ibu atau bapa angkat.

Perkara perlu diketahui oleh umat Islam yang telah mengambil anak angkat atau bercadang untuk berbuat demikian lebih-lebih lagi dengan keadaan seperti sekarang di mana kes buang bayi semakin meningkat, ramai yang ingin membantu dan tidak keberatan untuk mengambil anak angkat. Usaha murni ini memang digalakkan, lebih-lebih lagi usaha untuk menangani masalah ini; memberikan kepada keluarga angkat demi masa depan yang lebih baik dan terjamin serta terdapat permintaan yang tinggi untuk mendapatkan anak angkat.

Walau bagaimanapun, dalam keghairahan mengambil anak angkat ramai yang mungkin terlupa beberapa peraturan dan larangan penting apabila mengambil anak angkat. Perkara ini membabitkan masa depan anak angkat tersebut khususnya kedudukan dan status anak angkat dalam harta pusaka keluarga angkat. Antaranya yang paling penting adalah larangan kepada keluarga angkat untuk menasabkan anak angkat kepada bapa angkat atau dalam situasi sekarang adalah haram anak angkat itu dibinkan kepada nama bapa angkat.

Perkara menasabkan anak angkat adalah perkara biasa yang lazimnya dilakukan dengan hasrat dan niat yang baik, tetapi akhirnya boleh menimbulkan masalah yang lebih kompleks di kalangan anak angkat dengan ahli keluarga angkat yang lain. Lebih-lebih lagi status anak angkat yang telah dijelaskan di mana anak angkat tidak boleh mewarisi harta pusaka keluarga angkatnya dan begitulah juga sebaliknya.

Oleh demikian apakah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa angkat dalam perkara ini? Sekiranya anak angkat ini masih di bawah umur ketika kematian ibu dan bapa angkat terjadi, bagaimana nasib anak angkat ini? Apabila seseorang Islam bersetuju mengambil anak angkat, maka adalah menjadi tanggungjawab mutlak dan wajib untuk keluarga angkat tersebut memastikan kebajikan anak angkat dijaga dan dilindungi agar dapat meneruskan hidup tanpa dizalimi sehingga dewasa.

Sebagai keluarga angkat, ibu atau bapa mempunyai beberapa alternatif yang dibenarkan dalam Islam. Keluarga angkat boleh membuat perancangan awal selagi perancangan ini tidak bertentangan dengan hukum syarak yang boleh mengetepikan hak ahli waris yang berhak.

Ini boleh dilakukan dengan menggunakan produk-produk AmanahRaya yang bercirikan Amanah (Trust) kerana semua produk Amanah tidak akan dikategori sebagai harta pusaka. Oleh itu, anak angkat boleh memiliki apa juga dihadiahkan oleh keluarga angkat yang diklasifikasikan sebagai harta Amanah. Produk-Produk ini yang ada ditawarkan oleh AmanahRaya; seperti Hibah, Hadiah dan Wasiat. AmanahRaya dengan pengalaman hampir 90 tahun serta berdasarkan kepada kes-kes yang ditadbir amat memahami keperluan dan kehendak ini serta halangan-halangan yang wujud.

Justeru, AmanahRaya telah menawarkan produk bercirikan Amanah berbentuk simpanan iaitu Amanah Safecare dan Normal Trust bagi memenuhi hasrat dan kehendak Pemberi Amanah. Kepentingan akaun amanah adalah untuk memastikan Penerima Amanah (Benefisiari) dalam hal ini adalah anak angkat dilindungi dan terpelihara daripada masalah yang membebankan mereka di kemudian hari.

Hasrat Pemberi Amanah akan dilaksanakan melalui Surat Ikatan Amanah iaitu satu dokumen yang mengikat Pemberi Amanah dan AmanahRaya sebagai Pemegang Amanah kepada Penerima dengan memperuntukkan syarat yang dipersetujui bagi tujuan melaksanakan hasrat dan arahan tersebut.

Adanya produk berbentuk simpanan pelaburan yang menawarkan pulangan dividen yang setanding dan kompetitif di pasaran memberi peluang kepada keluarga angkat untuk merancang masa depan anak angkat khususnya kemudahan kewangan untuk tujuan pendidikan, perubatan dan juga sara diri untuk tempoh yang boleh ditentukan oleh mereka sendiri. Jangan lupa untuk melayari www.amanahraya.com. untuk keterangan lanjut dan minggu depan perbezaan di antara amanah, pusaka dan wasiat.

INFO: Amanah ‘Safecare’

• Merupakan produk konvensional yang ditawarkan oleh AmanahRaya. Akaun amanah ini boleh dibuka oleh individu berumur 18 tahun ke atas dengan modal minima sebanyak RM50,000.

• Dengan pembukaan akaun Safecare ini, Donor dapat memastikan dana yang mencukupi untuk pendidikan masa depan anak-anak mereka.

Amanah Biasa

• Produk amanah yang ditawarkan oleh AmanahRaya dengan hanya bermodal minima RM2,000.

• Donor boleh membuat pertambahan dana dari masa kesemasa tertakluk kepada terma-terma yang dipersetujui di dalam Surat Ikatan Amanah. Akaun boleh dibuka oleh orang perseorangan berusia 18 tahun dan ke atas.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 28/1/2011

Friday, January 14, 2011

Kepentingan lantik pemegang amanah sah

Perjanjian bertulis antara pemegang, pemberi pastikan hak lebih terjamin

PEMEGANG amanah bukan hanya nama, tetapi perlu memastikan keadilan terlaksana demi menegakkan undang-undang supaya kepentingan pihak yang berhak terpelihara serta mendapat ganjaran pahala daripada Allah.

Oleh itu, janganlah sekali-kali membiarkan kezaliman dilakukan hanya untuk memenuhi kehendak dunia. Jika terpesong daripada tujuan utama amanah itu, perlu segera diperbetulkan. Pemegang amanah sering terdedah godaan kerana terlupa ikrar perjanjian dengan pemberi amanah.

Perjanjian antara pemegang amanah dan pemberi amanah adalah kontrak sah yang boleh dilakukan secara lisan. Namun, pelaksanaan secara bertulis lebih sempurna dan melantik syarikat milik penuh kerajaan seperti AmanahRaya sebagai pemegang amanah.

Perlantikan secara rasmi membolehkan pelaksanaannya sah di sisi undang-undang. Ini penting kerana AmanahRaya bertindak melindungi pemberi amanah dan juga penerima amanah (benefisiari). Tanpa dokumen sah, kemungkinan amanah akan dipertikaikan.

Inilah cabaran besar yang mencabar kesabaran dan keimanan pemegang amanah. Apabila pemegang amanah berasakan tidak sanggup memikul tugas ini, dia boleh melepaskannya.

AmanahRaya boleh dilantik berdasarkan Seksyen 12 (1) Perbadanan sebagai pemegang amanah wasiat, pemberian, suratcara amanah atau kewajipan tergolong dalam kelas dibenarkan berkuat kuasa sebelum atau selepas tarikh ditetapkan.

Jika AmanahRaya menggantikan pemegang amanah dilantik sebelum itu, tanggungjawab AmanahRaya masih tertakluk kepada surat ikatan amanah sedia, termasuk ketetapan tarikh serta persetujuan lainnya.

Surat ikatan amanah ialah dokumen yang menjadi asas utama dan teras pelaksanaan amanah. Umat Islam tidak boleh melanggar amanah kerana tindakan undang-undang akan dikenakan dan pembalasan berat pada akhirat kelak. Tindakan itu memberi kesan besar kepada penerima amanah.

Oleh itu, umat Islam yang ingin mengetahui mengenai proses pemberian serta penerimaan amanah boleh merujuk kepada AmanahRaya. Bagi yang ingin mendapatkan khidmat pemegang amanah, boleh mendapatkan perkhidmatan AmanahRaya.

Selain berpengalaman hampir 90 tahun, AmanahRaya mempunyai produk bersesuaian keperluan orang awam. Bimbingan boleh diperoleh daripada pegawai Amanahraya di 19 cawangan seluruh negara.

Lawati laman sesawang www.amanahraya.com.my. untuk keterangan lanjut. Mulai hari ini sesiapa yang membuka akaun amanah di AmanahRaya sehingga 31 Mac 2011 akan menerima hadiah pembukaan amanah, Pen Parker bernilai RM60.

INFO:

Suratikatan Amanah

• Penderma dan pemegang amanah terikat dengan terma dan syarat yang diperincikan melalui peruntukan dalam Suratikatan Amanah yang akan ditandatangani bersama. Jika wujud konflik antara terma dan syarat dengan Suratikatan Amanah, maka surat berkenaan adalah terpakai.

Harta amanah

• Pemegang amanah berhak mentadbir dan menguruskan harta amanah seperti mana diperuntukkan dalam Suratikatan Amanah.

Umur majoriti

• Pemegang amanah berhak mengeluarkan atau memindahkan semua/baki harta amanah, termasuk faedah terkumpul daripada amanah untuk benefisiari selepas mencapai umur majoriti.

Tempoh

• Penderma berhak melakukan pengeluaran terhadap harta amanah. Walau bagaimanapun, pengeluaran semua harta amanah membawa maksud nilai jumlah bagi penutupan akaun amanah dan pemegang amanah berhak mengenakan caj pengeluaran bagi sebahagian atau keseluruhan akaun itu.

Kuasa melabur

• Pemegang amanah berhak untuk melaburkan harta amanah, termasuk sebarang pertambahan jumlah yang diperoleh daripada pelaburan seperti diperuntukkan dalam Seksyen 25 Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.

Perubahan amanah

• Sebarang perubahan terma dan syarat Suratikatan Amanah boleh dibuat dengan persetujuan bertulis kedua-dua pihak.

Bayaran

• Tertakluk kepada Seksyen 33 Akta Perbadanan Amanah Raya 1995, pemegang amanah berhak untuk caj fi guaman, penerimaan, pengeluaran, cukai perkhidmatan kerajaan dan fi yang diluluskan menteri.

Pengisytiharan

• Penderma, benefisiari, penjaga/wakil benefisiari bertanggungjawab mengisytiharkan kepada pihak berkuasa, termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri berkaitan dividen/bayaran lain yang diterima di bawah amanah ini.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 14/1/2011

Friday, December 31, 2010

Kunta Kinte: Hutang cepat, bayar liat

KUNTA Kinte dah selalu cakap pasal hutang. Kalau boleh jangan berhutang. Tapi kalau terpaksa juga, hutanglah ikut kemampuan.

Jangan hutang banyak semata-mata kerana ada kedai televisyen, bank, syarikat kerjasama atau syarikat kad kredit yang sedia bagi.

Sekarang ini, walaupun kerajaan dan Bank Negara kata nak kawal kegiatan hutang melalui kad kredit, tapi Kunta Kinte tengok kegiatan keluarkan kad kredit oleh bank komersial dan promosi guna kad kredit makin menjadi-jadi.

Boleh kata tak ada hari, pengeluar kad kredit tak hantar pesanan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) promosi itu dan promosi ini. Bank pun nampaknya tak fikir lagi soal seseorang itu mampu atau tak mampu guna kad kredit. Asal ada alamat atau nombor telefon mereka akan tawar.

Amalan dan kegiatan bagi hutang macam inilah yang Kunta Kinte rasa antara punca orang kita berhutang terlalu banyak sampai tak mampu bayar balik atau jadi tabiat berhutang, tapi tak mahu bayar balik.

Maaf cakaplah, Kunta Kinte dah banyak kali jadi mangsa kepada manusia jenis ini. Manusia yang berhutang, tapi lepas itu batang hidung pun tak nampak. Telefon tak jawab. Hantar surat tak jawab. Cari di pejabat, pejabat tutup. Duit hilang, kawan pun hilang.

Masa nak pinjam bukan main lagi. Anak nak masuk universiti la. Kurang duit nak bayar gaji pekerja la. Nak pinjam seminggu dua sebelum bank keluarkan pinjaman la. Kalau gula manis, manis lagi mulut orang yang minta pinjam duit kita.

Ini bukan calang-calang orang. Ada pegawai tinggi kerajaan. Ada eksekutif syarikat penerbangan. Ada jutawan yang ada syarikat di Bursa Malaysia. Semua Islam. Semua Melayu. Semua kawan baik. Sudah-sudah duit hilang, kawan lesap.

Kunta Kinte ikut teladan Allahyarham ayah Kunta Kinte. Dasar dia, biar kita tinggal sehelai sepinggang, tapi hutang wajib dibayar. Jadi bila dia kembali ke rahmatullah dua tahun lalu, dia tak ada sekeping tanah pun. Semua habis dijual untuk sara anak-anaknya belajar dan untuk bayar hutang. Yang tinggal harta pusaka emak yang tidak disentuh.

Tak kira kita hutang siapa – hutang kawan, hutang bank, hutang kerajaan – kita wajib bayar. Tak payahlah Kunta Kinte bagi ceramah agama pasal beratnya tanggungan hutang. Kalau ada lagi orang Islam yang tak faham mengenai beratnya beban orang yang berhutang, susahlah nak mengaku Islam.

Lebih-lebih lagilah hutang daripada sebuah tabung pusingan yang diwujudkan khas untuk biayai pelajaran macam hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Pinjaman Pelajaran MARA.

Malangnya, tak kira Islam, tak kira ada ijazah, tak kira belajar dalam negara atau luar negara, tak kira anak orang senang atau anak orang susah, ramai yang mungkir janji dan pecah amanah bila sampai masa bayar balik hutang.

Kunta Kinte baca satu laporan yang kata jumlah pinjaman PTPTN sepatutnya dibayar balik berjumlah RM2.12 bilion yang babitkan 597,066 peminjam. Daripada jumlah itu, RM1.02 bilion telah berjaya dikutip balik. Baki yang tertunggak sebanyak RM1.09 bilion. Siapa yang liat bayar balik? Seramai 73.2 peratus adalah Melayu yang berhutang RM798 juta, 16 peratus Cina (RM174.05 juta), 4.7 peratus India (RM51.0 juta) dan 6.2 peratus kaum lain dengan hutang tertunggak RM67.3 juta.

Maaf cakaplah, Kunta Kinte malu dengan sikap peminjam Islam/Melayu ini. Susah kita nak hormat orang macam ini, tak kira tinggi macam mana pun ijazah mereka dan di universiti mana mereka belajar. Bagi Kunta Kinte, orang yang tak bayar hutang, tak boleh percaya.

Katalah apa pun, hutang tetap hutang. Duit pembayar cukai yang mereka pinjam wajib bayar balik. Kalau kita biar mereka ‘songlap’ duit PTPTN atau duit Tabung Pinjaman MARA, lama-lama habislah. Sepatutnya, bukan saja mereka bayar hutang, malah mereka patut ambil giliran bantu pula pelajar yang tak mampu.

Tapi apa nak buat. Kita boleh mengeluh dan meratap. Sistem keluarga, masyarakat, pendidikan dan politik kita nampaknya telah gagal hasilkan insan yang amanah, berhemah dan bermaruah. Tak hairanlah dibagi pinjaman dia tak bayar balik. Dibagi kerja, dia curi tulang. Dibagi amanah dia pecah amanah. Dibagi kuasa dia salah guna kuasa. Maruah dia tak kira. Yang dia kira rasuah.

Bagi orang macam ini, dia hanya tahu hukuman dan paksaan. Malu dia tak malu lagi. Jadi Kunta Kinte harap semua pihak, termasuklah Kementerian Pengajian Tinggi, berhentilah daripada berdolak-dalik pasal hutang PTPTN ni.

Buatlah apa pun. Gunakanlah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau mana-mana agensi kerajaan potong gaji, rampas harta atau senarai hitamkan makhluk-makhluk berpelajaran tinggi, namun tak ada maruah dan perasaan.

Orang yang ada pelajaran tapi tak ada ilmu dan tak ada akhlak macam inilah yang buat orang lain susah. Orang macam ini sebenarnya tak boleh dipakai. Buat malu agama dan bangsa saja. Kalau nak kata Kunta Kinte cabul, katalah. Tapi Kunta Kinte tak tahan sangat dengan orang yang pandai berhutang, tapi liat nak bayar. Yang makan cabai melaka tu rasa-rasalah pedasnya.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 31/12/2010

Wednesday, December 29, 2010

Peguam Syarie Menulis: Kerangka akta kewangan Islam masih kabur

Oleh : Mohamad Isa Abd Ralip

Sistem terus dibayangi kuasa sivil mengikut Perlembagaan Persekutuan

MALAYSIA muncul sebagai pemain sistem kewangan Islam yang rancak dan komprehensif sejak pertengahan tahun 80-an sejajar penggubalan Akta Bank Islam (ABI) 1983 dan Akta Pelaburan Kerajaan 1983, membolehkan transaksi perbankan dan kewangan Islam mengikut prinsip syariah.

Hal ini dikembangkan dengan kewujudan perlindungan insurans melalui Akta Takaful (AT) 1984. Pindaan Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA) 1989 memasukkan Seksyen 124 pula telah melebar luaskan Sistem Perbankan Islam (SPI) ke dalam bank konvensional.

Kewujudan Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 kemudian menjadikan sistem kewangan Islam maju setapak lagi terutama dalam pasaran modal Islam. Namun, di sebalik graf kemajuan ini, sistem kewangan Islam masih dibelenggu pelbagai halangan terutama dalam aspek perundangan.

Kerangka perundangannya masih kabur dan terus dibayangi kuasa sivil yang diberi Perlembagaan Persekutuan dan bukannya atas prinsip syariah.

Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk menubuhkan Mahkamah Syariah seperti peruntukan Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri), Perlembagaan Persekutuan.

Namun, bidang kuasa diberikan kepada Mahkamah Syariah terhad kepada skop tertentu dan terpakai ke atas orang Islam saja. Bidang kuasa jenayah terhad kepada kesalahan jenayah yang tidak melebihi hukuman tiga tahun penjara, denda RM 5,000, enam kali sebatan atau gabungannya.

Walaupun begitu, pindaan perlembagaan dalam Perkara 121 (1A) yang memisahkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Sivil sedikit sebanyak memberi ruang kepada Mahkamah Syariah untuk beroperasi tanpa gangguan.

Pindaan pada 1988 ini menyatakan Mahkamah Tinggi Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Namun, timbul persoalan sama ada kewangan Islam termasuk dalam bidang kuasa khas Mahkamah Syariah.

Jawapannya tidak. Sehingga kini, semua kes berkaitan kewangan Islam dibicarakan di Mahkamah Sivil. Inilah sesuatu yang malang bagi sistem kewangan Islam di negara kita kerana Mahkamah Sivil menjadi pemutus bagi pertikaian membabitkan undang-undang Islam.

Kerangka perundangan bagi sistem kewangan Islam di Malaysia sebenarnya tertakluk kepada kuasa persekutuan seperti dinyatakan dalam Perlembagaan, bermakna ia tertakluk kepada undang-undang diluluskan Parlimen sebelum boleh beroperasi.

Antara isu berkaitan kewangan Islam adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam kes muamalat. Kes Bank Islam Malaysia Berhad vs Adnan Bin Omar (1994), Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa membabitkan orang Islam saja.

Justeru, Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa mendengar kes itu kerana pelanggan bank juga terdiri daripada orang bukan Islam. Malah, bank Islam adalah sebuah badan korporat dan tidak dianggap seseorang yang menganut Islam.

Ini bermakna Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa mendengar kes itu. Malah, ABI 1983 dan AT 1984 sendiri tidak memperuntukkan sebarang bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk bertindak dalam pertikaian berkaitan muamalah Islam.

Sistem kewangan Islam di Malaysia tidak mempunyai undang-undang atau akta lengkap untuk beroperasi. Ia hanya diurus selia beberapa akta khas seperti ABI 1983 dan AT 1984 menyebabkan kewangan Islam masih bergantung harap kepada akta sivil untuk beroperasi.

Hal ini menyebabkan berlaku pertentangan antara akta dengan prinsip syariah. Contohnya, prinsip syariah melarang berlakunya dua kontrak dalam satu akad. Namun, Akta Sewa Beli 1967 membenarkan akad seperti itu.

Sebab itulah, institusi kewangan Islam menawarkan produk sewa beli menggunakan kontrak al-Ijarah Thumma al-Bay’ (sewa diikuti dengan pembelian) atau al-Ijarah Muntahiyah bi Tamlik (sewa berakhir dengan pemilikan).

Selain itu, ada isu Penafsiran Kontrak Kewangan Islam dengan Kontrak Konvensional seperti kes Tinta Press Sdn Bhd vs Bank Islam (M) Bhd (1987), mahkamah mentafsirkan kontrak dipakai adalah sewaan sedangkan bank menggunapakai kontrak al-Ijarah dalam urus niaga antara mereka.

Mahkamah lebih selesa berhujah mengenai faedah dalam kontrak sedangkan BBA menggunakan prinsip keuntungan. Dalam kedua-dua kes ini, mahkamah tidak merujuk kontrak kepada muamalat dan prinsip syariah, sebaliknya merujuk kepada peraturan yang wujud dalam sistem konvensional.

Kajian berkaitan sistem kewangan Islam oleh Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) UiTM Shah Alam mencadangkan diwujudkan kerangka perundangan sistem kewangan Islam yang lebih menyeluruh dan bertepatan kehendak syariah.

Bidang tugas Mahkamah Syariah perlu diperluaskan untuk mendengar kes muamalat Islam kerana hakim dibantu peguam syarie yang terlatih dengan prinsip syariah.

Perkara 74 (2) dan Jadual Kesembilan, Senarai I (Senarai Persekutuan) dan akta berkaitan perlu dipinda supaya undang-undang Islam secara menyeluruh termasuk sistem muamalat Islam dimasukkan dalam Senarai Persekutuan.

Ini bagi membolehkan sistem kewangan Islam dapat beroperasi dan Mahkamah Syariah diberi bidang kuasa mendengar kes berkaitan kewangan dan muamalat Islam membabitkan pelanggan Islam atau bukan Islam.

Cadangan pindaan perlembagaan dan akta tertentu perlu diamati pihak berwajib supaya sistem perbankan dan kewangan Islam dapat beroperasi berlandaskan kehendak syariah sepenuhnya, tanpa mencampuradukkan sistem perundangan Islam dan sivil seperti sekarang.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 29/12/2010

Friday, December 24, 2010

Berhutang untuk haji?

Oleh : SITI AINIZA KAMSARI

DEMIKIANLAH maksud di sebalik bacaan Talbiah (Labaikka Allahumma Labaik) yang dilaung-laungkan oleh para jemaah haji selama mereka berada di Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Iaitu bermula selepas berniat ihram di miqat sehinggalah melontar jamrah Kubra atau sehingga melakukan tawaf rukun.

"Datang kerana menyahut panggilan Mu" itu tentu sekali mempunyai implikasi daripada aspek syarie dan falsafah haji itu sendiri.

Dari aspek syarie soal kedatangan ke Tanah Suci itu berkait rapat dengan soal kemampuan. Ini sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 97.

Tidak dinafikan soal kemampuan seseorang itu untuk mengerjakan haji sering mendapat perhatian pelbagai pihak apabila tidak kurang merasakan mereka perlu berhutang untuk menunaikan haji. Jika tidak berhutang sampai bila-bila pun mereka tidak mungkin berpeluang menunaikan haji.

Sementelah usia masih muda, badan masih sihat dan kuat, apa perlunya menunggu ke Tanah Suci kerana bimbang jika pergi pada usia bersara atau tua, badan sudah tidak kuat untuk menghadapi pelbagai cabaran fizikal dan mental yang menunggu di Mekah mahupun Madinah.

Di tambah lagi 'seruan telah sampai' dan keinginan telah membuak-buak dan tidak boleh ditahan-tahan lagi. Maka pergi tetap pergi walaupun terpaksa berhutang.

Dalam masalah ini pendakwah bebas terkenal, Datuk Daud Che Ngah berkata Islam telah menetapkan mengenai soal kemampuan untuk menunaikan haji itu adalah bebas daripada berhutang.

Begitu pun hukum berhutang untuk menunaikan haji adalah harus, dibolehkan pergi. Malah, jika ibadat itu dapat dilakukan dengan baik maka tentunya sahaja ibadat haji itu sah.

"Ini sebagaimana resolusi yang dicapai dalam Muzakarah Ibadat Haji Tahun 2006 menerusi pembentangan sebuah kertas kerja mengenai berhutang untuk mengerjakan haji.

"Berhutang dibenarkan apabila si peminjam didapati mempunyai cagaran, iaitu dalam bentuk simpanan dalam Skim Perkeso, Caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), elaun saraan (pencen), ganjaran pekerjaan dan sebagainya.

"Semua ini dapat menampung hutang terutama apabila si peminjam ini tadi ditakdirkan tuhan meninggal dunia di Tanah Suci semasa mengerjakan haji," katanya.

Maka ia tidak akan meninggalkan beban kepada waris untuk membayar hutang haji kerana si mati ada meninggalkan simpanan dalam akaun-akaun tersebut.

"Si peminjam mempunyai jaminan dalam bentuk wang cuma tidak sampai masa untuk dikeluarkan," katanya.

Namun, tegas Daud, hutang si mati tidak boleh dilunaskan berdasarkan tuntutan insurans nyawa.

"Kecuali jika melalui Insurans Takaful kerana ia menepati kehendak-kehendak syariat berbanding insurans konvensional dikhuatiri mengandungi unsur gharar," katanya.

Maka yang penting berhutang itu tidak melanggar perkara yang haram dan tidak akan membebankan orang lain.

"Seeloknya andai berlaku kematian, yang ditinggalkan harta untuk waris bukannya hutang yang boleh membebankan pula kepada orang lain untuk menanggungnya," katanya.

Begitupun kata Daud, berhutang untuk mengerjakan haji bukan sebahagian daripada falsafah dan keindahan pengajaran daripada ibadat haji itu sendiri.

"Ini sebagaimana yang Allah telah tegaskan dalam surah di atas tadi, iaitu soal kemampuan. Walaupun wajib seseorang itu mengerjakan haji jika dia mampu. Andai tidak mampu maka boleh ditangguhkan sehingga dia benar-benar mampu tanpa perlu berhutang," katanya.

Ini kerana apabila membicarakan soal 'berkuasa' untuk mengerjakan haji terdapat 12 syarat di dalamnya.

Antaranya termasuklah mestilah jemaah itu seorang Islam, berakal (tidak gila), baligh (capai umur mukalaf), bukan hamba sahaya (merdeka) dan berkuasa (mampu) dengan lain perkataan bukan berhutang.

"Berkuasa di sini pula sama ada dengan pertolongan orang lain dan kedua dengan kemampuan diri sendiri.

"Kemampuan diri sendiri ini tertakluk kepada syarat; ada perbelanjaan yang halal, ada kenderaan untuk pergi dan balik, ada tambang menambang (kos pengangkutan), sihat tubuh badan, aman dalam perjalanan dan berkesempatan dari aspek masa," kata Daud.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 24/12/2010

Friday, December 17, 2010

Kepentingan melantik pemegang amanah urus, tadbir harta pusaka

AmanahRaya organisasi bertanggungjawab sebagai pemegang amanah

MINGGU ini kita akan memperkatakan satu lagi elemen penting yang perlu difahami oleh umat Islam iaitu pemegang amanah.

Pemilihan pemegang amanah penting dan kebanyakan umat Islam kurang faham mengenainya atau ada yang sudah maklum tetapi masih keliru akan keperluannya.

Apa yang jelas, pemilihan untuk melantik pemegang amanah perlu dilakukan dengan cara yang betul kerana pemegang amanah mempunyai tugas serta tanggungjawab berat dan peranannya amat penting.

Pemegang amanah ialah pihak yang diberi kepercayaan melaksanakan amanah diberi dan berdasarkan Akta Perbadanan Amanah Raya 1995, amanah itu termasuk kewasian atau hal tadbir.

Dalam soal ini, umat Islam perlu memastikan sesiapa juga dipilih daripada orang perseorangan, syarikat amanah atau institusi masjid sebagai pemegang amanah, perlu benar-benar mengetahui dan memahami tanggungjawab yang bakal dipikul.

Sesiapa saja boleh dipilih sebagai pemegang amanah selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak dan mampu menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan adil. Bagaimanapun, adalah lebih baik syarikat amanah milik penuh kerajaan, AmanahRaya dilantik pemegang amanah.

Ini kerana AmanahRaya tidak mempunyai kepentingan peribadi dan mendapat jaminan kerajaan serta selaras dengan objektif penubuhannya sebagai organisasi yang menunjukkan rasa tanggungjawab sosial dengan memberikan perhatian kepada kepentingan komuniti Malaysia.

Sejarah sendiri membuktikan pentingnya peranan pemegang amanah dalam menjaga dan memastikan kebajikan, kesinambungan kehidupan serta kesejahteraan rakyat pada semua peringkat tanpa mengenal agama atau bangsa selepas kematian anggota keluarga.

Menyedari kepentingan ini, AmanahRaya, jabatan khas diwujudkan sejak 1921 sewaktu pemerintahan Inggeris kekal sehingga negara mencapai kemerdekaan.

AmanahRaya ditubuhkan di bawah akta Pemegang Amanah Raya 1950 (Akta 247) dan Pegawai Pentadbir Pusaka sebuah jawatan statutori diwujudkan di bawah Akta Probet dan Pentadbiran 1959.

Pada 1 Ogos 1995, jabatan ini dikorporatkan di bawah Akta Syarikat 1995 dan diperbadankan di bawah Akta Perbadanan Amanah Raya 1995, dikenali sebagai Amanah Raya Berhad.

Ikuti keterangan lanjut mengenai pemegang amanah pada minggu hadapan.

INFO: Fungsi dan kuasa AmanahRaya (Seksyen 12, Akta 532)

• Perbadanan boleh dilantik menjadi pemegang amanah apa-apa wasiat atau berian atau suratcara lain yang mewujudkan amanah atau untuk melaksanakan apa-apa amanah atau kewajipan yang tergolong dalam kelas dibenarkan untuk menerima, dan boleh dilantik sedemikian sama ada wasiat atau berian atau suratcara lain yang mewujudkan amanah atau kewajipan itu dibuat atau mula berkuatkuasa sebelum atau selepas tarikh ditetapkan, dan sama ada sebagai pemegang amanah asal atau baru, atau sebagai pemegang amanah tambahan, dalam hal sama dan dengan cara sama dan oleh orang atau mahkamah yang sama seolah-olah ia adalah orang persendirian yang bertindak atas sifat itu.

• Walaupun pada hakikatnya mana-mana wasiat, berian atau suratcara lain yang mewujudkan amanah atau kewajipan membuat peruntukan bagi atau mengarahkan atau menghendaki perlantikan dua pemegang amanah atau lebih, Perbadanan boleh dilantik dan bertindak dengan sah sebagai pemegang amanah tunggal.

• Jika Perbadanan telah dilantik sebagai pemegang amanah apa-apa amanah, seorang pemegang amanah bersama boleh bersara daripada amanah itu di bawah dan mengikut seksyen 43 Akta pemegang amanah 1949, walaupun tidak terdapat lebih daripada dua orang pemegang amanah dan tanpa apa-apa persetujuan yang dikehendaki oleh seksyen itu.

• Perbadanan tidak boleh dilantik sama ada sebagai pemegang amanah baru atau tambahan jika wasiat, berian atau suratcara lain yang wujudkan amanah atau kewajipan itu mengandungi arahan yang bertentangan, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

• Notis mengenai apa-apa cadangan perlantikan Perbadanan sama ada sebagai pemegang amanah baru atau tambahan hendaklah, jika praktik, diberikan kepada semua orang yang mempunyai kepentingan benefisial yang bermastautin di Malaysia dan yang alamat mereka diketahui oleh orang yang bercadang membuat perlantikan itu, atau, jika benefisari itu ialah orang yang belum dewasa, kepada penjaga mereka.

• Jika mana-mana orang yang kepadanya notis itu telah diberikan memohon kepada mahkamah dalam tempoh 21 hari dari penerimaan notis itu, mahkamah boleh, jika setelah mengambil kira kepentingan semua benefisiari ia memikirkan bahawa adalah suaimanfaat dibuat sedemikian, membuat perintah melarang perlantikan itu dibuat.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 17/12/2010

Friday, December 10, 2010

Pewasiat disaran semak, kemas kini wasiat

Kandungan dalam wasiat umpama hati dan jantung wasiat

WASIAT adalah satu instrumen yang amat mudah dimiliki, diterima dan dilaksanakan apabila umat Islam memahami semua tuntutan syarak serta peranan wasiat itu sendiri. Wasiat akan menjadi masalah apabila masih ramai di kalangan umat Islam tidak dapat menerima hakikat bahawa kandungan wasiat adalah kehendak pewasiat sendiri.

Lazimnya, situasi ini timbul apabila rasa ketidakpuasan dalam pembahagian yang seolah-olah tidak berpihak kepada ahli waris yang berhak. Keadaan sedemikian tidak dapat dielakkan kerana kurang pemahaman terhadap kandungan wasiat itu sendiri. Ada kalanya boleh menjadi lebih buruk dan berpanjangan jika tidak ditangani segera dan secara bijaksana.

Apakah sebenarnya berlaku? Kebiasaannya perkara ini membabitkan kandungan wasiat itu sendiri. Oleh itu, umat Islam mesti faham bahawa kandungan wasiat itu amat penting sama pentingnya dengan kadar 1/3 yang ditetapkan dan dibincangkan pada minggu lalu.

Mengapakah kandungan wasiat itu penting? Kandungan dalam wasiat itu adalah umpama hati dan jantung wasiat. Kedudukannya amat penting kerana ia juga pesanan terakhir oleh pewasiat sebelum kematian. Bagaimana penting kandungan Wasiat maka umat Islam wajar mengikut apa yang dilakukan oleh umat Islam sebelum itu.

Menurut satu riwayat daripada Abdul Razak sesungguhnya Anas r.a berkata yang bermaksud: “Mereka (sahabat) menulis pada wasiat mereka: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ini adalah Wasiat Fulan bin Fulan bahawa dia bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan tiada sekutu bagi-Nya. Dia juga bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan rasul-Nya. Dia juga bersaksi bahawa hari kiamat pasti akan tiba dan Allah akan membangkitkan manusia dari kubur.

Dia mewasiatkan ahli keluarganya yang masih tinggal agar takutkan Allah dan saling memelihara hubungan mereka. Hendaklah mereka mentaati Allah dan rasul-Nya sekiranya mereka orang-orang yang beriman. Dia mewasiatkan mereka sebagaimana wasiat Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub kepada keturunan mereka...”

Oleh itu adalah wajar untuk kita memulakan kandungan wasiat seperti yang dilakukan oleh kalangan sahabat.

Apabila seseorang itu merancang untuk menulis wasiat ia selalunya membabitkan dua perkara utama iaitu harta pewasiat yang dimiliki sewaktu hayat dan juga harta pewasiat selepas kematian pewasiat. Keadaan ini berlaku kepada harta yang dimiliki oleh pewasiat dan bagaimana ia ingin diwasiatkan.

Masalah ini membabitkan; kadar sebenar harta yang ada pada pewasiat ketika pewasiat membuat wasiat atau harta yang hanya diketahui atau sebaliknya atau termasuk harta tambahan yang diperoleh yang tidak diketahui oleh pewasiat selepas kematian. Situasi begini sering berlaku kerana kadar harta yang semakin susut.

Terdapat perselisihan di kalangan fuqaha mengenai perkara itu di mana menurut jumhur fuqaha’ termasuk mazhab Syafie dan Hanafi, pewasiat tidak disyaratkan mengetahui kadar sebenar harta yang ada pada masa dia membuat wasiat kerana harta sebenar yang diambil kira adalah harta yang ada pada waktu kematiannya.

Apabila ini berlaku, kesan positif yang dapat dilihat dengan jelas adalah terbentuk dan wujudnya sekatan secara automatik dalam wasiat dengan kadar yang ditetapkan iaitu 1/3 saja daripada harta peninggalan pewasiat.

Ini adalah formula yang amat sempurna di mana sebagai pewasiat keadaan berwasiat dapat dilaksanakan dan tidak bertentangan dengan kehendak syarak.

Pewasiat berupaya menyatakan keinginan dengan berwasiat dan dalam masa yang sama dapat memelihara kebajikan hak ahli waris ke atas harta peninggalan itu.

Dalam banyak keadaan ada kalanya pewasiat secara sedar atau tidak dan berkemungkinan boleh menafikan harta peninggalannya kepada waris yang berhak dengan melepaskan semua hartanya atau mengurangkan bahagian mereka hingga menjejaskan kadar bahagian mereka dalam bentuk lain atau menggunakan instrumen lain yang dibenarkan.

Sekiranya ini benar-benar berlaku maka pewasiat boleh mengambil pendekatan untuk mendapatkan pandangan secara profesional dan PERCUMA daripada syarikat milik penuh Kerajaan seperti AmanahRaya Berhad (AmanahRaya) dan anak syarikatnya, AmanahRaya Legacy Services Sdn Bhd (AmanahRaya Legacy).

AmanahRaya Legacy adalah anak syarikat milik penuh AmanahRaya yang ditubuhkan khas untuk tujuan memberi khidmat runding cara profesional kepada umat Islam antaranya, mencadang dan merangka wasiat secara sistematik serta dalam masa yang sama menepati kehendak syarak dan juga yang paling utama mentadbir harta pusaka berwasiat.

AmanahRaya tidak mempunyai kepentingan peribadi. Oleh demikian, ia akan sentiasa berusaha memberi khidmat terbaik, tanpa berbelah bagi atau berat sebelah secara profesional kepada umat Islam semasa hayat dan selepas kematian pewasiat tanpa menjejaskan kepentingan mana-mana pihak.

Ada kalanya terdapat dalam kandungan wasiat di mana pewasiat gagal menjelaskan kadar yang hendak diwasiatkan. Ada juga wasiat yang tidak menjelaskan kadar sebenar yang sepatutnya diterima oleh penerima wasiat.

Bagaimanapun, masalah ini diharap dapat dielakkan dengan mendapatkan khidmat runding cara secara profesional daripada kakitangan AmanahRaya.

AmanahRaya Legacy kerap kali melaksanakan promosi khas kepada pewasiat untuk mengemas kini maklumat terkini atau meminda wasiat sedia ada. Promosi ini memberi peluang pewasiat mengemas kini butiran masing-masing seperti butiran peribadi dan keluarga, senarai harta baru atau yang sudah tiada, hutang yang sudah dijelaskan atau hutang baru, kehendak amal jariah ataupun sedekah dan lain-lain.

Promosi ini juga memberi kesempatan kepada pewasiat untuk menyerahkan dokumen penting untuk simpanan AmanahRaya Legacy atau direkodkan. Proses mengumpul, menyenarai dan menyemak semula dokumen sokongan adalah satu proses yang remeh dan tidak ramai yang suka melakukannya. Lebih-lebih lagi untuk datang ke pejabat AmanahRaya sendiri. Oleh itu juga maka kakitangan AmanahRaya sentiasa bersedia untuk menemui pewasiat secara peribadi sekiranya diperlukan.

Semuanya boleh dilakukan dan diuruskan dengan sempurna, teratur dan berdasarkan piawaian antarabangsa. AmanahRaya Legacy untuk setanding syarikat antarabangsa, bekerjasama dengan Institute of Professional Will Writers, United Kingdom, mengadakan siri latihan, peperiksaan dan kursus Pembangunan Profesional Berterusan. Ini bagi memastikan semua kakitangan AmanahRaya Legacy mendapat pendedahan tentang Perkhidmatan Penulisan Wasiat yang diiktiraf dan mengikut piawaian antarabangsa.

Oleh demikian, semua pewasiat perlu mengambil peluang mengemas kini maklumat atau membuat pindaan kepada wasiat masing-masing sekiranya perlu pada bila-bila masa dan AmanahRaya Legacy mengadakan promosi khas pengemaskinian maklumat dan pindaan Wasiat pada bulan Disember ini. Tujuan utamanya adalah untuk memastikan keinginan pewasiat dilindungi begitu juga dengan semua ahli waris yang berhak.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 10/12/2010

Friday, December 3, 2010

Umat Islam patut faham kadar maksimum wasiat 1/3 jumlah harta

Pewasiat perlu bincang pembahagian pastikan hak waris tak diabai

PEMBAHAGIAN harta pusaka melalui faraid adalah wajib mengikut bahagian yang ditetapkan kerana pembahagian faraid mengutamakan keadilan hakiki kepada ahli waris yang berhak. Pengetahuan mengenainya penting terutama ketika membuat perancangan kadar diperuntukkan untuk diwasiatkan.

Umat Islam dinasihatkan supaya mendalami perkara itu supaya faham mengenai keperluan dan ketetapan pembahagian faraid serta tujuannya.

Saad Bin Abu Waqqas berkata: Telah datang Rasulullah SAW untuk melihatku sedang aku berada di Makkah. Aku berkata: Wahai Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku. Baginda menjawab: Tidak. Aku berkata: Sebahagiannya. Baginda menjawab: Tidak. Aku berkata: Sepertiga. Baginda menjawab: Ya, sepertiga dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebaik berlaku kematian seseorang umat Islam, semua harta peninggalan si mati yang dimiliki secara sah akan diklasifikasi sebagai hak milik semua ahli waris yang sah. Hak itu sudah diperjelas sebelum ini, begitu juga kadar pembahagian harta pusaka yang dijelaskan dalam al-Quran.

Persoalan yang sering timbul adalah bolehkah kita mewasiatkan lebih daripada 1/3? Ada juga yang musykil kenapa 1/3 dan tidak 1/2? Inilah antara dilema umat Islam yang bukan hanya terjadi hari ini tetapi sejak dulu lagi sewaktu wasiat diperkenalkan.

Meskipun terdapat maklumat mengenai kadar yang boleh diwasiatkan, masih ramai yang samar-samar dan kabur mengenainya.

Kadar harta yang dibolehkan untuk diwasiatkan terbahagi kepada dua keadaan iaitu apabila pewasiat mempunyai waris dan pewasiat tidak mempunyai waris.

Menurut jumhur fuqaha (selain Zahiri dan Maliki), apabila seseorang itu mewasiatkan melebihi 1/3, maka wasiat itu tidak berkuat kuasa kecuali apabila semua ahli waris yang berhak memberi persetujuan.

Jika berlaku percanggahan keputusan dalam kalangan ahli waris, ada yang menerima, membantah atau menolak kehendak yang melebihi kadar itu, maka pelaksanaan wasiat masih boleh dilakukan secara terhad.

Pelaksanaan wasiat hanya mengambil kira bahagian membabitkan waris yang bersetuju saja sementara waris yang tidak bersetuju akan mendapat bahagian masing-masing.

Oleh itu, jika umat Islam berhasrat untuk berwasiat lebih daripada 1/3, kehendak ini boleh dilakukan tetapi pada saat pembahagian masih perlu mendapat persetujuan daripada semua ahli waris. Tujuan utama persetujuan untuk memastikan hak waris dilindungi dan tidak terabai atas sebab bertentangan hukum syarak.

Apa yang penting semasa membuat perancangan terakhir, pewasiat digalakkan berbincang dengan waris mengenai keinginan ini supaya mereka memahaminya.

Contohnya, seorang ayah ingin memberi bahagian lebih kepada anak angkat yang menjaga dan menanggung keperluan hidup sewaktu hayatnya. Cara ini memungkinkan semua waris memberi persetujuan atau sebaliknya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain. (Hadis riwayat Abu Daud)

Semua pihak terutama pewasiat dan waris memikul amanah besar dalam soal wasiat. Sebagai pewasiat, sebenarnya kadar 1/3 yang dibenarkan sudah mencukupi dan dianggap banyak seperti dijelaskan Rasulullah SAW.

Walaupun sudah ditetapkan kadar maksimum harta yang boleh diwasiatkan iaitu 1/3, masih wujud perbezaan pendapat dalam kalangan sahabat tetapi fuqaha bersetuju kadar sebaik-baiknya untuk berwasiat adalah tidak melebihi kadar maksimum.

Saidina Abu Bakar dan Saidina Ali tidak berwasiat dengan kadar 1/3, keduanya berwasiat hanya sekadar 1/5 daripada harta mereka. Manakala Saidina Umar berwasiat dengan kadar 1/4 bahagian daripada hartanya.

Menurut Qatadah, sebaik-baik berwasiat adalah dengan kadar 1/5 bahagian harta dan demikian juga pendapat ahli fiqh Basrah. Al-Shabi menyatakan kebanyakan ulama cenderung dengan kadar 1/4 dan 1/5 daripada bahagian harta saja.

Oleh demikian, semua waris bertanggungjawab untuk membuat keputusan secara bersama apabila terdapat kehendak wasiat yang melebihi kadar 1/3.

Persetujuan yang dicapai sama ada bersetuju atau sebaliknya pada lebihan kadar membawa makna yang berbeza. Apabila dipersetujui bermakna wasiat itu sah dan berkuat kuasa. Sebaliknya, jika berlaku waris tidak bersetuju, maka kadar melebihi 1/3 akan terbatal dan tidak sah.

Walau bagaimanapun, menurut mazhab Maliki dan Zahiri, wasiat melebihi 1/3 tidak boleh berkuat kuasa sekalipun jika mendapat persetujuan waris.

Untuk itu, peranan waris untuk memperkasa wasiat amat mulia lagi terpuji. Apatah lagi dengan memberi persetujuan bersama supaya hasrat pewasiat dapat disempurnakan secara ikhlas dan reda untuk mendapat manfaat dan ganjaran pahala berterusan dari Allah.

Ada juga kes pewasiat tidak mempunyai waris pada saat kematiannya. Menurut mazhab Hanafi, wasiat itu sah sementara pendapat jumhur menyatakan wasiat melebihi 1/3 adalah tidak harus secara mutlak kerana membabitkan hak orang Islam.

Kesedaran dan kefahaman mengenai wasiat perlu sebati dalam diri umat Islam supaya pelaksanaan wasiat menjadi lebih mudah, dapat menjauhi perpecahan institusi keluarga dan tidak menzalimi mana-mana pihak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah yang berterusan pahalanya, ilmu dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya. (Hadis riwayat Al-Bahari dan Muslim)

Bersambung minggu depan.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 3/12/2010

Friday, November 12, 2010

Pembahagian harta pusaka dilaksana hanya selepas wasiat si mati diselesai

Waris perlu faham konsep wasiat elak kekeliruan, rasa tak puas hati

HADIS riwayat Ibn Majah: "Sesiapa yang meninggal dunia dengan meninggalkan wasiat maka dia mati di atas jalan Islam dan mengikut sunnah. Dia mati dalam keadaan bertakwa, bersyahadah dan dalam keadaan diampunkan."

Penyelesaian dan pelaksanaan wasiat adalah antara proses terakhir sebelum pembahagian dilakukan mengikut faraid kepada semua ahli waris yang berhak selepas proses penentuan ahli waris dilakukan pada peringkat awal pentadbiran pusaka.

Proses ini penting seperti firman Allah yang bermaksud: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya.” (Surah an-Nisa’, ayat 11)

Sebagai pentadbir, pemegang amanah dan wasi, AmanahRaya bertanggungjawab menunaikan wasiat jika si mati meninggalkan wasiat yang sah mengikut hukum syarak. Pembahagian kepada waris tidak dapat dijalankan hingga diselesaikan terlebih dulu hibah, harta sepencarian dan wasiat.

Justeru, adalah kritikal untuk waris si mati dan semua yang terbabit memahami serta menghayati konsep wasiat, elemen utama yang terikat, terlindung dan ada hubung kait dengan Allah SWT.

Pemahaman itu diharap dapat membantu menjawab persoalan dan kesamaran mengenai wasiat. Adanya kefahaman jelas dan terang mengenai wasiat dapat membantu memudahkan pelaksanaan wasiat dengan sokongan daripada semua waris.

Ketidakpuasan sering timbul dalam kalangan waris apabila membicarakan mengenai wasiat kerana keliru dan tidak memahami pendekatan penggunaan, seterusnya pelaksanaan wasiat dalam proses pentadbiran pusaka.

Juga timbul situasi di mana waris sendiri gagal dan tidak mengetahui adanya wasiat atau tidak dan bagi tujuan itu mereka perlu mengetahui apa yang dimaksudkan dengan wasiat secara umum serta mengikut syarak.

Mengikut definisi Kamus Dewan, wasiat adalah kehendak yang penghabisan disampaikan oleh orang yang hampir meninggal (bukan harta benda dan lain-lain), pesanan terakhir, surat atau pesanan.

Dari segi bahasa Arab, wasiat berasal daripada perkataan ‘wassa’ yang bererti memerintahkan, menasihatkan, menjanjikan atau pemberian harta selepas mati.

Ahli fiqh mazhab Syafie berpendapat bahawa asalnya daripada kata sifat ‘wassa’ yang ertinya menghubungkan atau menyampaikan; bermaksud menghubungkan atau menyampaikan kebaikan dilakukan oleh seseorang semasa hidup dengan ganjaran pahala selepas dia meninggal dunia.

Manakala wasiat dari segi istilah pula ialah pemberian atau sumbangan oleh seseorang kepada orang atau pihak lain setelah dia meninggal dunia sama ada perkataan wasiat itu diucapkan atau tidak.

Menurut mazhab Syafie, wasiat ialah pemberian suatu hak yang boleh dilaksanakan selepas berlakunya kematian pewasiat sama ada dengan menggunakan lafaz atau tidak sementara Abdul Karim Zaydan, berkata wasiat ialah memberi milik kepada seseorang secara sukarela yang dilaksanakan selepas kematian pewasiat sama ada benda atau manfaat.

Ada juga fuqaha’ yang mentakrifkan wasiat sebagai suatu pemberian oleh seseorang kepada pihak yang lain sama ada benda, hutang atau manfaat untuk dimiliki penerima wasiat akan pemberian itu selepas kematian pewasiat.

Dari sudut syarak, wasiat adalah ikrar seseorang yang dibuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau yang dibenarkan syarak dan terlaksana selepas kematiannya dengan niat mendapatkan keredaan Allah SWT.

Enakmen wasiat orang Islam (Selangor): “Wasiat ertinya iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut hukum syarak, selepas dia mati.”

Semua definisi ini memberi maksud yang sama iaitu seorang islam yang menzahirkan keinginan, berniat dan berhasrat untuk membuat kebajikan melalui wasiat boleh melakukannya dengan dua cara iaitu secara lisan atau bertulis (surat wasiat atau dokumen wasiat).

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 12/11/2010

Wednesday, November 10, 2010

Peguam Syarie Menulis: Kecelaruan nasab akibat jahil hukum anak angkat

Oleh : Tuan Musa Awang

Bin atau bintikan bayi dengan nama bapa angkat cetus masalah seperti wali, perwarisan

PENDEDAHAN mengenai sindiket penjualan bayi yang mampu mendaftar kelahiran dan pada masa sama berupaya menghapuskan identiti ibu bapa kandung bayi akan menyebabkan kecelaruan nasab dan keturunan terutama jika yang membeli adalah orang Islam.

Mengambil anak angkat dan memeliharanya adalah harus dalam Islam, namun perbuatan mendaftarkan nama anak angkat dengan berbin atau bintikan nama bapa angkat adalah haram.

Hukum ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan dia juga tidak menjadikan anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri. Panggillah anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa mereka sendiri, cara itulah yang lebih adil di sisi Allah.” – (Surah al-Ahzab, ayat 4 dan 5)

Sementara Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang membinkan (atau binti) kepada orang yang bukan bapanya yang sebenar, maka ia dilaknati oleh Allah.”

Dalam suatu riwayat oleh Aisyah Abu Bakar, Abu Huzaifah ibn Utbah dan Salim Mawla Abu Huzaifah berkata: “Abu Hudhaifah, salah seorang yang berjuang dalam perang Badar dengan Nabi Allah, mengambil Salim sebagai anaknya dan mengahwini anak buah perempuannya Hind binti Al-Wahd bin 'Utba padanya dan Salim sebagai seorang hamba dibebaskan daripada seorang wanita Ansar. Nabi Allah juga mengambil Zaid sebagai anak lelakinya.

Sewaktu zaman Jahiliah sebelum Islam adatnya adalah biasa, jika seorang mengangkat seorang anak lelaki, orang memanggilnya dengan nama bapa angkatnya yang dia akan mewarisi juga, hingga Allah mewahyukan: “Panggil mereka (anak lelaki angkat) dengan (nama) bapa mereka.”

Orang Islam yang mengambil anak angkat dinasihatkan supaya mengekalkan nama bapa sebenar anak itu, jika bapa sebenar itu beragama Islam atau dibinkan kepada Abdullah jika anak angkatnya itu bukan berasal daripada orang Islam.

Menukar nama bapa sebenar adalah seperti menafikan dan memutuskan perhubungan nasab antara anak dengan ibu bapanya dan melucutkan hak perwalian bapa sebenar ke atas anaknya. Ibnu al-Qayyim dalam kitab Zad al-Maad, mencatatkan: Sesungguhnya nasab itu sabit pada asalnya ialah kepada bapa.”

Hak menetapkan nasab itu ialah hak Allah dan memelihara hak Allah serta hak kanak-kanak itu wajib kerana Islam memelihara asal keturunan atau nasab penganutnya.

Soal mendaftarkan anak angkat kepada bapa angkat jika tidak diberi perhatian akan menimbulkan kecelaruan generasi dan keturunan umat Islam. Seorang gadis yang diwalikan bapa angkat tidak sah akad nikahnya, urusan akad itu mesti diserahkan kepada wali hakim.

Bapa angkat juga tidak boleh mewakilkan kepada wali hakim kerana dia tidak ada hak wali seperti bapa kandung. Jika ibu bapa angkat berpakat menyembunyikan perkara ini dan membiarkan bapa angkat mewalikan pernikahan anak angkatnya, maka perkahwinan itu tidak sah (fasid).

Bagaimana pula dengan status nasab anak yang lahir daripada pernikahan yang fasid. Ini perlu diberi perhatian ibu dan bapa angkat supaya tidak mengambil ringan hukum agama yang akibatnya nanti hanya akan mendatangkan keburukan kepada anak angkat mereka.

Hubungan anak angkat dengan keluarga angkat juga dibatasi hukum hakam syarak, walaupun anak diambil, dipelihara sejak kecil dan tinggal di bawah satu bumbung seperti masalah aurat serta pergaulan kerana adik beradik angkat adalah bukan mahram.

Dalam pewarisan, anak angkat tidak berhak mewarisi harta pusaka yang ditinggalkan ibu bapa angkat kecuali ada sebab lain yang diharuskan syarak seperti hibah atau wasiat.

Jika status anak angkat disembunyikan bagi mendapat bahagian dalam harta waris, maka ia akan menghalang keluarga sebenar yang lebih berhak, menimbulkan perasaan tidak baik dalam kalangan keluarga. Harta diperoleh juga adalah haram kerana bukan haknya yang sebenar.

Sehingga kini, tiada peruntukan mengikut Enakmen Jenayah Syariah yang membolehkan seseorang dihukum atas kesalahan menamakan anak angkat kepada bapa angkat. Bagaimanapun, perbuatan seorang Islam menyerahkan, memberi atau menjual anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaan kepada seorang bukan Islam untuk menjaganya adalah satu kesalahan.

Seksyen 35 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 memperuntukkan: “Mana-mana orang yang menjual, memberikan atau menyerahkan anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaannya kepada seseorang yang tidak beragama Islam adalah melakukan suatu kesalahan, dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkan patut berkenaan dengan anak atau kanak-kanak itu.”

Merahsiakan status anak angkat kerana takut anak itu kembali kepada keluarga asal adalah dilarang kerana ia umpama memisahkan kasih sayang dengan ibu, bapa atau keluarganya sebenar.

Ia juga akan menimbulkan kesan besar kepada perkembangan masyarakat dan keturunan umat Islam kerana dikhuatiri suatu masa nanti ramai anak yang diragui status keturunannya kerana kesilapan ketika mendaftarkan kelahiran. Walaupun anak dijaga pihak lain, asal usul keturunan perlu dikekalkan dan dipertahankan.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 10/11/2010

Friday, October 29, 2010

Bolehkah waris si mati tuntut harta sepencarian?

Penerima perlu tahu hak, proses tuntutan di mahkamah

MASALAH tuntutan harta sepencarian kebiasaannya timbul apabila pasangan suami isteri bercerai dan berlaku perpecahan dalam rumah tangga. Walaupun banyak kisah mengenai pergelutan harta sepencarian dipaparkan media serta drama televisyen, masih ramai yang kabur mengenainya.

Tuntutan harta sepencarian boleh dilakukan oleh waris di Mahkamah Syariah dan tuntutan juga boleh dibuat selepas berlaku kematian.

Bagaimanapun, sebelum membuat tuntutan, waris perlu tahu apa yang dimaksudkan sebagai harta sepencarian yang dikeluarkan setiap negeri bagi membolehkan mereka mengambil tindakan perlu mengikut peraturan ditetapkan.

Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, harta sepencarian ditakrifkan sebagai harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat ditentukan oleh hukum syarak.

Kadi Besar Pulau Pinang pada masa itu, Harussani Zakaria (Tan Sri) ketika memutuskan kes Piah binti Said lwn Che Lah bin Awang (1983, Jld. 2 J.H.) harta sepencarian ditakrifkan: “Harta yang diperolehi bersama-sama suami isteri itu hidup bersama dan berusaha, sama ada kedua-dua pasangan itu sama-sama bekerja dalam bidang yang sama atau dalam bidang yang berlainan dan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi sama ada dibahagikan tugas atau tidak.”

Dalam erti kata lain, harta sepencarian adalah harta yang terkumpul secara bersama atau pun individu sebaik saja bernikah sehinggalah berlaku perceraian antara keduanya ataupun kematian salah seorang.

Oleh itu waris perlu tahu apa yang patut dibuat dan di mana supaya harta sepencarian boleh dituntut terutama jika waris yang berhak itu adalah wanita dan berhadapan kes kematian pasangannya.

Kitab Bughyah al-Mustarsyidin ada menjelaskan waris ada hak ke atas harta dan jika haknya tidak diberi atau tidak mendapat apa-apa persetujuan, ia boleh menuntut sekalipun selepas kematian salah satu pihak.

Tuntutan seperti ini boleh dibuat terhadap pihak yang masih hidup atau warisnya kerana hak seseorang itu tidak gugur kecuali ia memaafkan atau menolak haknya dan jika hak itu masih wujud akan berpindah kepada warisnya jika dia meninggal.

Walaupun hak wanita melalui banyak proses perubahan namun dalam perundangan Islam, asas harta sepencarian untuk wanita tetap sama dan ada peruntukan mengenai hak wanita dalam harta sepencarian.

Ramai di kalangan wanita sekarang tidak sedar dan tidak tahu mereka masih boleh terus memiliki harta yang diperoleh sebelum dan selepas berkahwin, sama ada harta pusaka, hibah semasa hidup atau usahanya sendiri serta boleh menuntutnya di mahkamah.

Tuntutan harta sepencarian dari segi sejarah dan hakikatnya di negara ini lebih berdasarkan kepada undang-undang adat Melayu yang tidak berlawanan dengan kehendak syariah Islam, maka peruntukan harta sepencarian diterima sebagai sebahagian undang-undang Islam di Malaysia.

Hak dan harta wanita ada disebutkan dalam firman Allah yang bermaksud: “Orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan.” (Surah An-Nisaa’, ayat 32)

Firman Allah yang bermaksud: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka terhadap suami dengan cara yang sepatutnya yakin seperti mana seseorang isteri menanggung tanggungjawab terhadap suami yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik, maka suami juga menanggung kewajipan terhadap isteri yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik. Dalam pada itu suami itu mempunyai satu darjat kelebihan atas isterinya kerana suami yang berkuasa mengawalnya dan memberi nafkah dan ayat tersebut memberi hak kepada perempuan sama dengan lelaki.” (Surah al-Baqarah, ayat 228)

Mengenai siapa yang mempunyai kuasa untuk menentukan kadar pembahagian harta sepencarian, Yang Arif Datuk Wan Ismail Mohammad Salleh ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan kes Anita binti Abdullah lwn Zainuddin bin Ariffin (1982, 4, JH 73) menyatakan: “Jika ada keterangan yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu maka hasil itu terpulang kepadanya; jika tidak ada keterangan yang cukup di atas usaha masing-masing, mereka dikehendaki bersumpah. Apabila bersumpah semuanya, maka harta itu dibahagikan sama banyak juga. Jika semuanya enggan bersumpah dibahagikan sama banyak juga. Jika salah seorang enggan bersumpah, maka harta itu terpulang semua kepada yang bersumpah. Jika salah seorang atau semuanya telah mati maka hukum bersumpah itu dipertanggungjawabkan ke atas waris si mati sekiranya waris itu menuntut.

Jika berlaku adat kebiasaan bahawa salah seorang daripada suami isteri itu berusaha lebih dari yang lain, maka persetujuan pembahagian hendaklah mengikut adat kebiasaan itu. Jika persetujuan tidak didapati maka pembahagiannya adalah seperti di atas.

Ahmad Ibrahim ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan bagi kes harta sepencarian Mansjur lwn Kamariah (1988, Jld. VI, 2 J.J.) menyatakan: “Apabila timbul pertikaian mengenai kadar pembahagian harta sepencarian, jika tidak terdapat persetujuan, keputusan diserahkan kepada hakim yang menggunakan budi bicaranya. Ini bermakna hakim akan membuat keputusan sendiri berdasarkan budi bicaranya.”

INFO: Akta yang boleh diguna pakai untuk tuntutan harta sepencarian

• Seksyen 58, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1943;

• Seksyen 3 (1) Enakmen Keluarga Islam (Kedah) 1979;

• Seksyen 46, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 1983;

• Seksyen 9 (2) (iv), Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Mahkamah Syariah Negeri Kelantan 1982.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 29/10/2010

Friday, October 1, 2010

Perlukah Memulangkan Wang Sumbangan Kerana Ia Hasil Judi ?

Oleh : Zaharuddin Abd Rahman

Tindakan penerima wang bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan kembali wang tersebut boleh dinilai dari dua sudut iaitu sudut politik dan sudut agama atau hukum. Saya tidak berhasrat menyentuh isu terbabit dari sudut politik kerana ia bukan bidang saya. Cuma jika, tindakan tersebut jika dijadikan ikutan, nanti kita akan dapat melihat kebanyakan orang miskin di Malaysia memulangkan wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri, kerajaan pusat dan syarikat. Ini kerana sebahagian pendapatan kerajaan negeri dan pusat juga adalah dari sumber haram seperti cukai pusat judi, pelaburan haram, riba, pusat hiburan, rumah urut ‘pelacuran' dan sebagainya. Justeru bantuan mungkin sahaja diambil dari wang haram tersebut.

DARI SUDUT HUKUM

Jika dilihat dari sudut hukum, jika tindakan warga emas tersebut dibuat atas dasar kononnya wang dipulang kerana ia tidak bersih dan haram, kepercayaan warga emas tersebut adalah SALAH lagi terkeliru dengan cakap-cakap orang yang tiada memahami hukum Islam. Ini kerana dari sudut hukum, faqir dan miskin HARUS menerima sebarang sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri, walaupun diketahui kerajaan negeri mempunyai sumber wang yang HARAM.

Fakta berikut perlu difahami:

1. Wang kerajaan negeri Pulau Pinang ( dan lain-lain tentunya) adalah bercampur.

Para ulama telah membahaskan persoalan penerimaan sumbangan, derma atau menikmati juadah makanan dari individu yang mempunyai pendapatan bercampur antara halal dan haram. Majoriti ulama telah sepakat bahawa selagi mana harta si pemberi itu bercampur selagi itulah kita orang biasa boleh menerima hadiah, sumbangan, derma, menikmati makanan yang disediakan mereka.

Hal yang sama terpakai untuk sesebuah syarikat dan kerajaan, selagi sumber perolehan mereka bercampur, selagi itu HARUS untuk kita menerima gaji atau upah atau apa jua dari kantung mereka, selagi tugas dan cara kita memperolehinya adalah betul. Itu adalah hukum untuk orang biasa, maka jika penerima itu adalah warga yang memerlukan seperti faqir dan miskin, ia sudah tentu jauh lebih jelas KEHARUSANNYA. Malah terdapat dalil yang jelas berkenaan keharusan terbabit. Kes yang sama terpakai untuk kerajaan pusat yang menerima sumber pendapatan dari sumber judi, riba, arak, babi, rumah urut pelacuran dan sebagainya. Selain itu, juga turut menerima sumber halal seperti hasil minyak, jualan komoditi dan sebagainya.

2. Wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya.

Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjankannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan ‘hissi'. Ia tidak berpindah dari seorang kepada yang lain. Ia bukan seperti najis yag berpindah apabila disentuh oleh seeorang.

3. Bagaimana jika benar-benar sumbangan dari terus dari kantung wang judi, riba dan rasuah?.

Jika keadaan itu berlaku, ia masih lagi HARUS DITERIMA oleh Faqir, miskin dan digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas, pembinaan jalanraya, pembersihan dan sebagainya. Itu adalah ijtihad majoriti mazhab silam dan ulama kontemporari. Termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma Buhuth Mesir[1], Al-Lajnah Al-Daimah, Arab Saudi[2] dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Al-Qaradawi , Syeikh Az-Zarqa[3], Syeikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi. Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin telah difatwakan harus oleh majoriti mazhab utama Islam ( Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225 ).

Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia juga memfatwakan keharusannya pada tahun 2009. Buka teks fatwa di sini

PANDANGAN ULAMA MAZHAB

Ulama hanafi menyebut :-

والملك الخبيث سبيله التصدق به, ولو صرف في حاجة نفسه جاز . ثم إن كان غنيا تصدق بمثله

Ertinya : Pemilikan kotor ( haram) jalan keluarnya adalah disedeqahkannya, malah jika pemilik itu seorang faqir), ia bleh mengambil untuk dirinya sendiri, kemudian, jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah dia mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu) ( Al-Ikhtiyar Li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61)

Ulama mazhab Maliki seperti Al-Qarafi dan Ad-Dawudi menjelaskan wang haram tidak hanya terhad untuk diberikan kepada faqir dan miskin sahaja tetapi juga apa-apa pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum menurut budi bicara dan penilaian pemerintah adil. Jelasnya, mazhab maliki juga setuju faqir, miskin malah warga emas yang memerlukan boleh menerima wang sedemikian tanpa masalah. ( rujuk Al-Dzakhirah, 5/69)

Ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata:

وإذا دفعه - أي المال الحرام- إلى الفقير لا يكون حراماً على الفقير , بل يكون حلالا طيبا

Ertinya : sekiranya wang haram itu diberikan kepada faqir miskin, ia tidaklah haram ke atas faqir ( dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka. ( Al-Majmu' , 9/428)

Imam A-Ghazzali juga menjawab keraguan beberapa ulama lain :-

وقول القائل: لا نرضى لغيرنا ما لا نرضاه لأنفسنا فهو كذلك ولكنه علينا حرام لاستغنائنا عنه وللفقير حلال إذا حلّه دليل الشرع وإذا اقتضت المصلحة التحليل وجب التحليل

Ertinya : Menjawab kata-kata orang yang berkata : "Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita". Memang benar sebegitu, namun dalam kes wang haram yag dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir, miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara' yang menghalalkannya dan di ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan. (Ihya Ulumiddin, 2/212)

Syeikh al-Qaradawi ketika membicara hal pengagihan wang haram berkata :

إذن ما دام هو ليس مالكا له, جاز له أخذه والتصدق به على الفقراء والمساكين أو يتبرع به لمشروع خيري

Ertinya : Oleh itu, selagi wang haram (yang dimiliki seseorang itu tidak diiktiraf oleh syaraa' sebagai miliknya), harus bagi pemegang itu untuk ambilnya dan disedeqahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan (untuk maslahat umum). ( Fatawa Mu'asiroh, 1/606)

RINGKASAN DALIL


Terdapat banyak sekali dalil yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama, terdiri dari hadis-athar, qiyas dan logik aqal. Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan ‘derma' wang haram yang tidak diketahui tuannya, cukup sekadar memaklumkan beberapa secara ringkas:-

1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat pertama dan kedua yang mengisyaratkan kejatuhan Rom) iaitu kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh, Sayyidina Abu Bakar dikira sebagai pemenang dan telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran). Apabila Sayyidina Abu Bakar datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan perihal harta perolehan pertaruhan itu, Rasulullah bersabda :

هذا سحت فتصدق به

Ertinya : Ini kotor, sedeqahkan ia. (At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)

Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. (Tafsir At-Tabari, 20/16) Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.

2. Selain itu, hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti wang rasuah yang dibawakan oleh Ibn Lutaibah, Nabi meletakkan wang ini di baitul mal dan diagihkan kemudiannya kepada faqir miskin dan kepentingan awam.[4]

3. Terdapat juga athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

KESIMPULAN

• Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan Negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri, syarikat dan individu selagi mana harta mereka bercampur antara wang halal dan haram.

• Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan penerima sebagaimana kes yang berlaku ini. Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.

• Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah, riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara'. Manakala dosa hasil dari pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.

• Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.

• Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini.

Sumber : zaharuddin.net
Tarikh : 1/10/2010

Friday, September 17, 2010

Perbankan Islam cukup mudah

Oleh : RAZLI RAMLI

Dalam industri kewangan kini, produk perbankan Islam telah mula menempatkan diri mereka dalam kelompok produk-produk yang digemari dan menjadi kesukaan ramai pelanggan dan pelabur. Buktinya jelas dilihat pada kadar pertumbuhan pesat industri kewangan Islam hingga mencecah 35 peratus setahun.

Lazimnya setiap produk perbankan Islam mempunyai sekurang-kurangnya satu kontrak yang digunapakai. Jika kita berbicara mengenai produk deposit, kontrak Wadiah dan Mudharabah selalu diperkatakan. Sekiranya pelanggan memerlukan pembiayaan pula, maka kontrak-kontrak seperti Murabahah, Bai Bithaman Ajil (BBA), Ijarah Thumma Al Bai (AITAB), Bai Inah dan Al Rahnu pula terlibat.

Produk Deposit

Produk deposit dalam perbankan terdiri daripada akaun simpanan biasa, akaun simpanan semasa dan akaun simpanan tetap. Akaun simpanan biasa adalah akaun untuk pelanggan menyimpan wang dan memastikan wang itu selamat. Akaun simpanan semasa pula ialah akaun pelanggan untuk memudahkan pembayaran apabila mereka membuat pembayaran menggunakan cek. Manakala akaun simpanan tetap pula ialah untuk pelanggan yang ingin menyimpan wang dalam tempoh waktu tertentu dengan niat untuk mendapatkan pulangan.

Dalam perbankan Islam, kontrak Wadiah ialah satu kontrak yang digunakan dalam akaun simpanan biasa dan akaun simpanan semasa. Dari segi bahasa, Wadiah bermaksud simpanan dengan jaminan. Pelanggan yang berhajat untuk menyimpan wang mereka dan berhasrat untuk menggunakan wang mereka pada bila-bila masa perlu memilih akaun simpanan yang menggunakan kontrak Wadiah ini.

Apabila pelanggan memilih menggunakan kontrak ini, maka pihak pelanggan telah meminta bantuan bank untuk menjaga keselamatan wang mereka. Itu saja dan tidak lebih daripada itu. Pelanggan boleh mengeluarkan baki simpanan melalui mesin ATM, kaunter bank ataupun Internet selagi baki simpanan tidak mencecah jumlah simpanan minimum yang ditetapkan oleh pihak bank.

Pihak bank pula seterusnya meminta kebenaran pelanggan untuk menggunakan wang mereka dan berjanji akan menjaga keselamatan wang tersebut. Bank juga menjamin akan membayar semua jumlah pokok yang disimpan oleh pelanggan pada bila-bila masa yang dikehendaki pelanggan.

Bank akan menggunakan wang simpanan pelanggan untuk pembiayaan dan pelaburan lain. Untuk makluman, setiap keuntungan yang dibuat oleh pihak bank adalah milik penuh bank. Pelanggan tidak berhak meminta untuk berkongsi keuntungan tersebut dengan bank kerana kontrak awal adalah kontrak Wadiah.

Bagaimanapun, pihak bank atas budi bicara mereka boleh memberikan pulangan keuntungan kepada pelanggan dalam bentuk hibah atau dividen. Jika dalam perbankan konvesional, riba atau faedah dijanjikan, tetapi dalam kontrak Wadiah, pulangan tidak boleh dijanjikan oleh pihak bank ataupun diminta oleh pelanggan. Sebarang 'permintaan' ataupun 'perjanjian' untuk memberi atau mendapatkan pulangan adalah ditegah. Ia adalah riba dan diharamkan oleh Islam.

Dalam Islam pinjaman dibenarkan. Kontrak Qard (pinjaman) diaplikasikan. Pinjaman ini bererti apabila seseorang memberi pinjaman sebanyak RM100 kepada seseorang, maka beliau akan menerima kembali jumlah RM100 sahaja tanpa satu sen lebih. Ringgit kepada ringgit. Kalau pinjam RM500, bayar balik RM500. Begitulah konsep pinjaman dalam Islam.

Dalam akaun simpanan semasa pula, kadang kala kontrak Qard digunakan tatkala pelanggan telah mengeluarkan cek yang lebih dari baki simpanan beliau di bank tersebut. Oleh yang demikian, pihak bank akan menggunakan wang bank dahulu untuk bayaran yang dibuat pelanggan, dan mengarahkan pelanggan membayar balik jumlah yang terkurang tersebut serta merta kepada pihak bank. Dalam perbankan, transaksi sebegini dikenali sebagai Temporary Overdraft ( TOD).

Tanggungjawab Sosial


Tindakan bank ini adalah dikategorikan sebagai tanggungjawab sosial kepada para pelanggan bank. Sila ambil maklum bahawa tidak semua pelanggan diberikan kemudahan sebegini. Kemudahan ini hanya diberi kepada kes-kes terkurang baki yang genuine. Hanya pelanggan terpilih diberikan kemudahan ini dan ia terserah kepada budi bicara pihak bank untuk memilih pelanggan mana yang mereka suka.

Mudharabah pula adalah kontrak untuk pelaburan. Pelanggan yang berhasrat untuk melabur wang simpanan mereka akan memilih kontrak ini. Mudharabah bererti perkongsian keuntungan yang beramanah. Kalau untung kita kongsi bersama, makin banyak keuntungan bertambah, makin banyak kita kongsi bersama. Kalau sikit keuntungan, maka sikit sajalah dapat dikongsi bersama.

Kontrak Mudharabah ini sangat digemari dan boleh digunapakai oleh semua jenis akaun deposit di Malaysia. Pelanggan yang berhasrat untuk menyimpan wang dan ingin mendapat keuntungan bolehlah menabung di akaun simpanan biasa atau pun akaun simpanan semasa di mana-mana bank yang menggunakan kontrak Mudharabah ini. Para pelanggan yang ingin mendapat pulangan lebih tinggi dan berniat menyimpan wang lebih lama ataupun bertempoh, maka akaun simpanan tetap boleh dipilih. Akaun simpanan tetap juga dikenali sebagai akaun pelaburan dalam industri perbankan Islam. Ia selari dengan konsep pelaburan yang menjadi asas utama kontrak Mudharabah.

Dalam kontrak itu, pelanggan berperanan sebagai pelabur. Mereka datang ke bank dengan harapan membuat pelaburan bersama dengan pelabur-pelabur lain untuk mendapatkan keuntungan. Kadar keuntungan antara pelabur dan bank akan ditetapkan pada awal perjanjian ketika pelanggan membuka akaun pelaburan tersebut.

Sementara itu, bank yang berperanan sebagai pengusaha pula akan membuat pelaburan dengan baik untuk mendapatkan keuntungan. Pelaburan yang dibuat hendaklah selaras dengan kehendak syariah.

Jika kita lihat sijil akaun pelaburan dan dibandingkan dengan sijil simpanan tetap perbankan konvensional, kita dapat lihat perbezaannya. Dalam sijil simpanan tetap kadar faedah terpampang di muka hadapan sijil tersebut. Sijil akaun pelaburan pula, walaupun nama, jumlah, kedudukan nombor siri, logo bank, tempoh pelaburan dan tarikh matang sama seperti di sijil akaun simpanan tetap, namun tidak ada kadar faedah dicatat. Yang ada hanyalah kadar pembahagian keuntungan atau singkatannya PSR (profit sharing ratio).

Sekiranya PSR adalah 70:30, maka jika keuntungan yang diperoleh bank adalah RM1,000.00, maka jumlah keuntungan kepada pelanggan ialah RM700 dan bank RM300. Jika keuntungan lebih, maka lebih banyak pembahagian keuntungan akan diperoleh kedua-dua belah pihak.

Salah satu syarat Mudharabah ialah pelanggan tidak dibenarkan masuk campur dalam urusan pengurusan dana pelaburan yang dilakukan oleh pihak bank. Pihak bank mempunyai hak penuh membuat keputusan mengenai pelaburan yang bakal dibuat.

Kebiasaannya pihak bank akan memperbanyakkan cabang pelaburan (diversification) mereka. Ini kerana jika salah satu daripada cabang pelaburan rugi, keuntungan dari cabang-cabang pelaburan lain akan dapat menampung kerugian tersebut. Hingga kini, masih tidak ada satu pun bank-bank di Malaysia yang gagal memberi dividen hasil daripada pelaburan kepada pelanggan mereka.

Jika kita lihat di papan tanda dewan bank-bank, kita boleh lihat kadar keuntungan yang dipaparkan dengan jelas. Untuk kadar keuntungan akaun pelaburan ataupun akaun simpanan biasa dan akaun semasa yang berlandaskan syariah, terpampang jelas tulisan:

"...profit rates for deposit maturing between XXX to XXX..."

Kenyataan ini menandakan dua perkara yang perlu difahami iaitu:

1. Kadar keuntungan itu ialah kadar keuntungan indikatif untuk pelanggan yang bakal menyimpan dengan bank tersebut;

2. Kadar keuntungan itu ialah kadar keuntungan sebenar untuk pelanggan yang telah menyimpan dengan bank tersebut.

Dalam ertikata lain, sesiapa yang menyimpan pada bulan-bulan yang lepas, kadar keuntungan yang dipaparkan adalah kadar keuntungan sebenar untuk simpanan dan pelaburan mereka. Sesiapa yang berminat untuk membuat simpanan atau pelaburan pulak, kadar keuntungan tersebut adalah hanya kadar keuntungan indikatif untuk mereka nilai sebelum membuat keputusan mahu menyimpan atau melabur di bank tersebut berdasarkan PSR yang ditawarkan.

Produk Pembiayaan

Murabahah atau lebih dikenali sebagai 'jualan kos campur untung' merupakan satu kontrak yang diterima oleh pakar-pakar syariah seluruh dunia. Kontrak ini dikategorikan sebagai satu kontrak jual beli. Untuk pengetahuan kita, hampir 80 peratus kontrak yang digunakan dalam perbankan Islam di seluruh dunia adalah kontrak jual beli.

Sekiranya tempoh pembiayaan melebihi satu tahun, maka kontrak yang dipilih adalah kontrak Bai Bithaman Ajil (BBA). BBA adalah kontrak 'jualan dengan harga tangguh' di mana kontrak Murabahah juga menggunakan kontrak yang sama.

Oleh kerana itulah, semua pembiayaan yang mana tempoh pembayaran balik melebihi satu tahun, menggunakan kontrak BBA. Sebenarnya BBA itu berasal dari Murabahah dan Murabahah menggunakan BBA. Tujuan membezakan kedua-dua kontrak ini ialah untuk membezakan tempoh pembiayaan sahaja. Kini, kontrak BBA amat sinonim dengan pembiayaan perumahan.

Kontrak jual beli dibenarkan syariat dan kontrak ekuiti juga boleh digunapakai. Kontrak Mudharabah telah dipraktikkan oleh Nabi Muhammad SAW dan Siti Khadijah ketika berniaga antara Syam dan Mekah. Nabi Muhammad SAW menjadi pengusaha dan Siti Khadijah sebagai pelabur. Keuntungan dikongsi bersama mengikut kadar pembahagian keuntungan yang dijanjikan.

Jadi, adalah tidak benar sekiranya seseorang itu mengeluarkan kenyataan yang mengatakan kontrak ekuiti lebih Islamik daripada kontrak jual beli. Kedua-dua jenis kontrak ini saling memerlukan di antara satu sama lain untuk terus berlegar di orbit sistem kewangan Islam.

Dalam pembiayaan perumahan menggunakan kontrak BBA, pelanggan akan menandatangani Perjanjian Jual Beli (S&P) dengan pemaju perumahan dengan membayar bayaran pendahuluan sebanyak 5 peratus atau 10 peratus daripada harga rumah.

Bank akan membeli rumah tersebut dengan harga belian. Harga belian adalah jumlah pembiayaan yang bakal diberikan kepada pelanggan. Perjanjian Belian Aset (PBA) akan ditandatangani oleh pelanggan dan pihak bank. Selepas itu, pihak bank akan menjual rumah tersebut kepada pelanggan dengan harga jualan. Harga jualan adalah harga belian (jumlah pembiayaan) campur keuntungan. Perjanjian Jualan Aset (PJA) akan dimeterai oleh pihak bank dan pelanggan.

Apabila PBA ditandatangani, bank akan membayar tunai jumlah yang perlu dibayar iaitu 95 peratus atau 90 peratus kepada pemaju perumahan. Apabila PJA dimeterai, pelanggan akan membayar harga jualan tersebut secara tangguh selama tempoh pembiayaan yang termaktub dalam PJA.

Maka termeterailah perjanjian antara pelanggan dan bank di mana bank akan membayar harga rumah dan pelanggan pula telah berhutang dengan bank jumlah harga jualan seperti dalam PJA. Pelanggan akan membayar ansuran bulanan mengikut PJA sampai kesemua jumlah tersebut langsai.

Jadi, kepastian yang jelas termaktub dalam transaksi ini berbanding dengan transaksi pinjaman dalam perbankan konvensional. Jumlah bayaran akhir pinjaman tidak diketahui dan ia bergantung penuh kepada kadar pinjaman asas (BLR) bank tersebut.

Ada beberapa pihak mendakwa perbankan Islam zalim kerana meminta keseluruhan jumlah harga jualan sekiranya pelanggan hendak membuat pembayaran awal (early settlement). Untuk makluman, Bank Negara Malaysia telah pun mengeluarkan garis panduan kepada semua institusi kewangan untuk memberi rebat (ibra') kepada pelanggan yang ingin membuat pembayaran awal.

Apa yang perlu dilakukan pelanggan ialah memberitahu tarikh mereka hendak membuat pembayaran sahaja. Apabila tarikh tersebut diberitahu, pihak bank akan memasukkannya dalam kiraan formula dan akan memberitahu jumlah pembayaran yang perlu dibuat oleh pelanggan dan juga jumlah rebat yang diberikan. Ia cukup mudah.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 17/9/2010