Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Showing posts with label kes mahkamah syariah. Show all posts
Showing posts with label kes mahkamah syariah. Show all posts

Saturday, February 12, 2011

Mahkamah perintah ex-gratia RM2j dibahagi ikut faraid

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Wang ex-gratia RM2 juta pemberian kerajaan kepada balu Hakim Mahkamah Agung, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh yang dipecat semasa krisis kehakiman 20 tahun lalu, perlu dibahagikan kepada waris allahyarham mengikut faraid setelah wang tersebut diisytiharkan sebagai harta pusaka.

Demikian perintah yang ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini ketika membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh dua anak lelaki allahyarham, Wan Shahriman dan abangnya, Wan Baharuddin.

Keputusan itu dicapai sebulat suara oleh panel tiga hakim bersidang yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Syarie Malaysia, Tan Sri Ibrahim Lembut.

Kedua-dua perayu mengemukakan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 1 April tahun lalu yang memutuskan bahawa pemberian ex-gratia itu kepada balu Allahyarham, Puan Sri Siti Nurhayati Mohd. Daud, sebagai hibah (pemberian).

Hakim Syarie Ibrahim bersidang bersama dua Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Mohd. Yusuf Che Teh dan Datuk Aidi Mokhtar.

Kedua-dua plaintif yang diwakili peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain memfailkan permohonan tersebut dengan menamakan ibu tiri mereka, Siti Nurhayati sebagai defendan yang diwakili peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman.

Mereka adalah anak hasil perkongsian hidup Wan Suleiman dengan bekas isterinya, Zaiton Mohd. Din sebelum pasangan itu berpisah dan perkahwinan Allahyarham dengan Siti Nurhayati pula tidak dikurniakan cahayamata.

Plaintif dalam permohonannya mendakwa, bayaran ex-gratia tersebut jelas bermaksud sumbangan yang diberikan oleh kerajaan kepada Allahyarham dan menjadi harta pusaka wajib.

Plaintif menyatakan, Allahyarham merupakan salah seorang daripada enam bekas hakim yang dipecat sewaktu krisis kehakiman 20 tahun lalu yang diberikan ex-gratia oleh kerajaan.

Bayaran tersebut kata mereka, telah diserahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Zaid Ibrahim pada 5 Jun 2008 kepada defendan yang menerima bagi pihak ahli waris di kediaman di Bukit Bandaraya, Bangsar.

Pemberian tersebut, telah mendapat liputan meluas akhbar tempatan yang melaporkan penerimaan cek tersebut tetapi jumlahnya dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

Menurut mereka, bayaran itu perlu dibahagikan mengikut hukum faraid kepada waris-waris yang sah berdasarkan hukum syarak.

Namun plaintif mendakwa mereka selaku waris, sehingga ke hari ini tidak pernah dihubungi oleh defendan atau wakil bagi urusan pentadbiran mahupun pembahagian harta pusaka.

Sebelum ini akhbar melaporkan wang ex-gratia tersebut diterima oleh Siti Nurhayati dan anak lelakinya, Wan Noorazli Maula Wan Suleiman.

Namun begitu dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah, Siti Nurhayati dalam keterangannya memberitahu bahawa beliau menerima wang tersebut dan ada memberikan kepada Wan Noorazli yang merupakan anak angkat beliau dengan suaminya itu.

Selain itu, Siti Nurhayati mendakwa, beliau telah menawarkan kepada kedua-dua plaintif sebanyak RM200,000.

Bagaimanapun plaintif tidak bersetuju dengan jumlah tersebut kerana ia tidak memadai jika dibandingkan dengan hak yang akan diterima oleh mereka mengikut kiraan faraid.

Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia lewat petang ini, Mohd. Zaidi berkata, ia adalah keputusan terakhir dan tiada sebarang rayuan boleh dikemukakan selepas ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 17 April 2008 mengumumkan bayaran ex-gratia kepada enam bekas hakim berkenaan sebagai penghargaan kepada mereka.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 12/2/2011

Thursday, January 27, 2011

Permohonan bekas suami Norish batalkan harta sepencarian ditolak

SHAH ALAM - Permohonan bekas suami Norish Karman, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir untuk membatalkan tuntutan harta sepencarian yang dikemukakan oleh pelakon itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain yang membuat keputusan itu turut memerintahkan Norish meminda pernyataan tuntutan dengan memasukkan butiran terperinci berhubung aset yang disenaraikan sebagai harta sepencarian.

Beliau mengarahkan pernyataan tuntutan pindaan itu difailkan dalam tempoh 30 hari serta menetapkan 24 Februari ini untuk sebutan semula kes itu.

Pada prosiding hari ini, Norish yang tidak hadir kerana menjalani penggambaran drama diwakili peguam syarie, Amli Embong manakala Hashimuddin dan peguamnya, Ahmad Burok turut tidak kelihatan.

Norish atau nama sebenarnya, Nor'asikin Karman, 36, bernikah dengan Hashimuddin, 62, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Negeri Sembilan pada 11 Januari 1998 di Perlis.

Mereka bercerai secara rasmi pada 15 Julai 2008 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya dekat sini.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Haqiem Amany, 10; Muhammad Hady Amieran, 6; dan Nur Hanyz Amanda, 5.

Berikutan kegagalan kedua-dua pihak untuk mencapai kata sepakat melalui kaedah sulh (perbincangan secara baik), Norish memfailkan permohonan untuk menuntut harta sepencarian serta nafkah bulanan untuk anak-anak.

Antara harta yang disenaraikan sebagai harta sepencarian ialah sebuah rumah di Bangi dianggarkan bernilai RM2 juta, Kondominium Danau Permai bernilai RM300,000, Kondominium Abadi Indah bernilai RM300,000, sebuah rumah di Seremban bernilai RM100,000, dan Kondominium Seri Hening di Ampang.

Norish juga menuntut nafkah bulanan sebanyak RM4,500 bagi tiga anaknya, sewa rumah dan pembantu rumah.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 71 dan 73 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor yang menyatakan bapa bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal, persekolahan dan perubatan kepada anak-anak.

Sementara menunggu tuntutan itu selesai, mahkamah sebelum ini memerintahkan Hashimuddin membayar nafkah bulanan sementara sebanyak RM700 dan wang saku tiga anak mereka yang tidak dinyatakan jumlahnya serta membayar sewa rumah RM2,000 sebulan.

Begitu juga keperluan harian rumah dalam bentuk barangan serta menyediakan sebuah kereta dan seorang pemandu bagi keperluan perjalanan anak-anak.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 27/1/2011

Friday, January 14, 2011

Rayuan isteri kedua Syed Kechik ditolak

Oleh : NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA - Harta pusaka peninggalan Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary bernilai RM400 juta kekal ditadbir secara bersama oleh anak lelaki tunggalnya, Syed Gamal dan ibu tiri serta dua adik tiri perempuannya.

Demikian keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Low Hop Bing ketika menolak rayuan Puan Sri Sofiah Moo Abdullah dan dua anaknya, Puan Sri Sharifah Zarah, 42, serta Sharifah Munirah, 44.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Hakim Datuk Azhar Mohamed hari ini sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Syed Gamal, 46, bertindak selaku pentadbir bersama terhadap harta tersebut.

Panel berkenaan turut memerintahkan ketiga-tiga perayu menjelaskan kos guaman berjumlah RM40,000 kepada Syed Gamal selaku responden.

Dalam keputusan itu, Hakim Hop Bing menyatakan, perasaan marah pihak perayu terhadap Syed Gamal kerana kurang pengetahuan dalam selok-belok perniagaan, bukan alasan yang baik sehingga menyebabkan responden ditolak sebagai pentadbir bersama.

Beliau juga berkata, dakwaan bahawa Syed Gamal merupakan ahli perniagaan yang gagal sehingga terpaksa menjual kereta Mercedes-Benz, bukan alasan kukuh mengetepikan hak responden mentadbir bersama harta pusaka itu.

Menurut Hakim Hop Bing, kejayaan, kegagalan dalam hidup, perniagaan dan aktiviti lain merupakan penghakiman yang bersifat subjektif semata-mata.

"Kejayaan bukan titik penyudah manakala kegagalan bukan sesuatu yang telah ditakdirkan. Keberanian dan semangat yang berterusan, itu yang lebih diambil kira," ujar beliau.

Sehubungan itu, panel tersebut berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi betul ketika membenarkan Syed Gamal mentadbir harta pusaka bernilai RM400 juta bersama keluarga tirinya.

Pada 30 Julai tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng membenarkan permohonan kaveat Syed Gamal bagi menghalang ketiga-tiganya daripada menguruskan harta tersebut tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Syed Gamal ialah anak lelaki tunggal hasil perkongsian hidup Allahyarham Syed Kechik dengan bekas isteri pertamanya, Zainab @ Eshah. Syed Kechik menceraikan Zainab ketika Syed Gamal berusia lima tahun.

Pengurus kafe siber itu menyatakan, beliau merupakan waris dan anak yang sah untuk menjadi pentadbir bersama harta pusaka peninggalan pengasas Yayasan Syed Kechik Holdings itu.

Syed Gamal mengemukakan permohonan kaveat ekoran tindakan keluarga tirinya memfailkan petisyen pada 15 September tahun lalu, memohon supaya surat kuasa mentadbir harta pusaka bapanya diberikan kepada mereka sebagai isteri dan anak yang sah di sisi undang-undang memandangkan Syed Kechik tidak meninggalkan sebarang wasiat.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik, 10 April tahun lalu pada usia 80 tahun kerana sakit jantung.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 14/1/2011

Tuesday, December 14, 2010

Kes tuntutan harta Siti Fairuz tangguh 13 Jan.

SHAH ALAM – Prosiding tuntutan harta sepencarian dan mutaah hampir RM2 juta oleh penyanyi terkenal 80-an, Siti Fairuz sekali lagi ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Peguam syarie, Zuri Zabudin Budiman yang mewakili bekas suaminya Siti Fairuz, Muhamad Zainuddin Kordi, 46, memberitahu pemberita bahawa penyanyi itu kini berada di luar negara.

Sehubungan itu menurut beliau, Penolong Pendaftar Masroha Duki menetapkan 13 Januari depan untuk kedua belah pihak menandatangani terma perjanjian persetujuan berhubung tuntutan sepencarian.

Siti Fairuz atau nama sebenarnya Siti Fairus Sheikh Mohamed, 46, disahkan bercerai secara taklik dengan pembantu teknik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 14 Julai 2008.

Lafaz yang berbunyi: ‘‘Kalau you nyanyi lagi, jatuh talak,’’ itu yang dibuat kira-kira 15 tahun lalu disabitkan taklik oleh mahkamah kerana ia dengan niat menceraikan Siti Fairuz.

Penyanyi itu dikatakan melanggar taklik tersebut apabila menyanyi di Pentas Lanai Seni di sini kira-kira pukul 8.30 malam, 30 Mac 2008.

Antara harta sepencarian yang dituntut adalah enam bidang tanah di Subang Indah, Petaling Jaya; Tiara Beach Resort, Port Dickson; Bukit Merah Lake Town, Perak; Damansara dan Sungai Buloh serta empat rumah di Mutiara Damansara, Bandar Sri Damansara dan Shah Alam.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 14/12/2010

Friday, November 26, 2010

Kes harta sepencarian RM2 juta Siti Fairuz 13 Dis.

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 13 Disember ini tarikh akhir untuk merekodkan penyelesaian di antara penyanyi terkenal era 80-an, Siti Fairuz dan bekas suaminya berhubung harta sepencarian dan mutaah hampir RM2 juta.

Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain menetapkan tarikh tersebut selepas peguam syarie, Wan Nureen Wan Afiza yang menyebut bagi pihak peguam syarie, Zuri Zabudin Budiman memaklumkan, pihaknya gagal menghubungi anak guam mereka, Muhamad Zainuddin Kordi, 46, bagi mengesahkan terma-terma penyelesaian.

Hari ini, mahkamah sepatutnya merekodkan penyelesaian berhubung tuntutan mutaah dan harta sepencarian itu.

Sekiranya pada tarikh sebutan akan datang, Muhamad Zainuddin yang merupakan pembantu teknik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), tidak hadir ke mahkamah dan penyelesaian gagal direkodkan, mahkamah akan menetapkan tarikh bagi perbicaraan tuntutan tersebut.

Siti Fairuz atau nama sebenarnya Siti Fairus Sheikh Mohamed, 46, yang popular dengan lagu Bila Ku Rindu Ku Sebut Namamu disahkan bercerai secara taklik dengan Muhamad Zainuddin oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 14 Julai 2008.

Lafaz yang berbunyi: ''Kalau you nyanyi lagi, jatuh talak,'' itu yang dibuat kira-kira 15 tahun lalu disabitkan taklik oleh mahkamah kerana ia dengan niat menceraikan Siti Fairuz.

Penyanyi itu dikatakan melanggar taklik tersebut apabila menyanyi di Pentas Lanai Seni di sini kira-kira pukul 8.30 malam, 30 Mac 2008.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 26/11/2010

Wednesday, September 22, 2010

Harta sepencarian bernilai RM4 juta

Oleh SITI NOORALINA AHMAD

KUALA LUMPUR - Isteri Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary telah memfailkan tuntutan harta sepencarian yang dianggarkan bernilai RM4 juta di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada bulan lalu.

Puan Seri Sofiah Moo Abdullah @ Moo Nyok Yin, 67, selaku pemohon menamakan tiga defendan termasuk dua anak perempuannya, Puan Sri Sharifah Zarah, 42, dan Sharifah Munira, 44, dalam tuntutan tersebut.

Sofiah turut menamakan anak tirinya, Syed Gamal, 45, yang merupakan anak lelaki Allahyarham dengan bekas isteri pertama beliau, Zainab @ Eshah Abdullah sebagai defenden ketiga.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam syarie, Sulaiman Abdullah yang mewakili Sofiah di hadapan Hakim Syarie Mohamad Abdullah di mahkamah tersebut hari ini.

Dalam prosiding itu, Syed Gamal yang diwakili peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzzaman memohon untuk mendapatkan penyata tuntutan daripada pihak plaintif berhubung butiran lanjut harta tersebut.

Sulaiman bagaimanapun tidak bersetuju dengan permohonan tersebut dengan alasan Syed Gamal tidak memerlukan butiran lanjut harta tersebut bagi meneruskan kes.

Kamar Ainiah kemudian menyatakan pihaknya akan mengemukakan permohonan secara rasmi dalam prosiding akan datang.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes itu pada 9 November ini.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik pada 10 April tahun lalu pada usia 80 tahun kerana sakit jantung.

Syed Gamal yang merupakan anak lelaki tunggal Syed Kechik itu memfailkan permohonan tersebut pada 14 April lalu.

Syed Kechik menceraikan Zainab ketika Syed Gamal berusia lima tahun.

Selain itu, Syed Gamal yang merupakan pengurus kafe siber itu turut memfailkan permohonan menghalang ibu tiri serta dua adik tirinya daripada menguruskan harta pusaka bernilai RM400 juta peninggalan bapanya tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Selepas perbicaraan berlangsung, mahkamah pada Julai lalu membenarkan Syed Gamal bersama ibu dan adik-adik tirinya mentadbir harta pusaka itu.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 22/9/2010

Tuesday, September 21, 2010

Isteri Allahyarham Syed Kechik fail tuntutan harta sepencarian

Oleh : SITI NOORALINA AHMAD

KUALA LUMPUR – Isteri Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary memfailkan tuntutan harta sepencarian yang dianggarkan bernilai RM4 juta di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada bulan lalu.

Puan Seri Sofiah Moo @ Moo Nyok Yin, 67, menamakan tiga defenden termasuk dua anak perempuannya dalam tuntutan tersebut.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 21/9/2010

Wednesday, August 25, 2010

Syed Gamal tidak boleh campur urusan SKH

KUALA LUMPUR - Sungguhpun anak lelaki tunggal Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary telah dibenarkan mentadbir secara bersama harta peninggalan arwah bapanya berjumlah RM400 juta, namun dia tidak boleh mencampuri hal ehwal urusan syarikat Syed Kechik Holdings Sdn. Bhd. (SKH).

Perintah itu yang dikeluarkan hari ini oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Anantham Kasinather di kamar beliau di sini dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam Pawancheek Marican mewakili Syed Gamal Syed Kechik.

Hakim tersebut turut membenarkan perintah injunksi bagi menghalang Syed Gamal, 46, yang kini mengendalikan sebuah kafe siber, daripada mengganggu pengarah-pengarah SKH.

Permohonan injunksi itu terkandung dalam saman pemula dikemukakan oleh SKH dan dua pengarahnya iaitu adik tiri perempuan Syed Gamal, Puan Sri Sharifah Zarah, 42, dan Sharifah Munira, 44, masing-masing plaintif pertama hingga ketiga.

Saman pemula itu difailkan pada 9 November 2009 bagi memohon perisytiharan agar Syed Gamal tidak mempunyai hak atau kepentingan dalam aset syarikat itu sehingga pentadbiran dan pembahagian harta itu selesai.

Pada prosiding hari ini, Hakim Anantham turut membenarkan permohonan Syed Gamal menarik balik tindakannya untuk menggabungkan kes saman pemula dengan writ saman bersama petisyen bagi mendapatkan surat kuasa mentadbir harta.

Syed Gamal sebelum ini memohon supaya kesemua kes tersebut digabungkan bagi menjimatkan masa dan kos kerana ia membabitkan fakta serta isu undang-undang yang sama.

Mahkamah membenarkan permohonan saman pemula pihak plaintif untuk mendapatkan deklarasi dan injunksi tersebut dengan kos RM10,000 dibayar oleh Syed Gamal kepada mereka.

Pada 30 Julai lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng membenarkan Syed Gamal untuk mentadbir harta tersebut bersama ibu tirinya, Puan Sri Sofiah Moo Abdullah dan dua adik tirinya itu.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 25/8/2010

Monday, August 9, 2010

Abang robohkan kediaman adik

Oleh : Norliza Wasilan

KEADAAN belakang rumah yang dirobohkan di Kampung Selinsing, Pasir Puteh, pagi kelmarin.

Perselisihan keluarga punca rumah di kawasan tapak tanah pusaka diruntuh

PASIR PUTEH: Konflik keluarga menyebabkan seorang lelaki mengambil tindakan merobohkan sebahagian rumah adik perempuannya menggunakan jengkaut bagi mengosongkan kawasan terbabit kerana dibina dalam lot tanah miliknya di Kampung Selinsing, dekat sini, pagi kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, menyebabkan suri rumah berusia 40-an bersama lima daripada enam anaknya yang sedang tidur, hanya mampu menangis ketakutan melihat bahagian belakang rumah yang didiami keluarga mereka sejak 20 tahun itu dirobohkan secara tiba-tiba.

Ketika kejadian, suami mangsa yang bertugas di Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) mempunyai urusan kerja di Sabah, manakala seorang anak lagi tiada di rumah.

Usaha lelaki terbabit tinggal berjiran dengan adiknya itu, meroboh bahagian rumah berkenaan dibantu kira-kira 20 rakan yang mengawal keadaan, menyebabkan penduduk kampung yang bersimpati dengan keluarga mangsa, hanya mampu memerhati dari jauh.

Mangsa yang enggan namanya dikenali berkata, kejadian berlaku ketika beliau menyediakan sarapan, manakala lima anaknya berusia antara empat hingga 15 tahun sedang tidur.

“Secara tiba-tiba, pemandu jengkaut sambil diawasi beberapa lelaki bertindak merobohkan sebahagian rumah saya yang terletak atas lot milik abang sehingga saya takut keadaan keselamatan diri dan anak.

“Saya bergegas mengejutkan semua anak keluar menyelamatkan diri kerana bimbang rumah roboh akibat tindakan itu dan kami hanya mampu menangis ketakutan,” katanya ketika ditemui media, semalam.

Kejadian itu menyebabkan keluarga berkenaan kini terpaksa tinggal menumpang di rumah ibu saudara mereka di kampung terbabit.

Suri rumah itu berkata, beliau dan suaminya sudah menjangka rumah mereka akan dirobohkan kerana kedudukan sebahagian binaannya terletak atas lot milik abangnya tetapi tidak menyangka tindakan itu dilakukan kelmarin.

“Saya terkejut kerana tindakan abang dilakukan ketika suami tiada di rumah, malah kami sedih dengan dugaan yang terpaksa ditempuh menjelang Ramadan,” katanya.

Suri rumah itu berkata, walaupun sebahagian rumahnya dibina atas kawasan lot tanah milik abangnya, tetapi perjanjian lisan sebelum ini tidak menimbulkan masalah.

Katanya, kawasan tapak rumah itu asalnya tanah pusaka milik arwah ibu bapa mereka dan rumah didiaminya dibina ketika bapanya masih hidup.

Beliau berkata, disebabkan perselisihan keluarga, abangnya bertindak membawa isu lot tapak rumah itu ke mahkamah dan keputusan berpihak kepada abangnya.

“Kami sudah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu tetapi abang mendakwa mempunyai notis supaya tanah miliknya dikosongkan.

“Saya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh. Sebenarnya, tanah ini terbahagi dua iaitu bahagian depan milik saya dan bahagian dapur pula milik abang seperti diputuskan mahkamah dan saya kini berserah kepada Allah,” katanya.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 9/8/2010

Friday, July 30, 2010

Mahkamah benarkan tiga anak Syed Kechik dan balu jadi pentadbir harta

KUALA LUMPUR 30 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan anak lelaki tunggal Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary, Syed Gamal bersama ibu tiri dan dua adik tiri perempuannya untuk mentadbir harta pusaka bernilai RM400 juta peninggalan bapanya.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng yang membuat keputusan itu pada pukul 8.15 malam ini bagaimanapun tidak memutuskan tentang kos guaman kerana ia membabitkan masalah keluarga.

Namun begitu menurut Swee Seng, sekiranya terdapat lebihan maka berikanlah ia kepada Tabung Kebajikan untuk amal jariah.

Syed Gamal ialah anak lelaki tunggal hasil perkongsian hidup Allahyarham Syed Kechik dengan bekas isteri pertamanya, Zainab @ Eshah sebelum bercerai.

Pada 14 April lalu, Syed Gamal mendakwa beliau merupakan waris dan anak yang sah untuk menjadi pentadbir bersama harta pusaka peninggalan pengasas Yayasan Syed Kechik Holdings.

Syed Gamal selaku kaveator manakala ibu tiri serta dua adik perempuan tirinya itu, dinamakan sebagai pempetisyen dalam kaveat yang dikemukakan oleh beliau memohon untuk menjadi pentadbir bersama bagi menghalang mereka daripada menguruskan harta tersebut tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik 10 April tahun lalu pada usia 80 tahun kerana sakit jantung.

Syed Kechik ialah bapa mentua pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, seorang hartawan yang tersenarai antara tokoh kelapan terkaya di Malaysia.

Syed Gamal, 46, mengemukakan permohonan tersebut ekoran tindakan keluarga tirinya memfailkan petisyen pada 15 September tahun lalu, memohon supaya surat kuasa mentadbir harta pusaka bapanya diberikan kepada mereka sebagai isteri dan anak yang sah di sisi undang-undang memandangkan Syed Kechik tidak meninggalkan sebarang wasiat.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 30/7/2010

Friday, July 16, 2010

Bapa saman tiga anak RM2.02 juta

Oleh : NOOR AZMAH IBRAHIM

SHAH ALAM - Seorang pesara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini menyaman tiga anak lelakinya bagi menuntut ganti rugi lebih RM2 juta kerana mendakwa dikurung dan dipaksa menyerahkan dua lot tanah kepada mereka tiga tahun lalu.

Dalam saman tersebut, Baharom Long, 85, mendakwa, ketiga-tiga anaknya itu telah bertindak di luar batasan undang-undang dan kemanusiaan apabila memaksanya menandatangani satu surat akuan yang tidak diketahui isi kandungannya.

Writ saman itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Azmi Talib & Associates di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di sini pada pukul 10.30 pagi ini.

Baharom selaku plaintif menamakan tiga daripada lima anaknya, Md. Hanafiah, 55; Zakariah, 52; dan Musa, 50, sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Warga emas itu turut hadir di mahkamah dengan ditemani anak keempat, Roslan, 48, dan peguamnya, Muhd. Azmi Talib.

Dalam pernyataan tuntutan, Baharom mendakwa, Zakariah telah berjumpa dengannya di Masjid Selayang dan membawanya ke rumah Md. Hanafiah pada sekitar November 2007.

Apabila sampai di rumah tersebut, plaintif mendakwa, dia dikelilingi oleh ketiga-tiga anaknya itu dalam keadaan semua tingkap dan pintu rumah tersebut ditutup dan dikunci serta dipaksa menandatangani satu surat yang tidak diketahui isi kandungannnya.

Menurut Baharom, dia dimaklumkan surat itu bertujuan menyelamatkannya dan dia juga tidak akan dibenarkan melangsungkan perkahwinannya jika tidak menurunkan tandatangan.

Pada sekitar Mei dan Ogos 2008, plaintif mendakwa, pihak defendan telah datang ke rumahnya untuk mencari geran tanah di dalam bilik tetapi gagal ditemui.

Dakwa Baharom, dia hanya mengetahui surat yang ditandatangani sebelum itu adalah surat akuan bersumpah bertarikh 3 Disember 2007 berkenaan pembahagian dua lot tanah milik plaintif dan arwah isterinya selepas menerima salinan surat tersebut.

Dua lot tanah tersebut ialah di Lot No. 17, Jalan 11, Selayang Baharu dan Lot No. 8575, Jalan Nakhoda Tengah, Kampung Nakhoda, Jalan Sungai Tua, Batu Caves dekat sini.

Akibat tindakan pihak defendan, dia telah mengalami tekanan emosi, perasaan dan psikologi yang amat serius.

Plaintif bukan sahaja hidup dalam ketakutan selain murung dan susah hati malah terpaksa berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan psikologi akibat trauma sehingga mengalami kerugian wang ringgit.

Selain menuntut ganti rugi khas RM16,000 dan ganti rugi teladan serta ganti rugi teruk RM2 juta, Baharom memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa surat akuan bertarikh 3 Disember 2007 yang ditandatangani secara paksa itu adalah tidak sah.

Difahamkan, plaintif dan tiga anaknya itu juga sedang menghadapi kes tuntutan harta pusaka dan hibah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 16/7/2010

Wednesday, July 7, 2010

Syed Gamal tarik balik permohonan terhadap dua adik tiri

KUALA LUMPUR - Anak lelaki tunggal Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary hari ini menarik balik permohonannya untuk mengetepikan saman pemula dua adik perempuan tirinya itu dan syarikat Syed Kechik Holdings (SKH) Sdn. Bhd. berhubung tuntutan harta pusaka peninggalan tokoh korporat itu yang bernilai RM400 juta.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk N. Vijaykumar yang mewakili Puan Sri Sharifah Zarah, 42, dan Sharifah Munira, 44, masing-masing selaku plaintif kedua dan ketiga selepas SKH.

Menurut Vijaykumar, Syed Gamal Syed Kechik memaklumkan tindakannya itu melalui surat yang dihantar kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin lalu.

“Pesuruhjaya Kehakiman Anantham Kasinather memerintahkan supaya Syed Gamal membayar kos guaman sebanyak RM6,500 kepada plaintif dalam masa 14 hari,” kata Vijaykumar.

Menurut beliau, kerana Syed Gamal telah menarik balik permohonan tersebut, Anantham menetapkan 13 Ogos ini untuk mendengar perbicaraan saman pemula yang dikemukakan oleh plaintif,” jelas Vijaykumar ketika ditanya mengenai prosiding yang didengar dalam kamar itu.

Saman pemula tersebut dikemukakan pihak plaintif di Mahkamah Tinggi Sivil ekoran keputusan Mahkamah Rayuan Syariah di sini pada 11 November tahun lalu yang mengekalkan perintah injunksi bagi melarang harta pusaka yang diwarisi Syed Gamal daripada dijual atau dicairkan.

Mahkamah Rayuan Syariah itu memutuskan demikian selepas menolak permohonan dua anak perempuan hasil perkahwinan Syed Kechik dengan Puan Seri Sofiah Moo Abdullah, untuk mengetepikan perintah injunksi tersebut.

Syed Gamal yang juga ahli perniagaan sebelum ini memperoleh perintah injunksi ex-parte (sebelah pihak) pada 14 September 2009 di Mahkamah Tinggi Syariah bagi menghalang penjualan atau mencairkan 44 peratus saham miliknya dalam syarikat Syed Kechik Holdings dan harta-harta syarikat yang lain.

Pada 9 November tahun lalu, pihak plaintif mengemukakan saman untuk memohon perisytiharan bahawa Syed Gamal tidak mempunyai sebarang hak atau kepentingan dalam syarikat itu sehingga selesai pentadbiran serta pembahagian harta pusaka apa mereka.

Syed Gamal merupakan anak lelaki sulung Syed Kechik menerusi perkahwinan pertama Allahyarham dengan bekas isterinya, Zainab @ Eshah Abdullah.

Sharifah Zarah dan Sharifah Munira pula ialah anak dengan seorang lagi isterinya, Puan Sri Sofiah Moo Abdullah.

Syed Kechik menceraikan Zainab ketika Syed Gamal berumur lima tahun. - Utusan

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 7/7/2010

Tuesday, June 29, 2010

Syed Gamal, dua adik tiri gagal capai persetujuan selesai kes harta

KUALA LUMPUR - Anak lelaki tunggal Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary dan dua adik perempuan tirinya hari ini gagal mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes tuntutan harta pusaka peninggalan tokoh korporat itu yang bernilai RM400 juta.

Perkara itu dimaklumkan di Mahkamah Tinggi di sini oleh peguam Atan Mustaffa Yussof Ahmad yang mewakili Syed Gamal, 45, dan peguam Datuk N. Vijay Kumar bagi pihak Puan Sri Sharifah Zarah, 42, dan Sharifah Munira, 44, masing-masing selaku plaintif kedua dan ketiga.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Anantham Kasinather menetapkan 7 Julai ini untuk mendengar permohonan Syed Gamal selaku defendan untuk mengetepikan saman pemula dua adik perempuannya itu dan syarikat Syed Kechik Holdings Sdn. Bhd. selaku plaintif pertama terhadapnya.

Saman pemula itu dikemukakan pihak plaintif di Mahkamah Tinggi Sivil ekoran keputusan Mahkamah Rayuan Syariah di sini pada 11 November tahun lalu yang mengekalkan perintah injunksi bagi melarang harta pusaka yang diwarisi oleh Syed Gamal daripada dijual atau dicairkan.

Mahkamah Rayuan Syariah itu memutuskan demikian selepas menolak permohonan dua anak perempuan hasil perkahwinan Syed Kechik dengan Puan Seri Sofiah Moo Abdullah, untuk mengetepikan perintah injunksi tersebut.

Syed Gamal yang juga ahli perniagaan sebelum ini memperoleh perintah injunksi ex-parte (sebelah pihak) pada 14 September 2009 di Mahkamah Tinggi Syariah bagi menghalang penjualan atau mencairkan 44 peratus saham miliknya dalam syarikat Syed Kechik Holdings dan harta-harta syarikat yang lain.

Pada 9 November tahun lalu, pihak plaintif mengemukakan saman untuk memohon perisytiharan bahawa Syed Gamal tidak mempunyai sebarang hak atau kepentingan dalam syarikat itu sehingga selesai pentadbiran serta pembahagian harta pusaka apa mereka.

Syed Gamal merupakan anak lelaki sulung Syed Kechik menerusi perkahwinan pertama Allahyarham dengan bekas isterinya, Zainab @ Eshah Abdullah.

Syed Kecik menceraikan Zainab ketika Syed Gamal berusia lima tahun.

Kemelut keluarga itu bermula selepas Syed Kechik meninggal dunia pada April tahun lalu akibat sakit jantung pada usia 81 tahun, tanpa meninggalkan wasiat.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 29/6/2010

Monday, June 28, 2010

Anak-anak Syed Kechik gagal capai penyelesaian

KUALA LUMPUR - Anak-anak allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary gagal mencapai penyelesaian di luar mahkamah berhubung pentadbiran estetnya bernilai RM400 juta.

Pertikaian itu kini akan didengar oleh Mahkamah Tinggi pada 7 Julai nanti.
Para peguam yang mewakili Syed Gamal dan dua adik perempuannya, Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira melaporkan, kegagalan adik beradik berkenaan mencapai persetujuan itu kepada Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Anantham Kasinather dalam kamar hari ini.

Atan Mustaffa Yussof peguam yang mewakili Syed Gamal berkata, mahkamah kemudian menetapkan 7 Julai untuk mendengar permohonan Syed Gamal membatalkan saman pemula yang dikemukakan oleh kedua-dua adiknya itu terhadapnya.

Syed Gamal ialah anak lelaki tunggal Syed Kechik dengan isteri pertamanya, Zainab @ Eshah manakala Sharifah Zarah dan Sharifah Munira ialah anak dengan seorang lagi isterinya, Puan Sri Sofiah Moo Abdullah.

Syed Kecik menceraikan Zainab ketika Syed Gamal berumur lima tahun.

Sumber : Bernama
Tarikh : 28/6/2010

Saturday, June 19, 2010

Tuntutan harta Syed Kechik RM400 juta

Oleh : SUWARNI MOKHTAR

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 14 Julai ini untuk mendengar perbicaraan permohonan kaveat yang dikemukakan oleh anak lelaki Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary (gambar) berhubung harta pusaka berjumlah RM400 juta.

Permohonan itu difailkan oleh Syed Gamal terhadap ibu tiri, Puan Sri Sofiah Moo Abullah dan dua adik perempuannya, Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira bagi menghalang mereka daripada menguruskan harta pusaka tersebut tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Pada tarikh tersebut, Hakim Lee Swee Seng akan mendengar keterangan saksi-saksi daripada kedua-dua pihak bagi menentukan sama ada Syed Gamal, 45, selaku kaveator layak untuk menjadi pentadbir bersama harta pusaka arwah bapanya itu.

Pada prosiding hari ini, Syed Gamal hadir dengan ditemani peguam, Azhar Arman Ali, Zulkifli Che Yong dan Azmi Rais manakala peguam Datuk N. Vijay Kumar mewakili Sofiah, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira selaku pempetisyen.

Selain permohonan tersebut, mahkamah akan menentukan isu yang berbangkit sama ada kaveat tersebut boleh menghalang mahkamah daripada mengeluarkan perintah mengenai surat kuasa mentadbir atau menghalang surat kuasa mentadbir diberikan kepada keluarga tiri Syed Gamal.

Terdahulu, Zulkifli memberitahu, isu tersebut perlu ditentukan kerana pemberian surat kuasa tadbir kepada pihak pempetisyen akan menjadi prejudis terhadap anak guamnya.

Menjelaskan lebih lanjut kepada hakim, peguam itu menyatakan anak guamnya telah didiskriminasi sejak kecil berbanding adik-adik perempuannya.

''Daripada jumlah harta yang dianggarkan RM400 juta, Syed Gamal hanya diberikan elaun RM2,000 sebulan,'' ujarnya yang turut menyatakan anak guamnya tidak pernah tinggal dengan bapanya sejak kecil.

Elaun itu yang hanya diberikan kira-kira 10 tahun lalu, telah dihentikan pemberiannya baru-baru ini, dakwa Syed Gamal kepada media ketika ditemui di luar mahkamah.

Syed Gamal yang merupakan anak lelaki tunggal Syed Kechik dengan isteri pertamanya, Zainab @ Eshah Abdullah memfailkan permohonan tersebut pada 14 April lalu.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik pada 10 April tahun lepas pada usia 80 tahun kerana sakit jantung.

Syed Gamal yang mengendalikan kafe siber membuat permohonan kaveat itu berikutan ibu tiri dan dua adik tiri perempuannya yang memfailkan petisyen memohon surat kuasa mentadbir harta pusaka Syed Kechik tersebut.

Dalam petisyen yang difailkan pada 15 September tahun lalu, mereka mendakwa, Syed Kechik tidak meninggalkan wasiat terhadap hartanya itu dan memohon surat kuasa mentadbir diberikan kepada mereka sebagai isteri dan anak-anak yang sah di sisi undang-undang.

Pada 9 November tahun lalu, syarikat Syed Kechik Holdings Sdn. Bhd., Sharifah Zarah dan Sharifah Munira, memfailkan saman pemula bagi mengisytiharkan Syed Gamal tidak mempunyai hak atau kepentingan dalam aset syarikat itu sehingga pentadbiran dan pembahagian harta itu selesai.

Sumber : Utusan Malaysia
ARKIB : 19/6/2010

Thursday, May 27, 2010

Kes harta Syed Kechik 14 Jun

KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada pertikaian mengenai harta allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary bernilai RM400 juta dapat diselesaikan di luar mahkamah akan diketahui 14 Jun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Anantham Kasinather berkata, pihak-pihak yang terlibat itu perlu memberitahu mahkamah pada hari berkenaan hasil perbincangan mereka untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.

Beliau menetapkan tarikh itu selepas menemui Datuk N.Vijay Kumar, peguam bagi plaintif, dan Atan Mustaffa Yussof, peguam mewakili defendan, selepas kes itu disebut di hadapan beliau di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Atan memberitahu pemberita bahawa kedua-dua pihak sedang berunding untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.

Plaintif terdiri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira yang merupakan anak Syed Kechik hasil perkahwinannya dengan Puan Sri Sofiah Moo Abdullah, manakala defendan, Syed Gamal, adalah anak lelaki tunggal Syed Kechik bersama isteri pertamanya, Zainab @ Eshah Abdullah.

Isu mengenai harta itu timbul selepas Syed Kechik meninggal dunia pada April tahun lepas pada usia 81.

Sumber : Bernama
Tarikh : 27/5/2010

Tuesday, May 25, 2010

Permohonan kaveat anak Syed Kechik diputus 18 Jun

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 18 Jun untuk keputusan kes anak lelaki Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary yang memasukkan kaveat terhadap ibu tiri dan dua adik perempuan tirinya bagi menghalang mereka menguruskan harta pusaka berjumlah RM400 juta tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Suzarika Sahak menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Zulkifli Che Yong dan Azmi Tan Sri Mohd Rais yang mewakili Syed Gamal manakala peguam Datuk N. Vijay Kumar mewakili Puan Sri Sofiah Moo Abdullah, Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira.

Azmi yang dihubungi pemberita berkata kes itu akan diputuskan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr Prasad Sando Sham Abraham.

Syed Gamal dalam permohonan kaveat yang difailkan pada 14 April lalu di Mahkamah Tinggi Sivil di sini berkata beliau adalah waris dan anak yang sah untuk menjadi pentadbir bersama harta pusaka bapanya itu.

Sumber : Bernama
Tarikh : 25/5/2010

Wednesday, April 21, 2010

Anak lelaki tunggal Syed Kechik fail kaveat harta pusaka RM400 juta

KUALA LUMPUR - Anak lelaki Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary telah memasukkan kaveat terhadap ibu tiri dan dua adik perempuan tirinya bagi menghalang mereka daripada menguruskan harta pusaka berjumlah RM400 juta tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Syed Gamal dalam permohonan kaveat yang difailkan pada 14 April lepas di Mahkamah Tinggi Sivil di sini berkata, beliau adalah waris dan anak yang sah untuk menjadi pentadbir bersama harta pusaka bapanya itu.

Dalam permohonannya, Syed Gamal yang merupakan anak lelaki tunggal Syed Kechik dengan isteri pertamanya, Zainab @ Eshah Abdullah menamakan beliau sebagai kaveator manakala ibu tirinya, Puan Sri Sofiah Moo Abdullah dan adik tirinya, Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira sebagai pempetisyen.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik pada 10 April tahun lepas pada usia 80 tahun kerana sakit jantung.

Syed Kechik ialah bapa mentua pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, seorang bilionair yang tersenarai antara lapan orang terkaya di negara ini.

Syed Gamal, 46, membuat permohonan kaveat itu berikutan ibu dan adik tirinya yang menfailkan petisyen memohon surat kuasa mentadbir terhadap harta pusaka Syed Kechik supaya diberikan kepada mereka, Sofiah Moo, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira.

Dalam petisyen yang difailkan pada 15 September tahun lepas mereka berkata, Syed Kechik tidak meninggalkan wasiat terhadap hartanya itu dan memohon surat kuasa mentadbir diberikan kepada mereka sebagai isteri dan anak-anak yang sah di sisi undang-undang.

Sumber : Bernama
Tarikh : 21/4/2010

Tuesday, February 23, 2010

Perebutan hartanah Allahyarham Syed Kechik didengar 19 April

KUALA LUMPUR – Kes perebutan harta pusaka oleh anak-anak Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 19 April ini.

Pesuruhjaya Kehakiman K. Anantham menetapkan tarikh tersebut selepas bertemu dengan kedua-dua pihak yang bertelagah dalam kamar hari ini.

Mahkamah akan mendengar saman pemula serta permohonan untuk membatalkannya.

Isu perebutan ahli keluarga bermula selepas kematian Syed Kechik pada 10 April tahun lepas ketika berusia 81 tahun.

Syed Kechik merupakan bapa mertua kepada pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang disenaraikan sebagai individu kelapan terkaya di Malaysia.

Pada 9 November, 2009, syarikat, Syed Kechik Holdings Sdn. Bhd., dan dua anak perempuan Allahyarham, Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira, memfailkan saman pemula bagi mendapatkan perisytiharan bahawa abang sulung mereka, Syed Gamal, tidak mempunyai sebarang hak atau kepentingan dalam syarikat itu sehingga selesai pentadbiran serta pembahagian harta pusaka bapa mereka.

Syed Gamal, 45, dinamakan defendan dan hadir di mahkamah, merupakan anak lelaki sulung Syed Kechik menerusi perkahwinan pertama Allahyarham dengan bekas isterinya, Zainab @ Eshah Abdullah.

Sharifah Zarah, 42, dan Sharifah Munira, 44, merupakan anak perempuan Syed Kechik bersama isteri muda Puan Seri Sofiah Moo Abdullah, tidak hadir di mahkamah, tetapi diwakili peguam Datuk Vijay Kumar, manakala peguam Atan Mustaffa Yussof Ahmad bertindak bagi Syed Gamal. – Bernama

Sumber : Bernama
Tarikh : 23/2/2010

Wednesday, December 16, 2009

Bicara kes faraid harta ayah Sharmaine 13 Januari

SHAH ALAM - Kes permohonan faraid pelakon dan model, Sharmaine Farouk terhadap harta bernilai RM5.4 juta peninggalan ayahnya, Allahyarham Tan Sri Ahmad Farouk Isahak akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 13 Januari ini.

Hakim Syarie Mohammad Adib Husain menetapkan tarikh tersebut pada prosiding sebutan hari ini bagi membolehkan abang dan kakak Sharmaine, Ahmad Rezal, 44, dan Serena, 41, memberi keterangan.

Sharmaine, 38, yang berbaju kurung dan bertudung oren hadir ditemani peguam syarie, Ahmad Nazib Johari.

Sharmaine yang pernah membintangi filem Panggilan Pulau dan XX Ray pada tahun 90-an memfailkan permohonan pada 15 November lalu agar harta peninggalan Allahyarham bapanya dibahagikan secara faraid kepada enam adik-beradik termasuk beliau.

Mereka ialah Ahmad Ridzuan, 48, Soraya, 46, Ahmad Rezal, Serena, Sharmaine dan Aimran Ambari, 13.

Harta bernilai RM5.4 juta itu dalam bentuk wang tunai, saham, unit amanah, keahlian kelab dan hartanah seperti apartmen, kondominium, rumah serta tanah.

Sebelum ini Sharmaine bersama Ahmad Ridzuan, Soraya, Serena dan Aimran Ambari memfailkan permohonan untuk mengesahkan pemberian harta (hibah) bernilai jutaan ringgit dan wasiat dibuat Ahmad Farouk dengan menamakan Ahmad Rezal sebagai defendan.

Ahmad Rezal, anak ketiga daripada enam beradik itu dikatakan tidak bersetuju dengan pemberian harta secara hibah dan mendakwa ia sengaja diada-adakan oleh kelima-lima plaintif serta menuntut supaya harta dibahagikan secara faraid.

Sementara itu berdasarkan afidavit tuntutan, pihak plaintif menyatakan bapa mereka yang menghidap sakit jantung sejak 1997 dan sering dimasukkan ke hospital dari 2000 hingga 2003, meninggal dunia pada 14 Disember 2005 kerana komplikasi jantung.

Sebelum itu, Allahyarham ada membuat akuan dan menurunkan cap jari pada suratcara hibah berhubung pemberian harta kepada Ahmad Ridzuan selaku plaintif kedua iaitu sebuah rumah di alamat No. 6, Jalan 2/2, Taman Tun Abdul Razak, Hulu Klang dan sebidang tanah juga di Hulu Klang.

Proses menandatangani dokumen itu dibuat di Institut Jantung Negara (IJN) melalui peguamnya dan di hadapan saksi iaitu peguam syarie, Zainul Rejal Abu Bakar serta dua saksi lain.

Bagaimanapun, ia telah diselesaikan secara baik apabila Sharmaine kemudiannya memfailkan permohonan agar kesemua harta peninggalan itu dibahagikan secara faraid.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 16/12/2009