Wednesday, April 21, 2010

Anak lelaki tunggal Syed Kechik fail kaveat harta pusaka RM400 juta

KUALA LUMPUR - Anak lelaki Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary telah memasukkan kaveat terhadap ibu tiri dan dua adik perempuan tirinya bagi menghalang mereka daripada menguruskan harta pusaka berjumlah RM400 juta tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Syed Gamal dalam permohonan kaveat yang difailkan pada 14 April lepas di Mahkamah Tinggi Sivil di sini berkata, beliau adalah waris dan anak yang sah untuk menjadi pentadbir bersama harta pusaka bapanya itu.

Dalam permohonannya, Syed Gamal yang merupakan anak lelaki tunggal Syed Kechik dengan isteri pertamanya, Zainab @ Eshah Abdullah menamakan beliau sebagai kaveator manakala ibu tirinya, Puan Sri Sofiah Moo Abdullah dan adik tirinya, Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira sebagai pempetisyen.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik pada 10 April tahun lepas pada usia 80 tahun kerana sakit jantung.

Syed Kechik ialah bapa mentua pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, seorang bilionair yang tersenarai antara lapan orang terkaya di negara ini.

Syed Gamal, 46, membuat permohonan kaveat itu berikutan ibu dan adik tirinya yang menfailkan petisyen memohon surat kuasa mentadbir terhadap harta pusaka Syed Kechik supaya diberikan kepada mereka, Sofiah Moo, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira.

Dalam petisyen yang difailkan pada 15 September tahun lepas mereka berkata, Syed Kechik tidak meninggalkan wasiat terhadap hartanya itu dan memohon surat kuasa mentadbir diberikan kepada mereka sebagai isteri dan anak-anak yang sah di sisi undang-undang.

Sumber : Bernama
Tarikh : 21/4/2010

0 komen:

Post a Comment