Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Friday, February 27, 2009

Tidak rela bapa dapat pusaka

Soalan

Saya seorang wanita berkerjaya berumur 47 tahun. Saya tidak berkahwin dan tinggal bersama ibu dan seorang anak angkat perempuan berumur lapan tahun. Tiga bulan yang lepas, saya telah disahkan mengidap penyakit kanser. Doktor memberi saya anggaran tempoh hayat selama enam bulan ke satu tahun.

Persoalan saya adalah mengenai isu pembahagian harta selepas saya meninggal dunia kelak. Untuk pengetahuan, bapa saya masih hidup dan saya merupakan anak tunggal. Namun, kami tidak mempunyai perhubungan yang baik. Bapa telah meninggalkan ibu semasa saya masih kecil. Saya tidak mahu harta saya dibahagikan kepada bapa yang tidak bertanggungjawab atau adik-beradik tiri yang langsung tidak pernah mengambil peduli tentang saya atau ibu selama ini. Bagaimanakah saya boleh memastikan ibu dan anak angkat saya akan menerima harta peninggalan saya sepenuhnya.

Ummi Kalsom
Perlis Indra Kayangan

Jawapan

Pembahagian harta pusaka bertujuan untuk memberikan kepada yang berhak dan untuk membantu waris yang ditinggalkan. Syarak telah menetapkan apabila seseorang itu meninggal, hartanya akan dibahagikan mengikut pembahagian faraid. Pembahagian harta secara faraid adalah salah satu cara pembahagian harta di dalam Islam. Ayat-ayat 7, 11, 12 dan 176 dalam surah al-Nisaa' menggariskan panduan berkenaan waris-waris yang berhak dan juga bahagian-bahagian yang harus diperoleh setiap waris.

Merujuk kepada kitab Mughil Muhtaj tulisan As-Sheikh Muhammad Al-Khatib As-Syarbini yang telah menyatakan bahawa antara perkara yang perlu diselesaikan ke atas harta si mati adalah zakat yang belum ditunaikan, barang-barang gadaian yang belum ditebus, hutang si mati ke atas harta yang ditinggalkan, harta sepencarian, wakaf, nazar, hibah yang telah sempurna rukunnya tetapi belum dipindah milik, perbelanjaan pengebumian, hutang dan wasiat.

Setelah diselesaikan perkara-perkara tersebut barulah baki harta itu dibahagikan menurut hukum faraid.

Dalam kitab tersebut wasiat telah ditafsirkan sebagai pemberian disandarkan atau dikaitkan sesudah mati iaitu pemberian tersebut diserahkan setelah pemberiannya sudah mati.

Pemberian wasiat orang Islam boleh diberikan dengan kadar tidak melebihi 1/3 bahagian sahaja. Wasiat yang melebihi kadar 1/3 adalah tidak berkuatkuasa kecuali mendapat persetujuan ahli waris yang lain atau kadar tersebut mesti dikurangkan sehingga sekadar 1/3 sahaja. Hukum Syarak juga telah menetapkan bahawa penerima harta pusaka melalui wasiat ini adalah seseorang yang tidak disenaraikan sebagai ahli waris.

Legaliti dan legitimasi wasiat adalah berpandukan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 180 yang bermaksud: " di wajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di atas kamu kedatangan tanda-tanda kematian, jika dia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat lah untuk ibu dan bapa dan karib kerabatnya secara ma'ruf. Ini adalah kewajipan atas orang yang bertakwa"

Merujuk kepada soalan saudari iaitu mengenai pembahagian harta kepada anak angkat. Anak angkat saudari bukanlah seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid.

Oleh itu, saudari bolehlah mewasiatkan harta-harta saudari yang nilainya tidak melebihi satu pertiga nilai jumlah keseluruhan kepada anak angkat tersebut.

Manakala, bahagian untuk ibu saudari ditetapkan melalui pembahagian harta secara faraid. Secara amnya, nisbah pembahagian harta pusaka menurut hukum faraid secara lazimnya ditentukan oleh Mahkamah syariah melalui suatu sijil faraid dalam setiap kes.

Manakala kaedah kedua adalah melalui pemberian harta tersebut secara hibah. Hukum Syarak menetapkan tiga rukun yang mesti dipatuhi dalam pemberian harta secara hibah. Rukun-rukun tersebut adalah seperti berikut:-

1. pihak-pihak di bawah perjanjian hibah yakni pemberi hibah (wahib) dan penerima hibah (mawhub lahu),

2. lafaz terhadap hibah tersebut (merangkumi perjanjian atau pengakuan)

3. barang atau harta yang dihibahkan itu (mawhab).

Saudari boleh memperuntukan harta tersebut kepada ibu dan anak angkat saudari melalui kaedah hibah tersebut.

Hibah boleh disempurnakan semasa saudari masih hidup, berbeza dengan wasiat di mana ia sempurna dari segi perlaksanaannya apabila pemberi wasiat meninggal dunia.

Oleh itu, saudari bolehlah memindahkan harta-harta tersebut kepada ibu atau anak angkat semasa hayat saudari masih ada secara hibah seperti yang telah dinyatakan di atas.

Proses pindah milik harta-harta tersebut ini boleh dilakukan dalam beberapa cara. Contohnya, jika saudari memiliki harta seperti tanah, saudari boleh memindahkan tanah tersebut kepada nama ibu menerusi prosedur di bawah Kanun Tanah Negara 1965. Melalui proses ini, waris-waris saudari yang lain tidak akan berhak langsung kepada harta benda saudari kelak.

Sebarang maklumat lanjut, saudari boleh menghubungi pihak kami. Sekiranya saudari masih tidak jelas berkenaan prosedur perceraian ini, dinasihatkan agar mendapatkan khidmat guaman sama ada Biro Bantuan Guaman atau Pusat Bantuan Guaman atau mana-mana peguam syarie bagi mendapatkan nasihat berhubung dengan prosedur tersebut.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 27/2/2009

Thursday, February 19, 2009

Rakyat Malaysia malas menabung

Hasil kaji selidik Citibank kesedaran perancangan kewangan membimbangkan

RAKYAT Malaysia didapati belum bersedia dari segi kewangan apabila berlaku kehilangan punca pendapatan atau diberhentikan kerja ekoran kegawatan ekonomi kerana kurang menabung.

Kaji selidik terbaru Citibank Bhd berhubung kesedaran perancangan kewangan bagi suku terakhir 2008 itu, menunjukkan hanya dua daripada lima individu atau 39 peratus rakyat negara ini yang menabung.

Sementara itu, kurang satu daripada tiga individu atau 28 peratus merangka bajet bulanan dan mematuhinya.

Ketua Segmen Pemasaran Perbankan Runcit Citibank, Timothy Johnson, berkata penemuan kajian itu juga mendapati 21 peratus daripada responden membayangkan tabungan mereka hanya mampu bertahan untuk empat minggu saja.

"Berdasarkan persekitaran ekonomi global semasa yang amat mencabar, hasil kaji selidik ini agak membimbangkan.

"Meskipun penanda aras kesedaran rakyat negara ini mengenai perancangan kewangan dan persaraan bagi suku akhir 2008, meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu, ia masih belum mantap," katanya pada sidang media selepas membentangkan keputusan kajian itu di Kuala Lumpur, semalam.

Kaji selidik Suku Tahun Akhir Citibank, merangkumi 500 temu bual dalam talian, yang setiap responden diajukan 40 soalan, bertujuan mengetahui tahap pemahaman rakyat Malaysia mengenai kewangan peribadi dan amalan kewangan masing-masing.

Berdasarkan keputusan keseluruhan kajian, secara umumnya, kesedaran merancang kewangan di kalangan rakyat meningkat kepada 51 mata daripada 49 mata pada suku terakhir tahun lalu.

Sehubungan itu, Johnson berkata, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan rakyat negara ini menyedari kepentingan kewangan.

"Pengurusan kewangan yang baik bukan bermakna membina kekayaan, tetapi penghidupan selesa dengan jaminan kewangan, kualiti hidup yang lebih baik, rasa optimis terhadap masa depan serta bersedia untuk menghadapi cabaran hidup.

"Kajian itu menjadi ukuran bagi mengawal kedudukan kewangan, terutama ketika persekitaran mencabar dengan isu pemberhentian kerja dan pemotongan gaji," katanya.

Beliau menyaran pengguna supaya merangka perancangan kewangan yang tersusun, justeru, membantu mereka mengharungi tempoh kelembapan ekonomi.

Menurut kajian itu, kini lebih ramai rakyat Malaysia khususnya di kalangan golongan muda berumur 18 hingga 29 tahun, mula memberi perhatian kepada urusan kewangan mereka.

Sejumlah 56 peratus daripada responden, beranggapan kedudukan kewangan mereka kini adalah lebih baik berbanding tahun lalu.

Bagaimanapun, sejumlah 37 peratus daripada responden, naik empat peratus berbanding tempoh sama 2007, berasa bimbang mengenai kedudukan kewangan mereka.

Dari segi pematuhan bajet bulanan, kajian itu mendapati, walaupun 86 peratus responden berhasrat mematuhinya, kurang 28 peratus yang benar-benar mematuhinya.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 19/2/2009

Wednesday, February 18, 2009

Hukum faraid ditetapkan Al-Quran bersih daripada unsur diskriminasi

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Ulama selar desakan NGO supaya hukum ditafsir semula

BEBERAPA akhbar tempatan minggu lalu, memaparkan perjuangan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) wanita menuntut kesamarataan antara lelaki dan wanita. Ia termasuklah tuntutan mengkaji semula undang-undang Islam berkaitan faraid.

Ahli pengasas Musawah, Cassandra Balchin dilaporkan sebagai berkata, undang-undang faraid mestilah dikaji semula dan dipinda. Tambahnya, undang-undang faraid itu ketinggalan zaman kerana tafsiran yang diberikan kepadanya semata-mata berdasarkan faktor sejarah. Syariah juga dikatakan bukan sebagai undang-undang tetapi adalah dogma prinsip saja. Undang-undang ini hendaklah dipinda kerana mendiskriminasi wanita.

Balchin berada di negara ini yang mengadakan perjumpaan tertutup lima hari bermula 13 Februari lalu yang dianjurkan Sisters in Islam dan dihadiri lebih 200 peserta dari 40 negara.

Bagi undang-undang faraid, seharusnya kita merujuk kepada nas asal berkaitan dengannya.

Di dalam surah al Nisa’ ayat 11-14 bermaksud: “Allah mensyariatkan bagimu tentang (pemberian pusaka untuk) anak-anakmu iaitu bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh separuh harta. Dan untuk kedua ibu bapa, masing-masing satu perenam daripada harta yang ditinggalkan; jika yang meninggal itu mempunyai anak, jika yang meninggal itu tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu bapanya (saja), maka ibunya mendapat satu pertiga, jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara ibunya mendapat satu perenam sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak tahu siapa di antara mereka yang lebih dekat manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Dan bagimu (suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak, Jika isterimu mempunyai anak maka kamu mendapat seperempat daripada harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat dan sesudah dibayar hutangnya.

Isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak, maka isteri memperoleh seperlapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat dan sesudah dibayar hutangmu. Jika seseorang mati baik lelaki atau perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak tetapi mempunyai seorang saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu, maka bagi masing-masing daripada kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara seibu itu lebih daripada seorang maka mereka bersekutu dalam sepertiga, sesudah dipenuhi wasiat dibuatnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat kepada ahli waris. Allah menetapkan yang sedemikian itu sebagai syariat yang benar dari Allah.

Hukum itu adalah ketentuan Allah. Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya nescaya Allah memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai, sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah kemenangan besar. Dan barang siapa yang menderhaka Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-Nya, Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya dan baginya seksa yang menghinakannya.

Perkara ini tidak memerlukan tafsiran kerana ia sudah jelas. Menyeru supaya hukum faraid ini ditafsirkan semula membawa erti meminda ayat hukum diturunkan Allah. Apatah lagi apabila kita mengatakan undang-undang itu ketinggalan zaman. Ia amat jelas mencabul kesucian al-Quran itu sendiri.

Pada masa ini, kita memperkatakan ketaatan kepada pemerintah, kita lupa ketaatan kepada Tuhan adalah ketaatan mutlak. Oleh itu tuntutan Musawah ini dilihat tidak selari dengan pandangan Islam. Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang menyelar pandangan sebegini.

Apa yang merunsingkan ialah Penasihat Wanita kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Jalil pula memberi sokongan kepada tindakan Musawah ini. Apapun, sepatutnya kita berbalik kepada al-Quran dan Sunnah, bukan lari daripadanya. Membelakangkan sumber hukum Islam hanya akan membawa kerosakan. Akal fikiran kita tidak boleh mengatasi hukum naqli ditentukan Allah.

Dalam ayat yang dinyatakan di atas jelas Allah memberi amaran terhadap ketentuan yang perlu dipatuhi. Tidak timbul isu mentafsir semula ataupun mengatakan undang-undang itu ketinggalan zaman. Sepatutnya falsafah perundangan Islam itu difahami dan insaf dan bukan hanya diambil secara sambil lewa.

Neraca Barat digunakan bagi mentafsir keadilan yang terbaik, malah dalam banyak keadaan ia lebih menyukarkan dan mendiskriminasi. Lensa Islam adalah lebih luas kerana keadilan bukan bermakna satu sama dengan satu. Keadilan dalam Islam bermaksud meletakkan sesuatu di tempatnya. Oleh itu keadilan di dalam Islam membawa maksud lebih besar daripada apa yang difahami undang-undang lain.

Kita perlu melihat maksud ayat al-Quran di dalam Surah al-Nisa’ seperti di atas, membacanya satu persatu dan memahami maksud jelas. Mudah-mudahan Allah memberi hidayah kepada kita.

Sumber : Persatuan Peguam Syarie Malaysia
Tarikh : 18/2/2009

Monday, February 16, 2009

Terkini : Hukum ASB dan ASN

Oleh Zaharuddin Abd Rahman

Hari ini saya menerima satu email yang mengandungi satu attachemnet surat dari Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia kepada Setiausaha, Majlis Penasihat Syariah salah sebuah Bank Islam di Malaysia berkenaan hukum Amanah Saham Bumiputra (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).

Apa yang jelas, telah saya sebutkan sebelum ini berkali-kali, walaupun ia telah disahkan harus oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia. Namun kaedah dan implementasi ASB dan ASN bercanggah dengan panduan sebuah saham amanah yang diiktiraf PATUH SYARIAH oleh Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia.

Tatkala itu, bolehlah dianggap terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan hukum ASB dan ASN antara dua badan pengeluar hukum yang terbesar di Malaysia. Bagi mereka yang ingin lebih berhati-hati dan menjamin tidak terjebak di dalam yang haram, kerana harta akan menjadi darah daging diri dan ahli keluarga. Saya menyarankan agar melihat dengan lebih teliti keahlian ahli-ahli fatwa dari kedua-dua badan terbabit.

Jika di tanya kepada pendapat peribadi saya, saya lebih cenderung kepada pendapat Majlis Syariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dalam hal ini setelah melihat kepada panduan yang diletakkan mereka bagi mengiktiraf sesebuah Amanah Saham yang patuh atau tidak patuh Syariah.

Anda mungkin berkata,

"SAYA TIDAK PEDULI, ASALKAN MAJLIS FATWA LULUSKAN, SAYA AKAN BERPEGANG DENGANNYA KERANA MEREKA YANG TANGGUNG DI AKHIRAT"

Ulasan saya, Allah swt memberikan kita aqal untuk memerhati dan meneliti pandangan kedua-dua badan besar ini setakat kemampuan yang ada, berfikirlah. JIia benar-benar setelah membaca hujjah kedua-dua pihak, lalu anda yakin dengan salah satu antaranya. Anda telah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang baik. Namun jika, sambil malas dan ingin mengambil mudah, lalu terus berpegang dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, tanpa mengendahkan hujah Majlis SYariah Suruhanjaya Sekuriti. Tatkala itu, individu tersebut tidak berada dalam situasi yang sepatutnya.
Perlu difahami bahawa Majlis Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dianggotai oleh individu yang sememangnya specialist dan berpengalaman di dalam bidang muamalat dan kewangan Islam. Untuk melihat senarai ahlinya, sila buka di sini.

Berikut adalah salinan suratnya, saya telah memadam nama bank Islam yang ditujukan surat ini, kerana apa yang penting adalah isi kandungan surat.


Hasil daripada surat ini, Suruhanjaya Sekuriti kelihatan TIDAK MEMBENARKAN bank-bank Islam di Malaysia memberikan pembiayaan tunai kepada pelanggan yang ingin menyertai ASB dan ASN.


Sumber : Zaharuddin Abd Rahman
Tarikh : 16/2/2009

Saturday, February 14, 2009

Wasiat dalam sistem faraid tak boleh diubah

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, menyelar pihak yang mendesak peraturan wasiat dalam sistem faraid diubah.

Pihak terbabit memberi alasan sistem itu lapuk dan mendiskriminasi wanita Muslim, kerana membuat dakwaan itu tanpa memahami Islam serta tidak bertanggungjawab terhadap agama sendiri.

Katanya, peraturan sedia ada itu tidak perlu disemak semula mahu pun diubah kerana sistem faraid ditentukan Allah SWT dan bukan undang-undang buatan manusia.

Beliau menegaskan, sistem faraid tidak mendiskriminasi golongan wanita, sebaliknya pembahagian harta yang lebih kepada pihak lelaki ialah kerana mereka memikul lebih banyak tanggungjawab.

“Orang yang bercakap itu tidak memahami Islam dan apa sebenarnya faraid, serta tidak bertanggungjawab langsung terhadap agama. Islam mengambil kira banyak sebab dalam penentuan faraid ini.

“Dalam Islam, kita tidak memperjuangkan kesamaan antara lelaki dan wanita tetapi keadilan jantina. Sama rata tidak semestinya adil. Islam memberi apa yang sesuai dan layak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Laporan akhbar semalam memetik seorang penyelidik bebas, penulis dan jurulatih advokat hak asasi manusia, Cassandra Balchin yang sudah memeluk Islam, sebagai berkata peraturan wasiat dalam sistem faraid mesti disemak semula.

Balchin yang berada di negara ini untuk menghadiri mesyuarat Musawah mendakwa, sistem faraid sedia ada sudah lapuk kerana diterjemah menurut konteks sejarah, malah mendiskriminasi wanita yang memperoleh pembahagian harta lebih sedikit berbanding lelaki dan sudah tiba masanya mendapatkan kesamaan antara jantina dalam Islam.

Mashitah berkata, ada pelbagai saluran disediakan dalam Islam untuk mendapatkan pembahagian harta secara sama rata antara anak lelaki dan perempuan, termasuk melalui penetapan wasiat, hibah serta undang-undang.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, menegaskan sistem faraid tidak perlu disemak semula serta tidak boleh diubah kerana ia sudah jelas dan juga ketentuan Allah di mana Surah an-Nisa ayat 11 hingga 14 memperincikan perihal pembahagian harta dalam Islam.

“Dalam sistem faraid, anak lelaki mendapat bahagian lebih besar tetapi itu nilai kasar kerana mereka wajib menggunakannya untuk isteri, anak-anak, ibu bapa dan bertanggungjawab membantu adik-beradik perempuan yang memperoleh bahagian lebih sedikit apabila mereka kesusahan. Ini berbanding anak perempuan yang mendapat bahagian lebih sedikit tetapi ia adalah nilai bersih, iaitu hak mutlak mereka. Justeru pada akhirnya, nilai bahagian kedua-dua lelaki dan perempuan adalah sama,” katanya.

“Dalam hukum Islam, keadilan bukan seperti ‘satu sama dengan satu’ tetapi meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Kita perlu balik kepada sumber hukum, hadis dan ijtimak ulama.”

“Jangan menggunakan `neraca’ (alasan memperjuangkan hak sama rata) dari Barat yang nampak baik tetapi sebenarnya menyesatkan. Selain itu, jangan terlalu takjub dengan akal fikiran dan juga jangan mempengaruhi orang lain pula,” katanya.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 14/2/2009

Friday, February 13, 2009

Persatuan Ulama selar Sister In Islam, program Musawah hari ini

KUALA LUMPUR - Persatuan Ulama Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) menyelar penganjuran program Musawah yang membawa agenda Islam Liberal ke Malaysia dan mempertikaikan prinsip-prinsip asas Islam.

Program ?Musawah? adalah 'Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family' anjuran pendukung kuat fahaman sesat Islam Liberal di Malaysia iaitu Sisters in Islam (SIS).

Yang di Pertua Persatuan Ulama? Malaysia Dr Wan Salim Wan Mohd Nor berkata pertemua Musawah itu dilihat berhasrat mempertikaikan pelbagai prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah berkaitan wanita dan kekeluargaan yang dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulamak muktabar.

Perjumpaan ini katanya bakal dihadiri oleh pelbagai tokoh Liberal Muslim yang dipertikaikan oleh ulamak Islam muktabar iaitu antaranya Muhammad Khalid Masud, iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain), Zainah Anwar (Malaysia), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia) dan aktivis bukan Islam seperti Cassandra Balchin (UK) dan lain-lain.

Kata Dr Wan, 200 Liberalis Muslim telah dijemput dari 40 buah negara dan berkumpul di hotel mewah (bertaraf lebih lima bintang) The Prince Hotel, Kuala Lumpur pada hari ini bagi menghadiri mesyuarat lima hari tersebut.

"Perjumpaan tertutup ini juga tidak membenarkan penyertaan dari pihak luar selain dari jemputan tertutup mereka. PUMPP melihat perjumpaan dengan dana besar ini berkemungkinan disokong oleh kepentingan Barat dengan tujuan meliberalkan Islam dan mengharapkan pihak penguatkuasa dapat menyiasat punca sumber-sumber dana membiayai program terbabit.

"Perjumpaan ini juga akan memberi persepsi yang negatif kepada Malaysia yang bakal digambarkan sebagai negara yang mengamalkan undang-undang Syariah yang mendiskriminasi wanita, terutamanya apabila perjumpaan ini bakal dibawa perhatian kepada wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan kehadiran Professor Yakin Erturk (The United Nations Special Rapporteur on Violence Against Women) yang akan merasmikan perjumpaan tersebut," katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

PUM PP katanya juga menyelar kehadiran pimpinan negara bagi merasmikan program tersebut seolah-oleh tidak merujuk terlebih dahulu kepada pihak autoriti agama dalam negara seperti JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Kertas kerja dan bengkel-bengkel yang bakal dibentangkan semasa perjumpaan dilihat berhajat untuk menginterpretasikan semula al Quran dan Hadith dari sudut pandang wanita yang selama ini dikatakan bias pada lelaki.

"Musawah juga bakal mengenengahkan isu hak samarata antara lelaki dan perempuan dalam kekeluargaan Islam melalui hukum-hakam seperti poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah, aurat wanita, dan sebagainya. Hukum-hakam ini bakal dipertikaikan dengan melanggar segala Syari?at yang dibawa oleh al-Qur?an dan al-Sunnah," kata Dr Wan.

PUM PP katanya berharap kumpulan-kumpulan dan masyarakat bukan Islam tidak terpengaruh dengan propaganda kumpulan liberal Islam ini dan tidak campur tangan dalam urusan Aqidah dan prinsip-prinsip ajaran Islam sepertimana Islam mengajar penganutnya untuk tidak campur tangan dan menghormati dalam ajaran agama-agama lain sepertimana penegasan al Quran.

"Kita menyelar pelaksanaan program ini dan dilihat bakal merosakkan lagi aqidah umat Islam di Malaysia seterusnya membawa perpecahan kepada umat Islam dan memberi persepsi yang salah kepada Islam kepada semua pihak, termasuk masyarakat dunia yang hadir dan melihat perkembangan di Malaysia," katanya.

Sumber : HarakahDaily
Tarikh : 13/2/2009

Thursday, February 12, 2009

AmanahRaya nafi lantik ejen korporat

KUALA LUMPUR - Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) menafikan memberi persetujuan kepada syarikat Nazra Agency Sdn. Bhd. mewakili institusi itu bagi menggerakkan Program Pengurusan Harta Pusaka dan Penulisan Wasiat di Felda Wilayah Johor.

Pengurus Kanan, Jabatan Pembangunan Pasaran AmanahRaya, Azliah Suhod berkata, pihaknya tidak pernah melantik mana-mana wakil ejen korporat bagi syarikatnya dalam program tersebut.

''Syarikat agensi itu dilaporkan telah menggunakan logo rasmi AmanahRaya di dalam surat permohonan mereka bagi mengadakan program Wasiat Gerbang Selatan di Felda Taib Andak,'' kata Azliah dalam kenyataannya di sini hari ini.

Selain itu, jelasnya, syarikat agensi yang berselindung di sebalik AmanahRaya itu juga telah membuat surat pelantikan palsu sebagai ejen korporat AmanahRaya dan telah ditandatangani oleh pengurus cawangan Johor.

Jelas beliau, sebelum ini, AmanahRaya telah melantik 26 ejen korporat yang sah menerusi produk Wasiat AmanahRaya terdiri daripada sembilan buah institusi kewangan dan tujuh syarikat swasta di seluruh negara.

Pelantikan itu telah diluluskan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan dikawal selia oleh Jabatan Pengurusan Channel, AmanahRaya.

Tambah Azliah, pihaknya telah membuat satu laporan polis berhubung hal itu bagi melindungi dan melepaskan syarikatnya daripada sebarang tuntutan atau kerugian akibat daripada pengedaran surat palsu tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang masalah yang timbul.

''Saya berharap syarikat agensi yang menggunakan nama AmanahRaya bagi tujuan perniagaan dengan mengutip duit daripada peneroka Felda secara tidak sah supaya memberhentikan kegiatan mereka dengan segera,'' tegasnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan kepastian mengenai senarai ejen korporat AmanahRaya boleh menghubungi Talian Mesra AmanahRaya di talian 03-20729999 atau mengunjungi laman web AmanahRaya di www.amanahraya.com.my.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 12/2/2009

PUMPP SELAR MUSAWAH

PUMPP SELAR PENGANJURAN MUSAWAH MEMBAWA AGENDA ISLAM LIBERAL KE MALAYSIA DAN MEMPERTIKAIKAN PRINSIP-PRINSIP ASAS ISLAM

Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) dengan ini menyelar sekeras-kerasnya program ‘Musawah’ iaitu Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family anjuran pendukung kuat fahaman sesat Islam Liberal di Malaysia iaitu Sisters in Islam (SIS). Pertemuan Musawah dilihat berhasrat mempertikaikan pelbagai pelbagai prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah berkaitan wanita dan kekeluargaan yang dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulama’ muktabar.

Perjumpaan ini bakal dihadiri oleh pelbagai tokoh Liberal Muslim yang dipertikaikan oleh ulama’ Islam muktabar. Mereka yang hadir termasuklah Muhammad Khalid Masud iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain), Zainah Anwar (Malaysia), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia) dan aktivis bukan Islam seperti Cassandra Balchin (UK) dan lain-lain.

200 Liberalis Muslim telah dijemput dari 40 buah negara dan berkumpul di hotel mewah (bertaraf lebih lima bintang) The Prince Hotel, Kuala Lumpur pada 13 Februari 2009 bagi menghadiri mesyuarat 5 hari tersebut. Perjumpaan tertutup ini juga tidak membenarkan penyertaan dari pihak luar selain dari jemputan tertutup mereka. PUMPP melihat perjumpaan dengan dana besar ini berkemungkinan disokong oleh kepentingan barat dengan tujuan meliberalkan Islam dan mengharapkan pihak penguatkuasa dapat menyiasat punca sumber-sumber dana membiayai program terbabit.

Perjumpaan ini juga akan akan memberi persepsi dan negatif kepada Malaysia yang bakal digambarkan sebagai negara yang mengamalkan undang-undang Syariah yang mendiskriminasi wanita terutama apabila perjumpaan ini bakal dibawa perhatian kepada wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan kehadiran Professor Yakin Erturk (The United Nations Special Rapporteur on Violence Against Women) yang akan merasmikan perjumpaan tersebut.

PUMPP juga menyelar kehadiran pimpinan negara bagi merasmikan program tersebut seolah-oleh tidak merujuk terlebih dahulu kepada pihak autoriti agama dalam negara seperti JAKIM dan Majlis Mufti.

Kertas kerja dan bengkel-bengkel yang bakal dibentangkan semasa perjumpaan dilihat berhajat untuk menginterpretasikan semula al-Qur’?n dan al-Had?th dari sudut pandang wanita yang selama ini dikatakan bias pada lelaki. Musawah juga bakal mengenengahkan isu hak samarata antara lelaki dan perempuan dalam kekeluargaan Islam melalui hukum-hakam seperti poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah, aurat wanita, dan sebagainya. Hukum-hakam ini bakal dipertikaikan dengan melanggar segala syari‘at yang dibawa oleh al-Qur’?n dan al-Sunnah.

PUMPP juga mengharapkan kumpulan-kumpulan dan masyarakat bukan Islam tidak terpengaruh dengan propaganda kumpulan Liberal Islam ini dan tidak campurtangan dalam urusan aqidah dan prinsip-prinsip ajaran Islam sepertimana Islam mengajar penganutnya untuk tidak campurtangan dan menghormati dalam ajaran agama-agama lain sepertimana penegasan al-Qur’?n:

?????? ????????? ?????? ????? (109:6)

109:6 Unto you, your religous law, and unto me, mine!

Sehubungan dengan itu, PUMPP menyelar pelaksanaan program ini dan dilihat bakal merosakkan lagi aqidah umat Islam di Malaysia seterusnya membawa perpecahan kepada umat Islam dan member persepsi yang salah kepada Islam kepada semua pihak termasuk masyarakat dunia yang hadir dan melihat perkembangan di Malaysia.

Sumber : Web Persatuan Ulama' Malaysia (PUM)
Tarikh : 12/2/2009

Wednesday, February 11, 2009

Lelaki abai tanggungjawab punca aktivis wanita bersuara

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

KERUNTUHAN rumah tangga boleh berlaku kepada semua pasangan berkeluarga. Ia tidak terbatas kepada kalangan orang yang tidak mempunyai didikan agama malah mereka yang mendapat pendidikan agama juga sering kali terjerat dalam polemik keruntuhan rumah tangga.

Tidak keterlaluan jika kita mengatakan umat Islam sering berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan seperti bersedekah, membuat kebajikan dan mengambil berat kepada orang lain. Namun, sebahagian daripada kita alpa untuk mengerjakan kebaikan kepada orang yang hampir dengan kita.

Sebenarnya Rasulullah SAW lebih mengutamakan melakukan kebaikan kepada orang yang hampir kepada kita seperti keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan mereka yang berada di sekeliling kita. Perkara itu dapat dilihat daripada hadis Rasulullah SAW menerangkan pentingnya memperlakukan isteri dengan sebaik-baiknya.

Umpamanya, Rasulullah diriwayatkan bersabda kepada kaum lelaki yang bermaksud: “Ingatlah, terimalah wasiatku, pergaulilah wanita (isteri) dengan baik kerana sesungguhnya mereka adalah tanggungjawab di tangan kamu. Kalian tidak mempunyai apa-apa hak daripada mereka kecuali perkara itu melainkan jika mereka melakukan perbuatan yang menyimpang dan keji. Apabila mereka melakukan perkara itu, janganlah tidur bersama mereka dan pukullah mereka dengan pukulan tidak menyakitkan. Jika mereka patuh kepada kamu maka janganlah kalian mencari jalan menyakiti mereka. Ingatlah, sesungguhnya kamu mempunyai hak atas isteri kamu dan mereka mempunyai hak ke atas kamu. Adapun hak kalian ke atas isteri kalian adalah tidak mengajak orang yang kamu benci tidur di atas ranjang kalian dan tidak pula mengajak orang yang kamu benci masuk ke dalam rumah kamu. Dan hak isteri kamu ke atas kamu adalah memberikan pakaian dan makanan kepada mereka dengan baik.”

Sabda itu menjelaskan tatacara bagaimana pergaulan antara suami isteri. Ia juga menitikberatkan hak dan tanggungjawab bersama. Malah tanggungjawab mendidik isteri di bahu suami juga diperincikan sehingga dalam keadaan isteri melakukan perkara menyimpang dan keji diberikan garis panduan bagaimana menanganinya.

Oleh itu, melayani isteri dengan cara terbaik dituntut Islam. Jangan hanya melakukan perbuatan baik kepada orang lain saja tetapi lebih utama kepada keluarga sendiri. Wanita dijadikan Allah daripada tulang rusuk kiri lelaki yang mempunyai kesan besar.

Tulang rusuk itu sebenarnya terlalu hampir dengan hati. Oleh itu wanita hendak sentiasa berada di hati lelaki (suami). Wanita tidak dijadikan daripada kepala untuk dijunjung atau dipuja lelaki, mereka juga tidak dijadikan daripada kaki untuk dipijak atau dihina lelaki.

Inilah kedudukan istimewa wanita yang dimartabatkan Islam. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seorang mukmin yang imannya paling sempurna adalah yang akhlaknya paling baik. Dan sebaik-baik kamu adalah yang baik terhadap isterinya.”

Selain itu, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah isteri yang solehah.” Jelaslah daripada dua hadis itu ketinggian kedudukan isteri di samping suami. Hakikat ini perlulah disedari suami. Sebahagian suami yang mengambil mudah peranan isteri dan menganggap isteri perlu patuh kepada segala kehendak suami tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak isteri itu sendiri.

Kuasa ketua keluarga itu diberikan kepada suami, namun kuasa itu hendaklah ditadbirkan secara adil dengan mengambil kira kemampuan, kesusahan dan kehendak isteri. Jika kuasa itu tidak dijalankan dengan sempurna sudah tentu ia akan mengundang polemik antara suami isteri.

Dalam Islam, apabila suatu keistimewaan diberikan kepada seseorang ia sebenarnya disertakan dengan tanggungjawab. Keistimewaan diberikan lebih besar sebenarnya tanggungjawab yang dibebankan kepada seseorang.

Walaupun suami dibebankan dengan tanggungjawab, isteri juga tidak lepas daripada peranan yang perlu dijalankan dalam sesebuah keluarga. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika seorang suami mengajak isterinya ke katilnya (untuk disetubuhi) lalu isteri menolak dan suami marah terhadap isterinya, maka malaikat melaknat isteri hingga ke pagi.”

Alangkah indahnya jika hubungan antara suami isteri yang dijelaskan hadis itu dijadikan teras kepada akhlak yang digaris Rasulullah SAW. Islam menganjurkan perbuatan baik kepada isteri dan ahli keluarga sama ada dengan memberi layanan baik ataupun menggembirakan hati mereka dengan memenuhi hasrat munasabah mengikut kemampuan suami.

Suami juga hendaklah tidak kedekut membelanjakan wangnya untuk kebajikan isteri dan anak. Ini dapat dilihat daripada kisah Hindun yang mengadu kepada Rasulullah terhadap suaminya Abu Sufyan yang mempunyai harta tetapi kedekut.

Hindun mencuri sebahagian harta Abu Sufyan untuk keperluan dirinya. Rasulullah SAW membenarkan Hindun mengambil harta Abu Sufyan walaupun tanpa pengetahuan Abu Sufyan dengan kadar yang munasabah.

Cerita itu boleh dijadikan pengajaran, hubungan suci suami isteri ini perlu berasaskan hukum syarak dan meletakkan piawaian terbaik bagi mengemudi bahtera rumah tangga supaya apabila dilanda badai dan ombak ia tetap utuh.

Justeru, membina rumah tangga sering dijadikan perbandingan dengan membina masjid. Meruntuhkan rumah tangga sama seperti meruntuhkan masjid. Meruntuhkan masjid mempunyai implikasi besar kepada umat Islam kerana masjid yang makmur menggambarkan umat Islam yang bersatu dan berteraskan kepada syariah Islam.

Kemunculan golongan yang memperjuangkan kesamarataan antara lelaki dan wanita sebenarnya adalah diakibatkan kegagalan suami melaksanakan tanggungjawab mereka. Secara hipotetikal, jika semua suami melaksanakan tanggungjawab menurut hukum syarak sudah pasti golongan aktivis wanita tidak wujud.

Semangat dan falsafah hadis di atas sebenarnya diolah kembali dan digubal dalam Undang-Undang Keluarga Islam dan Undang-Undang Jenayah Syariah. Undang-undang itu memperuntukkan tanggungjawab dan peranan perlu dimainkan suami isteri.

Ia juga menggariskan kesalahan yang boleh dihukum seperti cuai terhadap isteri, nusyuz, ingkar perintah mahkamah dan lain-lain. Namun undang-undang dan mahkamah hendaklah dijadikan jalan terakhir penyelesaian kemelut rumah tangga. Didikan dan kesedaran mengenai hak dan tanggungjawab adalah lebih utama berbanding aspek hukuman.

Sumber : Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Tarikh : 11/2/2009

Kajian mendalam hukum Islam tepis tanggapan diskriminasi terhadap wanita

SEJAK akhir-akhir ini banyak isu agama dikupas ahli masyarakat dengan berpandukan kaca mata agama lain, Barat atau menggunakan akal semata-mata dengan mengetepikan aspek Islam seperti perundangan, epistemologi dan maqasid al-Shariah yang sudah sebati dalam undang-undang Islam. Antara perkara sering dipertikaikan ialah diskriminasi terhadap wanita yang dikatakan berlaku dalam undang-undang harta pusaka atau faraid. Golongan ini menghujahkan tidak adil apabila Islam memberikan hak dua kali ganda kepada lelaki.

Hujah mereka diperkuatkan lagi dengan mengambil kira kedudukan wanita kini yang sudah berjaya dalam karier dan ada yang mendapat saraan lebih daripada lelaki. Ramai juga lelaki Islam kini bergantung kepada wanita dalam membantu meningkatkan taraf hidup keluarga. Jika perkara ini dilihat daripada kaca mata masyarakat moden tentu kita dapati seolah-olah ada kejelikan dalam hukum Islam dan memberi tanggapan ia ketinggalan zaman. Adakah ini benar?

Jika kita memakai lensa Islam bersandarkan al-Quran dan sunnah, pasti kita melihat isu ini dari sudut berlainan dan membawa keadilan lebih sejagat serta keindahan falsafah perundangan Islam.

Dalam kes pembahagian harta pusaka, kita tidak boleh mengehadkan pengkajian kepada pembahagian harta pusaka saja. Sebelum itu, kita perlu memahami kedudukan pasangan Islam yang menekankan tanggungjawab menanggung keluarga digalas sepenuhnya oleh suami sebagai ketua keluarga. Jika suami tidak berkemampuan, saudara mara terdekat suami harus mengambil alih tanggungjawab itu dan ia tidak berpindah kepada isteri atau keluarga isteri sekali pun isteri kaya melainkan dengan keredaan isteri. Apabila suami memperoleh harta atau wang, sebenarnya dalam harta itu ada hak orang lain seperti isteri, anak, ibu dan bapa. Namun jika isteri memperoleh harta atau wang, harta itu milik isteri dan suami tidak boleh mengambilnya tanpa keredaan.

Berbalik kepada pembahagian pusaka, jika melihat dari konteks Islam pasti kita menghayati keadilannya kerana walaupun lelaki menerima sekali ganda hak berbanding wanita, tanggungjawab dipikul mereka amat berat dan sebahagian besar daripada harta itu mesti dibelanjakan untuk orang lain.

Bagi wanita pula, harta adalah milik mutlaknya. Akhirnya kita dapati dari segi jumlahnya, penerimaan lelaki dan wanita lebih kurang sama dan dalam banyak keadaan lelaki menerima kurang.

Jika kita melihat keadilan atau kesamarataan itu bermakna satu adalah sama dengan satu seperti dipelopori Barat, tentu kita sukar menerima ketetapan Allah dalam hukum pusaka. Jika kita melihat keadilan ialah meletakkan hak kepada yang berhak seperti diperjuangkan Islam, pasti cara pembahagian harta pusaka amat menggembirakan kita. Masyarakat Islam keseluruhannya juga akan mendapat manfaat kerana dalam beberapa keadaan lain, Baitulmal mendapat agihan pusaka bagi menjaga kepentingan umat Islam amnya.

Dalam kes talak pula, memang hak melafazkan talak diberikan kepada suami. Isteri tidak boleh talak suami dalam keadaan apa sekalipun tetapi hanya boleh menebus talak daripada suami dengan memberi bayaran dipersetujui bersama. Ramai yang mendakwa keadaan ini mendiskriminasi wanita. Bagi menyanggah dakwaan itu, penelitian mendalam perlu dibuat dalam bidang kekeluargaan Islam. Apabila wanita Islam diceraikan suami tanpa sebab munasabah, suami dibebankan dengan pembayaran mutaah atau sagu hati akibat perceraian itu. Tanggungjawab memberi mutaah tidak sesekali berpindah kepada isteri. Jika isteri diberi hak mentalak suami, pasti isteri juga perlu memberi mutaah kepada suami. Inilah neraca kawalan yang disediakan Islam dalam konteks talak.

Tidak timbul persoalan penganiayaan terhadap wanita kerana tidak mendapat hak talak terhadap suami kerana jalan keluar lain sudah disediakan Islam seperti pembubaran perkahwinan melalui fasakh dan taklik. Perceraian bukan saja dilakukan melalui talak, malah cara lain lagi seperti fasakh, takliq, tebus talak dan lian. Alternatif ini perlu diteroka bagi mendapatkan keadilan bagi wanita dalam membubarkan perkahwinan mereka.

Islam memang adil. Kajian mendalam mengenai Islam perlu dilakukan sebelum kita membuat kesimpulan mengenainya. Memang ramai orang mampu bercakap mengenai Islam, tetapi segelintir yang boleh bercakap bagi pihak Islam.

Golongan itu adalah ulama yang mendambakan kehidupan mengkaji ilmu Allah. Jangan kita yang baru membaca beberapa buku mengenai Islam sudah berhujah mencari keburukan Islam. Tidak seharusnya kita mendahului ulama kerana setiap ilmu ada ahlinya tersendiri.

Perspektif Islam mungkin berbeza dengan pandangan lain kerana falsafah Islam digariskan Allah. Kadang-kadang ia melampaui kemampuan akal fikiran seseorang. Jadi terima dengan hati yang terbuka segala ketetapan Allah. Jangan teruja dengan kemampuan akal fikiran kerana akal juga dijadikan Allah dalam ruang yang terhad. Landasan disediakan Allah adalah yang benar membawa kebahagiaan abadi.

Sumber : Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Tarikh : 11/2/2009