Saturday, February 14, 2009

Wasiat dalam sistem faraid tak boleh diubah

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, menyelar pihak yang mendesak peraturan wasiat dalam sistem faraid diubah.

Pihak terbabit memberi alasan sistem itu lapuk dan mendiskriminasi wanita Muslim, kerana membuat dakwaan itu tanpa memahami Islam serta tidak bertanggungjawab terhadap agama sendiri.

Katanya, peraturan sedia ada itu tidak perlu disemak semula mahu pun diubah kerana sistem faraid ditentukan Allah SWT dan bukan undang-undang buatan manusia.

Beliau menegaskan, sistem faraid tidak mendiskriminasi golongan wanita, sebaliknya pembahagian harta yang lebih kepada pihak lelaki ialah kerana mereka memikul lebih banyak tanggungjawab.

“Orang yang bercakap itu tidak memahami Islam dan apa sebenarnya faraid, serta tidak bertanggungjawab langsung terhadap agama. Islam mengambil kira banyak sebab dalam penentuan faraid ini.

“Dalam Islam, kita tidak memperjuangkan kesamaan antara lelaki dan wanita tetapi keadilan jantina. Sama rata tidak semestinya adil. Islam memberi apa yang sesuai dan layak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Laporan akhbar semalam memetik seorang penyelidik bebas, penulis dan jurulatih advokat hak asasi manusia, Cassandra Balchin yang sudah memeluk Islam, sebagai berkata peraturan wasiat dalam sistem faraid mesti disemak semula.

Balchin yang berada di negara ini untuk menghadiri mesyuarat Musawah mendakwa, sistem faraid sedia ada sudah lapuk kerana diterjemah menurut konteks sejarah, malah mendiskriminasi wanita yang memperoleh pembahagian harta lebih sedikit berbanding lelaki dan sudah tiba masanya mendapatkan kesamaan antara jantina dalam Islam.

Mashitah berkata, ada pelbagai saluran disediakan dalam Islam untuk mendapatkan pembahagian harta secara sama rata antara anak lelaki dan perempuan, termasuk melalui penetapan wasiat, hibah serta undang-undang.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, menegaskan sistem faraid tidak perlu disemak semula serta tidak boleh diubah kerana ia sudah jelas dan juga ketentuan Allah di mana Surah an-Nisa ayat 11 hingga 14 memperincikan perihal pembahagian harta dalam Islam.

“Dalam sistem faraid, anak lelaki mendapat bahagian lebih besar tetapi itu nilai kasar kerana mereka wajib menggunakannya untuk isteri, anak-anak, ibu bapa dan bertanggungjawab membantu adik-beradik perempuan yang memperoleh bahagian lebih sedikit apabila mereka kesusahan. Ini berbanding anak perempuan yang mendapat bahagian lebih sedikit tetapi ia adalah nilai bersih, iaitu hak mutlak mereka. Justeru pada akhirnya, nilai bahagian kedua-dua lelaki dan perempuan adalah sama,” katanya.

“Dalam hukum Islam, keadilan bukan seperti ‘satu sama dengan satu’ tetapi meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Kita perlu balik kepada sumber hukum, hadis dan ijtimak ulama.”

“Jangan menggunakan `neraca’ (alasan memperjuangkan hak sama rata) dari Barat yang nampak baik tetapi sebenarnya menyesatkan. Selain itu, jangan terlalu takjub dengan akal fikiran dan juga jangan mempengaruhi orang lain pula,” katanya.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 14/2/2009

0 komen:

Post a Comment