Friday, May 8, 2009

Balu Kedua Alahyarham Raja Nong Chik Dapat Kebenaran Mencelah

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini Jumaat membenarkan permohonan keluarga balu kedua Allahyarman Raja Datuk Nong Chik Raja Ishak untuk mencelah dalam rayuan Amanah Raya Berhad (ARB) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan saman ke atas balu pertama berhubung sejumlah unit saham dalam empat syarikat yang dimiliki oleh ahli perniagaan itu.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Datuk Wira Low Hop Bing berkata Perintah 15 Peraturan 6 dalam Peraturan-Peraturan Mahkamah Tinggi 1980 memberi kuasa budi bicara kepada mahkamah untuk memberi kebenaran mencelah kepada mereka yang tidak menjadi pihak jika wujud persoalan atau isu bebangkit atau berkaitan dengan sebarang tuntutan relif atau penyelesaian.

Hakim Low, yang mengetuai panel bersidang bersama Hakim Datuk Sulong Mat Jeraie dan Datuk Ramly Ali, juga berkata pemohon iaitu keluarga balu kedua Allahyarham, Jumaaton @ Zaiton Awang telah memenuhi kepentingan untuk mencelah dalam rayuan kerana mereka merupakan waris sah harta Allahyarham Raja Nong Chik.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Jun ini untuk mendengar kes rayuan ARB.

Pada tahun lepas, lima orang anak Zaiton memfailkan permohonan untuk mendapat kebenaran mencelah atas alasan bahawa mereka merupakan waris yang sah dan mempunyai hak undang-undang untuk mencelah dalam prosiding rayuan itu.

Mereka ialah Raja Delila, Raja Norlina, Raja Iskandar, Raja Akhbar dan Raja Yurihana.

ARB menjadi pentadbir harta pusaka Allahyarham, yang meninggal dunia pada 10 Feb 1994 tanpa menulis wasiat, berdasarkan surat kuasa mentadbir yang diperoleh dari Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur, pada 17 Dis 1996 menerusi satu petisyen.

Pada 7 April, 2004, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Patail membatalkan saman ARB terhadap balu pertama Allahyarham, Raja Rajmah Raja Chik, selepas ARB, yang diwakili oleh pegawai undang-undangnya Rafizah Mahadzir, memaklumkan bahawa mereka tidak bersedia untuk meneruskan prosiding pada hari itu.

Prosiding itu sudah beberapa kali ditangguhkan.

ARB menamakan Raj Rajmah sebagai defendan pertama dan anak-anakanya Raja Hanipuddin, Raja Sallehuddin, Raja Hizaruddin, Raja Taharuddin dan Raja Noraini sebagai defendan kedua sehingga keenam.

ARB juga menamakan Cik Normah Raja Nong Chik sebagai defendan ketujuh dan empat syarikat -- Lambang Tenaga Putra Sdn Bhd., Furukawa Electric Cables (M) Sdn Bhd., Shorga Sdn.Bhd., Malaysian Zips Sdn. Bhd., serta setiausaha syarikat Chow Soon Tat @ Chew Soon Tat dan Chong Fook Sin dari TACS Corporate Services Sdn. Bhd., sebagai defendan kelapan hingga ke-13.

Dalam penyataan tuntutan, ARB berkata mereka mempunyai kuasa sepenuhnya untuk mengurus semua harta pusaka Allahyarham termasuk saham-saham dalam syarikat itu dengan pengawasan mahkamah.

ARB mendakwa dari tarikh 17 Dis 1996 selepas menerima surat kuasa mentadbir dari Mahkamah Tinggi, ia tidak pernah memindah atau menyerahkan saham syarikat kepada sesiapa atau melakukan sebarang urusan transaksi saham berkenaan.

ARB juga turut mendakwa satu surat kuasa pemindahan saham dari Allahyarham pada 24 Jan, 1994 adalah tidak sah dan kuasa kerana Lambang Tenaga Putra dan/atau kakitangannya atau ejennya bersama Chong berpakat melakukan penipuan ke atas harta Allahyarham.

ARB berkata ini adalah kerana Allahyarham Raja Nong Chik tidak pernah menandatangani surat kuasa itu di hadapan Chong pada 24 Jan 1994 atau pada bila-bila masa sebelum kematiannya.

Oleh itu, ARB mahu perisytiharan bahawa resolusi pengarah Lambang Tenaga Putra Sdn. Bhd pada 26 Jan, 1994 meluluskan pemindahan 1,000 unit saham kepada defendan keenam, Raja Noraini Raja Nong Chik, sebagai tidak sah.

Pihak defendan dalam penyataan pembelaan menafikan bahawa syarikat berkenaan, kakitangannya atau ejennya telah berpakat dengan setiausaha syarikat untuk melakukan penipuan harta Allahyarham.

Allahyarham dikatakan meninggalkan harta pusaka dan saham bernilai kira-kira RM1.5 bilion tanpa sebarang wasiat ketika meninggal dunia pada 1994.

Sumber : BERNAMA
Tarikh : 8/5/2009

0 komen:

Post a Comment