Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Monday, June 29, 2009

40% pekerja awam berhutang

KUALA LUMPUR - Seramai 450,000 orang daripada 1.2 juta petugas awam menghadapi masalah hutang dan golongan ini perlu diberi perhatian khas kerana mereka mudah terjerumus dalam gejala rasuah.

Setiausaha Agung CUEPACS, Ahmad Shah Mohd. Zin berharap ketua-ketua mereka di jabatan atau kementerian mengambil sikap berperikemanusiaan dalam mengendalikan masalah mengenai kumpulan ini, yang rata-ratanya membawa pulang hanya 40 peratus daripada gaji mereka.

"Kebanyakan gaji mereka dipotong untuk pelbagai pinjaman seperti perumahan dan kenderaan atau mengubah suai rumah," katanya.

Ahmad Shah berkata, ramai penjawat awam diberi kelonggaran oleh kerajaan untuk membuat kerja sambilan seperti membawa teksi, menjadi agen jualan langsung dan berniaga untuk menampung pendapatan tetapi ini tidak mencukupi.

"Kos sara hidup di bandar adalah tinggi dan ini menyebabkan ramai yang terpaksa berhutang," katanya.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah bersetuju bahawa satu daripada faktor yang menyebabkan ramai petugas awam berhutang ialah perbelanjaan yang tinggi di bandar.

"Untuk mengatakan mereka ini tidak tahu menguruskan kewangan mereka adalah satu tanggapan salah," katanya.

Yang sebenarnya, kata Muhammad Shaani, ialah gaji petugas awam tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup.

Beliau memberi contoh bahawa 30 tahun lepas, kos untuk satu sarapan ialah RM1.20 tetapi kini ianya melambung lima kali ganda sedangkan pendapatan penjawat awam tidak meningkat selari dengan kenaikan kos itu.

Muhammad Shaani berkata, jika kerajaan tidak dapat menaikkan gaji penjawat awam, ia boleh membantu dengan cara lain seperti menjadikan pengangkutan awam lebih murah, menyediakan lebih banyak biasiswa untuk anak-anak mereka dan memberikan potongan bagi kemudahan tertentu. - BERNAMA

Sumber : ARKIB
Tarikh : 29/6/2009

Thursday, June 11, 2009

Mendidik remaja pengurusan kewangan bijak

Oleh : MOHD. FARID MD ALIAS

BARU-baru ini hangat diperkatakan berkenaan kezaliman para pemberi pinjaman persendirian dalam menuntut kembali pinjaman daripada peminjam mereka. Si pemungut pinjaman sanggup melakukan apa sahaja demi melaksanakan misi mereka hatta sehingga mengancam nyawa si peminjam.

Selain daripada usaha menyediakan alternatif lain untuk mendapatkan pinjaman, khasnya buat mereka yang tidak bepekerjaan tetap, kita juga perlu menyelami isu ini sehingga kepada akar puncanya.

Sekiranya selama ini kita memikirkan kenapa ramai meminjam daripada pihak berkenaan, mungkin kita boleh memfokuskan persoalan kepada mengapa ramai meminjam? Atau mengapa perlu meminjam?

Persoalan mengapa ramai meminjam itu mungkin boleh ditanggapi jawapannya dari sudut situasi sektor pekerjaan yang agak kurang menggalakkan sejak kebelakangan ini akibat kelembapan ekonomi global. Kesannya ramai pekerja diberhentikan disebabkan ada syarikat yang menutup atau menguncupkan operasi.

Kesan tersebut turut menimpa golongan peniaga yang bersandarkan jualan barangan atau perkhidmatan mereka kepada golongan pekerja. Hal ini seterusnya mengurangkan pendapatan golongan peniaga pula.

Walaubagaimanapun wang akan tetap diperlukan demi meneruskan kehidupan. Persoalan makanan, sewa rumah, hutang kenderaan, rawatan kesihatan semuanya memerlukan pembiayaan.

Maka dari mana hendak mendapatkan wang seberapa segera? Pinjaman peribadi daripada pihak bank? Masakan berhasil lulus andai status kewangan tidak stabil. Pinjaman daripada saudara mara atau rakan? Ia bergantung kepada bagaimana pula keadaan kewangan mereka. Tidak semua mempunyai kenalan yang agak mewah.

Oleh itu mahu atau tidak, akan ada yang merujuk kepada peminjam kewangan persendirian walaupun mengetahui risiko faedah yang tinggi serta ancaman keselamatan diri. Seterusnya, kisah-kisah sedih akibat kegagalan membayar pinjaman akan terus terpampang di dada-dada akhbar seperti yang kita maklum sebelum ini.

Bagaimana Penyelesaiannya?

Sebagai penyelesaian jangka pendek ini, penyediaan dana kewangan bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap mungkin mampu membantu golongan tersebut. Namun dari segi pelaksanaannya, pemberian pinjaman tersebut harus mengambil kira faktor peribadi pemohon agar mereka yang benar-benar layak sahaja akan dipilih.

Keduanya, pihak kerajaan turut berusaha merancakkan kembali persekitaran ekonomi negara dengan pelbagai pakej rangsangan yang diumumkan. Kaedah sedemikian telah dilaksanakan oleh negara-negara lain dengan maksud tujuan yang sama.

Melalui usaha tersebut, juga diharapkan agar lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan dapat diwujudkan agar lebih ramai rakyat mempunyai pendapatan sendiri, justeru tidak perlu meminjam untuk menyara kehidupan.

Ketiga, perancangan kewangan yang bijak pada peringkat individu merupakan inisiatif terbaik dalam memastikan kelangsungan status kewangan diri.

Teladani Kisah Nabi Yusuf

Kisah Nabi Yusuf sebagaimana diceritakan dalam al-Quran dalam surah Yusuf ayat 43 hingga 49 ada memberikan panduan tentang bagaimana kita seharusnya mengurus rezeki kita.

Sebagaimana negeri Mesir yang menjadi subur dan mewah dalam tempoh tujuh tahun dan kemudiannya bertukar menjadi kemarau tujuh tahun berikutnya, maka di kala tujuh tahun yang mewah itulah menjadi tempoh waktu mengumpul bekalan buat menghadapi tujuh tahun yang kontang.

Bagi kita pula, ketika dikurniakan kemewahan, sewajarnya kita sentiasa beringat agar tidak boros serta membazir dengan kemewahan tersebut. Kemewahan yang ada mungkin sahaja akan menyusut atau hilang secara tiba-tiba.

Justeru, tugas kita adalah dengan berusaha menggunakan kemewahan yang dimiliki melalui panduan yang disyariatkan serta menyimpan sebahagiannya untuk hari depan.

Menyimpan, Mencarum Demi Hari Depan

Oleh sebab wang menjadi satu bentuk pertukaran yang piawai dan sebagai sandaran nilai sesuatu barangan, maka penyimpanan wang menjadi fokus pengurusan kemewahan pada zaman moden ini berbanding barang makanan atau sebagainya.

Kini terdapat pelbagai instrumen kewangan yang dapat membantu kita mengurus kewangan diri seperti takaful, khairat, wakaf ataupun skim simpanan. Melalui caruman takaful dengan syarat-syarat yang dipersetujui, kita mendapat jaminan bantuan kewangan serta dividen daripada pihak syarikat takaful seandainya menghadapi situasi tidak diduga.

Sebagai contoh, seandainya berlaku kemalangan kepada si pencarum, belanja rawatan perubatannya mungkin dapat ditanggung oleh syarikat takaful, malahan beliau mungkin mendapat pampasan atas kemalangan tersebut.

Hal ini dapat mengurangkan bebanan kewangan beliau atas sebab satu situasi yang tidak terduga hanya dengan sedikit caruman takaful berbanding jika beliau tidak mempunyai sebarang perlindungan takaful.

Juga untuk pelbagai matlamat kewangan yang lain, pelbagai agensi telah ditubuhkan oleh kerajaan dalam membantu rakyat menyimpan demi mencapai matlamat mereka. Umpamanya, Lembaga Tabung Haji memberikan khidmat penyimpanan wang agar umat Islam di negara ini dapat menyimpan wang untuk tujuan menunaikan haji.

Begitu juga dengan Skim Simpanan Pendidikan Nasional yang wajar disertai oleh para ibu bapa dalam usaha menyediakan dana sendiri untuk menyara kos pendidikan anak-anak di peringkat kolej atau universiti.

Hal ini seterusnya dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat terhadap pihak kerajaan untuk mendapatkan pinjaman pendidikan anak-anak, dan seterusnya membebaskan anak-anak daripada beban hutang pinjaman pendidikan sejurus mereka tamat pengajian kelak.

Pihak Bank Negara turut menubuhkan satu agensi khas dalam membantu rakyat merencana kewangan mereka yang dinamakan Agensi Kewangan dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Khidmat nasihat yang ditawarkan adalah percuma dan seharusnya dimanfaatkan oleh orang awam tidak sahaja ketika mengalami kesukaran tetapi juga bagi mereka yang mewah demi mencapai pengurusan kewangan yang lebih baik.

Sumber : ARKIB
Tarikh : 11/6/2009

Friday, June 5, 2009

Sunat wasiat untuk berwakaf

Soalan:

Ibu saya bercadang mewakafkan rumahnya dan sebahagian daripada hartanya melalui wasiat tetapi ragu-ragu adakah ia dibenarkan dalam hukum.

Jawapan:

Wasiat sebegini harus dalam Islam, malahan hukum berwakaf adalah sunat. Lebih-lebih lagi umat Islam yang daif yang amat memerlukan bantuan saudara-saudara Islam yang lain.

Kita juga perlu yakin bahawa salah satu alternatif bagi memulih dan mengekalkan kepesatan kewangan Islam ialah melalui cara berwakaf.

Di awal perkembangan Islam golongan korporat dari kalangan sahabat telah mewakafkan sebahagian besar dari harta mereka untuk tujuan pengembangan Islam. Natijahnya hari ini, terdapaat hampir 1.7 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Niat dan tujuan ibu untuk mewakafkan rumah dan sebahagian hartanya adalah langkah yang sangat baik, kerana manfaatnya bukan sahaja di dunia. Malahan pahalanya tidak akan terputus seperti air sungai yang mengalir.

Adalah lebih baik diperhatikan persoalan yang berkaitan dengan wakaf dan permasalahannya seperti berikut:

Apabila ditinjau dari segi bahasa wakaf bererti menahan. Sedangkan menurut istilah syarak, ialah menahan sesuatu benda yang kekal zatnya, untuk diambil manfaatnya untuk kebaikan dan kemajuan Islam.

Menahan suatu benda yang kekal zatnya, ertinya tidak boleh dijual dan tidak diberikan serta tidak pula diwariskan, tetapi hanya disedekahkan untuk diambil manfaatnya saja.

Ada beberapa pengertian tentang wakaf antara lain:

*Pengertian wakaf menurut mazhab Syafie dan Hambali adalah: “seseorang menahan hartanya untuk dimanfaatkan di segala bidang kemaslahatan dengan tetap mewakafkan harta tersebut sebagai taqarrub (menghampirkan diri) kepada Allah SWT.

*Pengertian wakaf menurut mazhab Hanafi adalah: “menahan harta-benda sehingga menjadi hukum milik Allah. Maka seseorang yang mewakafkan sesuatu bererti ia melepaskan kepemilikan harta tersebut dan memberikannya kepada Allah untuk beroleh manfaatnya kepada manusia secara tetap dan berterusan, tidak boleh dijual, dihibahkan ataupun diwariskan.

*Pengertian wakaf menurut Imam Abu Hanafi pula adalah: “menahan harta-benda atas kepemilikan orang yang berwakaf dan bersedekah dari hasilnya atau menyalurkan manfaat dari harta tersebut kepada mereka yang dicintainya. Berdasarkan definisi Abu Hanifah ini, maka harta tersebut ada dalam pengawasan orang yang berwakaf (wakif) selama ia masih hidup, dan boleh diwariskan kepada ahli warisnya jika ia sudah meninggal samaada untuk dijual atau dihibahkan (hadiah).

Definisi ini berbeza dengan yang diberikan oleh Abu Yusof dan Muhammad, sahabat kepada Imam Abu Hanifah itu sendiri.

*Pengertian wakaf menurut mazhab Maliki adalah memberikan sesuatu hasil manfaat dari harta, dimana harta pokoknya konsisten atas kepemilikan pemberi manfaat tersebut walaupun sesaat.

Daripada definisi itu dapat disimpulkan bahawa wakaf itu termasuk salah satu di antara pemberian, akan tetapi hanya boleh diambil manfaatnya dan bendanya harus tetap utuh.

Oleh kerana itu, harta yang layak untuk diwakafkan adalah harta yang tidak habis dipakai dan umumnya tidak dapat dipindahkan, misalnya tanah, bangunan dan serupa dengannya.

Utamanya untuk kepentingan umum, misalnya untuk masjid, surau, sekolah, rumah-rumah kebajikan, jalan awam, dan sebagainya.

Hukum wakaf sama dengan amal jariah. Sesuai dengan jenis amalnya maka berwakaf bukan sekadar berderma (sedekah) biasa, tetapi lebih besar pahala dan manfaatnya terhadap orang yang berwakaf.

Pahala yang diterima mengalir terus menerus selama barang atau benda yang diwakafkan itu masih berguna dan bermanfaat. Hukum wakaf adalah sunat.

Hadis Rasulullah yang bermaksud: Apabila anak Adam meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya, kecuali tiga (perkara), iaitu sedekah jariah (yang mengalir terus), ilmu yang dimanfaatkan, atau anak saleh yang mendoakannya. (riwayat Muslim)

Harta yang diwakafkan tidak boleh dijual, dihibahkan atau diwariskan. Akan tetapi, harta wakaf tersebut harus secara terus menerus dapat dimanfaatkan untuk kepentingan umum sebagaimana maksud orang yang mewakafkan.

Syarat dan Rukun Wakaf

*Syarat Wakaf

Syarat-syarat harta yang diwakafkan sebagai berikut:

1. Diwakafkan untuk selama-lamanya, tidak terbatas waktu tertentu.
2. Tunai tanpa menggantungkan pada suatu peristiwa di masa yang akan datang.
Misalnya, “Saya wakafkan bila dapat keuntungan yang lebih besar dari usaha yang akan datang”.
3.Jelas mauquf alaihnya (orang yang diberi wakaf) dan bisa dimiliki barang yang diwakafkan (mauquf) itu.

*Rukun Wakaf

Orang yang berwakaf (wakif), syaratnya:

1. Kehendak sendiri.
2. Berhak berbuat baik walaupun bukan Islam
Sesuatu (harta) yang diwakafkan (mauquf), syaratnya:
1. Barang yang dimiliki dapat dipindahkan dan tetap zatnya, berfaedah saat diberikan maupun dikemudian hari.
2. Milik sendiri walaupun hanya sebahagian yang diwakafkan (bercampur dan tidak dapat dipindahkan dengan bahagian yang lain)
Akad, misalnya: “Saya wakafkan ini kepada masjid, sekolah orang yang tidak mampu dan sebagainya” tidak perlu qabul (jawab) kecuali yang bersifat peribadi (bukan bersifat umum).

*Hikmah Wakaf

Hikmah wakaf adalah seperti berikut:

*Melaksanakan perintah Allah SWT untuk selalu berbuat baik. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan buatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan. (al-Hajj: 77)

Memanfaatkan harta atau barang bagi tempoh yang tidak terbatas. Kepentingan diri sendiri sebagai pahala sedekah jariah dan untuk kepentingan masyarakat Islam sebagai sebagai tanggungjawab kaum muslimin. Mengenai hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang tidak memperhatikan urusan dan kepentingan kaum muslimin maka tidaklah ia dari golonganku”.

*Mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan peribadi. Wakaf biasanya diberi kepada pihak berkuasa agama negeri. Kalau di selangor Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Atau di mana-mana organisasi yang berautoriti yang diberi izin oleh pihak berkuasa negeri atau Kerajaan Persekutuan. Kaedah usul fiqh yang bermaksud: “Kemaslahatan umum harus didahulukan daripada kemaslahatan yang khusus”.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 5/6/2009

Monday, June 1, 2009

Lelaki mati ditetak rebut pusaka

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mati ditetak dengan parang selepas bergaduh dipercayai akibat perebutan harta pusaka di Kampung Jasa Sepakat, Pekan Nenas, dekat Pontian, di sini, hari ini.

Tahir Zainal, 41, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Pontian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Supt Muzammil Hashim, ketika dihubungi berkata polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1.30 petang di rumah pusaka arwah ibu mangsa, Tahir dan isterinya ke sana untuk menyelesaikan masalah harta pusaka bersama dua saudara terdekatnya.

"Tahir yang berang apabila pintu rumah itu berkunci bertindak mengambil kuku kambing dari keretanya untuk memecahkan pintu rumah dan apabila gagal dia mengambil kapak untuk cuba membuka pintu sambil memarahi dan mencabar saudara-saudara terdekatnya itu," katanya.

Beliau berkata, tindakan Tahir menyebabkan seorang saudara terdekatnya itu bertindak mengambil sebilah parang dan sebatang tajak kelapa sawit sebelum pergi ke arah Tahir yang ketika itu bergerak ke bahagian tepi rumah untuk memecahkan pintu belakang.

"Apabila dia menghampiri Tahir, Tahir bertindak menyerang lelaki itu dengan kuku kambing menyebabkan lelaki terbabit menghayunkan parang menetak sebelah kiri badan Tahir," katanya.

Muzammil berkata, lelaki terbabit kemudian menghubungi polis dan ambulans.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 1/6/2009