Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Thursday, May 29, 2008

Peguam Syarie Menulis: Harus wasiat semua harta kepada anak

Soalan:

Merujuk permasalahan bekas isteri dari Perlis pada 8 Mei lalu, saya mulai terfikir permasalahan yang mungkin saya hadapi. Saya dan suami mempunyai empat anak dan semuanya perempuan. Ini bermakna kami tidak mempunyai waris anak lelaki. Adakah dibolehkan dalam Undang-Undang Islam bagi kami untuk mewasiatkan harta yang kami ada ketika hidup kepada semua anak kami melalui mana-mana pemegang amanah?

Azizah,
Kuala Lumpur.

Jawapan:

Bagi menjawab persoalan puan, rujukan adalah melalui Bab Wasiat, Kitab Fikah Mazhab Syafie oleh Dr Mustofa Al Khin, Dr Mustofa Al Bugho dan Ali Asy Syarbaji.

Hukum asal ketika peringkat awal kedatangan Islam berkaitan wasiat adalah wajib mewasiatkan semua harta kepada ibu bapa dan sanak-saudara. Dalilnya firman Allah bermaksud: Kamu diwajibkan apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang yang bertakwa. (Al Baqarah:180)

Namun, kewajipan itu dimansuhkan dengan ayat-ayat dan hadis-hadis yang berkaitan dengan pusaka. Cuma amalan berwasiat masih digalakkan dengan had maksimum satu pertiga saja daripada harta dan diberikan kepada selain ahli waris.

Kitab Fikah Mazhab Syafie merujuk Abdullah bin Abbas r.a, berkata: Hukum wasiat terus diamalkan berdasarkan firman Allah bermaksud: Kamu diwajibkan apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat…sehinggalah ayat ini dimansuhkan dengan ayat pusaka Abu Daud dalam Kitab Wasiat, Bab Hadis Memansuhkan Wasiat Kepada Ibu bapa dan Kerabat.

Rasulullah bersabda bermaksud: Sesungguhnya Allah mengurniakan hak kepada setiap yang berhak. Tidak harus wasiat untuk pewaris. (Riwayat Abu Daud). Peraturan asas wasiat, ia hanya boleh diberikan kepada bukan waris. Anak adalah ahli waris, oleh itu merujuk nas, tidak boleh membuat wasiat kepada anak berkenaan.

Tujuan peraturan ini adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan pahala serta memenuhi segala kekurangan ketika hayat pembuat wasiat. Anak dan waris lain mendapat bahagian mereka melalui pusaka.

Di dalam kes puan, puan ingin mewasiatkan semua harta kepada semua anak perempuan kerana tiada anak lelaki. Jika merujuk nas dan pendapat utama mazhab Syafie, wasiat sebegini hukumnya harus, tetapi tidak boleh dilaksanakan kecuali selepas mendapat persetujuan waris lain.

Hanya dengan persetujuan waris lain barulah wasiat itu boleh dilaksanakan. Waris lain puan merujuk sama ada ibu bapa, abang atau adik lelaki puan di mana mereka berhak melalui hukum faraid mendapat bahagian melalui pusaka puan. Oleh itu, sama ada puan dan suami membuat wasiat semua harta atau 1/3 saja kepada anak perempuan saja walaupun melalui mana-mana pemegang amanah, hukum asalnya sama seperti pendapat utama mazhab Syafie itu.

Ia juga merujuk sabda Rasullullah s.a.w bermaksud: Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain (Riwayat Daruqutni daripada Ibnu Abbas r.a).

Beberapa perkara perlu diketahui puan berkaitan wasiat kepada waris ini iaitu:

1) Jika wasiat ditujukan kepada waris, penerimaan atau penolakan waris ketika hayat pewasiat tidak memberikan sebarang kesan kerana pewaris tidak mempunyai sebarang hak dalam pusaka ketika hayat pewasiat. Mana-mana waris yang menerima wasiat melalui wasiat ketika hidup pewasiat, boleh menolaknya selepas kematian pewasiat. Mana-mana waris yang menolak harta ketika pewasiat masih hidup, boleh menerimanya selepas kematian pewasiat. Oleh itu, setiap waris tidak terikat dengan mana-mana perjanjian wasiat yang dibuat ketika hayat pewasiat.

2) Penerima wasiat mesti menjadi waris ketika kematian pewasiat, bukan ketika wasiat dibuat. Jika pewasiat mewasiatkan harta kepada saudaranya kerana beliau tidak mempunyai anak, tetapi sebelum pewasiat mati, pewasiat mendapat anak lelaki, wasiat itu sah dan boleh dilaksanakan kerana pada masa kematiannya, saudaranya bukan lagi waris yang berhak menerima pusaka kerana anak lelaki menghalang saudara kandung daripada mendapat pusaka.

3) Jika selepas kematian pewasiat, sebahagian pewaris setuju dan sebahagian lagi membantah, maka hukumnya perlu diperinci. Wasiat dibatalkan daripada bahagian waris membantah dan dilaksanakan pada bahagian waris yang setuju mengikut bahagian mereka dalam pusaka.

4) Jika wasiat berkaitan wakaf dan hadiah dibuat kepada waris ketika pewasiat hampir mati ia juga memerlukan persetujuan waris yang lain. Merujuk Ahmad Hidayat Buang dalam Bagaimana Membuat Wasiat, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, hikmah waris tidak berhak menerima wasiat daripada pewasiat adalah kerana hak mereka sudah dijamin hukum syarak melalui hukum faraid. Maka, pewasiat tidak wajar merosakkan keseimbangan agihan pusaka secara faraid yang ditetapkan hukum syarak.

Jawapan soalan oleh Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah binti Abd Razak.

Sumber: Berita Harian
Tarikh: 29/5/2008

Sunday, May 11, 2008

Isteri bercerai putus hak wang KWSP suami

Soalan:

SAYA bercerai secara fasakh di Perlis. Setahun selepas bercerai, bekas suami meninggal dunia. Kami mempunyai empat anak dan semuanya dipelihara oleh ibu bapa mentua. Arwah meninggalkan tiga rumah semuanya berada di Selangor yang dibeli ketika dalam tempoh perkahwinan, sebuah kereta dan wang di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ibu bapa mentua sudah mendapatkan sijil faraid dan dalam proses pembahagian harta pusaka. Saya menerima sejumlah wang daripada KWSP kerana arwah menamakan saya sebagai penama. Baru-baru ini ibu bapa mentua meminta semua wang KWSP yang saya terima dengan alasan saya tidak berhak menerima wang KWSP.

Saya ingin tahu hak saya dan anak terhadap wang KWSP dan harta lain kerana saya tidak sempat menuntut semua itu sebelum arwah meninggal dunia. Jika boleh menuntut, di manakah sewajarnya saya menuntut, sama ada di Perlis atau Selangor?

Bekas Isteri,
Perlis Indera Kayangan

Jawapan:

SEMOGA puan dan anak sentiasa dalam rahmat dan reda Allah melalui hari mendatang. Mengikut fatwa dan amalan semasa, wang simpanan si mati dalam KWSP adalah harta pusaka dan bukannya harta sepencarian. Ia mesti dibahagikan mengikut hukum faraid. Ia jelas melalui Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-49 pada September 2000 iaitu wang KWSP dan wang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid kerana wang itu dicarum si mati semasa hayatnya kepada KWSP maka wang itu adalah milik si mati.

Oleh itu, wang milik si mati adalah harta pusaka. Walaupun puan dinamakan sebagai penama untuk mengeluarkan dan menerima wang itu, wang yang diterima hendaklah dibahagikan kepada waris mengikut faraid. Fatwa Kebangsaan juga memutuskan penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum faraid.

Keputusan fatwa juga menetapkan Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hendaklah menasihatkan KWSP supaya menyemak semula peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung dengan penamaan supaya selaras dengan hukum syarak. KWSP turut memberikan peringatan kepada penerima seperti berikut: “Bagi ahli yang beragama Islam, penerima waran ini adalah sebagai wasi atau pentadbir dan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mentadbir dan membahagikan simpanan KWSP ahli mengikut undang-undang Islam (faraid).

Pelantikan penama hanyalah sebagai amalan biasa dalam KWSP mahupun mana-mana institusi kewangan seperti Tabung Haji dan bank. Majlis Raja-Raja kali ke-96 pada September 1973 memberikan pendapat yang dikeluarkan sebagai fatwa seperti berikut: Penama KWSP, Wang Simpanan Pejabat Pos, bank, insurans dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati daripada sumber itu untuk dibahagikan kepada orang yang berhak menurut pembahagian faraid.

Persoalan sama ada penama berhak kepada harta atau wang simpanan menurut hukum syarak atau sebaliknya dan sama ada harta atau wang simpanan itu dianggap sebagai harta pusaka si mati atau tidak timbul dalam kes Re Ismail bin Rentah (si mati) (1939) FMSLR 230. Dalam kes itu si mati menjadi ahli Syarikat Koperatif Pegawai Melayu, perkhidmatan awam dan menamakan anak perempuannya sebagai penama untuk menerima saham dan faedahnya dalam syarikat itu apabila beliau meninggal dunia.

Ketika kematiannya, si mati meninggalkan waris iaitu balu, ibu, anak perempuan, saudara lelaki dan saudara perempuan. Penolong Pendaftar memerintahkan saham dan faedah si mati daripada syarikat dibahagikan kepada waris dan bukan hanya kepada penama seorang. Penama membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi dan diperintahkan bahawa rayuan ditolak.

Yang Arif Hakim Raja Musa dalam keputusannya memutuskan: Dalam pendapat saya, surat penama dalam kes ini tidak boleh dianggap sebagai hibah masa hidup oleh kerana tidak ada pindah milik kepada orang yang menerima. Sebaiknya dia boleh dianggap sebagai hibah dalam masa mard al mawt, akan tetapi hibah dalam masa sedemikian dianggap sebagai tertakluk kepada undang-undang wasiat. Oleh kerana itu mengikut undang-undang Islam, jumlah itu terpulang untuk dibahagikan kepada semua waris.

Walaupun puan dilantik sebagai penama KWSP tetapi puan tidak termasuk sebagai waris pusaka si mati untuk mewarisi wang KWSP kerana pertalian di antara puan dengannya sebagai waris pusaka sudah terputus disebabkan perceraian antara puan dengannya sebelum arwah meninggal dunia. Namun, terpulanglah kepada peguam puan untuk berhujah menyatakan puan masih berhak ke atas 1/3 wang KWSP menggunakan undang-undang wasiat atau hibah semasa mard al-mawt seperti dinyatakan kes di atas.

Bagaimanapun, puan masih berhak untuk menuntut harta sepencarian terhadap rumah dan kereta arwah. Ia kerana tiada had masa untuk seseorang menuntut harta sepencarian selepas perceraian. Arahan Amalan No 5 tahun 2003 bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan berhubung dengan masa membuat tuntutan harta sepencarian dibolehkan sama ada semasa tuntutan perceraian atau selepas perceraian atau selepas kematian mana-mana pihak.

Oleh itu, puan masih boleh menuntut harta sepencarian terhadap rumah dan kereta arwah dengan membuktikan sumbangan puan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam pemerolehan harta berkenaan. Berkaitan di mana puan perlu memfailkan kes tuntutan harta sepencarian, walaupun ia masih dipertikaikan oleh khalayak namun menurut Arahan Amalan No 6 tahun 2003, penentuan mahkamah yang berbidang kuasa membicarakan kes harta sepencarian adalah mahkamah di mana perintah perceraian atau pengesahan perceraian dikeluarkan.

Jika perintah perceraian fasakh puan dikeluarkan oleh mahkamah di Perlis, maka puan perlu memfailkan tuntutan itu di Perlis walaupun harta semuanya berada di Selangor. Berkaitan hak anak puan, mereka adalah waris yang sah dan berhak menerima pusaka arwah selepas hutang dan harta sepencarian ditolak daripada pusaka arwah. Berbincanglah dengan mentua untuk menyelesaikan kes tuntutan harta sepencarian dan faraid secara baik.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Siti Razasah Abd Razak.

Sumber: Persatuan Peguam Syarie Malaysia
Tarikh: 11/5/2008

Thursday, May 1, 2008

Mahkamah Syariah boleh dengar kes tuntutan hutang

Soalan:

SAYA seorang guru, sudah berkahwin selama 10 tahun dan mempunyai tiga anak. Saya bercerai akhir 2007.

Sepanjang perkahwinan, saya banyak berkorban untuk keluarga, memberikan dua pertiga gaji untuk urusan keluarga seperti membayar sekolah anak, duit belanja dan barang dapur. Ketika itu saya tidak kisah kerana fikirkan suami isteri mesti bekerjasama untuk keluarga. Saya juga selalu memberi duit kepada suami kerana katanya dia tiada duit untuk belanja. Semua jumlah kecil itu saya tidak ingat jumlahnya.

Tetapi saya pernah memberi RM20,000 kepada suami sebagai hutang ketika kami belum bercerai. Tujuan beliau meminjam wang itu untuk digunakan sebagai tambahan modal perniagaannya. Ada perjanjian ditandatangani antara saya dan bekas suami menyatakan hal-ehwal hutang itu. Sekarang kami sudah bercerai dan perniagaan bekas suami nampaknya maju kerana beberapa kali menukar kereta.

Persoalannya adakah saya boleh memfailkan tuntutan hutang ini di Mahkamah Syariah. Saya juga mempunyai tuntutan lain yang difailkan di Mahkamah Syariah seperti mutaah dan harta sepencarian yang akan diberi keputusannya tidak berapa lama lagi. Oleh kerana hutang itu sudah lama dan tidak pernah dibayar oleh bekas suami, adakah saya dihalang daripada menuntutnya sekarang.

Isteri Malang,
Klang.

Jawapan:

Puan perlu bersabar dan kuatkan hati menerima dugaan. Puan bukan seorang yang malang kerana apa saja takdir Ilahi mempunyai hikmah di sebaliknya. Kita terima dengan hati terbuka dan positif. Insya Allah masa depan puan akan lebih cemerlang.

Berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah, Seksyen 61 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 menjelaskan bahawa dalam kes mal, Mahkamah Syariah berbidang kuasa mendengar serta memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan itu adalah orang Islam, tindakan itu berhubungan dengan:

• Pertunangan, perkahwinan, rujuk, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz atau perkara pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara berkaitan perhubungan suami isteri;
• Apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara dinyatakan di atas;
• Nafkah orang tanggungan, kesahatarafan atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak;
• Pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;
• Wasiat atau alang ketika nazak (marad al maut);
• Alang ketika hidup atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan memadai dengan wang atau nilaian wang oleh seseorang Islam;
• Wakaf atau nazar; Pembahagian dan perwarisan harta berwasiat atau tidak berwasiat;
• Penentuan orang berhak kepada bahagian harta pusaka si mati yang beragama Islam atau bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak;
• Pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam;
Pengisytiharan bahawa seseorang itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya;
• Pentadbiran masjid;
• Perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Walaupun tiada peruntukan khusus berhubung dengan hutang piutang antara suami isteri, apa-apa pelupusan atau tuntutan harta berbangkit daripada pertunangan, perkahwinan, rujuk, perceraian, pembubaran perkahwinan, nusyuz atau pemisahan kehakiman termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti diperuntukkan dalam seksyen 61 di atas.

Hutang bekas suami kepada puan tentunya berbangkit daripada perkahwinan antara puan dengannya. Dalam perkataan lain, jika puan tidak berkahwin dengan bekas suami, tentulah hal ehwal hutang piutang ini tidak berlaku. Oleh itu, Mahkamah Syariah berkuasa mendengar dan memutuskan tuntutan puan.

Dalam kes Moriazi Mohamad lawan Ajmawati Attan, Mahkamah Rayuan Syariah Selangor memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa membicarakan tuntutan hutang piutang, walaupun di sana tiada peruntukan khusus mengenainya.
Tuntutan hutang piutang itu terbit daripada perkahwinan mereka, disebabkan mereka berkahwin, maka berlakulah transaksi antara mereka termasuk berniaga dan pinjam meminjam modal dan sebagainya, hatta kepada hutang piutang.

Oleh kerana peruntukan khusus tidak wujud dalam mana-mana undang-undang bertulis, maka dalam hal ini, Mahkamah Syariah boleh menggunakan peruntukan hukum syarak. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Selangor 2003 menjelaskan dalam seksyen 245(2) bahawa jika wujud lacuna (lompang) atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata oleh enakmen ini, mahkamah hendaklah memakai hukum syarak.

Oleh demikian, berdasarkan peruntukan undang-undang yang disebut di atas dan kes Mahkamah Rayuan Syariah Selangor yang diputuskan itu, puan boleh menuntut hutang dibuat suami di Mahkamah Syariah dan bukan di Mahkamah Sivil. Puan dinasihatkan mengemukakan saksi, bukti dokumen dan sebagainya bagi menyokong keterangan ketika membuat ganti rugi. Beban untuk membuktikan bahawa suami berhutang terletak pada bahu puan.

Berhubung had masa pula, berbeza tuntutan hutang di Mahkamah Sivil yang hanya boleh dibuat dalam tempoh enam tahun daripada tarikh keingkaran, di Mahkamah Syariah dan dalam hukum syarak tidak memperuntukkan masa seperti itu. Ini bermakna tiada had masa bagi tuntutan di Mahkamah Syariah. Perkara itu walaupun sudah lama berlalu, puan masih lagi boleh membuat tuntutan itu di Mahkamah Syariah.

Tuntutan hutang juga tidak akan memprejudiskan tuntutan lain yang puan failkan terhadap bekas suami seperti mutaah dan harta sepencarian. Tuntutan itu adalah berasingan dan memerlukan pembuktian berlainan. Tuntutan itu adalah hak puan yang dinyatakan dalam hukum syarak dan dikanunkan sebagai undang-undang.

Oleh itu, puan tidak perlu risau berhubung perkara berkenaan. Mahkamah akan membuat keputusan berdasarkan tuntutan dan pembuktian dikemukakan di mahkamah.

Jawapan disediakan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar.

Sumber: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Tarikh: 1/5/2008