Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Friday, October 15, 2004

Merancang Pusaka - Elakkan Pembekuan Harta

MOHIDIN seorang Muslim yang cukup sederhana hidupnya. Beliau bekerja sebagai seorang pengurus di sebuah gedung kain di Kuala Lumpur. Berkat usaha gigihnya menyimpan wang secara cermat dan berdikit-dikit, beliau telah berjaya membeli sebuah rumah secara tunai dan dapat menyara hidup anak dan isteri dengan baik.

Mohidin telah meninggal dunia pada tahun 1965 dengan meninggalkan dua orang isteri dan sepuluh (10) orang anak, waris-waris Mohidin tidak sepakat tentang pembahagian harta pusaka dan sehingga kini pun, pusaka beliau tidak dapat diselesaikan walaupun kedua-dua isteri dan enam orang anaknya telah meninggal dunia.

Rumah peninggalan Mohidin sekarang telah pun usang dan menjadi sarang penagih dadah. Anggaran rumah tersebut bernilai lebih kurang RM2.0 juta kerana ia terletak di kawasan komersial di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur.

Jika kita melihat kepada situasi yang berlaku di atas, salah satu sebab harta pusaka Mohidin tidak dapat diselesaikan ialah kerana waris-waris yang ditinggalkan oleh beliau memiliki bahagian yang terlalu kecil dan proses penyelesaian pusaka terlalu remeh serta mahal kos guamannya. Akhirnya tiada waris-waris berbuat apa-apa.

Sebenarnya, nasib sebegini banyak berlaku kepada harta pusaka orang-orang Melayu kita, sama ada di bandar-bandar besar mahupun di pekan-pekan kecil. Inilah di antara sebabnya mengapa nilai harta pusaka yang belum diselesaikan menjangkau lebih kurang RM3.0 billion.

Di negara ini, kebanyakan umat Islam masih menganggap perancangan pusaka bukanlah suatu keperluan kerana penyelesaian pusaka adalah urusan mereka yang ditinggalkan dan bakal mempusakai harta pusaka. Apatah lagi apabila isu perancangan pusaka ini berkait rapat dengan soal kematian. Ada yang berkata, "masalah hidup pun tak terurus, mana ada masa nak fikir pasal masalah mati!"

Selain itu, tahap pengetahuan masyarakat terhadap strategi perancangan pusaka juga menjadi faktor mereka tidak merancang. Alasan yang biasa dikemukakan ialah kerana hukum faraid telah tersedia, mengapa mesti merancang pusaka?

Selain itu, ramai umat Islam beranggapan untuk merancang perlu membuat wasiat. Wasiat tujuannya untuk kebajikan, bagaimana kalau harta hanya cukup untuk keluarga? Selain itu, wasiat hanya boleh diberikan kepada bukan waris, jika berwasiat kepada waris, persetujuan waris amat diperlukan. Ada juga yang masih kabur dengan fungsi wasiat. Apatah lagi apabila mendapat tahu Akta Wasiat 1959 di Malaysia ini tidak terpakai kepada orang Islam.

Terdapat juga segelintir masyarakat Islam zaman dahulu yang membuat perancangan, namun tidaklah secara formal dan berbentuk dokumen sebagaimana hari ini. Contohnya pemberian Hibah dan Wasiyyah secara lisan. Ini disebabkan kecenderungan terhadap perancangan adalah minimum. Tahap ekonomi masyarakat pada ketika itu tidak memungkinkan mereka memiliki harta yang banyak, ditambah dengan institusi kekeluargaan yang kukuh mengurangkan risiko persengketaan dalam keluarga.

Oleh yang demikian, pentadbiran pembahagian pusaka pada ketika itu lebih mudah. Ada juga di antara mereka yang mengikut pesanan arwah semasa hidupnya tentang pembahagian harta pusaka. Walaupun begitu, sekiranya timbul sebarang pertikaian berkenaan pemberian tersebut, isu pembuktian sukar dikemukakan di Mahkamah.

Masa beredar dan budaya masyarakat turut berubah, kehidupan mereka kini lebih tertumpu kepada keluarga nukleus yang terdiri daripada anak-anak, suami dan isteri.
Justeru itu, kaum keluarga yang lain dianggap keluarga jauh. Jika didapati keluarga jauh ini akan turut mewarisi harta, kebanyakan mereka akan berusaha merancang agar harta tertentu boleh dimiliki oleh ahli dalam keluarga nukleus sendiri.

Malahan wujud juga persoalan di fikiran mereka bagaimana mereka boleh mengagih pusaka menurut hasrat sendiri berdasarkan matlamat khusus tetapi tanpa melanggar hukum syara.

Selain itu, kepentingan merancang pusaka hari ini bukan sekadar untuk mengatasi permasalahan dalam keluarga, malah menjadi keperluan setelah ia melibatkan permasalahan besar dalam ekonomi dan sosial umat Islam sejagat.

Contohnya tanah-tanah orang Melayu `tergantung' nilai komersialnya dan tidak boleh dibangunkan kerana telah terpecah kepada banyak nama.

Dari aspek keperluan sosial pula, perancangan pusaka penting untuk mengelak sebarang penindasan atas harta anak yatim dan memakan harta batil di kalangan umat Islam, seperti pemegang amanah yang memakan harta wakaf dan selepas kematiannya lebihan harta tersebut menjadi milik warisnya dan juga kes `wasi' KWSP yang tidak tahu pun tanggungjawabnya membahagikan wang tersebut mengikut faraid.

Perkara ini jelas dilarang dalam Islam, namun setelah berleluasa dalam ma syarakat, kita masih tidak merasakan ia seperti suatu kesalahan sebagaimana mencuri dan sebagainya.

Ini merupakan isu yang bersifat rohaniah yang hakikatnya akan memberi kesan negatif pada masyarakat Islam seperti keruntuhan akhlak dan sebagainya. Islam adalah agama yang syumul iaitu penuh dengan sifat kesempurnaan dalam segala aspek kehidupan.

Kesyumulan inilah yang memberi keyakinan kepada kita sebagai khalifah agar sentiasa berusaha ke arah kecemerlangan. Agama yang syumul, akan hanya melahirkan ummah yang hebat dan terbilang.

Justeru itu, andai kita merasakan terdapat kepincangan dalam sistem kehidupan umat Islam hari ini, pastinya ia menuntut suatu perubahan yang positif oleh umat Islam sendiri.

Perancangan pula adalah teras kecemerlangan. Pepatah Arab ada menyebut bahawa "perancangan itu sebahagian daripada kehidupan". Dengan kata lain, sesebuah kehidupan itu tidak akan sempurna tanpa ada perancangan. Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang menyentuh isu peperangan memerintahkan tentera-tentera Islam agar bersedia, iaitu dengan membuat perancangan yang teratur.

Begitulah seterusnya kita dituntut agar sentiasa membuat perancangan untuk apa jua usaha yang dilakukan dalam kehidupan, termasuklah perancangan dalam pentadbiran harta.

Dalam Islam, harta di dunia ini adalah milik Allah s.w.t., kita hanyalah sebagai pemegang amanah yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan mentadbirnya sebaik mungkin mengikut syariat Islam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: Dan bagi Allah jualah apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan memadailah Allah sebagai pengawal.

Manusia diwajibkan menuntut pengurniaan Allah (harta) bersungguh-sungguh, seterusnya menjadi pentadbir yang baik dan bertanggungjawab. Firman Allah yang bermaksud Setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, dan hendaklah kamu mengingati Allah sepenuhnya untuk membolehkan kamu mencapai kejayaan.

Umat Islam diberikan hak untuk memiliki harta, mengumpulkannya, mengembangkannya tetapi mereka dipandu oleh Islam dan dikawal oleh undang-undangnya. Kaedah pentadbiran harta pula jika dirujuk daripada Ilmu Perancangan Kewangan, terdapat tiga peringkat iaitu pengumpulan harta, penjagaan harta supaya tidak hilang / susut nilai dan pembahagian harta.

Dalam al-Quran, dan sunah terdapat hukum-hukum tetap tentang pembahagian pusaka dalam syariah Islam, iaitu hukum faraid tetapi cara-cara mentadbirkan harta pusaka tidak disebutkan secara terperinci, kerana hal ini menjadi tugas umat Islam untuk mengadakan peraturan-peraturan bagi mengurus dan mengendalikan sesuatu hukum, dengan syarat peraturan-peraturan itu hendaklah tidak bertentangan dan bercanggah dengan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Islam.

Asas hukum faraid adalah keadilan kerana turunnya ayat Mawarith untuk mengelak ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat. Jabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa dia sedang bersama Rasulullah s.a.w. apabila seorang perempuan Ansar datang bersama dua orang anak perempuannya. Perempuan itu berkata ``Ya Rasulullah, ini adalah anak Thabit bin Qais yang telah mati syahid dalam perang Uhud. Bapa saudara mereka telah mengambil semua harta pusaka mereka dan tiada apa yang tinggal lagi untuk mereka.'' Maka turunlah ayat yang menentukan bahagian-bahagian berhak diterima oleh ahli waris daripada harta pusaka di atas.

Dengan sebab itu, dalam pembahagian harta pusaka Islam, faraid adalah jalan terakhir yang akan diambil setelah tiada persepakatan diperoleh di kalangan waris. Oleh yang demikian, konsep keadilan ini seharusnya juga menjadi teras perancangan pusaka Islam.
Seseorang Muslim yang membuat perancangan pusaka harus mempunyai niat yang murni tanpa sebarang matlamat negatif, khususnya untuk mengelak harta dipusakai oleh waris yang ada.

Dengan sebab itu, kesedaran dan matlamat sebenar perancangan pusaka harus ditanam serta disebarkan di kalangan masyarakat, dan ini pastinya memerlukan sokongan yang padu daripada semua pihak khususnya dari pihak kerajaan mahupun swasta.

Kesyumulan Islam memungkinkan kita mengatur strategi perancangan pusaka tanpa mengenepikan kepentingan sistem pusaka Islam itu sendiri, iaitu hukum faraid. Umat Islam perlu bijak menggunakan alternatif lain yang ada dalam Islam sebagai jalan keluar kepada permasalahan yang dihadapi umat Islam dalam pembahagian harta pusaka.
Di antara instrumen perancangan yang boleh digunakan ialah Wisoyah, Wasiyyah, Hibah, Harta Sepencarian dan Penentuan Pembahagian Pusaka Mengikut Nilai.

Matlamat utama merancang harta pusaka ialah untuk menentukan supaya ia ditadbir secara professional, dan diagihkan mengikut hukum faraid dalam tempoh yang secepat mungkin, selepas kematian kita supaya waris mendapat hak mereka dan mengelakkan daripada segala persengketaan.

Kalaupun kita tidak ada masalah dalam keluarga, kita perlu merancang pusaka dan membuat senarai waris, harta dan hutang serta melantik wasi (sama ada individu ataupun syarikat pengamanahan) untuk melaksanakan segala hasrat dan arahan kita serta tidak melanggar hukum syarak. Apatah lagi kalau kita memang ada masalah dalam keluarga.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 15/10/2004