Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Saturday, January 29, 2011

AATB sasar ketiga terbesar takaful keluarga


KUALA LUMPUR - AIA AFG Takaful Bhd. (AATB) memberi tempoh tiga tahun lagi untuk menjadi pengendali takaful keluarga ketiga terbesar di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Azman Wan Mamat berkata, matlamat itu merupakan aspirasi AATB dengan mengambil kira Malaysia sebagai pasaran terbesar bagi syarikat tersebut.

''Malaysia telah mendahului dalam pasaran takaful dan peneraju di Asia serta menjadi rujukan di peringkat dunia.

''Bagaimanapun, penembusan takaful masih jauh rendah iaitu kurang 10 peratus.

''Justeru, matlamat kami mahu muncul sebagai pemimpin dalam takaful keluarga di Malaysia dan menjadi pengasas aliran kepada industri,'' katanya pada sidang media selepas pelancaran AATB di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Mohd. Razif Abdul Kadir.

AATB adalah syarikat usaha sama antara AIA Bhd. (AIA) dan Alliance Bank dengan masing-masing memegang ekuiti sebanyak 70 peratus dan 30 peratus.

Buat masa ini, Etiqa merupakan pengendali takaful keluarga terbesar dengan penguasaan pasaran sebanyak 25 peratus dan Prudential di tempat kedua dengan 18 peratus.

Menurut beliau, untuk mencapai sasaran itu, AATB akan mempelbagai produknya bagi memastikan ia mencapai sasaran pelanggan yang berbeza keperluan.

Beliau berkata, sebagai permulaan, AATB akan menumpukan kepada perlindungan, pendidikan, simpanan dan pelaburan.

Sempena pelancaran AATB, syarikat tersebut turut melancarkan tiga produk iaitu A-Mas, A-Prima dan Pelan Takaful Pengurangan Tempoh Gadai Janji.

A-Mas adalah pelan pelaburan yang menawarkan perlindungan dan pelaburan manakala A-Prima pula pelan seumur hidup yang menawarkan perlindungan sehingga umur 99 tahun.

Mengulas mengenai penubuhan AATB, Ketua Pegawai Eksekutif, Pengarah Urusan AIA Bhd. dan Pengarah AIA AFG Takaful Bhd., Khor Hock Seng menyifatkan kerjasama itu menguntungkan kedua-dua pihak kerana ia menyatukan kekuatan kewangan dan kemahiran dua jenama yang kukuh di Malaysia.

Beliau berkata, AATB akan memberi fokus kepada empat aspek penting dalam kerjasama itu dengan menawarkan produk dan perkhidmatan yang unggul, mengadaptasi pendekatan pengedaran dalam mengakses pelanggan, mewujudkan tempat kerja di dalam masyarakat serta mewujudkan pengendalian operasi yang cekap.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 29/1/2011

Dua lagi syarikat takaful beroperasi tahun ini

KUALA LUMPUR - Industri takaful Malaysia, yang kedua terbesar di dunia dengan aset berjumlah AS$3.2 bilion (RM9.76 bilion) pada 2009, akan menyaksikan kemasukan dua usaha sama takaful menjelang akhir tahun.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Mohd Razif Abdul Kadir berkata, kehadiran peserta-peserta tambahan itu akan memperkukuh lagi unsur persaingan dan inovasi dalam industri takaful.

"Prospek pertumbuhan kekal teguh memandangkan potensi besar yang belum diteroka," katanya pada pelancaran AIA AFG Takaful Bhd. (AATB), di sini hari ini.

AATB adalah usaha sama antara American International Assurance Bhd. (AIA Bhd) dengan Alliance Bank Malaysia Bhd., sebuah unit Alliance Financial Group Bhd. (Alliance) dengan modal berbayar berjumlah RM100 juta.

Mohd Razif menegaskan bahawa daripada kadar penembusan pasaran sebanyak 53.5 peratus bagi takaful dan insurans, takaful menguasai hanya 10.9 peratus pada September tahun lepas.

Bidang-bidang perniagaan yang belum diteroka dalam industri takaful keluarga iaitu sebanyak 50.3 peratus daripada caruman pada September 2010, ialah produk mikrotakaful, perubatan dan persaraan.

"Bermulanya AATB, sebagai pengusaha takaful kedua yang akan dilancarkan di kalangan pemegang lesen baharu, menawarkan cadangan nilai yang kukuh dan dijangka meningkatkan selanjutnya pembangunan industri takaful keluarga di Malaysia.

"Memandangkan rangkaian antarabangsa yang kukuh dan pengalaman luas rakan insurans asingnya, AATB pastinya juga berada pada kedudukan yang baik untuk mewujudkan pusat kecemerlangan takaful global bagi rantau ini di Malaysia.

"Ini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai sebuah hab kewangan Islam antarabangsa," tegasnya.

Pada 2009, Bank Negara memberikan empat lesen takaful keluarga baharu sebagai sebahagian daripada inisiatifnya untuk memacu inovasi dalam industri takaful.

Mohd Razif berkata, peserta idustri mestilah memberikan penekanan kepada usaha meningkatkan rangka kerja kawal atur dan kawal selia serta rangka kerja tadbir urus syariah bagi meningkatkan daya saing dan momentum pertumbuhan.

Inisiatif sebegini, katanya, disusun untuk dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat, untuk mencapai kejayaan mampan dan merungkai potensi keuntungan di dalam dan luar negara.

Beliau juga berkata, peraturan bagi industri takaful akan terus memberikan tumpuan pengurusan risiko yang berkesan dalam proses pembangunan produk dan oprasi pengusaha takaful. - Bernama

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 29/1/2011

Ibu bina rumah tunai hajat anak


KUALA LUMPUR - Ibu kepada Allahyarham Konstabel Mohd. Safuan Mohd. Alif yang maut dalam kemalangan jalan raya ketika bertugas di Puchong, Oktober tahun lalu akan menggunakan wang insurans yang diperolehnya untuk membina rumah seperti dihajati anaknya itu.

Foziah Che Mat, 50, berkata, anak sulung daripada tiga beradik berusia 20 tahun itu ketika maut dalam kemalangan berhajat membeli rumah untuk keluarganya yang selama ini tinggal di rumah sewa.

Menurutnya, dia akan menggunakan wang pampasan insurans berjumlah RM90,000 yang diperoleh ekoran kejadian menimpa anaknya itu untuk membina rumah tersebut di kampung mereka di Kampung Baru Beris Nenas, Kijal, Terengganu.

"Arwah yang menyara keluarga sebelum kejadian pernah memberitahu dia telah membeli insurans kemalangan diri di bawah Skim Takaful Berkelompok Koperasi Polis, dan saya tidak sangka ia merupakan amanah daripadanya untuk keluarga.

"Oleh itu, saya akan mendirikan sebuah rumah daripada duit itu sebagai simbol kasih sayang arwah kepada kami yang boleh diabadikan," katanya selepas menerima cek insurans tersebut daripada Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias di Balai Polis Puchong Jaya di sini hari ini.

Foziah menambah, pemergian Mohd. Safuan sejak tiga bulan lalu masih dirasai keluarganya kerana pada hari jenazah arwah dibawa pulang ke kampung halaman, sepatutnya dia pulang bersama bakal isterinya.

"Arwah berjanji membawa pulang teman wanitanya ke kampung bagi memperkenalkannya kepada saya, namun setelah kami menunggu yang pulang hanya jenazah dia.

"Ketika jenazah berada di rumah, bapa arwah yang telah bercerai dengan saya sempat juga menatap wajah Mohd. Safuan untuk kali terakhir," ujarnya sedih.

Sementara itu, pada majlis berkenaan turut diraikan ketua kerani Balai Puchong Jaya, Naimah Husin, 59, yang akan pencen bermula esok.

Naimah memulakan tugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 1980 dan akan menamatkan perkhidmatannya selepas mencurah bakti kepada polis selama 30 tahun.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 29/1/2011

Friday, January 28, 2011

Persoalan harta pencarian

SOALAN:

SEBELUM beli sebuah rumah, niat kami suami isteri membeli untuk mendudukinya selepas bersara nanti. Malangnya, apabila Perjanjian Jual Beli disiapkan hanya terdapat nama isteri serta pinjaman bank pun nama isteri seorang atas beberapa faktor alasan yang diberikan isteri selepas perjanjian itu disiapkan.

Sebabkan percaya dengan kasih sayang maka diteruskan juga. Kini dah bercerai. Bolehkan saya tuntut rumah itu harta sepencarian kerana saya boleh buktikan penglibatan saya semasa ubah suai rumah itu?

JAWAPAN:

Rumahtangga dibina atas tujuan membina sebuah kehidupan yang penuh dengan kebahagiaan dan keharmonian dengan nilai kasih dan cinta antara suami dan isteri.

Allah SWT menjadikan setiap makhluk berpasangan dengan tujuan setiap kehidupan dapat merasa kebahagiaan hidup. Ini kerana setiap makhluk berhak hidup bahagia.

Ini jelas dalam firman-Nya yang bermaksud: Maha suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan sama ada daripada yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. (Yasin: 36)

Maha suci Allah SWT daripada segala sifat kekurangan dan kelemahan, Maha suci Allah yang Maha Mengetahui akan keperluan hamba-hamba dan ciptaan-ciptaan-Nya. Lalu dengan kudrat dan iradah-Nya Allah SWT menjadikan segala sesuatu berpasangan.

Melalui perkahwinan manusia dapat memenuhi kehendak naluri manusiawi dengan menjaga kehormatan diri. Maka melalui perkahwinan manusia dapat menyelamatkan diri dari perkara yang tidak baik.

Rumah tangga yang dibina akan menjadi episod penting dalam membentuk kematangan diri. Melalui perkahwinan manusia dikurniakan anak yang bakal menyambung kelangsungan tugas sebagai khalifah.

Sebab itu diawal perkahwinan banyak janji yang dimeterai antara suami dan isteri. Semuanya indah, cantik dan menarik. Namun apakan daya, ada yang terpaksa melalui saat dan detik yang tidak pernah tergambar, sehingga berlaku perceraian.

Di sinilah bermulanya masalah apabila masing-masing menuntut hak dalam harta sepencarian. Semua ini tidak akan timbul kalau perceraian tidak berlaku, namun kalau perceraian sahaja yang dilihat sebagai penyelesaian apa nak dikata. Semua ini terpaksa dilalui kerana ini memang permintaan suami isteri.

KemukaXXXX

Dalam persoalan harta sepencarian antara suami dan isteri perlu dibuktikan sekiranya ada bantahan dari mana-mana pihak, terutamanya suami atau isteri.

Harta sepencarian mengikut syarak ditafsirkan sebagai pemerolehan harta sepanjang tempoh perkahwinan sama ada membabitkan harta alih atau tak alih dan pihak yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Tuntutan biasanya ditimbulkan oleh isteri atau bekas isteri apabila membabitkan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkahwinan sama ada secara tak langsung misalnya urusan menguruskan rumah tangga.

Sumbangan secara langsung misalnya isteri mengeluarkan modal terutama dalam bentuk kewangan untuk mendapatkan harta dalam tempoh perkahwinan. Begitu juga jika satu pihak itu meninggal dunia, pasangan akan meminta harta itu dibahagikan dulu sebagai harta sepencarian sebelum diisytihar sebagai harta pusaka.

Kitab At-Turuq al-Hukmiyah karya Ibnu Qayyim al-Juziyyah mengatakan, dalam tuntutan suami isteri membabitkan harta sepencarian, tuntutan hendaklah berdasarkan keterangan pihak yang membuktikan tuntutan itu.

Pemilikan ke atas sesuatu harta bukan berdasarkan kepada nama atas harta itu semata-mata kerana nama tertera belum membuktikan dia pemilik sebenar. Kenyataan itu dibuat dengan maksud adalah satu kezaliman jika hak milik sesuatu harta hanya diambil kira berdasarkan nama atas harta itu semata-mata sedangkan pihak satu lagi mungkin menyumbang cuma namanya tidak dinyatakan ke atas harta berkenaan.

Di dalam peruntukan undang-undang syariah Seksyen 122 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 (EUKIS 2003 menetapkan: Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagikan antara mereka atau supaya aset yang diperoleh pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan dibahagikan antara pihak-pihak itu.

Kemudian seksyen 122 (2) menjelaskan, pada menjalankan kuasa yang diberi oleh sub seksyen (1), mahkamah hendaklah mengambil perhatian mengenai:

Takat sumbangan yang dibuat tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset itu, apa-apa yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka, keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.

Munasabah

Tertakluk kepada seksyen 122 (2), mahkamah hendaklah membuat pertimbangan sama banyak. Namun, mahkamah juga boleh memerintahkan supaya aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan sama rata antara kedua pihak sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 122 (3).

Untuk menjalankan perintah di bawah Seksyen 122(3) mahkamah hendaklah memberi perhatian terhadap beberapa perkara seperti mana yang diperuntukkan di bawah seksyen 122 (4):

Takat sumbangan yang dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga, keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.

Tertakluk kepada pertimbangan seksyen 122 (4), mahkamah dengan kuasa yang ada boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan mengikut apa-apa kadar yang difikirkan munasabah. Walau bagaimanapun, pihak yang memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

Berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang ada kes-kes perceraian dan tuntutan harta sepencarian akan ke mahkamah syariah dan akan diadili berdasarkan bukti-bukti kukuh yang dapat dikemukakan oleh si penuntut kepada mahkamah.

Jika saudara ada bukti yang lengkap kemukakan ke mahkamah segala dokumen-dokumen beli rumah, perkongsian perniagaan dan apa-apa bentuk pelaburan bersama. Saya yakin dengan adanya bukti yang kukuh dalam harta sepencarian maka suami dan isteri akan mendapat keadilan dalam hal ini.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 28/1/2011

Lindungi anak angkat dengan produk Amanah

Keluarga angkat boleh buat perancangan awal untuk masa depan

SEBAGAI keluarga angkat, ibu atau bapa mempunyai beberapa alternatif dibenarkan dalam Islam. Keluarga angkat boleh membuat perancangan awal selagi perancangan tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak yang boleh mengetepikan hak ahli waris yang berhak. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan produk-produk AmanahRaya yang bercirikan Amanah (Trust) kerana semua produk Amanah tidak akan dikategori sebagai harta pusaka.

Pembahagian Harta Pusaka seperti yang sedia maklum dari siri sebelumnya telah diterangkan hanya membabitkan ahli waris yang berhak saja. Sekiranya ada anak angkat di kalangan keluarga simati, apakah yang terjadi kepada anak angkat ini? Lebih kritikal jika anak angkat ini di bawah umur.

Anak angkat dapat ditafsirkan dengan mudah sebagai anak yang dipelihara oleh bukan ibu bapa kandungnya. Anak angkat tidak boleh mewarisi harta pusaka keluarga angkatnya atau sebaliknya.

Walau bagaimanapun anak angkat boleh menerima harta daripada bapa angkat dengan cara lain iaitu melalui Hibah, Hadiah atau Wasiat yang ditetapkan tidak melebihi 1/3 daripada harta keluarga angkat kecuali dengan adanya persetujuan ahli waris yang sah.

Apa yang sering berlaku pada hari ini, anak angkat boleh dipinggirkan secara tidak langsung dan dengan cara yang amat mudah tanpa disedari atau tidak oleh saudara angkat sendiri. Keadaan ini boleh terjadi apabila berlaku kematian mendadak salah seorang sama ada ibu atau bapa atau kedua-duanya kerana tiada perancangan awal dibuat oleh keluarga angkat terutama ibu atau bapa angkat.

Perkara perlu diketahui oleh umat Islam yang telah mengambil anak angkat atau bercadang untuk berbuat demikian lebih-lebih lagi dengan keadaan seperti sekarang di mana kes buang bayi semakin meningkat, ramai yang ingin membantu dan tidak keberatan untuk mengambil anak angkat. Usaha murni ini memang digalakkan, lebih-lebih lagi usaha untuk menangani masalah ini; memberikan kepada keluarga angkat demi masa depan yang lebih baik dan terjamin serta terdapat permintaan yang tinggi untuk mendapatkan anak angkat.

Walau bagaimanapun, dalam keghairahan mengambil anak angkat ramai yang mungkin terlupa beberapa peraturan dan larangan penting apabila mengambil anak angkat. Perkara ini membabitkan masa depan anak angkat tersebut khususnya kedudukan dan status anak angkat dalam harta pusaka keluarga angkat. Antaranya yang paling penting adalah larangan kepada keluarga angkat untuk menasabkan anak angkat kepada bapa angkat atau dalam situasi sekarang adalah haram anak angkat itu dibinkan kepada nama bapa angkat.

Perkara menasabkan anak angkat adalah perkara biasa yang lazimnya dilakukan dengan hasrat dan niat yang baik, tetapi akhirnya boleh menimbulkan masalah yang lebih kompleks di kalangan anak angkat dengan ahli keluarga angkat yang lain. Lebih-lebih lagi status anak angkat yang telah dijelaskan di mana anak angkat tidak boleh mewarisi harta pusaka keluarga angkatnya dan begitulah juga sebaliknya.

Oleh demikian apakah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa angkat dalam perkara ini? Sekiranya anak angkat ini masih di bawah umur ketika kematian ibu dan bapa angkat terjadi, bagaimana nasib anak angkat ini? Apabila seseorang Islam bersetuju mengambil anak angkat, maka adalah menjadi tanggungjawab mutlak dan wajib untuk keluarga angkat tersebut memastikan kebajikan anak angkat dijaga dan dilindungi agar dapat meneruskan hidup tanpa dizalimi sehingga dewasa.

Sebagai keluarga angkat, ibu atau bapa mempunyai beberapa alternatif yang dibenarkan dalam Islam. Keluarga angkat boleh membuat perancangan awal selagi perancangan ini tidak bertentangan dengan hukum syarak yang boleh mengetepikan hak ahli waris yang berhak.

Ini boleh dilakukan dengan menggunakan produk-produk AmanahRaya yang bercirikan Amanah (Trust) kerana semua produk Amanah tidak akan dikategori sebagai harta pusaka. Oleh itu, anak angkat boleh memiliki apa juga dihadiahkan oleh keluarga angkat yang diklasifikasikan sebagai harta Amanah. Produk-Produk ini yang ada ditawarkan oleh AmanahRaya; seperti Hibah, Hadiah dan Wasiat. AmanahRaya dengan pengalaman hampir 90 tahun serta berdasarkan kepada kes-kes yang ditadbir amat memahami keperluan dan kehendak ini serta halangan-halangan yang wujud.

Justeru, AmanahRaya telah menawarkan produk bercirikan Amanah berbentuk simpanan iaitu Amanah Safecare dan Normal Trust bagi memenuhi hasrat dan kehendak Pemberi Amanah. Kepentingan akaun amanah adalah untuk memastikan Penerima Amanah (Benefisiari) dalam hal ini adalah anak angkat dilindungi dan terpelihara daripada masalah yang membebankan mereka di kemudian hari.

Hasrat Pemberi Amanah akan dilaksanakan melalui Surat Ikatan Amanah iaitu satu dokumen yang mengikat Pemberi Amanah dan AmanahRaya sebagai Pemegang Amanah kepada Penerima dengan memperuntukkan syarat yang dipersetujui bagi tujuan melaksanakan hasrat dan arahan tersebut.

Adanya produk berbentuk simpanan pelaburan yang menawarkan pulangan dividen yang setanding dan kompetitif di pasaran memberi peluang kepada keluarga angkat untuk merancang masa depan anak angkat khususnya kemudahan kewangan untuk tujuan pendidikan, perubatan dan juga sara diri untuk tempoh yang boleh ditentukan oleh mereka sendiri. Jangan lupa untuk melayari www.amanahraya.com. untuk keterangan lanjut dan minggu depan perbezaan di antara amanah, pusaka dan wasiat.

INFO: Amanah ‘Safecare’

• Merupakan produk konvensional yang ditawarkan oleh AmanahRaya. Akaun amanah ini boleh dibuka oleh individu berumur 18 tahun ke atas dengan modal minima sebanyak RM50,000.

• Dengan pembukaan akaun Safecare ini, Donor dapat memastikan dana yang mencukupi untuk pendidikan masa depan anak-anak mereka.

Amanah Biasa

• Produk amanah yang ditawarkan oleh AmanahRaya dengan hanya bermodal minima RM2,000.

• Donor boleh membuat pertambahan dana dari masa kesemasa tertakluk kepada terma-terma yang dipersetujui di dalam Surat Ikatan Amanah. Akaun boleh dibuka oleh orang perseorangan berusia 18 tahun dan ke atas.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 28/1/2011

Thursday, January 27, 2011

Permohonan bekas suami Norish batalkan harta sepencarian ditolak

SHAH ALAM - Permohonan bekas suami Norish Karman, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir untuk membatalkan tuntutan harta sepencarian yang dikemukakan oleh pelakon itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain yang membuat keputusan itu turut memerintahkan Norish meminda pernyataan tuntutan dengan memasukkan butiran terperinci berhubung aset yang disenaraikan sebagai harta sepencarian.

Beliau mengarahkan pernyataan tuntutan pindaan itu difailkan dalam tempoh 30 hari serta menetapkan 24 Februari ini untuk sebutan semula kes itu.

Pada prosiding hari ini, Norish yang tidak hadir kerana menjalani penggambaran drama diwakili peguam syarie, Amli Embong manakala Hashimuddin dan peguamnya, Ahmad Burok turut tidak kelihatan.

Norish atau nama sebenarnya, Nor'asikin Karman, 36, bernikah dengan Hashimuddin, 62, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Negeri Sembilan pada 11 Januari 1998 di Perlis.

Mereka bercerai secara rasmi pada 15 Julai 2008 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya dekat sini.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Haqiem Amany, 10; Muhammad Hady Amieran, 6; dan Nur Hanyz Amanda, 5.

Berikutan kegagalan kedua-dua pihak untuk mencapai kata sepakat melalui kaedah sulh (perbincangan secara baik), Norish memfailkan permohonan untuk menuntut harta sepencarian serta nafkah bulanan untuk anak-anak.

Antara harta yang disenaraikan sebagai harta sepencarian ialah sebuah rumah di Bangi dianggarkan bernilai RM2 juta, Kondominium Danau Permai bernilai RM300,000, Kondominium Abadi Indah bernilai RM300,000, sebuah rumah di Seremban bernilai RM100,000, dan Kondominium Seri Hening di Ampang.

Norish juga menuntut nafkah bulanan sebanyak RM4,500 bagi tiga anaknya, sewa rumah dan pembantu rumah.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 71 dan 73 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor yang menyatakan bapa bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal, persekolahan dan perubatan kepada anak-anak.

Sementara menunggu tuntutan itu selesai, mahkamah sebelum ini memerintahkan Hashimuddin membayar nafkah bulanan sementara sebanyak RM700 dan wang saku tiga anak mereka yang tidak dinyatakan jumlahnya serta membayar sewa rumah RM2,000 sebulan.

Begitu juga keperluan harian rumah dalam bentuk barangan serta menyediakan sebuah kereta dan seorang pemandu bagi keperluan perjalanan anak-anak.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 27/1/2011

Friday, January 21, 2011

Amanahraya: Surat ikatan untuk manfaat masa depan

Perjanjian bertulis antara pemegang, pemberi pastikan hak lebih terjamin

FUNGSI serta peranan pemegang amanah sudah dibincangkan siri terdahulu dan fokus kali ini ialah jenis amanah dikendalikan syarikat peramanahan terawal di negara ini, AmanahRaya ditubuhkan pada 1921 dan diperbadankan pada 1995.

Akaun amanah adalah salah satu elemen penting dalam pelaburan dan memberi pilihan jenis pelaburan kepada pelabur. Ia adalah satu pilihan pelaburan memberi jaminan pulangan dan keuntungan positif.

Walau bagaimanapun, rata-rata melihatnya sebagai satu pelaburan tidak komersial berbanding simpanan tetap, unit amanah atau amanah saham.

AmanahRaya selaras objektif penubuhannya menawarkan khidmat pembukaan dua akaun amanah iaitu akaun amanah secara automatik dan akaun amanah secara sukarela mengikut hasrat pelabur.

Akaun amanah secara sukarela adalah pelaburan bersifat unik dan dengan jaminan pulangan tinggi. Pelabur yang ingin membuka akaun amanah ini boleh mengisi borang permohonan, menyatakan butiran lengkap dan memberi dokumen sokongan kepada AmanahRaya.

Antara akaun amanah individu dalam permintaan antaranya ‘Safecare’, akaun amanah biasa dan akaun amanah hartanah. Pelabur individu boleh membuat keputusan atas jumlah yang akan dilabur dan tempoh matang pelaburan.

Akaun ini juga memberi ruang kepada pelabur untuk terus menamakan waris bagi pelaburan itu melalui Suratikatan Amanah yang diwujudkan berdasarkan hasrat dan terma dipersetujui pelabur dan AmanahRaya sebagai pemegang amanah.

Akaun amanah secara sukarela juga tidak termasuk dalam senarai harta pusaka jika pelabur meninggal dunia. Harta ini secara automatik seperti dinyatakan dalam Suratikatan Amanah akan menjadi hak milik pewaris seperti dinamakan. Ini adalah ciri unik mungkin jarang diketahui umum.

Surat ikatan Amanah memperuntukkan tugas, hak dan tanggungjawab penderma, pemegang amanah dan bagaimana amanah perlu ditadbirkan untuk manfaat benefisiari dinamakan. Selain wasiat, akaun amanah memberi pilihan kedua kepada pemilik harta untuk merealisasikan hasrat masing-masing.

Akaun amanah secara automatik tertakluk kepada pendaftaran kes. Harta amanah dibayar kepada AmanahRaya untuk membuka akaun amanah. Jika kes membabitkan harta tak alih (contohnya rumah aray tanah), ia akan melalui proses pindah milik tanah kepada AmanahRaya.

Ros (bukan nama sebenar) yang kematian suami mempunyai dua anak berusia tujuh dan 10 tahun diarahkan mahkamah untuk hadir ke pejabat AmanahRaya bagi membolehkannya mengeluarkan sejumlah wang peninggalan suami bagi bahagian diwarisi anaknya.

Dalam kes ini, anak Ros yang masih di bawah umur mewarisi pusaka arwah bapa mereka yang diamanahkan kepada AmanahRaya secara automatik. Sebagai penjaga dilantih mahkamah, Ros boleh mengeluarkan sejumlah wang bagi keperluan anaknya dan baki hanya boleh dikeluarkan selepas anak mencapai usia 18 tahun.

Pemegang amanah boleh membuat bayaran nafkah atau bayaran lain untuk manfaat benefisiari seperti pembelian komputer atau rumah. Pemegang amanah akan membuat pertimbangan setiap permohonan untuk menggunakan wang amanah.

AmanahRaya boleh menjadi pemegang amanah melalui Suratikatan Amanah melantik AmanahRaya sebagai pemegang amanah untuk kanak-kanak atau mereka tidak berkeupayaan. Amanah yang biasa diwujudkan adalah bagi wang pencen atau wang insuran di mana pihak berkaitan tidak dapat memberi pelepasan yang sah.

AmanahRaya juga boleh menjadi pemegang amanah bagi kanak-kanak atau individu kurang upaya yang berjaya mendapat pampasan ditentukan mahkamah untuk kes dibicarakan di mahkamah.

Dalam petisyen pembahagian pusaka yang difailkan di Pejabat Tanah, perintah juga boleh dibuat untuk AmanahRaya menjadi pemegang amanah kepada waris di bawah umur atau cacat akal.

Jika seseorang pekerja meninggal dunia, sejumlah wang pampasan akan dibayar mengikut perintah Pegawai Buruh untuk dibayar kepada orang tanggungannya. Bahagian waris kanak-kanak atau cacat akal akan dipegang oleh AmanahRaya di bawah akaun amanah.

Keadaan di mana wang dalam pentadbiran harta pusaka tidak habis dibahagikan atas alasan tertentu. wang itu boleh dibayar oleh AmanahRaya kepada dirinya sendiri untuk dipegang di bawah amanah bagi faedah benefisiari.

AmanahRaya juga boleh dilantik sebagai pemegang amanah untuk memegang harta tak alih seperti tanah dipunyai pihak yang tidak mempunyai kapasiti untuk memegang harta itu. AmanahRaya sebagai pemegang amanah akan memastikan harta amanah terdaftar atas nama pemegang amanah.

Selain itu, mengikut Akta Perbadanan Amanah Raya 1995, AmanahRaya sebagai pemegang amanah ditugaskan membuat pelaburan harta amanah supaya suatu pulangan baik dapat dimanfaatkan kepada benefisiari. AmanahRaya ketika ini membayar dividen atas akaun amanah sebanyak 4.25 peratus setahun.

INFO

• Bidang kuasa AmanahRaya dalam pentadbiran amanah tertakluk kepada Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 dan Akta Pemegang Amanah 1949.

• Akta Insurans 1996 Seksyen 166 (3) : pemunya polisi, melalui polisi atau melalui notis secara bertulis kepada penanggung insurans berlesen, boleh melantik pemegang amanah untuk wang polisi itu dan jika tidak ada pemegang amanah, kepada penama yang kompeten untuk berkontrak atau jika penama tidak kompeten untuk berkontrak, ibu bapa kepada penama yang tidak kompeten dan jika tidak ada ibu bapanya yang masih hidup.

• Jika tiada, AmanahRaya hendaklah menjadi pemegang amanah wang polisi itu dan penerimaan seseorang pemegang amanah hendaklah menjadi pelepasan kepada penanggung insurans berlesen bagi semua liabiliti berkenaan dengan wang polisi dibayar kepada pemegang amanah.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 21/1/2011

Friday, January 14, 2011

Rayuan isteri kedua Syed Kechik ditolak

Oleh : NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA - Harta pusaka peninggalan Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary bernilai RM400 juta kekal ditadbir secara bersama oleh anak lelaki tunggalnya, Syed Gamal dan ibu tiri serta dua adik tiri perempuannya.

Demikian keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Low Hop Bing ketika menolak rayuan Puan Sri Sofiah Moo Abdullah dan dua anaknya, Puan Sri Sharifah Zarah, 42, serta Sharifah Munirah, 44.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Hakim Datuk Azhar Mohamed hari ini sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Syed Gamal, 46, bertindak selaku pentadbir bersama terhadap harta tersebut.

Panel berkenaan turut memerintahkan ketiga-tiga perayu menjelaskan kos guaman berjumlah RM40,000 kepada Syed Gamal selaku responden.

Dalam keputusan itu, Hakim Hop Bing menyatakan, perasaan marah pihak perayu terhadap Syed Gamal kerana kurang pengetahuan dalam selok-belok perniagaan, bukan alasan yang baik sehingga menyebabkan responden ditolak sebagai pentadbir bersama.

Beliau juga berkata, dakwaan bahawa Syed Gamal merupakan ahli perniagaan yang gagal sehingga terpaksa menjual kereta Mercedes-Benz, bukan alasan kukuh mengetepikan hak responden mentadbir bersama harta pusaka itu.

Menurut Hakim Hop Bing, kejayaan, kegagalan dalam hidup, perniagaan dan aktiviti lain merupakan penghakiman yang bersifat subjektif semata-mata.

"Kejayaan bukan titik penyudah manakala kegagalan bukan sesuatu yang telah ditakdirkan. Keberanian dan semangat yang berterusan, itu yang lebih diambil kira," ujar beliau.

Sehubungan itu, panel tersebut berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi betul ketika membenarkan Syed Gamal mentadbir harta pusaka bernilai RM400 juta bersama keluarga tirinya.

Pada 30 Julai tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng membenarkan permohonan kaveat Syed Gamal bagi menghalang ketiga-tiganya daripada menguruskan harta tersebut tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Syed Gamal ialah anak lelaki tunggal hasil perkongsian hidup Allahyarham Syed Kechik dengan bekas isteri pertamanya, Zainab @ Eshah. Syed Kechik menceraikan Zainab ketika Syed Gamal berusia lima tahun.

Pengurus kafe siber itu menyatakan, beliau merupakan waris dan anak yang sah untuk menjadi pentadbir bersama harta pusaka peninggalan pengasas Yayasan Syed Kechik Holdings itu.

Syed Gamal mengemukakan permohonan kaveat ekoran tindakan keluarga tirinya memfailkan petisyen pada 15 September tahun lalu, memohon supaya surat kuasa mentadbir harta pusaka bapanya diberikan kepada mereka sebagai isteri dan anak yang sah di sisi undang-undang memandangkan Syed Kechik tidak meninggalkan sebarang wasiat.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik, 10 April tahun lalu pada usia 80 tahun kerana sakit jantung.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 14/1/2011

Kepentingan lantik pemegang amanah sah

Perjanjian bertulis antara pemegang, pemberi pastikan hak lebih terjamin

PEMEGANG amanah bukan hanya nama, tetapi perlu memastikan keadilan terlaksana demi menegakkan undang-undang supaya kepentingan pihak yang berhak terpelihara serta mendapat ganjaran pahala daripada Allah.

Oleh itu, janganlah sekali-kali membiarkan kezaliman dilakukan hanya untuk memenuhi kehendak dunia. Jika terpesong daripada tujuan utama amanah itu, perlu segera diperbetulkan. Pemegang amanah sering terdedah godaan kerana terlupa ikrar perjanjian dengan pemberi amanah.

Perjanjian antara pemegang amanah dan pemberi amanah adalah kontrak sah yang boleh dilakukan secara lisan. Namun, pelaksanaan secara bertulis lebih sempurna dan melantik syarikat milik penuh kerajaan seperti AmanahRaya sebagai pemegang amanah.

Perlantikan secara rasmi membolehkan pelaksanaannya sah di sisi undang-undang. Ini penting kerana AmanahRaya bertindak melindungi pemberi amanah dan juga penerima amanah (benefisiari). Tanpa dokumen sah, kemungkinan amanah akan dipertikaikan.

Inilah cabaran besar yang mencabar kesabaran dan keimanan pemegang amanah. Apabila pemegang amanah berasakan tidak sanggup memikul tugas ini, dia boleh melepaskannya.

AmanahRaya boleh dilantik berdasarkan Seksyen 12 (1) Perbadanan sebagai pemegang amanah wasiat, pemberian, suratcara amanah atau kewajipan tergolong dalam kelas dibenarkan berkuat kuasa sebelum atau selepas tarikh ditetapkan.

Jika AmanahRaya menggantikan pemegang amanah dilantik sebelum itu, tanggungjawab AmanahRaya masih tertakluk kepada surat ikatan amanah sedia, termasuk ketetapan tarikh serta persetujuan lainnya.

Surat ikatan amanah ialah dokumen yang menjadi asas utama dan teras pelaksanaan amanah. Umat Islam tidak boleh melanggar amanah kerana tindakan undang-undang akan dikenakan dan pembalasan berat pada akhirat kelak. Tindakan itu memberi kesan besar kepada penerima amanah.

Oleh itu, umat Islam yang ingin mengetahui mengenai proses pemberian serta penerimaan amanah boleh merujuk kepada AmanahRaya. Bagi yang ingin mendapatkan khidmat pemegang amanah, boleh mendapatkan perkhidmatan AmanahRaya.

Selain berpengalaman hampir 90 tahun, AmanahRaya mempunyai produk bersesuaian keperluan orang awam. Bimbingan boleh diperoleh daripada pegawai Amanahraya di 19 cawangan seluruh negara.

Lawati laman sesawang www.amanahraya.com.my. untuk keterangan lanjut. Mulai hari ini sesiapa yang membuka akaun amanah di AmanahRaya sehingga 31 Mac 2011 akan menerima hadiah pembukaan amanah, Pen Parker bernilai RM60.

INFO:

Suratikatan Amanah

• Penderma dan pemegang amanah terikat dengan terma dan syarat yang diperincikan melalui peruntukan dalam Suratikatan Amanah yang akan ditandatangani bersama. Jika wujud konflik antara terma dan syarat dengan Suratikatan Amanah, maka surat berkenaan adalah terpakai.

Harta amanah

• Pemegang amanah berhak mentadbir dan menguruskan harta amanah seperti mana diperuntukkan dalam Suratikatan Amanah.

Umur majoriti

• Pemegang amanah berhak mengeluarkan atau memindahkan semua/baki harta amanah, termasuk faedah terkumpul daripada amanah untuk benefisiari selepas mencapai umur majoriti.

Tempoh

• Penderma berhak melakukan pengeluaran terhadap harta amanah. Walau bagaimanapun, pengeluaran semua harta amanah membawa maksud nilai jumlah bagi penutupan akaun amanah dan pemegang amanah berhak mengenakan caj pengeluaran bagi sebahagian atau keseluruhan akaun itu.

Kuasa melabur

• Pemegang amanah berhak untuk melaburkan harta amanah, termasuk sebarang pertambahan jumlah yang diperoleh daripada pelaburan seperti diperuntukkan dalam Seksyen 25 Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.

Perubahan amanah

• Sebarang perubahan terma dan syarat Suratikatan Amanah boleh dibuat dengan persetujuan bertulis kedua-dua pihak.

Bayaran

• Tertakluk kepada Seksyen 33 Akta Perbadanan Amanah Raya 1995, pemegang amanah berhak untuk caj fi guaman, penerimaan, pengeluaran, cukai perkhidmatan kerajaan dan fi yang diluluskan menteri.

Pengisytiharan

• Penderma, benefisiari, penjaga/wakil benefisiari bertanggungjawab mengisytiharkan kepada pihak berkuasa, termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri berkaitan dividen/bayaran lain yang diterima di bawah amanah ini.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 14/1/2011

Thursday, January 13, 2011

Takaful Ikhlas menangi anugerah BrandLaureate

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) memenangi Anugerah Jenama Terbaik bagi Perkhidmatan Insurans Kesihatan pada majlis penganugerahan The BrandLaureate SMEs Chapter 2010 selama tiga tahun berturut-turut.

Takaful Ikhlas dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, pihaknya juga berjaya mempertahankan Anugerah Jenama Terbaik dalam Perkhidmatan Perlindungan Kewangan selama dua tahun berturut-turut.

Anugerah itu disampaikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur semalam. Turut hadir adalah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Presiden The BrandLaureate, Dr. KK Johan.

"Kejayaan ini membuktikan bahawa produk-produk perlindungan Takaful Ikhlas diterima dan menepati citarasa dan keperluan rakyat Malaysia. Jenama Takaful Ikhlas mempunyai matlamat, destinasi dan imej tersendiri,

"Salah satu kategori yang dimenangi sebanyak tiga kali berturut-turut adalah melalui produk Ikhlas Medic Assist Takaful (IMAT), iaitu pelan perlindungan perubatan komprehensif.

"Kejayaan kami ini perlu dikongsi bersama dengan pelanggan kami yang banyak memberi sokongan dan serta warga kerja Takaful Ikhlas yang berdedikasi, " kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman.

Takaful Ikhlas mempunyai pusat perkhidmatan pelanggannya di pejabat korporatnya di Bangsar South, Kuala Lumpur serta pejabat wilayah di Klang, Kota Bharu, Johor Bahru, Sungai Petani, Kedah, Sarawak, Melaka, Sabah, Pahang, Ipoh, Kuala Terengganu dan Putrajaya.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 13/1/2011

Wednesday, January 12, 2011

Lesen takaful pula menjadi sasaran


KUALA LUMPUR - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) merancang untuk menambah lebih banyak pusat khidmat pelanggannya di kawasan pendalaman sebelum akhir tahun ini.

Ketika ini, bank itu telah membuka 40 pusat khidmat seumpamanya di kawasan pendalaman khususnya di Sabah dan Sarawak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pusat khidmat ini sangat penting kerana mampu menghubungkan golongan yang berada di kawasan pedalaman dengan pihak bank.

Katanya, untuk membuka sebuah cawangan di kawasan berkenaan memerlukan kos yang sangat besar dan tidak menguntungkan pihak bank kerana bilangan pelanggan yang sedikit.

"Cara terbaik adalah melantik koperasi untuk menjadi wakil sah Bank Rakyat di kawasan pendalaman. Ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial bank kepada masyarakat.

"Saya juga menggalakkan bank- bank lain turut menggunakan pendekatan yang hampir sama bagi membantu rakyat di pendalaman," katanya sidang akhbar selepas majlis pelancaran Takaful Keluarga oleh Bank Rakyat di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalannya Datuk Rohani Abdul Karim, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim serta Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa, Shahril Azuar Jimin.

Ismail Sabri berkata, Bank Rakyat juga akan membuka lapan buah cawangan baharu di Sarawak, Sabah, Pahang dan beberapa kawasan lagi sebelum akhir tahun ini.

Ditanya mengenai sama ada Bank Rakyat berminat untuk memiliki lesen pengeluar takaful di Malaysia, Ismail Sabri berkata, bank berkenaan memang berminat.

"Perkara ini bergantung kepada Bank Negara Malaysia. Jika mereka memberi lampu hijau, Bank Rakyat bersedia melaksanakannya," jelasnya.

Tambahnya lagi, Bank Rakyat merupakan antara bank yang melaksanakan operasi patuh syariah dan tidak menjadi masalah untuk bank tersebut menceburi bidang takaful pada masa depan.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 12/1/2011

Tuesday, January 11, 2011

Takaful tubuh pusat pembelajaran agensi

SYARIKAT Takaful Malaysia Bhd akan menubuhkan pusat pembelajaran agensi dikenali Takaful myStar Academy dalam usaha mencapai sasaran 2,500 ejen tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohamed Hassan Kamil, berkata bilangan ejen agensi Takaful Malaysia meningkat kepada 800 ejen aktif dengan 45 Peneraju Agensi yang berdedikasi sejak memperkenalkan Wakalah atau model agensinya pada Mac tahun lalu.

“Agensi Runcit akan mengambil lebih ramai peneraju agensi untuk mencapai sasaran kepada 100 agensi secara keseluruhannya.

“Melalui sasaran ini, syarikat merancang lebih banyak aktiviti bagi meningkatkan pertumbuhan bilangan ejen agensi, termasuk pasaran bergerak bagi melaksanakan pengambilan pekerja yang agresif di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohamed Hassan berkata, pelbagai fakulti latihan khusus disediakan kepada ejen syarikat menerusi pusat pembelajaran itu.

“Modul profesional terpilih yang khusus ini akan membantu ejen kami meningkatkan pengetahuan produk, jualan dan kemahiran mereka di samping membuka potensi mereka kepada kecemerlangan dalam perniagaan agensi ini,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Takaful Malaysia turut mengumumkan pelantikan Mohd Suhaimi Ahmad yang memiliki pengalaman bekerja lebih 17 tahun dalam industri insurans khususnya agensi runcit sebagai Pengurus Besar Agensi Runcit.

Beliau berkata, bagi 2011 ini, Takaful Malaysia menyasarkan meraih lebih 30,000 kes untuk takaful keluarga individu baru dengan jumlah sumbangan sasaran sekurang-kurangnya RM750 juta pada tahun akhir kewangan.

“Perniagaan agensi memainkan peranan penting dalam menyumbang ke arah pertumbuhan syarikat,” katanya. – BERNAMA

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 11/1/2011

Monday, January 10, 2011

Industri takaful tempatan dijangka berkembang 20 peratus

KUALA LUMPUR - Industri takaful di negara ini dijangka berkembang sekitar 16 peratus hingga 20 peratus tahun ini berdasarkan prestasi industri itu sejak dua tahun yang lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas), Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, perkembangan perniagaan syarikat insurans dan takaful am saling bergantung dengan pertumbuhan ekonomi pada tahun ini.

''Jumlah gaji yang dijangka meningkat dengan ketara 1.3 peratus oleh 11.8 juta pekerja, sekali gus menambah pendapatan boleh guna yang bakal memberi kesan kepada perkembangan perniagaan hayat, insurans keluarga dan takaful,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Katanya, industri takaful kekal kukuh pada tahun 2010, dipacu oleh perniagaan baru takaful keluarga yang mencatatkan pertumbuhan 25.8 peratus manakala sumbangan dari takaful am meningkat sekitar 27.6 peratus bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun lalu.

Tambah beliau, berdasarkan prestasi sehingga Julai tahun lalu, kedua-dua sektor iaitu takaful keluarga dan takaful am merekodkan pertumbuhan sekitar 25 peratus seiring dengan kegiatan ekonomi yang teguh dan peningkatan perbelanjaan pengguna berasaskan pengalaman separuh pertama 2010.

Mengulas cabaran industri takaful, Syed Moheeb membayangkan perkembangan memberangsangkan dalam pembiayaan kredit runcit terutama berkaitan pembiayaan mungkin akan dikekang pada satu tahap.

''Bagaimanapun perkembangan ini akan menggalakkan operator takaful untuk mempelbagaikan fokus perniagaan mereka daripada produk perlindungan pembiayaan kepada produk pacuan agensi,'' katanya.

Ditanya sudahkah sektor takaful mencapai objektifnya di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan (FSMP), beliau berkata, Bank Negara Malaysia menjangkakan sistem perbankan Islam dan takaful dapat mencapai 20 peratus dari keseluruhan pasaran perbankan dan insurans pada 2010.

Bagaimanapun, dalam perniagaan baharu, industri takaful telah melepasi sasarannya iaitu 28 peratus manakala bahagian pasaran takaful buat masa ini adalah sekitar 13 peratus.

Syed Moheeb berkata, pada 2011 ini, takaful akan terus mempertingkatkan penembusan takaful keluarga, terutamanya ke luar bandar, selain memberi fokus kepada segmen mikro takaful dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dalam pada itu, beliau membayangkan kemasukan pemain baru takaful yang diberi lesen oleh bank pusat pada tahun lalu bakal membawa teknologi baru, standard perkhidmatan lebih tinggi dan produk inovatif ke dalam pasaran.

'' Ini bakal meningkatkan persaingan dalam industri,'' ujar beliau.

Mengulas keupayaan pemain takaful tempatan berkembang secara global, Syed Moheeb berkata, seperti insurans, pembangunan perniagaan takaful di sesebuah negara amat bergantung pada faktor tempatan.

Menurut beliau, undang-undang dan bidang kuasa tempatan berbeza dari satu negara dengan negara lain dan pembangunan perniagaan takaful luar pesisir memerlukan operator tempatan untuk menangani keperluan kawal selia dalam persekitaran asing.

''Satu idea yang mungkin dapat menangani cabaran ini apabila kerajaan membantu pengendali takaful mendapatkan pengiktirafan di pasaran asing,'' katanya.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 10/1/2011

Monday, January 3, 2011

Takaful Ikhlas: MNRB masih mahu terus kuasai ekuiti


KUALA LUMPUR - MNRB Holdings Bhd. (MNRB) dipercayai tidak bercadang melupuskan kesemua pegangannya dalam Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) kepada Allianz Malaysia Bhd. (Allianz).

Sebaliknya, difahamkan MNRB masih mahu terus menguasai sebahagian besar ekuiti dalam Takaful Ikhlas.

Pendirian itu berasaskan kepada prestasi menggalakkan Takaful Ikhlas yang kini menjadi pengendali takaful ketiga terbesar di Malaysia selepas Etiqa dan Takaful Malaysia.

Takaful Ikhlas juga menerajui dalam beberapa portfolio takaful.

Malah, menurut jurucakap MNRB, syarikat itu mahu menjadikan Takaful Ikhlas sebagai syarikat takaful yang berwibawa bukan sahaja di Malaysia tetapi di luar negara.

Seorang penganalisis ekonomi berkata, Takaful Ikhlas adalah penjana tunai kepada MNRB, sudah tentu ia merupakan satu kerugian sekiranya MNRB melepaskan kepada Allianz.

Apatah lagi, katanya, jenama Takaful Ikhlas semakin kukuh dari segi produk dan rangkaiannya.

Bagaimanapun, penganalisis ekonomi itu tidak menolak Takaful Ikhlas mampu berkembang lebih pesat di bawah Allianz.

''Allianz sudah tentunya mahu menguasai Takaful Ikhlas, portfolio yang belum dimilikinya, tetapi ia sukar,'' ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Allianz adalah syarikat pelaburan bagi Allianz General Insurance Company (M) Bhd. (AGIC) dan

Bright Mission Bhd., entiti bagi sayap insurans am dan Allianz Life (M) Bhd. bagi insurans nyawa.

MNRB dan Allianz mendapat persetujuan daripada Bank Negara Malaysia untuk memulakan rundingan bagi pembelian ekuiti dalam Takaful Ikhlas pada 17 Disember lalu.

Isu pembelian kepentingan Takaful Ikhlas diperkatakan pada tahun ini apabila syarikat itu dikatakan akan menerima suntikan daripada entiti asing.

Takaful Ikhlas juga didakwa turut menarik minat Malayan Banking Bhd (Maybank) tetapi spekulasi itu dinafikan oleh Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Pengendali takaful itu juga dikatakan mahu dimiliki oleh Bank Rakyat.

Jurucakap MNRB itu, proses rundingan yang telah bermula, bagaimanapun buat masa ini tiada tarikh tertentu ditetapkan bagi memuktamadkan sebarang keputusan.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 3/1/2011